Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
97,940
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 9

LANGIT malam kelihatan indah dengan bintang-bintang bertaburan di dada langit. Deruan ombak yang menyapa cuping telinga Fahim begitu mendamaikan. Dari tingkat empat kondo­miniumnya, Fahim menghayati keindahan alam. Fikirannya menerawang ke Kedah. Figura gadis bertubuh kecil molek, bermata sepet dan berkulit putih bermain di mindanya.

“Emili... dah sebulan aku tak balas e-mel dia. Dan tak sampai sebulan aje lagi, aku dah nak berangkat ke UK. Kejam ke aku buat dia macam ni?” Fahim bermonolong sendirian.

Fahim tiada jawapan pada soalannya sendiri. Matanya terkebil-kebil memandang lautan luas. Mencari konklusi pada suatu jalan cerita yang direka demi kepentingan diri.

“Cinta ke aku pada dia?”

Soalan itu juga, Fahim tidak dapat menjawab dengan tepat.

“Kalau cinta, kenapa pilih untuk berahsia? Maknanya perasaan kau tak cinta. Kau hanya melayan dia untuk mengisi kekosongan jiwa kau! Kosong tanpa pasangan seperti orang lain!” Suara hati Fahim memarahi dirinya sendiri.

“Tak! Bukan macam tu! Aku suka melayan soalan-soalan polos dia... keletah dia dalam semua e-mel itu menghiburkan aku. Dia buat aku seolah-olah insan terpenting dalam hidup dia. Dia buat aku rasa dihargai! Tapi...”

“Argh! Cakap saja kau terlalu mencari kesempurnaan dalam diri pasangan kau, kan? Jangan lupa manusia dijadikan untuk saling melengkapi. Bukan semua orang sempurna! Termasuk kau! Kau juga ada kekurangan yang perlu ditampung oleh kelebihan pasangan kau.”

“Argh, pergilah!”

Tangan Fahim terawang-awang di udara seolah-olah sedang menolak sesuatu. Bila tersedar dia hanya berseorangan di kondo itu, segera Fahim beristighfar. Dadanya diurut-urut perlahan. Peluh yang memercik di dahi dikesat dengan belakang tangan. Tiba-tiba Fahim jadi takut. Resah. Dia lantas berlari ke bilik tidurnya dan menyelimuti tubuh. Matanya dipejam rapat-rapat.


Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.