Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
97,912
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4
Maira terkocoh-kocoh menuruni tangga apartmen pelajar yang menjadi tempat kediamannya kini. Hatinya disapa rasa ingin tahu. Malah, misteri penghantar sejambak bunga Carnation turut menjadi tanda tanya. Tiada sebarang klu yang boleh diteka kecuali nota kecil yang terselit di celah-celah bunga itu yang meminta dia turun dengan kadar segera untuk mengetahui siapa pengirim misteri itu.

Carnation kesukaan si gadis manis, Syarifah Alya Humaira. Surprise? Turunlah kalau nak tahu siapa yang kirim bunga ni... ;) Mungkinkah Prince Charming yang awak tunggu-tunggu? Turunlah... saya tunggu awak di car park.


Nafas Maira tercungap-cungap. Kudrat digunakan sepenuhnya. Otaknya ligat berfikir dan tenaga fizikalnya pula digunakan sepenuhnya untuk berlari dari aras empat apartmennya. Adakalanya dia berjalan selaju mungkin. Semuanya gara-gara tidak mampu bersabar. Tertanya-tanya dia, siapakah pengirim bunga misteri itu?

Malah, hampir tak cukup nafas Maira bila terpaksa membawa ‘muatan berat’ yang menyelaputi tubuhnya. Tubuh gempalnya membuatkan dia perlukan lebih stamina untuk bergerak laju. Sampai sahaja di tempat letak kereta, mata Maira terpaku pada susuk tubuh seorang gadis yang amat dikenalinya.

“Mili!” Bergema blok apartmen Maira dengan jeritannya. Tubuh gempalnya terus meluru ke arah Emili yang bersandar di kereta Viva berwarna ungu metalik miliknya.

Tangan Emili terawang-awangan tatkala tubuhnya dipeluk erat oleh Maira. Erat sekali. Hingga semput Emili mencari nafas.

“Weh! Agak-agaklah nak peluk aku! Kau tu besar mana... aku ni besar mana yang kau nak peluk ketat-ketat. Semput tau tak?! Oksigen! Oksigen! Tak cukup nafas ni!” Emili sengaja menarik nafas kuat-kuat. Hiperbolanya menjadi-jadi. Lagaknya seperti dia memerlukan bantuan pernafasan saja.

Maira mencebik. “Nak kata aku gemuklah tu!”

Tergelak besar Emili bila melihat teman rapatnya mula menarik muncung empat belas. Pipi yang persis pau kukus itu makin geram dipandang. Dicubit-cubit sekuat hati. Hingga Maira memukul-mukul lengan kecilnya.

“Apa hal pulak datang-datang aje nak picit-picit pipi aku? Ingat kuih pau ke? Itulah suruh makan banyak tak nak. Badan dah macam mangsa kebuluran dekat Afrika tu dah aku tengok.” Maira menyakat tanpa belas. Gurauan mereka memang kedengaran kasar, tapi pada mereka... sakat-menyakat itu perkara normal dan penyeri hidup!

“Eleh, yang kau ni... dalam dok rindu-rindu teringat kat kampung, badan tak pulak susut. Makin tembam adalah! Apa kes? Hati ada taman eh? Sebab tu yang kau pulun lari terkocoh-kocoh ni... mesti kau ingat ada pakwe yang hantar bunga tadi, kan? Kesian... kesian... sekali tengok, Miss Universe dari Kedah yang hantar bunga! Punah harapan...” Makin giat Emili mengejek Maira yang masih tercungap-cungap mengutip nafas.

Maira mencebik. Geram pun ada. Tapi dalam geram-geram diusik nakal sebegitu, hatinya diulit bahagia. Baru semalam terkenangkan sahabat baiknya yang satu ini, tiba-tiba hari ini sudah muncul. Dipukul manja bahu Emili.

“Penat tau aku lari... ingatkan Prince Charming yang datang. Rupa-rupanya... nenek kebayan!” Maira membalas servis tepat ke lubuk hati Emili hingga mata sepet itu membulat.

“Amboi... amboi... bini Shrek ni!”

Ketawa mereka bersatu. Puas mengusik, kedua-duanya tersandar keletihan. Emili tenung Maira dari ekor mata. Perjalanan lebih lima jam dari Kedah ke UKM berbaloi bila melihat seraut wajah montel itu. Penat memandu turut hilang.

“Kau rindu aku, eh?” Tanpa berselindung Maira terus bertanya.

Emili mengangguk. Hanya mereka berdua yang faham istilah ‘rindu’ dalam kamus Emili-Maira.

“Masalah besar ke kecik?”

Emili menggaru-garu dagunya. Cuba berfikir sebelum menjawab. “Besar dan kecik.”

“O... key... ada baiknya kita cari food court.Lepas tu, kita bedah masalah ‘besar dan kecik’ kau tu, okey?” Maira memberikan cadangan. Belum sempat Emili mahu mengkritik cadangannya, Maira sudah bergegas lari ke apartmennya semula. Bergegar semua lemak di badan gempal gadis itu. Emili menggeleng perlahan.

“Aku suruhdiet, tak nak. Nak jugak melantak tak ingat dunia!”

Previous: BAB 2
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.