Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
48,154
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 9

HUJUNG minggu di Shah Alam agak sibuk terutama di jalan raya. Begitu banyak kereta bersusun di setiap bulatan dan persimpangan lampu trafik. Kekadang, Rifdi Riyadh sendiri tak faham bagaimana dia dapat bertahan dengan keadaan itu. Mungkin sudah rezekinya di situ jadi dia hanya dapat menerimanya sahaja.

Dia sempat mengerling jam di dash board keretanya sebelum mematikan enjin. Dia memarkirkan keretanya di luar pusat beli-belah Sacc Mall. Sudah hampir jam 11.00 pagi. Dia sengaja datang ke situ kerana sudah punyai temu janji dengan kawan-kawannya. Nasibnya baik kerana tak perlu mencari mereka lagi kerana mereka semua sudah bersedia menantinya di hapadan pintu masuk bangunan membeli-belah itu.

Rifdi Riyadh bersalaman dengan kawan-kawannya yang sudah lama tak bertemu. Mereka berdua adalah kawan-kawan dari sekolahnya di Perak dahulu. Tak sangka mereka masih boleh bertemu lagi hari ini.

“Eh, laparlah! Jomlah kita makan dulu. Sambil makan boleh kita borak-borak sekali. Lama benar tak dengar cerita korang,” ajak Rifdi Riyadh.

“Boleh saja!” setuju Fitri. Mereka pun tak begitu memilih. Restoran Pizza Hut yang terletak di sebelah mereka terus menjadi pilihan. Pantas sahaja mereka masuk dan memesan makanan.

“Jadi, apa cerita kau sekarang?” tanya Kamal pula.

“Aku macam nilah. Asyik sibuk dengan kerja,” jawab Rifdi Riyadh. “Kau pulak macam mana? Lama tak dengar berita. Dengar-dengar saja, kau dah nak kahwin. Cuba kau cerita sikit,” tanya Rifdi Riyadh pulak. Kamal hanya tertawa mendengarkannya.

“Nak buat macam mana. Dah sampai seru aku nak kahwin. Aku pun kahwin sajalah,” balas Kamal ringkas.

“Yalah. Kau ceritalah macam mana kau boleh kenal dengan bakal isteri kau tu,” pinta Rifdi Riyadh lagi. Fitri di sebelah Kamal hanya tersenyum sendiri. Dia sebenarnya sudah mengetahui cerita itu dari mula lagi.

“Sebenarnya, ni jodoh pilihan keluarga,” beritahu Kamal berterus-terang. “Mak aku yang kenalkan dalam 3 bulan lepas. Katanya, kawan anak dia,” sambungnya lagi.

“Serius?! Mak kau yang carikan?” seperti kurang percaya pula Rifdi Riyadh mendengarkannya. Setahu dia, Kamal seorang lelaki yang tegas dan punyai pendirian sendiri. Bukan senang untuk menggoyahkan pendiriannya. Jadi, langsung tak pernah terlintas yang bakal isteri lelaki itu dipilih keluarganya.

“Yalah! Dah mak aku tu sibuk sangat nak menantu. Dia carikanlah seorang untuk aku,” balas Kamal sambil terus tersenyum.

“Habis tu, macam mana kau boleh terima?” tanya Rifdi Riyadh lagi. Makin berminat pula dia dengan cerita itu. Kamal hanya tersenyum memikirkannya. Segan pula untuk memberitahu Rifdi Riyadh. Sengaja dia menyinggung siku Fitri di sebelahnya. Mengaduh Fitri dibuatnya. Rifdi Riyadh pun berkalih memandang lelaki itu pula.

“Tulah namanya jodoh. Siapa sangka yang perempuan yang mak dia nak kenalkan tu rupa-rupanya... bekas awek dia dulu,” beritahu Fitri bagi pihak Kamal. “Apa lagi, cinta lama pun berputiklah balik,” sambungnya sengaja bergurau. Rifdi Riyadh tertawa kecil mendengarkannya.

“Awek yang mana satu ni? Dari sekolah kita jugak ke? Aku kenal tak?” tanya Rifdi Riyadh bertubi-tubi.

“Taklah! Bukan dari sekolah menengah tapi dari sekolah rendah,” jawab Kamal.

Makin rancak pula tawa Rifdi Riyadh. Fitri juga turut tertawa bersamanya. “Hebat kau! Dari sekolah rendah lagi, dah menggatal,” gurau Rifdi Riyadh. Kamal hanya tersenyum malu.

Setelah itu, sambil mereka menikmati pizza terus sahaja mereka rancak berborak. Dari perihal kerja dan kenduri kahwin Kamal sehinggalah kenangan ketika sama-sama bersekolah menengah dulu.

“Kau masih berhubung dengan kawan-kawan yang lain lagi ke?” tanya Rifdi Riyadh ingin tahu. Setakat ini, dia hanya paling kerap berhubung dengan mereka berdua. Yang lain, agak sepi hubungannya.

“Ramai jugalah yang aku masih berhubung. Tambah-tambah kalau aku balik kampung. Selalu jugaklah kitorang keluar melepak sama-sama dekat warung Pak Syuib yang selalu kita lepak dulu tu,” beritahu Kamal. Rifdi Riyadh tersenyum mengenangkan kembali zaman itu. Begitu seronok dan nakal mereka ketika itu. Masing-masing masih muda dan masih ingin bermain-main.

“Kau pulak tak ada jumpa lagi ke dengan sesiapa dari sekolah kita dulu?” tanya Fitri pula.

“Tak....” ayat Rifdi Riyadh terhenti di situ. Dia ingin mengatakan tak pernah tapi bayangan wajah seseorang muncul di fikirannya. Ya, gadis itu juga sama sekolah dengannya tapi rasanya tak penting untuk membangkitkan hal itu.

“Hah, mesti ada ni! Siapa yang kau jumpa?” tanya Fitri ingin tahu.

“Tak ada sesiapalah,” jawab Rifdi Riyadh ringkas.

“Yakah?” sengaja Kamal menduga. Rifdi Riyadh mengeluh berat. Kemudian, dia memandang kedua-dua kawannya itu. Masing-masing sedang menanti kepastian darinya.

“Yalah, ada! Tapi rasanya korang tak kenal kot,” terus-terang Rifdi Riyadh akhirnya.

“Yakah? Cuba kau beritahu siapa?” desak Kamal makin ingin tahu.

“Nana,” hanya sepatah nama itu terbit dari mulut Rifdi Riyadh. Kamal dan Fitri diam sebentar memikirkan nama itu.

“Nana.... yang budak junior tu ke?” tanya Fitri ingin memastikan. Rifdi Riyadh sekadar mengangguk. Auni Liyana merupakan junior yang muda dua tahun daripada mereka.

“Oh, dia ke. Macam mana dia sekarang? Tak sangka pulak kau boleh jumpa dengan dia,” tanya Kamal yang turut mula mengingati kembali gadis itu.

“Entahlah. Macam tu sajalah. Aku malas nak bertanya khabar sangat dengan dia,” balas Rifdi Riyadh acuh tak acuh.

Kamal tersenyum sinis mendengarkannya. “Kau masih tak sukakan dia ya?” sengaja dia menduga.

“Bukan tak suka tapi.... benci,” jawab Rifdi Riyadh sambil memandang tajam Kamal. Lelaki itu hanya tertawa mendengarkannya.

“Dah lama pun semua tu berlalu. Kau lupakan sajalah. Lagi pun, kita semua masih budak-budak masa tu. Nana pun tak salah sangat dalam hal yang lepas tu. Cuma kau saja yang berdendam lebih,” nasihat Kamal ikhlas sebagai seorang kawan.

“Betul tu!” sokong Fitri. Sempat dia menyedut minumannya sebelum menyambung bicaranya. “Jangan terlalu bencikan dia sangat. Takut nanti, kau jatuh hati pulak dengan dia.”

“Ahh, mengarutlah! Tak mungkin aku akan sukakan dia,” tingkah Rifdi Riyadh. Tak pernah pun dia memikirkan kemungkinan itu. Mustahil sekali untuk mengubah benci itu menjadi sayang.

“Tu kata kau sekarang. Esok lusa, kau tak tahu lagi. Lagi pun, seingat akulah. Nana tu comel jugak orangnya. Dah tu ceria dan sopan pulak tu,” sampuk Kamal pula. Memang benar, seingatnya Auni Liyana bukanlah seorang gadis teruk yang difikirkan kawannya itu. Mungkin benci telah membutakan mata lelaki itu. Tapi, mungkin suatu hari Rifdi Riyadh dapat melihat kebaikan yang ada pada itu.

“Tapi kan.... kenapa kau benci sangat dengan Nana tu ya?” tanya Fitri tiba-tiba.

Rifdi Riyadh terdiam mendengarkannya. Mengapa dia bencikan Nana? Bukankah sudah jelas yang gadis itu pernah memusnahkan hubungannya dengan seseorang? Mengapa perlu ditanya lagi sebabnya?! Tingkah hati Rifdi Riyadh.

Imbas kembali: Zaman persekolahan

BUKU nota berkulit tebal itu hampir terjatuh ke dalam longkang disepak Rifdi Riyadh. Mujur sahaja, buku itu terhenti sebelum menjunam ke longkang yang sedikit berair itu. Dia pun menunduk mengutip buku di atas lantai koridor itu yang tidak disedarinya tadi.

“Buku siapa pulak ni? Main tinggal saja atas lantai. Dah tu, dekat tempat orang jalan pulak. Nasib baik aku tak tersepak sampai masuk ke longkang,” rungut Rifdi Riyadh sendirian. Dia membelek-belek seketika buku itu cuba mencari-cari nama pemiliknya tapi langsung tiada tercatat. Helaian seterusnya, tertulis pelbagai kata-kata indah. Rifdi Riyadh membacanya seketika.

“Umm, sajak ke ni?” tanyanya sendiri. Dia membaca halaman pertama. Sempat juga dia memuji tulisan itu. Cantik dan kemas. Pasti kepunyaan seorang perempuan.

Entah mengapa, dia terleka membaca sajak-sajak itu. Ada pelbagai jenis sajak di dalamnya. Pada mulanya, sajak-sajak itu tampak sedih dan sayu pada pengamatannya. Ada juga, bahagian yang beremosi gembira. Ada beberapa nama dikenalinya di hujung catatan setiap sajak itu. Mungkin sajak-sajak itu di salin oleh tuan empunya buku itu dari tokoh penulis terkenal. Tapi, ada juga sajak yang hanya mempunyai tarikh dan masa sahaja dicatatkan. Mungkin itu, ilham pemilik buku itu sendiri. Namun, langsung tiada nama pemilik buku itu.

“Macam mana nak pulangkan?” tanya Rifdi Riyadh sendiri. Bunyi loceng menamatkan waktu rehat berbunyi nyaring. Dia pun bergegas pulang ke kelasnya. Buku nota itu turut dibawanya sekali. Mungkin akan ada petunjuk di halaman seterusnya. Dia sendiri pun sedikit berminat untuk terus membaca helaian seterusnya.

Rifdi Riyadh tak menunggu lama sebelum bergegas pulang ke rumah setelah tamat waktu sekolah. Ajakan kawan-kawannya untuk melepak di warung Pak Syuib juga terpaksa ditolak. Ketika itu, dia begitu ingin untuk terus membaca buku nota tak bernama itu. Dia tertarik dengan bait-bait indah di dalamnya.

“Kalau buku sastera sekolah ada sajak macam ni. Tak adalah bosan sangat aku nak baca,” komen Rifdi Riyadh sendirian sambil berbaring-baring di atas katilnya.

Tak semua halaman bertulis sajak. Ada juga halaman yang mempunyai lukisan kartun. Mungkin itu yang membuatkan Rifdi Riyadh tak bosan membelek buku itu. Kekadang, terselit juga luahan empunya buku mengenai kelasnya. Ketika itu, baru dia perasan. Ada tertulis nama kelas di satu halaman itu.

“Tingkatan 3 Arif. Junior aku rupanya. Kalau macam tu, esok bolehlah aku ke kelas tu. Mungkin ada yang kenal dengan buku ni,” ujar Rifdi Riyadh sendirian membuat rancangan. Mungkin dia akan pergi ketika waktu rehat.

“Eh, dah habiskah?” tanyanya sendiri. Halaman seterusnya kosong. Sudah tak bertulis apa-apa lagi. Dia mengeluh perlahan. Sekejap saja baca sudah habis.

Pakk! Buku nota itu terjatuh dari mejanya. Mungkin kerana dia meletakkannya begitu hujung di tepi. Rifdi Riyadh pun bangun mengambilnya dari atas lantai. Ketika itu, dia terselak ke beberapa helaian muka surat terakhir. Muka surat yang pernah dugunakan pemilik buku itu.

Terdiam dia melihat halaman itu. Potret wajahnya memenuhi halaman itu. Begitu teliti pemilik buku itu melukiskannya. Tapi, mengapa wajahnya? Rifdi Riyadh bertanya sendiri. Kemudian, dia menyorotkan pandangannya ke bahagian bawah halaman itu. Ada tertulis beberapa baris ayat pendek di bawahnya.

“Ya ALLAH.... jika dia benar untukku, dekatkanlah hatiku dengan hatinya. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuan-MU....” Rifdi Riyadh terpana membacakannya. Serentak itu juga, jantungnya bagai disentap. Dia belum mengenali empunya buku itu tapi hatinya sudah mulai berdetak laju. Wajahnya sedikit merona merah. Hatinya terus mendesak untuk mengenali gadis itu. Bagaikan istimewa gadis yang belum dikenalinya itu.

Dia tersenyum sendiri sambil terus merenung halaman itu. Siapa awak? Kenapa ada wajah saya dalam buku awak? Dan kenapa tulis macam tu? Rifdi Riyadh terus dihanyutkan soalan sendiri.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati