Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
50,854
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

MATAHARI menegak terik di atas kepala. Auni Liyana mengesat sedikit peluh yang mula merenek di dahinya. Bahang terik itu makin membakar dirinya. Wajahnya terasa semakin panas. Mungkin sudah merah wajahnya ketika itu. Namun, dia masih mampu tersenyum sambil berjalan membawa sekotak kek.

Dari jauh lagi, dia sudah terlihat sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di taman di luar wad kanak-kanak itu. mereka sering bermain tak mengira waktu. Kekadang jururawat yang bertugas sering kali memarahi mereka tapi seorang pun tak pernah mendengar cakap. Hanya untuk seketika sahaja, mereka mengikut kata. Selepas itu, pasti mereka akan kembali bermain setelah tiada orang yang mengganggu.

Auni Liyana tersenyum sendiri. Ada idea nakal bermain di fikirannya ketika itu. Dia menghampiri kumpulan kanak-kanak itu tanpa disedari mereka. Sengaja dia ingin memainkan mereka.

“Hah, kamu semua! Berapa kali akak nak pesan. Jangan main waktu tengah harilah. Kan panas terik ni!” marah Auni Liyana sengaja berlagak sebagai seorang jururawat. Mereka semua yang sedang asyik bermain tadi terus sahaja berlari dari situ. Tak seorang pun menoleh ke belakang lagi. Bola yang menjadi permainan mereka juga tak sempat diambil. Masing-masing terkejut dengan sergahan tiba-tiba itu.

Auni Liyana terus sahaja ketawa melihatkan mereka semua. Lucu baginya melihat kanak-kanak itu kelam-kabut menyelamatkan diri dari terus dimarahi. Keletah anak kecil memang begitu menghiburkan. Dia pun mengambil bola yang ditinggalkan. Dari satu sudut tiang, kanak-kanak itu menjengukkan wajahnya melihat siapa yang memarahi mereka.

“Kak Nana!” serentak mereka semua menyebut nama Auni Liyana. Riak wajah mereka semua tampak garang dan masam ketika itu.

“Sampai hati akak mainkan kami,” rajuk Adam, salah seorang daripada kumpulan itu.

“Oh, tahu pun takut dengan nurse,” perli Auni Liyana sambil terus tersenyum.

“Alah, akak ni! Tak baiklah,” sampuk Ain pula. Dia seorang kanak-kanak perempuan yang suka bertocang dua. Auni Liyana tak menjawab. Dia masih lagi tersenyum.

“Tapi betul apa yang akak cakap. Tak elok main tengah-tengah panas macam ni. Kalau jatuh sakit nanti, macam mana?” duga Auni Liyana menasihati dalam lembut.

“Umm, kami semua memang dah sakit pun,” balas Afif. Nadanya kedengaran perlahan sahaja.

Auni Liyana terdiam mendengarkannya. Dia tak dapat sangkal kenyataan itu. Memang semua kanak-kanak sudah lama menghuni wad kanak-kanak itu. Mereka semua menghidap penyakit yang agak kritikal yang memerlukan rawatan berterusan dan penjagaan rapi. Seketika kemudian, dia tersenyum.

“Memanglah tapi....” Auni Liyana sengaja menghentikan kata-katanya. Dia cuba meraih perhatian semua kanak-kanak itu. Berhasil bila semua kanak-kanak itu memandangnya sambil menunggu bicara seterusnya. Auni Liyana meraih nafas seketika sebelum menyambung. “Sekurang-kurangnya.... Adam, Ain, Sarah, Afif dan Irfan masih boleh tersenyum dan ketawa bila mak dan ayah datang melawat kan?” tanya Auni Liyana. Satu persatu nama kanak-kanak itu disebutnya.

Kanak-kanak itu saling berpandangan sebelum sama-sama mengangguk. Auni Liyana tersenyum melihatkannya. “Tapi.... kalau main panas macam ni, nanti boleh demam. Kalau demam, kita dah tak boleh nak main lagi. Asyik berbaring saja atas katil. Kalau mak dengan ayah datang pun, dah tak bersemangat nak jumpa sebab badan panas dan letih,” ujar Auni Liyana memberi contoh. Lagi sekali, mereka saling berpandangan sebelum mengangguk bersetuju dengan kenyataannya.

Auni Liyana diam seketika. Dia sedang memikirkan sesuatu. Mereka semua masih diam menunggu bicara seterusnya. Kemudian, Auni Liyana pun tersenyum. Dia menundukkan badannya menyamai paras ketinggian kanak-kanak itu. “Korang semua memang budak-budak yang kuat dan hebat. Korang semua lagi hebat daripada kawan-kawan yang ada!” puji Auni Liyana tiba-tiba.

“Hebat?” Irfan kurang memahami. Auni Liyana mengangguk dengan bersemangat sekali menyatakan dia tak menipu.

“Tapi.... mereka semua tak sakit macam kami,” perlahan sahaja nada Sarah menyebutnya.

“Sebab tulah akak kata yang korang semua ni hebat!” tingkah Auni Liyana. Dia makin tersenyum lebar. “Dorang semua selalu menangis bila nak kena suntik. Korang semua ada menangis tak bila doktor nak suntik?” tanya Auni Liyana sengaja menduga.

“Tak!!” serentak mereka semua menjawab.

“Kalau makan ubat?”

“Tak!!”

“Tapi tak suka makan ubat....” rungut Adam dalam diam. Auni Liyana tertawa kecil mendengarkannya.

“Kalau tidur malam-malam seorang diri?” Auni Liyana terus menyoal.

“Tak!!!” makin nyaring mereka menjawab. Masing-masing makin tersenyum. Mereka mula memahami apa yang ingin disampaikan Auni Liyana.

“Walaupun mak dengan ayah tak ada temankan?” sengaja dia menduga lagi.

“Tak!!” kali ini, mereka semua tertawa kecil.

“Dan yang paling penting! Walaupun korang semua sakit dan selalu tak dapat pergi sekolah. Bagi akak, mereka yang masih boleh tersenyum dan ketawa walaupun sakit.... memang sangat hebat dan kuat. Sebab tak semua orang dapat buat macam tu,” ujar Auni Liyana lagi. Mereka suka mendengarkan kata-katanya. Sama-sama mereka bertepuk tangan bersetuju dengannya. “Dan untuk semua adik-adik akak yang hebat ni.... akak ada kek untuk korang!!”

“Wah!! Sukanya!” sahut Ain girang. Mereka yang lain juga melonjak suka.

Auni Liyana pun mengajak mereka duduk di sebuah meja bulat di taman itu. dia pun membuka kotak kek itu. Sebiji kek coklat dikeluarkan dari kotak itu. Dia pun mula memotong kek itu. Mereka sekadar mengoyakkan kotak kek itu untuk dijadikan alas. Beberapa jururawat yang kebetulan lalu di situ juga turut dipanggil untuk sama-sama menjamah kek itu. Mereka pun memang kebetulan ingin pergi menjenguk ke wad kanak-kanak itu.

“Nana rajin betul bawakkan kek untuk mereka semua ni,” ujar Salina sambil terus mencuit baki keknya.

“Alah, mana ada selalu. Lagi pun, dah lama Nana tak bawakan kek ke sini,” balas Auni Liyana.

“Umm, yalah tu! Manjakan sangatlah budak-budak ni. Makin nakal jadinya,” tingkah Farhana pula. Auni Liyana hanya tertawa kecil mendengarkannya.

“Mana ada kami nakal,” selar Afif sambil menjilat jarinya. Habis comot mulutnya memakan kek itu. Salina yang melihat sekadar menggeleng-geleng sahaja sambil tersenyum nipis.

“Tak nakal korang kata?! Habis tu, ni yang merayap keluar dari wad tengah hari buta macam ni. Tak nakallah tu? Penat tau akak cari korang,” ujar Farhana sambil sengaja menjegilkan matanya. Afif hanya tersengih bagaikan kerang busuk.

“Alah, nanti kalau kami semua duduk diam dalam bilik tu. Akak-akak semua tak ada kerja pulak. Jadi, kami bagilah kerja dekat akak untuk cari kami,” sahut Adam pula.

“Apa?!” Farhana sengaja menyaringkan suaranya. Wajahnya sengaja digarangkan. Apa lagi, mereka semua terus berlari dari situ.

Farhana pun bangun untuk mengejar mereka semua. Tak habis-habis dia berceloteh kepada kanak-kanak itu supaya jangan berlari laju sangat. Takut jatuh tersadung pula nanti atau terlanggar dengan orang. Dia sebenarnya sangat prihatin dengan semua kanak-kanak itu walaupun dia selalu memarahi mereka. Kanak-kanak itu pun tak pernah berkecil hati dengannya. Malah mereka semua sering mengusiknya ketika dia sedang membebel.

“Umm.... dah mula dah. Suka sangat budak-budak tu semua sakat Farhana,” ujar Salina yang masih lagi di situ. Dia dan Auni Liyana hanya tersenyum melihat keletah anak-anak kecil itu. “Eh, saya dah kena pergi ni. Ada kerja yang tak siap lagi ni. Terima kasih ya untuk kek ni,” ucap Salina sambil bangun berdiri.

“Okay! Selamat bekerja,” ucap Auni Liyana pula. Sebelum Salina pergi, sempat dia menyuruh jururawat itu mengambil lagi beberapa potong kek coklat itu untuk diberikan kepada kawan-kawan yang lain. Hanya tinggal dua potong yang paling besar sahaja untuknya.

Dia pun tak berlama di situ. Dia turut beredar sambil membawa dua potong kek itu berlapikkan kepingan kotak kek itu sahaja. Dia bercadang untuk memberikan sepotong kek kepada Doktor Yamin memandangkan dia memang akan berjumpa dengan doktor itu sekejap lagi.

“OKAY! Baguslah kamu makan ubat ikut waktu. Itu yang paling penting,” ujar Doktor Yamin sambil tersenyum manis. Auni Liyana sekadar membalas senyuman itu seadanya.

“Teruskan berdoa Nana. Jangan berputus asa. Saya selalu memantau kalau-kalau ada penderma yang sesuai tapi memang susah nak cari. Kalau pun sesuai, pasti ada faktor lain yang menghalang. Contohnya, perihal kesihatan penderma tu sendiri. kami tak boleh nak main ambil saja. Ada prosedur yang perlu dipatuhi,” sambung Doktor Yamin lagi apabila Auni Liyana sekadar mendiamkan diri. Selalunya gadis itu banyak bercakap tetapi hari ini dia sedikit kurang bersemangat. Risau sekiranya, Auni Liyana terlalu memikirkan sakitnya.

“Umm.... Insya-ALLAH. Saya tak pernah berhenti berharap. Saya sentiasa mengharapkan keajaiban berlaku,” balas Auni Liyana. Kemudian, dia diam kembali. Seketika dia memandang Doktor Yamin. Kemudian dia memandang pula kek yang dibawanya. Silih berganti dia memandang antara keduanya.

Doktor Yamin mengerutkan dahinya memandang gadis itu. kurang mengerti akan keletahnya ketika itu. “Kenapa Nana? Macam ada benda nak cakap saja,” tanya Doktor Yamin.

“Umm....” Auni Liyana tak pasti sama ada dia harus bertanya atau pun tidak. Tapi, dia ingin tahu. Kemudian, dia memandang kembali wajah Doktor Yamin. “Nana.... tak nampak pun Doktor Hazim hari ni. Dia cuti ke?” akhirnya terluah juga soalan yang ingin ditanyanya dari mula tadi.

Doktor Yamin terus ketawa mendengarkannya. Auni Liyana sekadar menjuihkan bibirnya melihatnya. Rupanya itu yang mengganggu fikiran gadis itu sejak tadi. Ingatkan apalah yang mengganggunya.

“Alah doktor ni. Janganlah gelak lagi. Seganlah Nana,” ujar Auni Liyana sengaja memasamkan wajahnya.

“Yalah, saya dah tak gelak dah,” balas Doktor Yamin sambil berdehem seketika untuk menghilangkan saki baki tawanya. “Yang Nana tanya pasal Doktor Hazim ni, kenapa? Sejak bila pulak Nana rapat dengan dia?” sengaja Doktor Yamin ingin menduga.

“Memanglah Nana tak rapat lagi dengan dia. Tapi ingatkan.... Nana boleh berkawan dengan dia,” jawab Auni Liyana jujur.

“Kawan saja?”

“Kawan sajalah doktor. Lagi pun, dalam keadaan Nana macam ni.... Nana dah tak fikirkan sangat pasal hal yang lebih serius dari tu. Nana tak ada kawan yang tahu pasal penyakit Nana ni. Jadi....” Auni Liyana diam mencari bicara seterusnya.

Doktor Yamin tersenyum nipis memandangnya. Dia memahami apa yang ingin dikatakan gadis muda itu. “Tapi kamu perlu jugak beritahu kawan-kawan kamu pasal hal ni. Kita tak boleh nak meramal masa depan,” nasihat Doktor Yamin.

“Nana tahu cuma.... belum bersedia lagi. Buat masa ni, biarlah dulu,” sahut Auni Liyana.

“Doktor Hazim ada dekat ruangan rehat rasanya. Tapi Nana tak boleh masuk ke situ. Nana suruhlah mana-mana nurse panggilkan dia,” beritahu Doktor Yamin.

“Okay! Terima kasih doktor,” ucap Auni Liyana ceria. Doktor Yamin sekadar tersenyum memandangnya. Senang dia melihat gadis itu tampak bersemangat.

Auni Liyana terus tersenyum sendirian sambil menatang sepotong kek yang tinggal itu. Dari jauh, dia dapat melihat sekumpulan jururawat sedang berbual. Mungkin mereka sedang merehat. Nasibnya baik kerana dia mengenali beberapa orang daripada mereka. Terus sahaja dia menyatakan permintaannya. Mereka juga tak kisah untuk membantunya. Namun, sempat jugak mereka tersenyum sambil mengusiknya. Auni Liyana tak berkata apa-apa. Sebaliknya, dia hanya tersenyum sambil menafikan pelbagai usikan mereka itu.

“DOKTOR Hazim!” panggil Natasya.

Doktor Hazim pun terus berkalih memandang jururawat yang makin menghampirinya itu. Dia tersenyum memandang jururawat itu.

“Ya?”

“Ada sorang awek cun nak jumpa doktor,” beritahu Natasya sambil bergurau. Doktor Hazim terdiam mendengarkannya. Mungkin jururawat itu sengaja ingin bergurau dengannya.

“Ada-ada sajalah awak ni,” balas Doktor Hazim sambil tertawa kecil.

“Lah.... betullah doktor! Dia tengah tunggu dekat luar tu. Cepatlah doktor,” desak Natasya pula. Doktor Hazim makin mencurigainya. Biar betul saja dia ni. Siapa pula nak jumpa dengan aku? Perempuan pulak tu! Hatinya terus berbolak balik namun dia mengekori juga jururawat itu.

“Tu! Awek yang nak jumpa dengan doktor tu,” tunjuk Natasya ke arah seorang gadis yang sedang membelakangkannya.

Doktor Hazim pun melangkah perlahan-lahan mendekati gadis itu. Jururawat tadi dan rakan-rakannya saling tersenyum-senyum. Dia semakin dekat dengannya. Ketika itu, dia dapat melihat sisi gadis itu. Doktor Hazim pun mula tersenyum sendiri bila dia mula mengecam empunya diri yang mencarinya.

“Nana,” panggil Doktor Hazim. Auni Liyana terus berkalih memandangnya. Gadis itu tersenyum ceria. “Umm.... awak cari saya?” tanyanya ingin memastikan. Auni Liyana tak menjawab. Dia sekadar mengangguk sahaja.

“Ada apa?”

“Nana nak bagi doktor ni!” ujar Auni Liyana sambil menghulurkan sepotong kek coklat itu. Terkebil-kebil Doktor Hazim memandang kek itu. Teragak-agak juga dia menerima pemberian itu. Dia cuba memikirkan sebab gadis itu memberikannya kek itu. takkan tiba-tiba sahaja ingin memberikan kek kepadanya. Pasti ada sebab? Getus hatinya.

“Nana bawakan kek untuk budak-budak yang ada dekat wad kanak-kanak tadi. Alang-alang dah bawa dan ada lebih ni, sajalah Nana nak bagi dekat doktor,” beritahu Auni Liyana tanpa ditanya. Dia dapat membaca riak wajah doktor muda itu. Pasti dia pelik kerana tiba-tiba sahaja diberikan kek itu.

“Oh, yakah? Terima kasih ya. Segan pulak saya nak terima,” ujar Doktor Hazim sambil tersenyum. Barulah dia mengerti kini.

“Tak apa! Lagi pun, Nana akan banyak susahkan doktor lepas ni,” kata Auni Liyana pula.

“Jangan cakap macam tu! Sebagai doktor, saya takkan pernah rasa susah. Tambah lagi dengan awak,” tingkah Doktor Hazim. Dia ikhlas mengatakannya. Auni Liyana tersenyum senang mendengarkannya.

“Terima kasih....”

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati