Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
109,154
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

“TAK MUNGKIN....” Doktor Hazim terkebil-kebil memandang sekelilingnya. Dia berada di tengah persimpangan empat di koridor kaki lima itu. Terpusing-pusing dia di situ tak pasti arah mana yang harus dituju. “Aku dah sesatkah?” dia bertanya sendiri. Sudahlah tiada sesiapa di situ ketika itu.

“Eh, sesatkah?”

Doktor Hazim terperanjat mendengarkan suara seorang gadis dari belakangnya. Pantas dia berkalih. Kelihatan seorang gadis muda sedang tersenyum manis memandangnya. Tenggelam seketika dia dalam pandangan mata bundar gadis itu. Dia diam tak pasti bagaimana untuk berbicara.

“Doktor Hazim....” gadis itu membaca tag namanya. Tersentak dia bila namanya disebut gadis itu. Kelam kabut dia membetulkan dirinya. Kini dia berdiri betul-betul menghadapkan seluruh badannya menghadapi gadis itu.

“Ahh ya?” hanya itu terluah dari mulut Doktor Hazim. Dia masih lagi kaget dengan kemunculan gadis itu.

“Tadi doktor kata doktor sesat. Doktor nak ke mana?” tanya gadis itu prihatin. Senyuman manis masih bermain di bibirnya. Entah mengapa, dia senang melihat keletah doktor di hadapannya itu yang tampak sedikit kelam kabut dan menggelabah.

“Saya nak ke bilik Doktor Yamin tapi.... saya dah tak tahu pulak saya ada dekat mana sekarang,” beritahu Doktor Hazim jujur.

“Oh, Doktor Yamin.... kebetulan pulak! Saya pun memang nak ke sana jugak. Jomlah kita pergi sekali,” ajak gadis itu.

“Oh yakah? Baguslah macam tu. Terima kasih ya cik....”

“Nana! Panggil saja saya Nana,” beritahu Auni Liyana masih lagi tersenyum.

“Oh.... terima kasih ya cik Nana,” ucap Doktor Hazim sekali lagi.

“Tak perlulah cik. Nana saja dah cukup,” pinta Auni Liyana. Sedikit kekok pula rasanya bila dipanggil cik. Dia lebih selesa dipanggil nama sahaja tanpa sebarang gelaran atau pangkat.

Doktor Hazim tersenyum memandangnya sambil mengangguk. Untuk seketika dia berjalan seiring dengan gadis yang baru dikenalinya itu. Tiada bicara antara mereka. Masing-masing senang untuk berdiam diri sebelum sampai ke destinasi yang dituju. Tapi, Doktor Hazim sering kali mengerling memandang gadis itu. Dia senang melihat Auni Liyana tersenyum kecil sambil bersenandung halus. Pada pandangannya, gadis itu seorang yang ceria.

“Okay, dah sampai!” ujar Auni Liyana sebaik sahaja mereka sampai di hadapan pintu bilik Doktor Yamin. Dia tak menunggu lama sebelum mengetuk pintu itu. Kedengaran suara Doktor Yamin dari dalam menyuruh tetamunya itu masuk.

“Assalamualaikum doktor!” ceria Auni Liyana memberi salam. Tersenyum manis Doktor Yamin menyambut kedatangannya.

“Hah, Nana! Kenapa? Ada apa patah balik ke sini?” tanya Doktor Yamin seterusnya. Auni Liyana hanya tersenyum sambil melangkah masuk ke dalam bilik itu.

“Alah, sajalah Nana nak lawat doktor lagi sekali. Lagi pun, Nana ada bawa doktor yang sesat sikit tadi ni,” ujar Auni Liyana bergurau sambil mengajak Doktor Hazim turut masuk ke dalam. Doktor Yamin mengerutkan dahinya seketika memandang doktor muda di samping Auni Liyana. Seingatnya, belum pernah lagi dia bertemu dengan doktor itu.

“Maaflah doktor. Saya terlewat sikit sebab masih tak biasa lagi dengan hospital ni. Tu yang tersesat sikit tadi,” beritahu Doktor Hazim jujur tanpa menafikan kenyataan gadis itu tentang dirinya yang sememangnya sesat sebentar tadi. “Saya Hazim,” terus sahaja Doktor Hazim memperkenalkan dirinya.

“Oh, Doktor Hazim! Doktor pelatih yang baru dekat sini kan?” tanya Doktor Yamin inginkan kepastian jitu.

“Ya, saya. Dan saya diletakkan bawah doktor,” ujar Doktor Hazim sambil mengangguk.

“Ya, memang betullah tu! Eh, jemputlah duduk. Buat apa berdiri saja,” pelawa Doktor Yamin mesra terhadap tetamunya itu. Doktor Hazim pun mengambil tempat duduk di hadapan Doktor Yamin. Auni Liyana masih lagi berdiri. “Hah, Nana. Kenapa berdiri pulak? Macam tak biasa saja. Buat sajalah macam bilik kamu sendiri,” gurau Doktor Yamin.

“Tak apalah doktor. Nana ingat Nana nak balik dulu. Datang sini balik pun sebab saja nak hantarkan Doktor Hazim tadi. Dah tak ada apa-apa hal lagi dekat sini. Lagi pun, tentu ada banyak benda yang doktor berdua ni nak bincangkan. Biarlah Nana minta diri dulu ya,” ujar Auni Liyana penuh adab kesantunan.

“Eh, yakah? Maaflah sebab dah susahkan awak pulak hantar saya ke sini. Sepatutnya tadi, tunjukkan saya jalan pun dah cukup,” tingkah Doktor Hazim berasa sedikit segan menyusahkan gadis yang baru dikenalinya itu.

“Alah, tak ada apa yang nak disusahkan pun. Lagi pun, saya memang sengaja nak hantarkan terus doktor ke sini. Bolehlah kita berkenalan. Sebab lepas ni, kita akan selalu bertemu,” ujar Auni Liyana sambil tertawa kecil. “Jadi, selamat berkenalan!”

“Ahh, ya....” Doktor Hazim terpinga-pinga mendengarkannya. Tak mengerti akan maksud Auni Liyana. Dia hanya mampu membalas lambaian gadis itu di muka pintu. Daun pintu tertutup perlahan-lahan dengan sendirinya. Gadis itu telah pergi dari situ. Doktor Yamin pula ketawa melihat keletah gadis itu. Manja dan nakal tingkahnya.

“Nana tu memang macam tu. Dia seorang yang manja dan ceria orangnya. Kadang-kadang tu, ada jugaklah nakalnya,” beritahu Doktor Yamin serba ringkas akan perihal Auni Liyana. Doktor Hazim hanya tersenyum mendengarkannya.

“Umm.... Nana tu nurse dekat sinikah?” tanya Doktor Hazim ingin tahu. Doktor Yamin tersenyum hambar mendengarkannya. Alangkah bagus jika benar andaian doktor muda itu.

Doktor Hazim pula hanya diam menanti kepastian dari doktor separuh abad itu. Dia perasan akan perubahan riak wajah doktor itu ketika ditanya perihal Auni Liyana. Doktor Yamin tak terus menjawab. Sebaliknya, dia mengambil sebuah fail dari sisinya. Diberikan fail itu kepada Doktor Hazim.

Doktor muda itu hanya mengambil tanpa banyak bicara. Diselak fail itu. di muka hadapan sekali, terpampang profil seorang pesakit. Dia terdiam memerhatikan wajah pesakit itu.

“Auni Liyana....” hanya itu yang disebut Doktor Hazim. Dia mengangkat wajahnya memandang Doktor Yamin.

“Nana adalah salah seorang pesakit yang saya rawat. Tak salah kalau saya katakan, dia antara pesakit yang saya paling banyak bagi perhatian. Rasanya, doktor boleh baca sendiri yang lain sebab saya akan berikan kes Nana kepada doktor nanti sepanjang doktor berada di sini. Saya harap kita berdua boleh cuba beri yang terbaik untuk dia,” pinta Doktor Yamin.

Ada pengharapan dalam nadanya. Jikalau boleh, dia ingin cuba sedaya yang mungkin untuk merawat penyakit Auni Liyana. Dia begitu inginkan gadis itu sembuh dari sakitnya. Sebagai seorang doktor yang banyak pengalaman, masih sukar baginya untuk berputus asa ke atas seseorang pesakit walau sekritikal mana pun keadaannya.

Doktor Hazim kembali meneliti fail itu. Dia sekadar membaca perkara yang penting dahulu. “Leukemia Mieloid Kronik yang didiagnosis setahun yang lalu. Peringkat awal di diagnosis, ada beberapa kali jalankan rawatan kemoterapi suntikan dan kemudian diteruskan dengan kemoterapi oral. Berkesan dalam mengawal tapi tak mampu memulihkan,” Doktor Hazim membaca serba sedikit laporan perubatan itu. Dia tak menunggu lama sebelum menyelak ke muka surat terakhir. Dia ingin tahu diagnosis terkini gadis itu.

“Pembedahan diperlukan tapi tiada penderma yang sesuai. Kini, bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan untuk kelangsungan hidup. Hanya mampu bertahan....” Doktor Hazim terdiam. Dia tak mampu menyebut kesimpulan diagnosis itu. Dia diam seketika.

Doktor Hazim menarik nafas dalam sebelum menutup fail itu. Dia kembali memandang Doktor Yamin. “Dia masih muda,” hanya itu terluah dari katanya. Doktor Yamin tersenyum nipis mendengarkannya.

“Ya, Nana memang masih muda tapi.... hidup dan mati bukan urusan kita. Semua tu urusan ALLAH di atas sana. Sebagai doktor, kita hanya meramalkan tapi.... saya berharap semua ni sekadar ramalan saja,” ujar Doktor Yamin perlahan.

“Harapan masih ada! Kalau pembedahan yang diperlukan, kita hanya perlukan seorang penderma yang sesuai saja. Insya ALLAH.... masih ada harapan,” sahut Doktor Hazim pula. Entah mengapa, dia bersemangat untuk turut membantu dalam kes itu. Dia pasti yang gadis itu masih punya peluang untuk sembuh walaupun tipis. Yang diperlukan sekarang ialah doa dan harapan yang berterusan serta keyakinan akan setiap peluang yang ada.

SENANDUNG kecil bermain-main di hujung lidah Auni Liyana. Gadis itu tersenyum ceria sambil membancuh secawan kopi panas. Aroma pekat kopi mula memenuhi ruangan dapur. Dia begitu menyukai aroma segar itu. Terasa segar sedikit matanya yang sebentar tadi bergayut rasa mengantuk.

Meowww! Choco mengiau manja sambil menggesel kakinya. Auni Liyana tertawa kecil menahan geli dengan keletah manja kucingnya. Sudah tahu benar apa yang diinginkannya ketika itu. Pasti inginkan makanan petangnya. Dia pun menuangkan sepaket makanan kucing ke dalam bekas makanan Choco lalu di bawa ke ruang tamu. Choco mengikut riang.

“Nah!” Auni Liyana meletakkan bekas makanan itu dekat dengan sofanya. Sengaja dia ingin memerhatikan kucingnya itu makan. Terleka seketika dia memerhatikan gelagat Choco. Agak mencuit hati.

“Oh ya Choco! Hari ni Nana ada jumpa seorang doktor baru. Muda lagi tau,” beritahu Auni Liyana seakan kucing itu memahaminya. Tapi sudah menjadi kebiasaannya untuk berbual dengan kucing itu. Sering kali juga, dia meluahkan perasaan dan masalahnya kepada Choco. Dia senang berbuat demikian walaupun dia tahu Choco hanya mampu mengiau sahaja mendengarkannya. Tapi, itu sudah cukup menenangkannya.

“Meowww...!” Choco mengiau manja seakan turut berinteraksi dengan tuannya.

“Umm.... hensem ke tak doktor tu? Hmmm.... biar Nana fikirkan dulu ya.” Auni Liyana diam berfikir seketika dengan mimik muka yang sengaja dibuat serius. Sedangkan entah apa maksud Choco mengiau, dia hanya meneka sahaja walaupun langsung tiada kaitan. “Rasanya boleh tahanlah hensem doktor tu tapi.... dia memang manis! Sedap sangat mata memandang,” sambung Auni Liyana sendirian sambil tersenyum malu. Segan pula mendengarkan kata-kata sendiri.

“Lepas ni, Nana akan selalu berjumpa dengan dia sebab Doktor Yamin dah beritahu Nana yang dia akan tambah lagi seorang doktor dalam kes Nana ni. Kan bagus kalau dia muncul lagi awal. Mestilah Nana akan bersemangat untuk ke hospital tiap-tiap minggu,” ujar Auni Liyana sambil bergurau.

“Meowww...!”

“Nana harap kami boleh jadi kawan,” harap Auni Liyana sendiri. “Nanti dulu! Tak apa ke kalau Nana tambah lagi seorang kawan? Tapi dia kan doktor, mesti dia dah tahu keadaan Nana. Rasanya tak ada masalah untuk kami berkawan kan?” dia bertanya sendiri. Dia diam seketika dalam soalannya sendiri.

“Sebab dia nampak comel bila menggelabah,” Auni Liyana mencipta alasan untuk berkawan dengan doktor muda itu. “Umm, baiklah! Nana nak berkawan dengan doktor tu,” putus Auni Liyana akhirnya. Dia tersenyum ceria.

Entah mengapa, perkenalan singkat dengan Doktor Hazim membuatkan dia lebih ingin mengenali doktor bercermin mata itu. Keletah doktor muda itu di kali pertama mereka bertemu, mencuit hatinya. Dia senang dan selesa bersama dengan doktor itu walaupun mereka hanya mengenali nama sahaja buat masa ini. Pasti doktor itu akan menjadi kawan yang baik buatnya. Itulah harapan Auni Liyana.

“Meowww....” Choco hanya mengiau melihat tuannya sedang tersenyum sendiri.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati