Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
97,907
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 16
Rumah Mak Diah kecoh dengan kedatangan Tauke Liew yang tidak diundang. Datangnya pula dalam keadaan marah. Suara lantangnya memecah keheningan petang itu. Mak Diah yang sedang mengaji sementara menunggu solat asar terkejut. Tauke Liew tak pernah pun mengamuk begitu. Sepanjang mengenali bekas majikannya itu, inilah kali pertama dia melihat Tauke Liew seperti orang hilang arah!

“Ada ada apa bising-bising ni, tauke?” tegur Mak Diah. Hatinya mula tidak enak bila melihat wajah Tauke Liew merah padam. Dan anak bongsunya di sebelah sedang menangis teresak-esak. Mata gadis itu sudah membengkak. Hidungnya merah dan berair.

“Mana anak-anak Kak Diah?” tempik Tauke Liew.

Mak Diah kaget. Debaran di hati makin kencang. “Ke... kenapa tauke? Anak saya ada buat salah ke?”

“Memang salah! Sekarang ni, saya nak nombor telefon dan alamat anak lelaki Kak Diah di UK!” tengking Tauke Liew. Tubuh anak bongsunya pula ditolak hingga betul-betul tersembam di kaki Mak Diah.

Mak Diah terkejut. Dia segera menarik tubuh gadis itu. “Mili... kenapa ni, nak? Cuba cakap dengan Mak Diah... apa yang anak Mak Diah dah buat pada kamu, nak? Apa kena-mengena dengan Abang Im kamu pulak ni? Ya ALLAH...” Mak Diah mula cemas. Tangannya menggeletar. Dahinya mula berpeluh-peluh. Dadanya makin berdebar-debar.

“Jawablah!” tengking Tauke Liew lagi.

Emili makin takut dan teresak-esak menangis. Gerun, sedih, malu dan kecewa dengan sikap papanya yang berubah 360 darjah. Bibir Emili terkunci rapat. Bahunya sahaja yang terhinjut-hinjut menangis.

“Mili... Kenapa papa Mili marah-marah ni? Kenapa nak nombor telefon dengan alamat Abang Im pulak ni? Im... Im... dah buat benda tak baik pada kamu sebelum dia berangkat ke UK ke?” Tergagap-gagap Mak Diah bertanya. Dia mula berfikir benda yang bukan-bukan.

Emili menggeleng laju. Esakannya makin kuat. Wajah papanya pula dipandang. “Papa... papa dah salah faham. Mili cintakan dia... dan hubungan kita takkan terputus, papa... Bukan sehari papa kenal dia, dah lama...” lirih suara Emili mengharapkan belas kasihan bapanya.

Wajah Tauke Lim makin merah padam. “Tapi, kau dah buat satu keputusan yang besar dalam hidup kau dan keturunan kita! Kerana cinta, kau sanggup tinggalkan agama nenek moyang kita, Mili!” marah tauke Liew dalam bahasa Mandarin.

Emili memeluk Mak Diah erat-erat. Saat itu, pelukan Mak Diah mententeramkan perasaannya. Sungguh Emili dalam ketakutan. “Papa... papa tak faham... walaupun kita dah berbeza agama, tapi papa tetap papa Mili selama-lamanya. Hubungan kita takkan terputus. Apa yang mendiang datuk pernah cakap pada papa, itu semua salah faham. Dusta semuanya! Hubungan keluarga takkan terputus walaupun kita berbeza agama. Islam tidak membenarkan umatnya memutuskan hubungan silaturahim apatah lagi hubungan seorang anak dengan bapanya!”

“Ah! Kau tetap akan menjauhi kami... semata-mata kerana kau cintakan dia... sanggup kau belakangkan agama kita, Mili!” marah Tauke Liew lagi.

Mak Diah yang masih tidak faham drama keluarga di hadapannya cuba untuk menenangkan dua beranak itu. Apatah lagi mereka berdua bertutur dalam bahasa Mandarin. Memang meloponglah Mak Diah melihat drama tanpa sarikata.

“Tauke... Mili... mari kita masuk ke dalam rumah dulu. Tak elok bertekak di luar ni. Tak manis. Mari masuk ke dalam. Kita boleh berbincang, kan?” pujuk Mak Diah lembut.

Mendengar kata-kata Mak Diah yang lembut, suhu amarah Tauke Liew menurun sedikit. Bibirnya mengeluh berat. Tauke Liew membuang pandang ke laman rumah yang hanya ditumbuhi pokok-pokok kelapa. Tiadalandskap indah dengan pokok-pokok merimbun bak taman botani mini di rumahnya. Rumah papan itu pun dipandang sekilas.

Letih berdiri, Tauke Liew duduk di beranda bertentangan dengan Emili dan Mak Diah. Dadanya yang tiba-tiba terasa sakit diurut perlahan. Mak Diah pula hanya memandang dengan penuh tanda tanya.

“Kak Diah... apa salah saya pada Kak Diah sekeluarga?”

Mak Diah terkejut. Nada suara Tauke Liew yang lirih, meruntun hatinya. “Allahuakbar... Tauke tak ada salah langsung dengan Kak Diah. Malah, saya yang banyak terhutang budi dengan tauke. Tolonglah ceritakan pada Kak Diah, tauke. Apa yang anak-anak Kak Diah dah buat sampai tauke mengamuk macam ni?”

Tangisan Emili makin rancak. Dia terlalu menyayangi mereka berdua. Baik Mak Diah mahupun papanya... dua-dua dia sayang. “Pa... Mak Diah tak bersalah...”

“Diam!” tengking Tauke Liew pada Emili hingga terkejut gadis itu. Emili segera memeluk tubuh Mak Diah. Terluka...

“Tauke... kalau yang salah tu anak saya, janganlah dimarahi Mili ni...”

“Mengapa anak Kak Diah hasut anak saya tinggalkan agama kami? Saya percayakan keluarga kakak... tapi saya tak sangka. Dalam diam, anak saya dihasut! Saya tak sangka dia sanggup tinggalkan keluarga kami semata-mata cintakan anak Kak Diah!”

Kenyataan yang keluar daripada mulut tauke Liew benar-benar mengejutkan Mak Diah. Terlerai pelukan dia di tubuh Emili. Wajah Emili dipandang lama. “Betul ke apa yang papa kamu cakap tu, Mili?”

Emili mengangguk perlahan. Wajahnya lencun dengan air mata. Bibirnya tidak mampu untuk terus berkata-kata. Esakannya makin menjadi-jadi.

“Kalau tak betul takkan saya nak mengamuk macam ni, Kak Diah? Saya dah kehilangan satu-satunya anak perempuan saya...” Tauke Liew tertunduk sebak. Satu-satunya anak perempuan yang dia ada kini sudah meninggalkan dirinya. Demi cinta...

Mak Diah terus bungkam. Lidahnya menjadi kelu. Mata tuanya memandang dua beranak itu silih berganti.

“Mili... adakah sebab cinta... kamu tak mahu ikut jejak langkah abang-abang kamu ke menara gading?”

Soalan Tauke Liew terus mengunci bibir Mak Diah yang baru hendak berkata sesuatu.

Wajah Emili yang masih menangis Mak Diah pandang dengan rasa kasihan. Pasti gadis ini terlalu kecewa. Sebelum ini, dia ditatang bagai minyak yang penuh. Tiba-tiba hari ni dimaki hamun oleh papanya sendiri. TUHANKU... dugaan apa yang kau turunkan padaku kali ini?

“Jawablah dengan jujur soalan papa, Mili. Kerana... ini kali terakhir papa berada di sini sebagai papa kamu. Sebaik saja papa melangkah keluar dari rumah ni, papa bukan lagi papa kamu, Mili.” Tauke Liew mula sebak.

Persoalan yang sebelum ini bermain di fikirannya bagaikan sudah terjawab. Sebelum ini, dia cukup pelik apabila prestasi pelajaran Emili tidak secemerlang abang-abangnya sedangkan sudah banyak guru-guru yang diupah untuk mengajar Emili. Namun, hanya cucup-cukup makan saja keputusan Emili. Malah, untuk menarik minat anaknya belajar, Tauke Liew sanggup membiayai Maira, anak bongsu Mak Diah untuk sama-sama belajar dengan Emili memandangkan mereka sebaya dan agak rapat.

Rupa-rupanya selama ini anaknya galak bermain cinta. Lebih mengejutkan pemuda itu sangat dikenali dan disayanginya! Harapkan pagar... pagar makan padi! Patutlah sejak keberangkatan Fahim, Emili tidak tentu arah. Tauke Liew menggeleng kesal.

Emili berat hati untuk mengaku. Kesedihan yang terpamer di wajah papanya membuatkan dia masih tidak berani mahu berkata apa-apa. Hanya tangisannya yang masih kedengaran. Langsung tidak kering air matanya tika itu. Malah, hujung lengan baju panjangnya sudah basah lencun. Hujung baju yang digunakan untuk mengesat air mata dan hidungnya.

“Jawablah, Mili... atau Mili memang suka papa mati?” gertak Tauke Liew, garang.

“Papa! Maafkan, Mili... maafkan Mili, papa... papa tetap papa Mili walaupun kita berbeza agama! Tolonglah percaya cakap Mili, papa... Mili sayangkan papa. Mili...” Entah berapa puluh kali Emili asyik mengulang dialog yang sama.

“Sayangkan papa, tapi lebih cintakan dia? Betul, kan?”

Emili tergamam. ‘Papa tetap papa... mana mungkin sayang untuk papa dikongsi dengan sesiapa...’ bisik hati Emili.

“Kak Diah... tolong jaga dia baik-baik. Anggaplah dia seperti anak Kak Diah sendiri. Kak Diah... tolong pesan pada Mat, saya rayu agar dia tidak mensia-siakan Mili... Saya yakin cinta dia pada anak kakak begitu ikhlas hingga dia sanggup membuang keluarga yang membesarkan dia selama ni. Mili... hidup baik-baik. Semoga Mili bahagia dengan jalan yang Mili pilih,” ujar Tauke Liew dalam nada sebak.

Seketika wajah anak tunggal perempuannya direnung dengan perasaan sedih sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah Mak Diah. Keluar tanpa berpaling walaupun Emili meraung-raung memanggil namanya.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.