Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
49,552
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 17

KAMALIA terleka seketika membelek majalah hiburan. dia tertarik dengan pelbagai fesyen baru yang keluar pada bulan itu. Dia mula merencanakan pelbagai jenis barang yang ingin dibelinya nanti.

“Hei, Leeya! Sorry, kami terlambat sikit. Biasalah kan, traffic jam,” sapa Nadia sambil mengibas wajahnya kerana bahang matahari.

“Huh, korang memang. Sengaja buat I tertunggu dekat sini,” selar Kamalia sambil meneguk minumannya. Nadia dan Azza hanya tersenyum mendengarkannya.

“Okaylah! Salah kami. Janganlah merajuk. I belanja you makan ya?” pujuk Azza pula. Kamalia sekadar tersenyum nipis mendengarkannya. Dia sengaja berpura merajuk dengan mereka berdua.

“Eh, dahlah! Jomlah kita makan. I dah lapar ni,” ajak Kamalia pulak.

Kemudian, mereka bertiga pun memesan makanan tengah hari. Tak lama menunggu, hidangan pun sampai ke meja mereka. Terus sahaja mereka menjamahnya.

“So, Leeya. Ceritalah kat kami. Macam mana dengan perjumpaan you dengan calon menantu pilihan mama you tu?” tanya Azza ingin tahu. Nadia pun turut bersemangat untuk mengetahuinya.

“Well... okay sajalah,” balas Kamalia acuh tak acuh.

“Serius! You setuju dengan pilihan mama you tu?!” Nadia seperti tak mempercayainya. Kamalia tertawa mendengarkannya.

“Bukan macam tulah!” nafi Kamalia. “Maksud I, semuanya okay saja. Kami berjumpa dan bersembang kejap. Alah, berkenalan biasa-biasa macam tu. Kami sama-sama setuju untuk tolak pilihan family kami ni. Tu sajalah. Tak adalah I nak terima dia pulak,” sambungnya lagi dengan lebih jelas.

“Oh, yakah. Tapi kenapa? Tak kena dengan taste you kah?” sengaja Azza bertanya pulak.

Come on girls! Takkan you harap I terima pulak pilihan mama I. Ni zaman modenlah. I nak cari sendirilah pilihan hati I,” balas Kamalia sambil menyebak rambutnya ke belakang. Sengaja dia menyilangkan tangannya di dada menampakkan ketegasannya. Nadia dan Azza hanya tersenyum mendengarkannya.

Oh wait! You kata tadi yang you dan dia sama-sama setuju untuk tolak cadangan ni?” tanya Nadia kembali. Kamalia mengangguk sambil mengerutkan dahinya. Kenapa pulak dengan perkara tu? Hatinya bertanya sendiri.

Nadia tersenyum nipis mendengarkannya. Dia dan Azza berpandangan seketika. Kamalia diam sahaja memerhatikan kawannya berdua itu. “So, ada jugaklah lelaki yang sanggup tolak you?” sengaja Azza bertanya lagi.

Kamalia tersenyum mendengarkannya. Kini, dia faham akan reaksi kawan-kawannya. Dia tak salahkan mereka. Selama ini, semua lelaki menginginkannya. Tak pernah ada yang menolak dirinya. Hinggakan lelaki yang sudah mempunyai kekasih pun sanggup berpisah dengan kekasih mereka hanya untuk meraih perhatiannya. Tapi, dia bukanlah seorang perempuan yang mudah ditawan hatinya.

I pada mulanya agak kisahlah jugak dengan perkara tu. Tapi... I boleh terima alasan dia. Dia kata nak fokus untuk kerjaya dia dulu. Lagi pun, dia memang nampak macam workaholic type. So, I maafkan dia,” balas Kamalia sambil tersenyum sinis.

“Oh, wow! Baiknya cik Kamalia kita ni,” ujar Azza bergurau. Kemudian, mereka diam seketika menikmati makanan tengah hari masing-masing.

“Tapi kan... macam mana dengan lelaki tu? Maksud I.... rupa dan karakter dia? Hensem tak orangnya?” tanya Nadia kemudiannya. Azza tersenyum mendengarkannya. Dia juga ingin tahu perihal itu.

“Hemm... he’s not bad! Tapi tak adalah hensem sangat pun,” ujar Kamalia. Kemudian, dia terdiam seketika. Cuba mengingati kembali pertemuannya dengan Doktor Hazim. “Cuma dalam kategori... korang akan pandang beberapa kali jugaklah kalau tengok dia,” sambung gadis itu sambil tertawa kecil.

“Wah, kalau macam tu memang hensemlah!” tingkah Azza.

“Okaylah! Dia hensem tapi cita rasa I lagi tinggi tau,” sengaja Kamalia bergurau. Mereka hanya tertawa mendengarkannya. “Tapi... dia ada tarikan dia sendiri. Yang buat kita nak dekat dengan dia. Yang buatkan kita... nak kenali dia,” sambung Kamalia sambil tersenyum nipis. Memang itulah tanggapannya terhadap lelaki itu. Dia seakan punyai satu aura yang membuatkan kita tertarik dengannya.

Whoa, now you talk like a boy!” ujar Azza bergurau.

Heh, who told him to act like a girl,” balas Kamalia sambil turut tertawa. “Tapi serius cakap. Dia bukanlah laki yang lembut tapi dia buatkan korang nak dapatkan dia,” tambah gadis itu.

So, why won’t you?” tanya Nadia.

“Sebab mama I yang kenalkan. I kalau boleh, tak nak ikut sangat apa yang mama I nak. Saja I nak berdegil sikit,” balas Kamalia. “Mama I tu, kalaulah I terima pilihan dia tu. Mesti dia akan kata...” dia berhenti seketika sambil berdehem. Sengaja dia membuat muka serius.

Well, mama always knows the best for her daughter!” sengaja Kamalia mengajuk cara percakapan mamanya. Kawan-kawannya tertawa melihatkannya. “Come on! Tak mungkin I nak dia bertambah lagi ego dia,” selar Kamalia. Sebenarnya, dia tak adalah rapat sangat dengan mamanya. Cuma, selama ini dia lebih senang melakonkan watak anak perempuan yang patuh di hadapan orang tuanya. Dia selalu saja memendam perasaannya selama ini.

“Nak buat macam mana! Bukankah you selama ni anak yang patuh?” sengaja Azza memerli. Kamalia mendengus mendengarkannya.

“Tapi sekali sekala, I kenalah ada pendirian sendiri kan? Tak bolehlah I nak ikut saja semua yang mama suruh I buat,” tingkah Kamalia lagi. “Oh ya! By the way, I kena pergi jumpa pilihan menantu mama I tu hari ni,” tambah gadis itu.

“Lah, kata tadi tak nak. Kenapa nak jumpa lagi? Takkan you tak boleh lupakan dia pulak?” perli Nadia.

“Yalah. Takkan I nak tolak macam tu pulak. Sekurang-kurangnya, biarlah I berjumpa dengan dia lebih dari sekali. Lepas tu, I cakaplah dengan mama I yang I memang tak boleh ngam dengan dia atau apa-apa sajalah yang okay,” ujar Kamalia.

Well then, good luck to you!” ucap mereka berdua serentak.

Kemudian, mereka bertiga pun menghabiskan makanan mereka. Sempat mereka berbual lagi seketika perihal kerja pula. Hampir sejam mereka berada di situ sebelum beredar dari situ. Masing-masing perlu kembali ke tempat kerja mereka.

“AIRA!!”

Aira Nadeeya menghentikan langkahnya. Nafasnya terhembus kasar. Dia pantas berpaling menghadap lelaki yang memanggilnya. Dia mengerutkan pandangannya memandang tajam lelaki itu.

“Please, Zaquan!! Cukuplah semua ni! You nak I cakap macam mana baru you nak faham, hah!” sergah Aira Nadeeya. Merah wajah gadis itu menahan marah di hatinya. “I dah penatlah nak beritahu you berulang kali benda yang sama. I dah tak sayangkan you. Hubungan kita dah lama berakhir. Tolonglah faham!” rayu gadis itu meminta persefahaman antara mereka.

“Ya, I faham! I faham sangat semua tu,” sahut Zaquan. Dia memandang tajam gadis itu. Tapi bukannya pandangan yang membencikan sebaliknya pandangan tegas. “Cuma I tak boleh terima semua ni! You dah buat I gilakan you dulu, lepas tu senang-senang pulak you nak I lupakan you macam tu saja,” bantah lelaki itu.

Dia masih ingat lagi keletah gadis itu ketika mereka masih sama-sama belajar di universiti dulu. Gadis itu yang menggodanya dahulu. Memanglah dia pun turut terpikat dengan kecantikannya tapi itu tak bermakna dia akan membiarkan luaran itu membutakan hatinya. Tapi gadis itu pandai bermanja dan bermain kata dengannya membuatkannya terperangkap dengan kata hatinya. Malah, dia turut kagum dengan kesungguhan gadis itu untuk cuba menarik perhatiannya. Tampak ikhlas dan jujur. Akhirnya, dia mengakui yang dia juga sebenarnya menyayangi gadis itu. Tapi siapa sangka, pasangan yang glamor dan bahagia ketika itu akan berpisah akhirnya.

Dia pernah dan selalu cuba untuk melupakan gadis itu. Tapi, ternyata sukar kerana hatinya yang telah dicuri tak dikembalikan semula. Lagi payah untuk membenci gadis itu kerana dia sejujurnya menyayangi gadis itu walaupun Aira Nadeeya seorang gadis yang banyak kekurangan di dalamannya. Dia seorang yang kuat cemburu dan suka mengongkong tapi Zaquan sendiri hairan bagaimana dia boleh bertolak ansur dengannya. Sebab itulah, sukar untuk hatinya benar-benar melepaskan gadis itu. Dia sentiasa berharap ada peluang kedua antara mereka. Kerana itulah, dia tak pernah berhenti merayu padanya.

“Zaquan...” panggil Aira Nadeeya. Dia mengeluh perlahan. Dia turut memandang lelaki itu tegas. “Okay! You boleh salahkan I. Memang semuanya silap I,” ujar gadis itu. Kemudian, dia diam seketika sebelum menyambungnya kembali. “I sangka you lah lelaki yang ditakdirkan untuk I . I juga harap yang kita akan bahagia sampai bila-bila. Tapi... I tak boleh nak paksa diri I lagi untuk terus menipu kehendak hati I yang sebenarnya. I yang salah sebab... I tak ajar hati I untuk setia dekat you dulu. I’m so sorry, Zaquan...”

“Huh, kenapa you tak cakap semua ni sebelum kita bercinta dulu? Kenapa you perlu buatkan I berharap dekat you sampai menggunung tingginya harapan I?” bertubi pertanyaan Zaquan. Dia tampak lemah ketika ini. Merayu kepada gadis yang ternyata tidak sudi menyayanginya lagi. “I tersiksa Aira. Hati I pedih sebab you tinggalkan I dengan alasan rapuh you tu. Senang-senang saja you katakan, mungkin tak ada jodoh antara kita!” sambung lelaki itu. Rendah sahaja nadanya kesal dengan apa yang terjadi. Kemudian, pandangannya kembali tajam menikam gadis itu.

You nak I salahkan you?! Ya, memang I salahkan you! Sebab hati you cuma lihat luaran saja. Asalkan mata you tu dah berkenan, cepat saja hati you berubah!” tingkah Zaquan. Dia mengetapkan bibirnya geram. Selalu sahaja dia bertengkar dengan gadis itu bila dia mengajaknya keluar. Tapi kali ini, hatinya benar-benar terkesan dengan tingkah dan kata-kata gadis itu. Asalkan dia dapat lepaskan diri dari semua ini, dia akan katakan apa sahaja.

Aira Nadeeya pantas memandangnya tajam. Nampaknya, gadis itu juga turut terkesan dengan kata-katanya. Gadis itu mendengus kencang. Bibirnya juga diketapkan. “Ahh, apa sajalah Zaquan! I dah tak kisah you nak kata apa dekat I. Yang I tahu, I tak nak you terhegeh-hegeh cari I lagi lepas ni! I dah tak perlukan lagi cinta dan perhatian dari you,” tingkah Aira Nadeeya. Sedikit bongkak kata-katanya.

Zaquan mencebikkan bibirnya mendengarkan kata-kata gadis itu. Ya, memang selama ini dia yang terhegeh-hegeh inginkan gadis itu kembali. Mungkin, dia harus tabahkan hatinya untuk lupakan gadis itu. Harus dia ajarkan hatinya untuk tak mudah terpedaya dengan perasaan yang terlalu membuai ini. Pedih dan perit sekali rasanya bila hatinya yang ikhlas menyayangi dipandang serendah itu.

“Okay Aira. I akan cuba untuk lupakan you. Tak! Bukan cuba lagi tapi I akan paksa hati I,” alah Zaquan akhirnya. Dia juga sudah mengambil keputusan yang perjumpaan ini adalah kali terakhir sekiranya gadis itu masih dengan keputusannya. Nampaknya dia perlu berpegang dengan janji kepada dirinya sendiri. “Cuma... I nak bagi sikit nasihat dekat you.”

Aira Nadeeya memandang lelaki itu menanti bicara seterusnya. Dia sebenarnya sudah tak berminat lagi untuk mendengarkan apa yang ingin dikatakan lelaki itu tapi terpaksa didengarkan juga. Mungkin selepas ini, Zaquan tak akan menghubunginya lagi jika dia mendengar apa yang ingin dikatakannya buat kali terakhir.

“Sebagai seorang lelaki, I mengaku yang Rifdi tu memang hensem orangnya. I pun tak setanding dia. Siapalah I kalau nak dibandingkan dengan dia? Buat malu saja dibandingkan dengan dia,” ujar Zaquan. Aira Nadeeya sekadar tersenyum sinis mendengarkannya. Kali ini, dia menyetujui kata-kata lelaki itu. “Tapi... lelaki macam tu bukannya senang you nak dapat. I tak rasa pun dia akan pernah pandang you lebih dari seorang kawan. Tapi, dapat jadi kawan dia pun dah kira bertuah,” sambung Zaquan.

“Apa yang you cuba nak sampaikan? You nak kata yang I tak layak untuk diakah?!” celah Aira Nadeeya sebelum sempat Zaquan menyambung lagi kata-katanya.

Zaquan tersenyum memandang gadis itu. Sudah tentu dia tak berfikiran sebegitu. Gadis itu cukup cantik untuk dipadankan dengan Rifdi Riyadh. Tapi, itu sajalah yang boleh dipadankan. Hanya luaran sahaja. Kerana peribadi mereka jauh berbeza. Pada pendapatnya, lelaki itu bukanlah seorang yang pentingkan luaran sahaja. Sama sepertinya suatu masa dulu sebelum dia mengenali Aira Nadeeya. Lebih banyak perkara yang lebih penting selain dari luaran. Tapi, dia terjatuh juga dalam perangkap luaran itu. Tak mengapalah, semua itu adalah pengajaran baginya.

“Dah tentulah tak! Apa yang I nak beritahu you...” sengaja Zaquan diam seketika. Cuba mengatur kata-kata yang sebaiknya. Dia masih tersenyum memandang gadis itu. “Hemm... dulu masa you nak dapatkan I pun, bukannya senang kan?” sengaja Zaquan menduga. Dia tersenyum sinis kali ini memandang gadis itu. Hanya itu sahaja yang dikatakannya sebelum dia beredar dari situ.

Aira Nadeeya terpana mendengarkannya. Dia terus menggetapkan bibirnya. Pantas dia berpaling cuba untuk memanggil lelaki itu. Egonya benar-benar tercalar dengan kata-kata akhir lelaki itu. “Zaquan!!” jeritnya. Lelaki itu tak berpaling pun menghadapnya. Dia sekadar mengangkat tangan dari jauh melambai. “Damn you!!!

EXCUSE ME,” sapa Kamalia. Sambil menahan seorang jururawat yang melaluinya.

“Ya? Boleh saya bantu?” tanya jururawat itu ramah sambil tersenyum manis.

“Cik kenal tak dengan Doktor Hazim?” tanya Kamalia sopan. Kelihatan jururawat itu diam seketika. Dia cuba mengingati doktor dengan nama itu.

“Oh, doktor pelatih yang baru tukah?” jururawat itu cuba memastikan.

“Yup, dialah tu!” sahut Kamalia pantas. “Boleh saya tahu dekat mana saya boleh cari dia?” tanya dia lagi.

“Hemm... selalunya dalam waktu petang macam ni. Dia ada dekat pejabat,” beritahu jururawat itu.

“Oh, dia ada pejabat sendirikah?”

“Maksud saya, pejabat yang dia kongsi dengan semua doktor pelatih yang lain jugak,” terang jururawat itu. Kamalia tersenyum sambil mengangguk.

“Kenapa ni?” tegur seorang jururawat lain yang baru tiba di situ.

“Cik ni cari Doktor Hazim. Doktor pelatih yang baru tu,” beritahu jururawat yang mula tadi.

“Oh, saya baru nampak Doktor Hazim dekat taman hujung sana tadi,” beritahu jururawat yang baru tiba itu. “Nak saya panggilkan diakah?” tanya jururawat itu menawarkan diri.

“Tak apalah! Kalau boleh, biar saya sendiri yang pergi dekat dia,” tegah Kamalia. Dia tak mahu lelaki itu mengetahui kedatangannya ke sini. Sengaja dia ingin mengejutkan lelaki itu. “Dekat mana ya taman yang nurse cakap tu?”

“Tak jauh pun dari sini. Cik jalan terus ke hujung koridor ni. Lepas tu, cik belok kiri dan terus lagi. Dekat situ, ada sebuah taman yang dekat dengan wad kanak-kanak,” beritahu jururawat itu.

“Okay! Terima kasih,” ucap Kamalia sambil tersenyum manis. Jururawat berdua itu pun beredar dari situ.

“Wah, cantik-cantiklah perempuan yang rapat dengan Doktor Hazim. Kalau macam ni, memang tak ada peluanglah perempuan macam kita ni,” ujar jururawat tadi kepada kawannya.

“Hehe, tau tak apa!” sahut kawannya sambil tertawa kecil.

Kamalia diam mendengarkannya. Dia dapat menangkap butir bicara jururawat sebentar tadi. Dia mengangkat keningnya. Dia rapat dengan ramai perempuankah? Hemm... boleh tahan doktor ni. Aku ingatkan dia jenis low profile. Ahh, tak kisahlah semua tu! Mungkin semuanya cuma kawan dia saja. Dia sendiri jugak yang kata yang dia tak ada awek lagi. Getus hati kecilnya.

Dia tak berlama lagi di situ. Dia pun terus melangkah mengikut arah yang diberikan. Tak lama pun untuk dia sampai ke taman yang dimaksudkan jururawat berdua tadi. Terus sahaja, dia menangkap susuk tubuh doktor yang dicarinya itu. Belum sempat dia memanggilnya, dia terlihat ada seorang perempuan lain sedang berbual dengan doktor itu. Terus mati niatnya untuk memanggil Doktor Hazim.

“Hemm... siapa tu? Nurse dekat sini jugakkah?” Kamalia bertanya sendiri. Untuk seketika, dia hanya memerhatikan sahaja di sebalik dinding koridor.

Doktor Hazim tampak gembira dengan gadis itu. Mereka kelihatan selesa berbual sesama mereka. Tidak kelihatan kekok dan janggal. Gadis itu pun kelihatan rapat dengannya. Tapi Kamalia tak dapat menangkap butir bicara mereka kerana hembusan angin yang sedikit kuat ketika itu.

Kemudian, dia terdengar Doktor Hazim ketawa. Dia terus memandang doktor muda itu. Itulah kali pertama dia melihat reaksi lelaki itu sedemikian. Dia terpana melihatkannya. Benar-benar menyentap hatinya. Dia pun mengetapkan bibirnya. Nafasnya juga sedikit kencang. Ada cemburu menyelinap ke celah hatinya.

Kamalia tak ingin berlama lagi di situ. Dia malas hendak melihat adegan kemesraan itu lebih lama lagi. Entah mengapa, dia rasa cukup tercabar sekali egonya ketika itu.

“Huh, kononnya tak ada awek? Habis tu, perempuan tadi tu siapa?! Tak mungkin kawan saja,” ujar Kamalia sendiri. Dia mengetap lagi bibirnya. Tak sangka, dia tolak aku hanya untuk perempuan macam tu. Dia tolak aku?! Hei, ni Kamalia lah. Tak pernah ada lelaki yang tolak aku untuk perempuan lain!!! Jerit hatinya.

Kamalia terus memandang depan ketika memandu pulang. Hatinya makin panas bila memikirkan kejadian tadi. Dia berasa cukup tercabar dengan tingkah doktor muda itu. Sengaja menipu dia mengatakan dia mahukan komitmen di dalam kerjayanya. Tetapi sebenarnya dia sudah punyai pilihan hati sendiri. Ya, dia pasti akan hal itu. Naluri perempuannya kuat mengatakan demikian.

Perempuan tadi bukan sekadar kawan biasa. Pandangan Doktor Hazim padanya membuktikan segala-galanya. Pandangan lelaki itu tampak penuh kasih sayang. Dia memandang gadis itu dengan seadanya. Ada sinar harapan pada pandangan doktor muda itu.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati