Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
97,923
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2

Harum tumisan bawang, belacan dan cili semerbak memenuhi ruang dapur rumah Mak Diah. Dapur yang sederhana besar. Hanya berlantaikan simen dan berdindingkan papan yang berlubang beberapa tempat. Ada yang sudah ditampal dan ada pula lubang yang baru muncul gara-gara anai-anai yang mula melata di dinding usang itu.

Kelentang-kelentung bunyi kuali berlaga dengan sudip besi. Kuali itu pun sudah senget-benget. Barang lama. Tetapi tetap menjadi kesayangan Mak Diah meskipun Kak Murni sudah membeli set kuali dan periuk baru. Mak Diah masih tekun mengacau bahan tumisan. Dimasukkan pula sayur kangkung. Dikacau lagi hingga sebati dengan ramuan tumisan tadi. Lebih kurang lima minit, kangkung goreng belacan sudah siap dimasak.

“Laa... kat sini rupanya Mak Diah...” tegur Emili yang muncul di muka pintu dapur.

“Bapak kau terjun!” Mak Diah melatah. Dadanya diurut perlahan. Terkejut sungguh!

Wajah Emili menyeringai. Tangannya diangkat lalu dicantumkan dan dibawa rapat ke dada. “Ampun! Ampun Mak Diah!”

“Hisy, budak ni... buatnya Mak Diah kena serangan jantung, tak pasal-pasal pergi macam tu aje... bukan nak bagi salam!” marah Mak Diah. Semangatnya dikutip kembali.

Emili tarik muka pelik. “Lah! Mak Diah juga cakap Mili tak boleh sesuka hati aje sebut salam orang Islam tu... nanti jawabnya lain...”

“Yalah... maksud Mak Diah, salam sejahtera ke, selamat tengah hari ke... ini main muncul aje. Dahlah jalan tak bunyi tapak kaki langsung. Maunya Mak Diah tak terkejut. Kalau Maira tu, dia tak bunyi suara... tapi dengar dia jalan pun Mak Diah dah tahu orang datang.” Panjang bebelan Mak Diah. Kangkung goreng belacan yang dah siap dimasak tadi terus dimasukkan ke dalam mangkuk lalu dibawa ke meja makan.

“Yalah... Mili mintak maaf. Lepas ni, Mili jerit macam tarzan eh? Yang Mak Diah pun satu. Nak bandingkan Mili dengan Maira memanglah macam langit dengan bumi. Tengoklah saiz dia tu macam mana. Kalau jalan boleh bergegar rumah Mak Diah ni... apa daa...” omel Emili siap menunjukkan gaya badan Maira yang bertubuh gempal dan dia yang bertubuh kecil molek.

Mak Diah menggeleng. Ragam Emili sudah dihafal. Entah mengapa hatinya terpaut dengan keramahan gadis Cina itu. Sudah bertahun-tahun gadis itu rapat dengan keluarganya. Malah, sudah dianggap seperti anak sendiri. Semuanya sejak dia bekerja dengan Tauke Liew 10 tahun lalu. Apatah lagi Maira dan Emili rakan sebaya dan pernah belajar sekelas. Makin rapatlah mereka sekeluarga dengan gadis itu.

“Eh! Eh! Apa kena dengan kamu ni, Mili?” tanya Mak Diah, pelik.

Emili asyik mengekor di belakang Mak Diah. Mak Diah ke dapur, dia ke dapur. Mak Diah ke meja makan, dia pun ke meja makan.

“Alah, Mak Diah ni...”

“Itu tak lain tak bukan nak tanya pasal kembar dialah tu?” teka Mak Diah.

“Tau-tau aje Mak Diah ni. Maira ada telefon Mak Diah tak? Mili telefon, dia tak jawab. Mesej pun tak balas...” adu Emili. Manja saja gayanya. Lengan Mak Diah dirangkul. Kepalanya lentok di bahu Mak Diah. Rindunya pada mendiang ibu terubat dengan adanya Mak Diah yang sudi menghulurkan kasih sayang.

“Hmm... dia sibuk agaknya tak? Dekat Mak Diah pun dia tak telefon. Nanti Mak Diah mintak Kak Murni hantar mesej pada dia,” pujuk Mak Diah. Rambut paras bahu gadis itu, Mak Diah belai lembut.

“Ke Maira takde duit? Nanti petang Mili pergi bank-inpada dia ya?”

“Hisy, kamu ni! Sudah-sudahlah tu... simpan duit kamu tu. Mak Diah tak mahu kamu manjakan sangat si Maira tu. Dah berlebih-lebih kamu belanja dia masa dia nak masuk universiti dulu. Kan anak-anak Mak Diah dah kerja? Biarlah kakak dengan abang dia yang sara dia. Mili tak payah susah-susah macam ni. Segan Mak Diah...” lirih suara Mak Diah. Bukan apa, dia malu. Sudah banyak budi yang gadis itu dan papanya hulurkan. Bukan sedikit, tapi sudah tak terbalas!

“Alah, Mak Diah ni... habis Mili ni bukan anak Mak Diah juga ke? Apa salahnya Mili tolong kembar Mili tu... tapi kalau Mak Diah nak jadikan Mili calon menantu pun boleh... Mili sudi...” Mili tertunduk malu. Wajahnya merona merah. Bucu kardigan labuh yang dipakai, dipintal-pintal dengan wajah malu-malu kucing.

Mak Diah mengekek ketawa hingga juring matanya berair. Terhinggut-hinggut badannya yang sederhana gempal itu. “Allah...agak-agaklah nak melawak pun Mili oi...”

Emili mencebik. “Mak Diah tak suka ke Mili jadi menantu Mak Diah?”

“Bukan tak suka... tapi...”

“Mili tak cukup cantik ke? Penat Mili makansuplemen.

“Cantik! Mili memang cantik... tapi...”

“Sebab Mili ni berlainan agama?”

Mak Diah kelu lidah. Dahinya berkerut. “Kamu betul ke nak jadi menantu Mak Diah ni? Kamu dengan Abang Im kamu tu betul-betul bercinta ke atau jadi adik angkat saja?”

Terangkat kening Mili. Hampir tersedak dibuatnya. “Adik angkat?!”

“Yalah... bukan ke kamu dengan Abang Im kamu tu rapat dari zaman sekolah lagi? Bercakap pun Mak Diah tengok jarang sangat. Apatah lagi nak bergurau senda. Bila masa pulak kamu berdua ni bercinta? Hisy! Pelik aku budak-budak sekarang ni...” omel Mak Diah. Hatinya dipagut curiga.

“Kalau betul kami bercinta... Mak Diah suka tak Mili jadi menantu Mak Diah?” Emili cuba memancing reaksi. Hatinya turut berdebar-debar.

“Ada-ada ajelah kamu ni, Mili... dah jom makan sekali dengan Mak Diah. Kamu tak makan tengah hari lagi, kan? Hari ni, Mak Diah masak awal sikit sebab petang nanti Kak Murni kamu ajak ke bandar.” Mak Diah lekas-lekas mengalih topik. Bukan tidak sudi bermenantukan Emili, tapi banyak benda yang harus dipertimbangkan. Dia harus fikir masak-masak. Gadis itu juga sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

Mak Diah pandang Emili dengan ekor mata. ‘Ah! Dia gurau aje tu, Diah oi... masa bila pulak Im bercinta dengan Mili? Tak nampak macam orang bercinta pun,’ omel Mak Diah dalam hati.

Emili diam. Suapannya perlahan. Kangkung goreng belacan dikunyah lambat-lambat. Reaksi wajahnya nampak tenang, tetapi di hatinya bertingkah hebat memarahi Fahim.

‘Itulah nak sangat bercinta rahsia! Kalau cakap dari awal kan senang nak mintak tolong Mak Diah? Ni mati-mati Mak Diah tak percaya aku dengan anak dia bercinta! Dua bulan lagi, Mili! Dua bulan lagi dia nak terbang jauh beribu batu!’

“Mili? kamu ni kenapa?” tegur Mak Diah bila Emili tiba-tiba membisu seribu bahasa.

Emili menggeleng laju. “Tak ada apa-apa. Tengah menghayati kangkung goreng belacan ni. Macam sedap je... macambest je...” usik Emili sambil mengedip-ngedipkan matanya. Senyumannya digulakan agar tampak manis.

“Hmm... makanlah, nak. Nanti sejuk nasi tu,” ujar Mak Diah. Dia diterpa rasa pelik, tapi dipendamkan saja. ‘Terasa hati ke?’ soal Mak Diah di dalam hati.

Emili akur. Ditelan juga nasi berlauk kangkung goreng belacan dengan ikan kembung goreng. Lauk yang cukup ringkas. Tapi, penangan air tangan Mak Diah yang penuh kasih sayang membuatkan Emili makan dengan berselera. Tak perluchopstik. Tak perlu mangkuk. Emili senang dengan hidangan di atas meja itu. Makan dengan tangan. Masakan kampung yang ringkas. Emili sudah terbiasa. Malah, dia lebih banyak menikmati masakan Melayu daripada masakan Cina. Dalam leka mengunyah, otak Emili ligat berfikir.

“Mak Diah... kalau betul-betul Mili jadi menantu Mak Diah macam mana?”

Mak Diah terus tersedak. Terbatuk-batuk Mak Diah hingga berair matanya. Air suam diteguk berulang kali hingga hilang perit di tekak. Wajah Emili yang penuh berharap dipandang.

“Gurau ke betul-betul ni?”

“Kalau betul-betul macam mana?”

Previous: BAB 3
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.