Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
97,940
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 15

EMILI termenung di ruang tamu rumahnya yang besar. Sepi. Wajahnya sudah seminggu tidak ceria. Jarinya dari tadi asyik menekan-nekan punatremote TV. Dah berbelas saluran TV dibuka, tapi semuanya tidak menarik perhatian.

“Kalaulahremote tu meletup...”

Emili terus menoleh. “Papa!”

Tauke Liew tergelak kecil. Wajah terkejut Emili menggelikan hatinya. Lambat-lambat dia berjalan ke sofa di sebelah Emili.

“Bila papa balik? Tak dengar pun bunyi kereta?” tanya Emili sambil menenyeh mata. Rambut pendeknya yang kusut-masai gara-gara tidak disikat, dirapikan dengan jari.

“Baru aje. Papa naik teksi tadi sebab tu kamu tak dengar bunyi kereta,” jelas Tauke Liew sambil menghulur tangan pada Emili. Fokus matanya padaremote di tangan Emili.

Faham dengan isyarat itu, Emili segera menghulurkanremote TV. Wajahnya masihblur dengan tanda tanya. Tak pernah papanya naik teksi tiba-tiba hari ni naik teksi pulak.

“Kenapa pulak papa naik teksi? Kereta papa mana? Abang Seman hantar ke bengkel ke?”

Tauke Liew pelik dengan soalan bertalu-talu anaknya itu. “Laaa... salah ke papa naik teksi?”

Emili mencebik. Geram bila soalannya tidak dijawab sebaliknya dibalas dengan soalan semula. “Salah tu, tidak... tapi macam tak percayalah pulak. Papa mana pernah naik teksi sebelum ni? Kereta papa mana?”

“Adalah...”

“Ada tu kat mana?”

“Mana-mana aje...” Tauke Liew tahan perutnya yang gendut itu. Sengaja hendak mengusik anak gadisnya yang sudah terlupa cara-cara hendak senyum.

Mata Emili yang sepet itu makin mengecil. “Elok sangatlah buat muka herot-herot macam tu. Kalau nak gelak tu... gelak ajelah... buruk tau pa, perut yang gendut tu bergetar-getar!”

Meletus ketawa Tauke Liew. Tak jadi nak kontrolmacho. “Eleh... muka dia tu lagilah teruk. Mengalahkan jeruk masam aje. Kalau papa iklankan muka kamu sekarang ni... dijamin tak laku punya! Tak ada orang nak ambik buat bini!”

Emili laju-laju menjengah cermin besar di ruang tamu itu. Ditilik wajahnya rapat-rapat ke cermin itu. “Besarnya lingkaran gelap bawah mata! Rambut macam hantu Kak Limah! Jerawat ni bila naik?! Satu... dua... tiga... hah?! Lima biji! Arghh! Macam mana aku boleh tak perasan ni?” jerit Emili bagaikan orang tersampuk jin melihat muka sendiri. Wajah yang telah diabaikan gara-gara hati yang penasaran memikirkan masalah ‘jiwa’.

Tauke Liew tayang muka selamba. Jeritan Emili tidak diendahkan meskipun anak gadisnya memberontak di hadapan cermin besar itu. Dibiarkan sahaja Emili melayan perasaan sorang diri. Matanya difokuskan pada filem lakonan Jackie Chan di kaca TV.Volume TV itu juga turut dikuatkan untuk melenyapkan suara nyaring Emili.

“Papa!”

Tauke Liew mengekek ketawa melihat adegan lucu Jackie Chan dan Chris Tucker dalam filem Rush Hour 3. Panggilan Emili tidak diendahkan.

Emili hentak kaki kuat-kuat. Protes! ‘Hisy! Sajalah tu nak cari gaduh!’ rungut hati Emili. Laju langkahnya menuju ke plug TV.

Pap! Serta-merta TV LED 52’ itu gelap.

“Ini sabotaj! Mana aci kacau papa tengok TV!” marah Tauke Liew. Wajah cemberut anaknya tidak dilayan.

“Papa lagi sayangkan Jackie daripada Mili ke? Mili panggil dari tadi papa buat tak tahu aje...” muncung Emili panjang sedepa. Merajuk!

Tauke Liew tergelak kecil. Ditepuk-tepuk sofa berangkai tiga yang empuk itu. Bahasa tubuhnya memanggil Emili supaya duduk di sebelahnya.

Emili akur. Tetapi muncung itiknya masih kekal begitu.

“Papa mintak maaf. Sengaja papa buat tak reti...” Jujur Tauke Liew mengaku salah.

Buntang mata sepet Emili.

“Bukan apa... meluat pulak papa tiap-tiap hari balik tengok muka Mili macam cekodok basi aje. Ajak borak, Mili tiba-tiba tak reti bercakap. Ajak keluar makan, tiba-tiba aje Mili jadi orang kebal yang memang tak makan apa-apa. Ajakshopping pun, Mili buat tak tahu. Jadi, salah ke papa buat-buat pekak bila Mili panggil?” sambung Tauke Liew lagi. Keningnya diangkat-angkat.

“Papa!”

“Eh, tiba-tiba Mili dah boleh bercakap!”

“Eeii... papa ni!”

Tauke Liew ketawa kuat. Baru terasa kehadiran anak kesayangnnya di rumah besar itu. Rumah yang hanya dihuni mereka berdua makin sunyi bila Emili tiba-tiba melancarkan mogok bercakap. Entah sebab apa anaknya berubah laku. Itu yang membuatkan dia pelik.

Emili menongkat dagu. ‘Nak marah... bapak! Tak marah... sakit hati! Hisy!’ Hatinya merungut tak puas hati. Papanya yang masih ketawa hingga berair matanya dijeling sekilas.

“Okey! Papa dah habis ketawa,” ujar Tauke Liew dengan ketawa yang masih bersisa.

“Tu ada lagi sikit-sikit... habiskan dulu...”

Tauke Liew terus pekup mulutnya.

“Hmm... tau pun...” Tersengih Emili. Kemenangan kembali berpihak padanya. Papanya memang seorang yang kelakar dan pandai mengambil hati. Jarang sekali papa memarahi mereka adik-beradik. Malah, didikan yang diberikan oleh papa penuh dengan kasih sayang. Tegas dalam sayang. Itu yang diamalkan oleh papanya. Meskipun kadang-kadang sikapnya boleh mencabar kesabaran papanya, tetapi lelaki yang banyak berjasa itu masih melayannya dengan baik.

“Saja bagi peluang. Nanti kalau papa tak bagi peluang Mili menang, merajuk pulak. Dahlah tak lawa... buat muka itik tu... lagi tak lawa...” giat Taule Liew menyakat anak gadisnya.

“Tak lawa pun sebab papa tak hensem... perut pun boroi... ada hati minat dekat Beyonce... sekali Beyonce buat perut papa jadi gendang aje...”

“Ah... sudah-sudah! Apa kena papa pulak? Kita ni punyalah ramai peminat, dia boleh kutuk macam tu pulak. Dahlah tak ada boyfriend, lepas tu tak nak jaga kecantikan diri pulak. Tengok muka dengan rambut serabut macam ni... hisy! Hantu Cina pun malu nak mengaku Mili tu hantu tau tak?”

Emili buat-buat bodoh. Tak lut langsung dengan kritikan tidak membina papanya. Bukan apa, dia sudah terbiasa begitu. Siapa lagi yang nak dibawa bergurau kalau bukan papanya sendiri? Maira? Dah jauh melangkau negeri. Malah, gadis itu juga sedang sibuk dengan tugasan. Hati pula sedang merana menanggung rindu...

“Mili...”

Emili menoleh. Papanya tersenyum. Dia pula bagaikan tidak reti untuk tersenyum. Hatinya kini... keluhan berat terbit di bibir nipis itu.

“Ceritalah... papa sudi dengar.”

“Mili sayang papa...” tubuh papanya segera diraih ke dalam pelukannya. Tiba-tiba dia rasa beruntung mempunyai papa yang sungguh penyayang dan mengambil berat. Papanya cepat menangkap setiap perubahan pada dirinya.

“Okey... okey! Papa tahu Mili sayang papa. Papa tahu papa hero nombor 1 Mili. Cepatlah cerita! Papa dah tak sabar nak tahu apa punca anak papa tiba-tiba menjelma macam hantu ni... hantu apa dalam cerita Melayu tu?”

“Hantu Kak Limah...”

“Hah! Hantu tulah! Cuma comel sikit ajelah... sikit aje, tak banyak.”

Emili mencebik. “Papa nak dengar cerita Mili ke... papa nak kutuk Mili?”

Menyeringai senyuman Tauke Liew. Rajuk anaknya cukup menghiburkan hati. Comel! “Okey... papa dah sedia! Ceritalah...”

“Tapi, papa janji... papa tak kutuk atau gelakkan Mili?” Berdebar-debar hati Emili. Sudah lama dia pendam. Hari ini, dia sudah tidak mampu memendam lagi. Sebelum ini, tiada rahsia antara dia dengan papanya. Cuma yang satu itu... Mata Emili dipejam seketika. Nafas ditarik dalam-dalam.

“Macam serius aje? Okey, cepatlah cakap! Papa akan tadah telinga macam selalu.”

“Papa janji tak marah Mili?”

“Okey, papa janji.”

“Papa janji tak pukul Mili?”

“Apa ni... mukadimah meleret-leret. Cepatlah cerita!”

“Mili...”

“Apa?”

“Dengarlah! Jangan menyampuk, pa...”

“Opss! Okey, okey... Mili apa? Teruskan. Papa tahu anak papa normal. Tak gagap-gagap.” Tauke Liew terus membetulkan duduknya. Kaca mata tebal yang hampir melorot pun dibetulkan agar terletak elok di batang hidungnya.

Emili tarik nafas panjang-panjang. Dihembuskan pula dengan tenang. “Mili nak masuk Islam...”

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.