Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
48,156
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 14

AUNI LIYANA terus tersenyum memerhatikan gelagat dua ekor harimau di dalam kandangnya itu. Dia agak terleka memerhatikannya. Keletah mereka yang bercakaran dan berguling di atas tanah membuatkan dia tersenyum. Nampak kasar tapi begitulah cara mereka bermain. Ramai juga kanak-kanak di sisinya yang turut memerhatikan raja rimba itu.

Sempat Auni Liyana mengerling melihat apa yang dilakukan emak dan adik-adiknya. Naufal sibuk menekan punat kamera yang dipinjamkannya. Emaknya pula bersama Nufail sedang memerhatikan harimau bintang tak jauh dari situ. Auni Liyana tersenyum sahaja melihat mereka semua.

“Best jugak ya datang Zoo Negara ni. Dah lama sangat tak pergi mana-mana zoo,” ujar Naufal di sebelahnya.

“Hemm, tu pun tadi semua kata tak nak datang sini. Bosanlah kononnya,” perli Auni Liyana sambil tersenyum sinis. Naufal hanya tersengih mendengarkannya.

“Yalah! Dah akak cakap nak ke zoo. Tak terlintas langsung di otak Naufal ni yang akak nak ke sini. Tapi.... okaylah. Teringat pulak zaman kecik-kecik dulu. Kita banyak juga ya bela haiwan peliharaan,” sahut Naufal.

Ya, mereka memang pernah mempunyai banyak haiwan peliharaan ketika mereka kecil dahulu. Mereka ada membela arnab, kucing dan juga pelbagai jenis ikan. Tapi sekarang, semuanya sudah tiada lagi. Haiwan-haiwan itu kebanyakannya diberikan sahaja kepada kawan-kawan dan saudara-mara yang mahukannya. Banyak juga yang mati. Auni Liyana tersenyum sahaja mengenang zaman kecilnya. Dia memang suka dikelilingi haiwan. Sebab itulah, dia membela seekor kucing di sini.

“Bestlah akak kamera ni. Cantik saja shoot dia,” puji Naufal seterusnya sambil mengambil beberapa keping gambar lagi.

“Pandai guna ke?” sengaja Auni Liyana menduga.

“Eleh, ingat Naufal tak pandai ke guna kamera dlsr macam ni. Dekat universiti tu, ada jugaklah kawan Naufal yang guna kamera macam ni. Naufal pun belajar sikit-sikitlah dari dorang tu,” jelas Naufal sambil tersenyum megah. Auni Liyana hanya tersenyum mendengarkannya.

“Kalau macam tu, Naufal ambillah kamera tu. Akak hadiahkan,” ujar Auni Liyana.

“Eh, akak ni biar betul? Mahal tau kamera ni. Dahlah yang ni model terbaru pulak tu. Takkan senang-senang saja nak bagi dekat Naufal?” tanya Naufal sedikit kelam kabut. Dia seperti tak mempercayai apa yang dikatakan kakaknya. Memang dia selalu berhajat untuk memiliki kamera seperti itu suatu hari nanti tapi tak sangka pula kakaknya dengan senang sahaja ingin menyerahkan kamera itu kepadanya.

“Akak seriuslah,” tekan Auni Liyana menegaskan katanya. “Kalau Naufal tak kisah dengan kamera yang tu, Naufal ambillah,” ujarnya lagi sekali.

“Serius?!”

“Ya, serius!” tegas Auni Liyana.

Naufal terdiam seketika. Kemudian, dia melonjakkan tangannya ke udara dan tersenyum kegirangan. Dia memeluk erat kakaknya sambil terus mengucapkan terima kasih beberapa kali. Auni Liyana tertawa kecil melihat gelagat adik di bawahnya itu. Seperti kanak-kanak baru mendapat gula-gula sahaja keletahnya.

“Naufal janji akan jaga kamera ni sebaik yang mungkin!” janji Naufal. Auni Liyana hanya mengangguk mendengarkannya.

“Ni kenapa ni? Mak tengok, bukan main suka lagi kamu dari sana tu,” tanya Puan Musliha yang baru menyertai mereka bersama Nufail.

“Akak bagi kamera ni dekat Naufal,” jawab Naufal sambil menunjukkan kamera yang dipegangnya. Nufail sedikit terlopong mulutnya mendengarkannya.

“Tak apakah Nana bagi dekat adik kamu kamera yang nampak macam mahal ni?” tanya Puan Musliha sangsi.

“Tak apa mak. Lagi pun, Nana bukannya guna sangat pun kamera tu. Dah dia suka, Nana bagilah. Lagi pun, bukannya siapa pun. Adik Nana jugak,” akui Auni Liyana. “Dahlah mak! Kita pun dah pusing berapa kali dah pun zoo ni. Dah nak dekat tengah hari dah ni. Jomlah, kita pergi cari makan. Lepas tu, Nana nak bawa mak pergi shopping pulak. Belikan mak, barang yang mak nak nanti,” ajaknya kemudian.

“Yalah! Mak pun dah tak larat nak berjalan,” akur Puan Musliha. Kemudian, mereka pun beriringan ke parkir. Sebelum keluar, sempat Auni Liyana membelikan sedikit cenderahati yang dijual di pintu keluar zoo itu.

DOKTOR HAZIM mempercepatkan langkahnya. Tak sudah-sudah dia mengerling jam di tangan. Hampir sejam dia terlewat. Dia sedikit kesal dengan kelewatan yang tak dapat dielakkan itu. Sampai sahaja di restoran yang dijanjikan, terus sahaja dia menuju ke meja yang ditempah. Sempat dia menenangkan dirinya seketika sebelum menegur mereka yang ada di meja itu.

“Assalamualaikum...” ucap Doktor Hazim sopan.

“Oh, Hazim! Sampai jugak akhirnya. Duduklah,” jemput Dato' Daud sambil tersenyum menyambut kedatangan anak muda itu. Doktor Hazim pun bersalaman dengan lelaki itu sebelum duduk di kerusi kosong untuknya.

“Maaflah ibu, ayah, auntie, uncle. Saya lewat,” pinta Doktor Hazim mengakui salahnya datang lewat ke pertemuan itu. Memang mereka semua telah berjanji untuk makan tengah hari bersama hari ini tapi ada kesulitan yang tak dapat dielakkan.

“Tak apalah Hazim. Nak buat macam mana kalau ada hal yang tak boleh nak dielakkan. Yang penting, kamu datang jugak! Dah lama sangat auntie tak jumpa kamu,” ujar Datin Naurah pulak sambil memotong daging di dalam pinggannya. “Macam mana kamu sekarang? Sihat?” tanyanya lagi.

“Alhamdulillah... saya sihat saja auntie,” jawab Doktor Hazim sambil tersenyum.

“Tapi tulah kak Naurah. Dia makin sibuk pulak sejak dia mula bertugas dekat hospital tu. Sampaikan balik ke rumah pun dah makin jarang,” adu Puan Arifah perihal anak tunggalnya itu.

Doktor Hazim sekadar tersenyum nipis mendengarkannya. Memang tugasan di hospital semakin banyak memakan masa lapangnya. Tapi dia tak pernah kesalkan pilihannya. Dia sentiasa tenang dan gembira menjalankan tugasnya sebagai seorang doktor.

“Alah, biasalah tu Ifah. Dah mula kerja tu memang sibuk saja mereka ni semua,” balas Datin Naurah sambil terus menyuap makanannya. Anak-anaknya juga seperti itu. Kesibukan kerja selalu sahaja dijadikan alasan untuk jarang balik ke rumah ibu bapa.

“Sorry papa. Kawan yang telefon tadi,” ujar seorang gadis yang baru tiba di situ. Doktor Hazim sekadar tersenyum nipis memandang gadis itu. Mungkin anak bongsu Dato' Daud yang selalu diceritakan ibunya.

“Oh ya Hazim! Kenalkan, anak uncle yang kedua dan paling bongsulah. Kamalia...” ujar Dato' Daud memperkenalkan anak gadisnya itu. “Kamalia, nilah Hazim! Satu-satunya anak uncle Hazwan kamu ni,” perkenalnya lagi.

Kamalia tersenyum memandang Doktor Hazim. Dia sengaja memandang lama wajah doktor muda itu membuatkannya serba salah. Kamalia tertawa kecil bila Doktor Hazim beralah dengan pandangannya.

“Hemm, tak pernah berubah anak mama ni. Nakal dari dulu lagi,” ujar Datin Naurah sambil tersenyum nipis dengan keletah anaknya itu.

“Hai!” sapa Kamalia kemudiannya. Doktor Hazim pun mengangkat pandangannya memandang gadis itu.

“Hai,” balas Doktor Hazim ringkas. Kali ini, barulah dia tersenyum manis memandang gadis itu. Sekadar beradab sopan di hadapan orang tuanya.

“Leeya nak tahu. Hazim ni seorang doktor tau,” beritahu Datin Naurah.

“Saya masih lagi doktor pelatih auntie,” tegur Doktor Hazim sengaja merendah diri.

“Oh yakah? Mama pernah ceritakan pasal awak tapi mama tak pernah pulak beritahu Leeya yang awak ni doktor,” ujar Kamalia lalu menyedut minumannya. Doktor Hazim tak berkata apa. Dia sekadar tersenyum sahaja.

“Leeya ni pulak kerja dekat syarikat papa dia saja,” tambah Datin Naurah lagi. Doktor Hazim hanya mengangguk sahaja.

“Awak pulak yang lebih Naurah? Mereka berdua ni diam saja,” sampuk Dato' Daud yang diam dari tadi. Encik Hazwan tersenyum mendengarkan kata-kata kawannya itu.

“Yalah abang. Sebab tulah saya yang beritahu. Kalau tak, memang macam nilah mereka. Diam saja,” tingkah Datin Naurah.

“Betul tu,” sokong Puan Arifah. “Macam dah tak tahu nak bercakap pulak.”

“Alah, mereka ni segan lagi. Ni kan baru pertama kali jumpa,” sahut Encik Hazwan pulak.

“Ha’ah, biarkan sajalah mereka berdua ni berkenalan sendiri,” sokong Dato' Daud pulak.

Kemudian, mereka semua pun berbual seketika sebelum menghabiskan makanan tengah hari mereka. Setelah itu, mereka pun beredar dari restoran itu. Sengaja ibu bapa mereka menyuruh Doktor Hazim menghantar Kamalia pulang. Mereka mahu kedua-dua anak muda itu selesa sesama sendiri.

“So, awak nak balik sekarangkah?” tanya Doktor Hazim bila tinggal dia dengan Kamalia. Gadis itu diam seketika.

“Awak sibukkah?” tanya Kamalia kembali tanpa menjawab pertanyaan mula tadi.

“Saya tak sibuk sangat. Masih ada masa sebelum saya kena balik ke hospital,” jawab Doktor Hazim jujur.

“Kalau macam tu... temankan saya shopping!” ajak Kamalia sambil tersenyum riang. Dia pun mula melangkah dari situ.

“Eh, saya....” Doktor Hazim tak sempat untuk menghalangnya. Dia terpaksa akur dengan ajakan gadis itu. Sebenarnya, memang dia tak mempunyai sebarang urusan ketika itu tapi dia sedikit kekok untuk menghabiskan masanya bersama gadis yang baru dikenalinya itu. Dia mengeluh perlahan. Kali ini, dia terpaksa mengikut kata ibunya untuk berkenalan dengan anak kawannya.

Di sepanjang berada di dalam pusat beli-belah itu, Doktor Hazim banyak mendiamkan diri. Dia lebih senang memerhatikan sahaja suasana sekeliling.

“Hazim!” panggil Kamalia bila lelaki itu tampak sedikit mengelamun.

“Ya?” pantas Doktor Hazim kembali menumpukan perhatiannya kepada gadis itu.

Kamalia tertawa kecil melihat reaksinya. Doktor Hazim sekadar tersenyum nipis dan segan kerana agak mengelamun sebentar tadi. Gadis itu memang seorang yang manja sikapnya. Rupa parasnya pulak, tak perlulah nak dipersoalkan lagi. Dia memang seorang gadis yang cantik. Rambutnya yang dilepaskan juga tampak sedikit keperangan walaupun tidak terlalu ketara. Kamalia memang seorang perempuan yang moden dan mengikuti fesyen terkini. Begitulah tanggapan Doktor Hazim pada gadis itu.

“Kenapa panggil saya? Macam ada sesuatu saja,” tanya Doktor Hazim bila tawa gadis itu mulai kendur.

“Hemm, memang saya ada sesuatu nak cakap,” akui Kamalia. Doktor Hazim diam menanti bicaranya. “Saya cuma nak tahu... apa pendapat awak tentang kita?” tanya gadis itu.

“Maksud awak?” Doktor Hazim kurang mengerti.

“Awak tahu kan yang parents kita nak kita berkenalan. Mereka nak jodohkan kita. Jadi, apa pendapat awak tentang tu? Awak tak kisahkah?” tanya Kamalia lagi menjelaskan soalannya mula tadi.

Doktor Hazim terdiam. Tak sangka gadis itu akan membicarakan perihal itu. Sejujurnya, memang dia tak bersetuju dengan cadangan ibunya itu tapi dia terpaksa akur jua kali ini untuk menjaga hati ibunya. Lagi pun, dia sendiri pun masih belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga. Tambah lagi, kehadiran Auni Liyana dalam hidupnya tambah mendesak hatinya untuk menolak saranan ibunya itu. Tapi dia sudah pun berjanji dengan ibunya. Jadi, dia serba salah bagaimana untuk menyatakannya pada Kamalia.

“Saya....” Doktor Hazim tak pasti bagaimana untuk berkata. Melihatkan Kamalia hanya mengingatkannya kepada Auni Liyana. Kenapalah wajah gadis itu begitu kuat melekat pada fikirannya ketika ini.

Kamalia hanya diam menanti jawapan Doktor Hazim. Sengaja dia ingin mengetahui reaksi lelaki itu di atas soalannya. Sebenarnya, dia juga tak bersetuju di atas perjodohan yang diaturkan keluarga mereka ini. Tapi, sengaja dia akur dengan kata-kata mamanya. Dia ingin melihat bagaimana lelaki pilihan mamanya untuk dirinya. Tambah lagi, mamanya juga tidaklah begitu mendesak supaya terjalin jodoh ini. Sekadar memintanya memberikan peluang. Dia boleh menolak pilihan ini bila-bila masa saja.

“Maaf! Saya sebenarnya tak berapa setuju dengan aturan keluarga kita ni. Tapi, saya ikutkan juga sebab saya tak nak ibu saya berkecil hati pulak dengan saya,” akur Doktor Hazim berterus terang.

Kamalia terdiam mendengarkannya. Tak sangka lelaki itu berani untuk berterus terang dengannya. Dan Doktor Hazim tampak tegas menyatakannya. Gadis itu mengetap bibirnya. Agak menarik doktor ni. Getus hati kecilnya.

“Walaupun pilihan ibu awak, gadis macam saya?” sengaja Kamalia menduga.

“Hah?” Doktor Hazim tampak terpinga-pinga. Kamalia tertawa kecil melihatkannya. Lelaki itu memang seorang yang jujur dan baik. Sedikit lurus juga. Tambah hati kecil Kamalia.

Sorry! Saya bergurau saja,” pinta Kamalia. “Terus terang cakap, setakat ni tak pernah ada lelaki yang menolak saya,” tambahnya lagi.

“Oh... maaf,” kata Doktor Hazim serba salah.

“Oh tak! Jangan salah faham pulak. Saya tak kisah pun. Saya pun sama juga macam awak. Saya masih tak bersedia untuk semua ni. Mungkin kita boleh cakap elok-elok dengan keluarga kita supaya mereka tak adalah berharap sangat dengan semua ni,” ujar Kamalia. Doktor Hazim tersenyum lega mendengarkannya. Mujur gadis itu sependapat dengannya. “Awak seorang yang berterus terang. Saya suka tu. It’s kind of cute!” sambung gadis itu.

Doktor Hazim terdiam mendengarkannya. Ini kali kedua dia menerima pujian itu. Tapi, berbeza perasaannya bila Kamalia mengatakannya. Tiada rasa segan dan suka. Sekadar senang menerimanya.

“Jadi.... awak dah ada awekkah? Mungkin sebab tu awak tolak pilihan ni,” tanya Kamalia ingin tahu.

“Tak adalah. Cuma saya nak fokuskan dekat kerjaya saya dulu. Saya nak cuba bina hidup sendiri dulu sebelum saya cari seorang suri,” jawab Doktor Hazim jujur. Kamalia tersenyum nipis mendengarkannya. Lelaki yang komited dengan kerja. Getus hati Kamalia terus membuat penilaian terhadap lelaki itu.

Untuk seketika, Doktor Hazim lebih selesa untuk berbual dengan Kamalia. Rasa kekoknya mulai hilang. Gadis itu rupanya senang dibawa bicara. Dia seorang yang mudah memahami.

Doktor Hazim gembira kerana mereka mencapai kata sepakat dalam hal itu. Nampaknya tidak kesampaianlah hajat ibunya untuk bermenantukan anak kawannya ini. Mungkin ibunya akan membebel dengannya kemudian tapi tidak mengapalah. Asalkan dia sudah mengambil peluang untuk berkenalan dengan gadis ini. Bukannya dia tidak berkenan tapi hatinya begitu kuat menolak. Ada bayangan gadis lain yang mengaburkan pandangannya dengan kecantikan dan tingkah manja Kamalia. Baginya, cantik semata-mata tidak menjanjikan kebahagian. Perlu ada persefahaman dan keserasian di antara pasangan untuk benar-benar bahagia.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati