Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
97,942
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 10

STESEN bas Shahab Perdana, Alor Star sesak malam itu. Emili, Mak Diah dan Kak Murni duduk di bangku sambil menunggu Maira membuat pengesahan tiket bas di kaunter.

“Papa kamu tahu tak kamu ke sini, Mili?” Penuh prihatin Mak Diah bertanya.

Emili mengangguk laju. “Tahu! Tahu! Lagipun papa memang tahu anak perempuan kedua dia balik ke sini. Papa suruh balik naik kapal terbang esok pagi, dia tak nak...” adu Emili dengan rajuk kecilnya. Rasa sayang pula hendak melepaskan Maira balik ke kampus. Masih banyak benda yang dingin dikongsi dengan temannya itu.

Mak Diah dan Kak Murni saling berpandangan. “Alahai... hangpa dua ni... buat Alor Setar dengan Shah Alam tu macam jiran aje. Bulan ni aje dah berapa kali si montel tu balik. Banyak duit habis tu. Janganlah manjakan dia sangat, Mili. Nanti bertambah-tambah lemak pulak dia... dah tak fokus pada studi,” bebel Kak Murni pada Emili. Dia tahu, itu semua kerja Emili yang menyogok adiknya supaya pulang. Malah, semua perbelanjaan itu ditanggung oleh Emili. Puas dilarang, gadis itu tetap sama. Sehari dua menurut, hari ketiga dah lupa!

Emili mengedip-ngedipkan mata sepetnya yang tidak lekang dengan bulu mata palsu. Kanta lengkap ala-ala gadis Korea juga sentiasa melekap di kornea matanya. Jari-jemari Emili sudah membuat isyarat ‘Gyiyomi’.

“Tak payah nak Gyiyomi sangat! Menyampah aku... bila kita marah buat tak tahu aje... mak tengoklah anak dara mak yang sorang ni!” bentak Kak Murni geram. Tubuhnya segera dipalingkan. Merajuk!

Mak Diah hanya ketawa sambil menggelengkan kepala. Keletah Emili ada saja yang mencuit hati. Jika dimarah atau dibebel, itu sajalah modal dia untuk menyejukkan hati orang. “Yalah... mak sokong kata Kak Murni kamu tu, Mili. Sudah-sudahlah tu kamu membela si Maira. Biar dia fokus pada pelajaran pulak. Ni kalau tiap-tiap minggu balik, bila nak belajar? Duduk di rumah pun asyik berborak aje...”

“Pergh! Pertama kali ‘bola boling’ makstrike! Tepat! Padu! Bluek! Padan muka kau kena marah...” Kak Murni menjelirkan lidah pada Emili yang masih tayang muka comel.

“Eleh, kalau dia tak balik... Mili pergi sana! Habis cerita!” Emili tak mahu mengalah. Dengan perasaan geram, tudung bawal Aidijuma yang terlilit kemas di kepala Kak Murni ditarik hingga senget. Muncung tudung yang gagah mendongak langit tadi sudah hilang. Senget seperti gaya tudung yang sering dipakai oleh Mak Ton ketika menyampaikan cerita-cerita panas di kampung.

“Mak!”

Emili segera menyembunyikan diri di belakang tubuh Mak Diah. Bibirnya tersenyum lebar. Puas! Selalu sangat Kak Murni membebel pada mereka berdua. Kali ni, wajah cengil itu bertukar masam mengalahkan cuka!

“Ni apa hal pulak muka macam tempoyak basi ni? Adik nak balik kampus aje pun... bukannya nak pergi menetap di UK macam abang. Yang kakak nak cemberut beria ni dah kenapa? Karang elok-elok ada pakwe kat sini dok usha baik punya... terus tak jadi nak buat bini!” Maira yang muncul tiba-tiba terus membuat ‘servis’ yang tak dirancang!

“Yahoo! Ini baru betul-betul kembar lain mak, lain bapak. Padu kau paku Kak Murni weh! Baru dia tahu penangan kita.Nak tambah sikit aje lagi... jangan jadi andartu terlajak macam Mak Ton, ya kakakku yang cantik jelita... macam Mak Ton!” tanpa belas, Emili terus memaku rapat Kak Murni yang gigih meniup muncung tudungnya supaya tegak seperti mula-mula datang.

Mata Kak Murni mencerlung ke arah mereka berdua. Belum sempat dia membalas kata-kata pedas Emili dan Maira, Mak Diah terlebih dahulu masuk campur.

“Sudahlah tu... malu aje orang tengok. Dah besar-besar pun nak bergaduh. Macam budak-budak!”

Makin masam muka Kak Murni. Kali ini, asam kecut pun kalah! “Mak asyikback-up budak dua orang ni, sebab tu makin menjadi! Eeii... sakitnya hati!”

“Sabar, kak! Nah, makan Chewable Vitamin C ni dulu. Eh, kejap-kejap... untuk belajar membalas servis tahapstrike kami berdua ni... akak kena makan Omega Guard. Ini bagus untuk pembentukan DHA supaya saraf-saraf otak akak tu dapat berhubung dengan baik. Barulah boleh membina daya pemikiran yang kreatif dan kiritis macamteddy bear saya ni!” bahu Maira, Emili tepuk-tepuk dengan manja. Beria-ia dia mempromosikan suplemen yang dijualnya. Beg tangan jenama Gucci yang sebesar akhbar Sinar Harian itu rupa-rupanya menyimpan banyak khazanah perniagaan MLMnya.

Maira tepuk dahi. Mak Diah ternganga. Kak Murni pula melopong bila melihat Emili mengeluarkan beberapa botol produk suplemen dari beg tangannya.

“Kau ni, Mili! Tak boleh ke cuti kejap daripada berniaga MLM kau ni? Hisy!” rungut Maira. Pagi tadi, Emili menggesa dia supaya menemaninya ke rumah Ustazah Arbaiyah. Dia bermati-matian fikirkan Emili mempunyai soalan yang penting untuk diajukan pada ustazah, rupa-rupanya... nak bagi suplemen pada ustazah hanya kerana ustazah pernah mengadu sakit-sakit lutut dan tak berapa cergas.

“Hah... nilah bisnes! Mana boleh tunggu-tunggu. Kalau ada peluang, jangan lepaskan. Alah... ni kau punya! Itu yang aku usung penuh beg ni. Nah, ni alfalfa untuk nyah-toksin dalam badan kau yang dah macam bini Shrek ni. Omega Guard ni untuk otak. Nanti senang kau nak studi. Lagi satu, Omega Guard ni juga bertindak sebagai pemecah lemak. Makan sama-sama dengan Lecithin ni untuk bakar lemak kau dan kawal kolesterol. Tak kurus macam aku pun takpelah asalkan kolesterol dalam badan kau terkawal.

Lagi satu, kau tu kalau tengah studi nanti confirm mulut tak berhenti mengunyah punya. Jadi, kalau kau makan makanan berat-berat dah tak risau sangat dah pasal kolesterol kalau... kau telan Omega Guard dengan Lecithin ni. Lemak-lemak berlebihan tu nanti akan terus dibakar. Dan jangan lupa! Sila bersenam ya? Tak payah naik bas... jalan kaki aje pergi kelas! ESP ada lagi, kan? Kalau dah habis, bagitahu nanti aku pos aje...” Ceramah kesihatan Emili mati di situ apabila ketiga-tiga wanita di hadapannya memandang tanpa berkedip mata.

Emili pandang kiri dan kanannya. Kemudian, dia menoleh ke belakang pulak. Pelik... apa yang dia orang tengok?

“Helo? Nampak hantu ke?” tanya Emili.

“Dahsyatnya dia buat MLM, mak... adik pulak jadi bahan ujikaji dia semata-mata nak dapatkan testimoni untuk pelanggan...” bisik Maira pada Mak Diah dan Kak Murni yang terkelu lidah mereka.

“Amboi-amboi! Mengata akulah tu, kan? Tengoklah nanti kalau aku dah naikranking jadi Top Master! Baru terbeliak mata kau, Maira! Masa tu, baru kau dapat sinar hidayah nak makan suplemen aku ni.” Emili mula merajuk. Botol-botol suplemen tadi diikat kemas untuk disumbat ke dalam beg galas Maira.Tingkahnya terhenti bila bahunya tiba-tiba dicuit.

“Eh, adik ni ejen suplemen ke?”

“Ya saya. Kakak pun pengguna suplemen ni ke?” Mata Emili bersinar-sinar. Teruja!

“Alhamdulillah! Sukanya! Akak memang pengguna produk ni. Kebetulan akak memang tengah cari suplemen Omega Guard. Adik ada stok lagi tak? Akak sebenarnya nak travel ke Hatyai ni. Bas sampai kejap lagi. Tapi tulah, Omega Guard akak tertinggal pulak. Ada lagi takready stok adik?” Wanita itu pandang Emili dengan wajah mengharap.

Cara wanita itu dan Emili berbual mengenai produk suplemen mereka makin membuatkan tiga orang wanita itu ternganga. Mana tidaknya, pasal suplemen saja boleh borak macam sudah kenal bertahun-tahun.

Emili pula dengan senang hati melayan. Semua suplemen yang sepatunya dibekalkan untuk Maira, kini bertukar tangan kepada pembeli baru. Dalam sepuluh minit berceloteh itu ini, dan promosi yang cukup mengujakan hati wanita yang baru dikenalinya, Emili berjaya memperoleh pelanggan baru. Kad bisnes bertukar tangan. Beberapa keping not 50 dilayangkan ke muka Maira, Mak Diah dan Kak Murni.

“Senang macam tu aje kau buat duit?” Terpacul soalan daripada bibir Kak Murni yang sejak tadi melopong.

Emili hanya mengangkat kening. Berlagak! Emili terus membetulkan postur badannya supaya tegak. Dia berdeham beberapa kali untuk membetulkan suaranya supaya kedengaran meyakinkan. Maira pula pandang tajam riak wajah Emili. Dia tahu apa yang sahabatnya ingin lakukan.

“Tuan-tuan dan puan-puan ya... insan yang cemerlang datangnya dari akal, hatinya tenang, jiwanya bersih! Kejayaan takkan datang bergolek ya, puan-puan... Usaha tangga kejayaan. Tak usaha, tak ada duit. Bila tak ada duit, jangan dengki dengan orang yang ada duit sebab mereka yang berduit berusaha keras untuk memperoleh duit... Aaa... doi! sakitlah!”

Puas hati Maira dan Kak Murni dapat mencubit pipi gebu Emili. Jari montel Maira mencubit pipi kanan Emili manakala jari runcing Kak Murni mencubit pipi kirinya pula.

“Nak sangat ikut Johan ajuk cakap Dr. Fadzilah Kamsah kan? Mulut ni... kalau dapat rezeki tu jangan riak. Jangan menunjuk-nunjuk...” bebel Maira sebelum melepaskan cubitan di pipi Emili.

Kak Murni pula mengangguk laju. Kali pertama untuk hari ini, dia bersetuju dengan cakap adiknya tanpa waswas. Mak Diah sudah malas hendak masuk campur. Biarlah... gurau senda itu yang merapatkan mereka sekeluarga.

Emili mengurut-urut pipinya yang berasa sengal. “Sakit tau tak! Sorang tangan macam raksasa! Sorang lagi macam mak tiri! Habis pipi I yang gebu ni... nak kena sapu kolagen bagi tegang balik. Inilah orang yang dengki. Baru aje bagi ceramah...” Mulut becok Emili terus terkunci rapat bila Maira menunjukkan tanda-tanda mahu mencubitnya lagi.

“Tau takut...”

“Bukan takut... risau. Nanti pipi aku cacat Abang Fa...” Bagaikan tersedar bibirnya hampir terlanjur berkata-kata mulut itu membisu kembali.

Maira jegil matanya. Mak Diah dan Kak Murni pandang pelik. Belum sempat dia disoal siasat, keadaan diselamatkan oleh pengumuman yang dibuat oleh kaunter bas yang akan dinaiki oleh Maira.

Emili tarik nafas lega. Wajahnya dimaniskan. Mujurlah perhatian Kak Murni dan Mak Diah kini beralih pada Maira. Wajah Maira nampak sugul tiba-tiba. Kampus masih menanti. Keluarga mula dirindui. Emili berpelukan dengan Maira. Lama. Sempat Maira berbisik pada telinga Emili.

“Jangan lupa... aku letak CD al-Quran dan tafsir dekat dalam laci almari baju kau. Mulai malam ni, dengarlah CD tu. Moga kau temui jawapan yang kau cari. Jangan asyik nak berniaga aje, misi dan visi kau terus terlupa pulak.”

“Okey. Aku ingat...” balas Emili dalam nada berbisik juga.

“Minggu depan adik balik lagi. Mak janganlah sedih, ya?”

“Tak sedih pun... mak lagi suka kau tak ada di rumah. Jenuh asyik nak kena masak makananfavourite kau aje,” bidas Kak Murni.

Emili dan Maira mencebik. “Jeles!” Serentak juga sepatah kata itu terbit daripada bibir mereka berdua.

“Sudahlah tu! Asyik nak bertekak. Jangan lupa pulak balik minggu depan. Karang terlepas kenduri doa selamat untuk abang kamu nak ke UK,” pesan Mak Diah lagi.

“Yalah mak... adik ingat! Alah, kalau tak balik pun, adik boleh aje tunggu di KLIA hari abang berlepas nanti.”

Mak Diah menggeleng. Tangannya laju mencubit pipi montel Maira. “Ada saja jawapan dia. Dah, pergi naik bas tu. Orang semua dah naik tu. Nanti terlepas bas pulak!”

Maira mencicit lari ke arah bas yang sudah membunyikan hon beberapa kali sebagai isyarat untuk bergerak.

Previous: BAB 9
Next: BAb 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.