Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
109,183
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 19

STERENG kereta dipegang kemas. Rifdi Riyadh cuba menumpukan perhatiannya terhadap pemanduannya. Tapi sering kali itu juga, dia teringatkan kembali kata-kata mamanya. Berkali itu jugalah, dia mengeluh berat. Sempat juga dia mengerling jam di tangan. Dia sudah lewat untuk bertemu dengan mamanya. Sebenarnya, sengaja dia melewatkan dirinya. Kalau boleh, dia mahu mengelak dari pertemuan itu tapi dia terlanjur janji dengan mamanya.

Rifdi Riyadh mengeluh lagi sekali di dalam keretanya. Dia sudah pun sampai ke Restoran Malay Cuisine seperti yang dijanjikan itu. Tapi sengaja dia melengahkan sedikit masanya untuk masuk ke dalam. Walaupun dia tak bersetuju dengan rancangan mamanya ini tapi sedikit sebanyak, dia juga berdebar untuk dikenalkan dengan anak kawan mamanya itu.

Bagaimana kalau benar seperti apa yang dikatakan abahnya? Macam mana kalau dia benar-benar jatuh hati dengan gadis itu nanti? Hemm... kalau ya pun. Apa salahnya kan? Tak perlulah susah payah aku nak cari calon nanti. Getus hatinya.

Walaupun hatinya masih berat, Rifdi Riyadh melangkah masuk juga ke dalam restoran itu. Lagi pun, mamanya sudah menghubunginya sebentar tadi bertanyakan kedudukan ketika itu. Sempat juga dia memberitahunya yang gadis itu juga belum sampai lagi. Hanya keluarganya sahaja yang sudah sampai. Itu pun, mamanya sendiri yang menjemput mereka di rumah. Nampaknya, beria benar mamanya ingin dia berkenalan dengan gadis itu.

“Ops, sorry!” pinta Rifdi Riyadh sebaik sahaja dia terlanggar bahu dengan seseorang. Lelaki muda itu pun turut meminta maaf.

Kemudian, mereka berdua berpandangan seketika. Agak lama juga pandangan mereka bertemu sebelum mereka saling tersenyum dan melangkah dari situ. Lelaki itu juga melangkah dalam arah yang sama dengannya. Rifdi Riyadh hanya diam sahaja. Mungkin mejanya berdekatan dengan meja keluarganya.

“Assalamualaikum,” sapa Rifdi Riyadh sebaik sahaja sampai ke meja keluarganya.

“Waalaikumussalam...” jawab mereka semua yang ada di situ.

Rifdi Riyadh menyalami tangan abahnya dan mamanya. Sempat juga, dia berjabat tangan dengan anak lelaki kawan mamanya itu. Lagi sekali dia terdiam bila dia berjabat tangan dengan lelaki yang sama berlanggar dengannya tadi. Sebenarnya, dia seperti pernah bertemu dengan lelaki itu tapi dia sendiri tak pasti di mana. Mungkin hanya perasaannya sahaja.

“Hei, kenapa kau pandang abang tu macam tu?” tanya Nufail berbisik perlahan sambil menyiku lengan Naufal.

“Entahlah. Aku rasa macam nak kenal dengan dia tapi... tak pastilah pulak siapa,” balas Naufal sambil mengerutkan dahinya. Dia juga cuba untuk mengingati wajah lelaki itu.

“Ni ke anak lelaki yang kau ceritakan dekat aku hari tu?” tanya Puan Musliha.

“Ha’ah, nilah anak aku yang paling sulung. Kau mesti ingat lagi kan?” tanya Puan Hayati menduga ingatan kawannya itu.

“Ha’ah, kau selalu bawa dia main dengan anak aku dulu kan,” balas Puan Musliha. Sedikit sebanyak dia ingat juga kepada anak muda itu. “Amboi, bukan main hensem lagi anak kau ni sekarang,” puji Puan Musliha kemudiannya. Rifdi Riyadh hanya tersenyum mendengarkan pujian itu.

“Alah, anak-anak lelaki kau pun sama jugak. Hensem-hensem duanya,” sahut Puan Hayati pula. Kemudian, mereka pun tertawa. Encik Mukhriz juga turut tertawa sekali. “Hah, Rifdi! Ni lah kawan mama yang selalu mama cerita tu. Musliha nama dia tapi mama panggil Leha saja. Yang tu pulak anak-anak lelaki dia. Err...” Puan Hayati sebenarnya tak berapa ingat nama kedua-dua anak lelaki kawannya itu.

“Naufal,” ujar Naufal memperkenalkan dirinya sendiri.

“Nufail!” sahut Nufail pula. Puan Musliha tersenyum melihat mereka berdua. Senang hati dia melihat adab kedua-dua anak lelakinya itu.

“Rifdi,” Rifdi Riyadh pula memperkenalkan dirinya.

“Anak perempuan kawan mama ni belum sampai lagi. Kejap lagi dia sampai agaknya,” ujar Puan Hayati lagi. “Anak kawan mama yang mama nak kenalkan dengan Rifdi ni pun, anak sulung macam Rifdi jugaklah. Kecil-kecil dulu, mama selalu bawa Rifdi ke rumah dia dekat kampung. Rifdi suka betul main dengan Auni dulu. Kalau mama tak ajak Rifdi pergi rumah mak cik Leha ni, mesti Rifdi yang akan ajak mama. Tiap-tiap hari jugaklah kita ke rumah dia,” tambah Puan Hayati lagi.

Rifdi Riyadh hanya tersenyum mendengarkannya. Sebenarnya, dia bukannya ingat sangat semua itu. Tapi, kalau mengikut cerita mamanya itu. Kiranya, gadis yang akan diperkenalkan dengannya itu boleh jugalah dikatakan teman sepermainannya ketika kecil dulu. Hemm... Auni ya? Sedap nama dia. Sempat juga dia memujinya di dalam hati.

“Oh, kawan mama dari kampung nenek ya?” tanya Rifdi Riyadh kemudiannya ingin memastikan.

“Ha’ah, kami kenal dari sekolah rendah lagi. Sama-sama habiskan sekolah menengah dulu kan, Yati?” ujar Puan Hayati sambil tersenyum.

“Ya, betul tu! Susah nak berenggang dulu,” sahut Puan Musliha pula.

“Sebab tulah keluarga kita dulu rapat dengan keluarga mereka,” sampuk Encik Mukhriz pula yang diam dari tadi. Rifdi Riyadh hanya mengangguk sahaja mendengarkannya.

“Hah, tu pun anak mak cik dah sampai,” ujar Puan Musliha bila dia melihat kelibat anak gadisnya melangkah ke meja mereka.

“Sorry mak! Lambat sikit. Sesak pulak jalan tadi,” pinta Auni Liyana sambil menyalami tangan emaknya.

“Minta maaf ya mak cik, pak cik! Nana lambat pulak,” pinta Auni Liyana kepada tetamunya pulak.

Ketika itulah, dia terus terdiam. Tubuhnya terasa kaku sekali. Seakan-akan dia tak lagi bernafas. Darahnya juga seakan berhenti mengalir. Jantungnya juga seperti tak lagi berdegup. Lelaki yang sedang memandangnya juga tampak sama sepertinya. Masing-masing hanya diam seribu bahasa.

“Abang,” panggil Puan Hayati berbisik kepada suaminya. Encik Mukhriz pun memandang isterinya. “Tengok tu. Terus terdiam Rifdi dibuatnya. Mesti dia dah berkenan kan dengan Auni tu,” tanya Puan Hayati. Bibirnya terus menguntum senyuman manis.

“Hemm...” balas Encik Mukhriz. Tapi, pada pandangan dia. Daripada nampak seperti berkenan, lebih kepada terkejut pulak reaksi anaknya dan gadis itu.

“Hah, Auni. Kenapa berdiri saja. Duduklah,” pelawa Puan Hayati. Ketika itu, barulah Auni Liyana tersedar dari lamunannya.

“Ahh... urmm... ya...” kata Auni Liyana perlahan. Dengan perlahan-lahan jugalah dia menarik kerusinya. Dia duduk diam sahaja di kerusinya.

Rifdi Riyadh ketika itu ringan sahaja duduknya ingin bangun dari situ. Tapi mujurlah dia masih ingat yang mamanya turut ada di situ. Dia tak mahu pula mengeruhkan keadaan ketika itu. Ketika itu jugalah, dia kembali teringatkan lelaki muda yang bernama Naufal itu. Ya, dialah lelaki yang sama menjemput gadis itu ketika majlis di hotel tempoh hari. Rupa-rupanya itu adik lelaki dia.

Ketika itu jugalah, dia teringatkan kembali rancangan mamanya dan juga janjinya. Auni?! Mama maksudkan... yang dia nak kenalkan aku dengan perempuan ni?! Mama!!! Jerit hatinya.

Seribu satu penyesalan dirasakan ketika itu kerana terlanjur janji dengan mamanya. Dia bukanlah seorang lelaki yang diajar untuk mungkir janji tapi hanya untuk kali ini sahaja. Dia terpaksa mungkir janji dengan mamanya. Mustahil sekali untuk dia jatuh hati dengan gadis itu. Jadi rancangan mamanya hanyalah sia-sia. Dia juga tak mahu untuk keluar dengan gadis itu di hujung minggu seperti yang dijanjikan. Ya, dia perlu selesaikan semuanya dengan kadar segera. Dia perlu memberitahu mamanya keputusannya hari ini jugak. Tak sabar untuk dia beredar dari situ.

“Jomlah, kita makan dulu! Lepas makan dah kenyang nanti, bolehlah kita sambung bercerita pulak,” ajak Puan Hayati. Mereka semua pun setuju dengannya. Rifdi Riyadh dan Auni Liyana juga terpaksa setuju walaupun selera masing-masing seakan mati ketika itu. Dipaksakan juga tekak mereka menelan nasi itu.

“Kenapa macam tak berselera saja, mak tengok kamu makan Nana? Tak sihat lagi ke?” tanya Puan Musliha sedikit risau dengan tingkah anaknya ketika itu.

“Kenapa Yati? Auni tak sihat ke?” tanya Puan Hayati turut risau. Tak sempat untuk Auni Liyana berkata apa. Dia hanya diam sahaja.

“Tak adalah. Tapi sebelum ni dia ada demam sampai masuk ke hospital. Tu pun dia cuba rahsiakan dari aku tapi aku tahu jugak sebab balik hari tu, demam dia masih teruk jugak. Tu yang aku risau tu. Manalah tahu, kalau tak berapa sembuh lagi ke,” beritahu Puan Musliha.

Rifdi Riyadh terus tersedak mendengarkannya. Dia kembali teringatkan hal di mana dia menolong gadis itu ketika dia pengsan di parkir hari itu. Auni Liyana hanya tersenyum nipis melihat tingkah lelaki itu. Dia dapat mengagak kenapa lelaki itu tersedak.

“Hah, kenapa pulak ni Rifdi? Sampai tersedak makan nasi. Tulah, lain kali makan perlahan-lahan,” tegur Puan Musliha sambil mengurut belakang anaknya itu. Rifdi Riyadh hanya diam sahaja mendengarkannya sambil mengatakan tiada apa-apa.

Sempat juga dia mengerling memandang gadis itu yang sedang tersenyum nipis. Rifdi Riyadh pun mengetapkan bibirnya dalam diam geram dengan senyuman yang baginya bagaikan sindiran itu. Mereka yang lain hanya melihat sahaja ulah kedua anak muda itu. Masing-masing dengan pelbagai andaian sendiri ketika itu.

“Auni...” panggil Puan Hayati. Gadis itu pun tersenyum sambil memandang kawan emaknya itu. “Ni mak cik nak kenalkan anak laki sulung mak cik. Rifdi Riyadh namanya,” perkenal Puan Hayati.

“Urm... ya...” hanya itu terluah dari bicara Auni Liyana.

“Hah, nilah gadis yang mama nak kenalkan dengan Rifdi tu. Auni Liyana... sedap dan cantik kan nama dia. Macam tuannya jugak,” sempat lagi Puan Hayati memuji gadis itu.

Rifdi Riyadh sekadar mencemuh di dalam hatinya. Dia cuba berlagak tenang walaupun hatinya begitu memberontak sekali untuk menghentikan rancangan mamanya ketika itu. Dia mengepal erat jari jemarinya cuba mencari kekuatan.

“Mama...” panggil Rifdi Riyadh berbisik. Puan Musliha pun memandang anak lelakinya itu. “Boleh tak kita... tak teruskan rancangan mama tu?” pinta Rifdi Riyadh. Dia benar-benar berharap mamanya bersetuju dengannya walaupun dia tahu betapa mustahilnya harapannya ketika itu.

“Isyy, apa yang kamu mengarut ni Rifdi! Kan kita dah janji. Lagi pun, mama dan mak cik Leha ni pun dah sama-sama berjanji. Rifdi jangan nak memandai-mandai pulak nak mungkir janji. Munafik namanya tu,” leter Puan Hayati turut berbisik dengan anaknya itu. Sempat juga, dia menyelitkan perihal hukum agama.

Rifdi Riyadh mengeluh perlahan mendengarkan ketegasan mamanya. Dia tahu akan reaksi mamanya tapi tak salah kan mencuba? Manalah tahu kalau mama dia bersetuju dengannya. Kemungkinan itu sentiasa ada walaupun semustahil mana pun.

“Leha,” panggil Puan Hayati. Dia memberi isyarat kepada kawannya itu untuk meneruskan agenda mereka. Puan Musliha pun tersenyum memandangnya.

“Jadi... macam kita dah bersetuju sebelum ni. Nana pun dah janji dengan mak. Rifdi pun dah janji dengan mak dia jugak,” ujar Puan Musliha sambil memandang Puan Hayati. Kawannya itu tersenyum sambil mengiyakannya. “Kami harap... yang Nana dan Rifdi sama-sama dapat beri peluang dekat diri sendiri untuk saling berkenalan. Kami tak adalah memaksa. Cuma... manalah tahu kalau hasrat kami ni akan termakbul,” tambah Puan Musliha lagi.

Auni Liyana hanya tersenyum nipis mendengarkannya. Dia memandang Rifdi Riyadh yang sengaja mengelak dari memandangnya. Sebenarnya, dia sedikit geli hati dengan ulah lelaki itu ketika itu. Rifdi Riyadh yang dikenali sebagai seorang yang tegas dan berpendirian teguh juga degil mempunyai bahagian yang lembut juga. Rupa-rupanya dia seorang anak yang taat dan hormatkan mamanya. Kalau tak, tak mungkin dia sanggup untuk terus berada di situ dan terus menghadap muka gadis yang dibencinya dari dulu.

Hehe... menarik pulak aku tengok dia diam macam ni saja! Kalau tak, asal jumpa aku saja mesti ada saja yang tak kena. Tak pernah lembut kata-kata dia dekat aku. Tapi aku tahu yang dia seorang yang baik dan jujur. Sebab tulah, aku terpikat dengan dia. Dan sebab tu jugaklah... untuk kali ni saja, biarlah aku tolong dia! Lagi pun, cukuplah selama ni dia bencikan aku. Aku pun tak mahu tambahkan lagi kebencian tu. Putus hati kecil Auni Liyana.

“Mak,” panggil Auni Liyana.

Puan Musliha yang leka berbual dengan kawannya itu pun berkalih memandang anaknya. Anak gadisnya itu tersenyum memandangnya. Tapi naluri ibunya mengatakan ada sesuatu yang serius ingin dikatakan anaknya. Auni Liyana tak berkata apa. Sebaliknya dia menarik tangan emaknya dan menyalaminya. Puan Musliha terdiam melihat ulahnya. Mereka yang lain juga turut terdiam.

“Nana minta maaf sangat dengan mak. Nana betul-betul minta maaf mak,” pinta Auni Liyana bersungguh-sungguh.

“Kenapa ni Nana? Tiba-tiba saja serius macam ni?” tanya Puan Musliha sedikit risau. Auni Liyana tak menjawab sebaliknya dia berkalih pula memandang Puan Hayati dan Encik Mukhriz. Dia tersenyum manis memandang mereka berdua.

“Mak cik... pak cik! Nana pun nak nak minta maaf dengan mak cik dan pak cik. Dari hati, Nana minta maaf,” ujar Auni Liyana lagi.

“Rifdi,” panggil Auni Liyana seterusnya. Lelaki itu hanya memandangnya sekilas. “Nana minta maaf...”

“Kenapa ni Auni? Minta maaf pulak?” tanya Puan Hayati pulak. Dia juga turut berasa risau. Encik Mukhriz juga mengerutkan dahinya. Adik-adiknya juga hanya diam menanti bicaranya. Rifdi Riyadh juga terdiam. Entah apa yang ingin dikatakan gadis itu.

“Nana nak batalkan rancangan mak dan mak cik,” ujar Auni Liyana berterus terang. Rifdi Riyadh terpana mendengarkannya. Terus sahaja dia memandang gadis itu seperti kurang mempercayai apa yang didengarinya. Gadis itu hanya tersenyum memandangnya. “Nana dan Rifdi tak mungkin akan bersama macam apa yang mak dan mak cik dan pak cik jugak harapkan. Mustahil antara kami. Jadi, Nana terpaksa mungkir janji Nana. Untuk kali ni saja, mak. Nana betul-betul minta maaf,” sambung Auni Liyana seterusnya. Mereka terus terdiam.

“Ta... tapi kenapa?” tanya Puan Hayati sedikit kalut. “Mak cik tahu yang anak mak cik tak adalah sempurna sangat tapi...”

“Tak, mak cik! Tak ada sebarang masalah dengan Rifdi. Cuma... Nana saja yang tak boleh terima. Sebab... Nana rasa Nana sangat tak layak untuk anak mak cik ni. Dia lebih layak dapat perempuan yang lebih baik dari Nana. Jadi, Nana minta maaf sekali lagi,” ujar Auni Liyana lagi memotong kata-kata Puan Hayati. Lembut sahaja nadanya. Ada juga sedikit sayu. Dia sudah nekad dengan keputusannya. Sempat dia tersenyum memandang Rifdi Riyadh sebelum berkalih memandang emaknya di sebelah.

“Mak. Nana kena balik ke pejabat dulu. Mak nak Nana hantarkan mak balik ke rumah ke?” tanya Auni Liyana kepada emaknya pula.

Puan Musliha masih lagi terkejut dengan keputusan tiba-tiba anaknya itu. Baru semalam sahaja, dia sudah bersetuju dengan rancangan itu walaupun jenuh untuk dia memujuk untuk gadis itu bersetuju dengannya.

“Tak apalah Auni. Biar mak cik hantarkan mak Auni balik nanti,” ujar Puan Hayati sebelum sempat Puan Musliha menjawabnya.

“Kalau macam tu, baiklah. Terima kasih ya mak cik,” ujar Auni Liyana.

Selepas itu, dia pun menyalami emaknya dan juga Puan Hayati. Sempat emaknya memandangnya dalam ketika dia menyalami tangannya. Emaknya tidak berkata apa-apa tapi dia tahu yang emaknya mungkin kecewa dengan keputusannya ini.

RIFDI RIYADH pun segera meminta dirinya juga. Entah mengapa, dia rasa dia perlu mengejar gadis itu. Ada perkara yang perlu diselesaikan. Seperti hal itu masih belum selesai lagi. Laju sahaja dia mengayuh langkahnya mendahului gadis itu. Dia berhenti betul-betul di hadapannya membuatkan gadis itu sedikit terkejut.

Auni Liyana hanya memandang lelaki di hadapannya itu. Dia hanya diam sambil menanti bicara lelaki itu kerana dia rasa dia sudah tak punyai apa-apa lagi untuk dikatakan. Tapi wajah lelaki itu tampak tak keruan. Dia mundar-mandir sahaja di hadapannya untuk seketika. Gadis itu tersenyum nipis melihat ulah lelaki itu.

“O... okay,” kata Rifdi Riyadh akhirnya. Mungkin dia sudah menyusun bicaranya. Dia memandang tepat wajah gadis itu. “Sesungguhnya... ya ALLAH ya Tuhanku... aku tak pernah pun berdoa walaupun sekali untuk berjumpa balik dengan kau! Tapi aku sendiri pun faham. Kalau dah takdir nak buat macam mana kan?” ujar Rifdi Riyadh seterusnya. Auni Liyana masih lagi diam dan terus tersenyum.

“Lepas tu, jadi macam ni pulak! Mama aku nak jodohkan aku dengan kau?! Perempuan yang paling aku benci?!” Rifdi Riyadh diam seketika dalam pertanyaannya sendiri. “Aku tak fahamlah! Kenapa setiap perkara penting dalam hidup aku... perlu ada kau?!” tingkah lelaki itu. Nadanya sedikit meninggi.

Auni Liyana masih lagi diam. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu ketika itu. “Hemm... tengah-tengah marah pun, awak masih ingat Tuhan ya? Alhamdulillah...” ujarnya sambil menadah tangannya. Terus sahaja, lelaki itu memandangnya tajam.

“Aku seriuslah! Kau jangan nak buat lawak pulak!” sergah Rifdi Riyadh.

“Lah, Nana pun serius jugak tapi... Nana tak fahamlah. Kenapa Rifdi nak marah-marah macam ni?” tanya Auni Liyana.

“Se... sebab... sebab mama aku nak jodohkan aku dengan kau. Dan aku memang bencikan kau. Dan...” Rifdi Riyadh tergagap mencari bicaranya.

Auni Liyana menahannya dari terus berkata. “Rifdi dah pun cakap tadi. Dah kali kedua dah ni pun,” celah gadis itu.

Rifdi Riyadh mendengus kasar. Gadis itu masih juga mahu bergurau dengannya sedangkan fikirannya begitu berkecamuk ketika itu. Tapi dia tak tahu bagaimana untuk menyatakan isi hatinya yang sebenar. Dia juga keliru dengan apa yang ingin dikatakannya.

“Rifdi...” panggil Auni Liyana lembut. Lelaki ini pun memandangnya. Lembut pandangan gadis itu membuatkan Rifdi Riyadh sedikit terpana. “Apa yang Rifdi nak cakapkan sebenarnya?” tanya gadis itu. Dia tahu, bukan itu yang ingin dikatakan lelaki itu. Pasti ada perkara lain yang menganggunya.

Rifdi Riyadh diam seketika. “Kenapa Nana... tolak Rifdi?” tanya lelaki itu. Perlahan sahaja nadanya tapi cukup jelas di pendengaran gadis itu.

Auni Liyana terpempan mendengarkannya. Itulah kali pertama lelaki itu bersuara lembut dengannya dan yang paling penting adalah soalannya. Apa maksudnya dengan soalan itu?

“Eh? Apa maksud Rifdi? Bukan ke tu jugak yang Rifdi nak?” tanya Auni Liyana tak mengerti dengan ulah lelaki itu.

Rifdi Riyadh tampak sedikit kalut. “Err... a... aku... maksud aku! Sepatutnya aku yang reject kau bukannya kau yang reject aku!” kata lelaki itu kemudiannya.

“Oh... ni kira kes ego tercabarlah ni sebab Nana yang reject Rifdi?” sengaja Auni Liyana menduga. Gadis itu berani sekali berkata-kata sebegitu dengan lelaki itu.

Lagi sekali, Rifdi Riyadh tak tahu untuk berkata apa. Auni Liyana mengeluh perlahan melihatkannya. Entah mengapa, dia lebih selesa bila lelaki itu bercakap kasar dengannya seperti selalu. Seakan itulah keserasian antara mereka walaupun kasar. Melihatkan Rifdi Riyadh kelihatan serba salah sebegitu membuatkan dia turut rasa bersalah.

“Maaf, Nana bergurau saja,” pinta Auni Liyana memecahkan kesunyian antara mereka yang hanya beberapa saat itu. “Nana cakap macam tu sebab... sekurang-kurangnya, walau apa pun jadi. Dorang semua akan salahkan Nana. Nana tak kisah asalkan mama Rifdi tak salahkan Rifdi dalam hal ni. Sebab tak sangka pulak Rifdi seorang anak yang sangat taat dengan mak. Susah nak cari lelaki macam ni sekarang. Jadi, tak perlulah Rifdi rasa bersalah dengan mama Rifdi pulak,” sambung Auni Liyana. Dia tersenyum mengenangkan kembali keletah lelaki itu dengan mamanya tadi.

Rifdi Riyadh memandang gadis itu. “Aku tak perlukan simpati atau pertolongan dari kau! Aku boleh selesaikan sendiri hal ni dengan mama aku. Jadi, jangan kau fikir yang kau dah berjasa dengan aku pulak,” tingkahnya.

“Rifdi tak perlu anggap apa yang Nana buat ni jasa untuk Rifdi. Apa pun yang Nana buat adalah untuk diri sendiri. Sebab... Nana tak layak untuk berharap dan...” Auni Liyana terdiam seketika. Ada sendu di nadanya. Dia cuba menenangkan dirinya. Tabah Nana! Jangan biarkan perasaan ni kuasai diri kau! Tegah hati kecilnya. “ Boleh tak Rifdi jawab satu saja soalan Nana ni. Rifdi memang bencikan Nana ke?” tanya gadis itu. Walaupun sudah tahu akan jawapannya tapi dia ingin memastikan. Untuk kali ini, dia harus pastikan dengan senyatanya.

“Kenapa tanya macam tu pulak? Kau sendiri pun memang dah sedia maklum kan macam mana perasaan aku dekat kau. Kalau kau nak aku katakan berulang kali pun, aku tak kisah,” balas Rifdi Riyadh. Agak dingin nadanya ketika itu.

Kemudian, dia diam seketika sebelum meneruskan kata-katanya. Dia memandang tepat wajah gadis itu yang sedang memandangnya. “Aku...! Aku... benci... aku bencikan kau,” kata Rifdi Riyadh tapi nadanya kedengaran rendah sahaja. Dia sendiri tak faham mengapa dia berlembut begitu dengan gadis itu. Kenapa garangnya boleh hilang ketika itu?

Auni Liyana tersenyum mendengarkannya. Tiada apa yang perlu dikejutkan. Dia sendiri juga sudah maklum akan hal itu. Cuma nadanya yang lembut dan perlahan agak menghairankannya. Dia pun memandang lelaki itu sambil tersenyum manis.

“Terima kasih Rifdi. Sekurang-kurangnya Rifdi masih ada perasaan untuk Nana walaupun benci. Sekurang-kurangnya juga, Nana tahu yang Nana akan sentiasa berada di hati Rifdi. Nana tahu yang benci Rifdi tu untuk selamanya. Bila difikirkan balik. Nana bertuah sebab walaupun Rifdi cuba nak lupakan Nana tapi Rifdi takkan boleh lupakan perasaan benci ni selagi Rifdi tak boleh maafkan Nana. Rifdi akan terus mengingati Nana. Jadi terima kasih untuk tu,” ujar Auni Liyana panjang lebar. Rifdi Riyadh hanya diam sahaja mendengarkannya. “Dan... sila jangan berhenti membenci Nana,” pinta gadis itu sebelum beredar dari situ.

Dia tahu dia tak dapat menahan perasaannya lagi ketika itu. Dia mungkin akan menangis di depan lelaki itu jika dia terus berlama di situ. Itulah yang paling mahu dielakkannya. Dia bukanlah setabah yang disangkakannya. Sebenarnya, dia rapuh sekali bila berhadapan dengan lelaki itu. Sangat rapuh.

Rifdi Riyadh terkesima. Dia benar-benar terdiam mendengarkan kata-kata gadis itu. Hatinya bergetar hebat sekali mendengarkannya. Dia melihat sahaja Auni Liyana berlalu dari situ. Dia juga melangkah perlahan menuju ke keretanya. Pelbagai hal sedang bermain di fikirannya ketika itu. Dia menghidupkan enjin kereta dan membiarkannya dahulu. Dia masih belum ingin beredar dari situ. Pandangannya ketika itu tampak kusut sekali.

“Kenapa aku tanya macam tu?” tanya Rifdi Riyadh sendiri. Perlahan saja suaranya. Kenapa dia reject aku? Dia teringat kembali soalannya tadi.

Bukankah sepatutnya aku gembira sebab rancangan mama aku tak jadi sebab dia dah berterus terang macam tu? Jadi kenapa aku rasa macam ni? Macam ada yang tak kena? Macam... arghh!!! Aku tak fahamlah! Kenapa aku rasa berserabut sangat ni?! Jerit hati kecilnya.

“Tapi... kenapa dia cakap macam tu?” itulah yang paling membebankan jiwa Rifdi Riyadh ketika itu.

Kata-kata akhir Auni Liyana tadi benar-benar terkesan di hatinya. Seakan bencinya selama ini begitu melampau. Seakan dialah insan yang paling hina kerana tak mampu memaafkan seorang gadis cuma di atas kesilapan lampau. Tapi... benarkah gadis itu bersalah? Keraguan mula menjalari hatinya di atas kisah lalu yang dia tak pasti akan kebenarannya lagi.

TANPA pengetahuan Rifdi Riyadh atau Auni Liyana, keluarga mereka telah memerhatikan mereka berdua dari mula lagi. Walaupun, mereka tak dapat menangkap dengan jelas butir bicara mereka berdua tapi keluarga masing-masing dapat mengagak yang ada sesuatu yang berlaku antara dua anak muda itu. Mungkin ada salah faham antara mereka.

“Ahh, Rifdi?! Abang Rifdi!” ujar Naufal tiba-tiba membuatkan mereka semua berkalih memandangnya.

“Isyy, kamu ni Naufal! Terkejut mak dibuatnya,” ujar Puan Musliha agak terkejut bila anak lelaki pertamannya itu tiba-tiba sahaja bersuara. “Tapi kenapa pulak Naufal kata macam tu? Ada apa dengan Rifdi tu?” tanya Puan Musliha ingin tahu.

“Taklah. Naufal sebenarnya dari mula tadi lagi rasa macam pernah nampak dia tapi Naufal tak berapa pastilah pulak dekat mana. Sekarang ni baru Naufal ingat. Siapa dia sebenarnya,” beritahu Naufal. Mereka semua memandangnya.

“Apa maksud Naufal?” tanya Puan Hayati pula.

Naufal diam seketika. Tak pasti bagaimana untuk menceritakan perihal yang sebenarnya kepada mereka semua. “Sebenarnya... kak Nana dengan abang Rifdi memang dah saling mengenali pun,” beritahu Naufal akhirnya.

“Yalah. Tengok gayanya pun memang macam tu lah,” sampuk Encik Mukhriz memberikan pendapatnya. “Naufal tahukah macam mana mereka kenal?” tanya Encik Mukhriz seterusnya.

Naufal mengeluh perlahan. Sebenarnya dia tak mahu mengungkit hal itu kembali. Tapi dia sendiri juga hairan dengan reaksi kakaknya sebentar tadi. Dia terang-terangan menolak lelaki itu. Sedangkan kalau mengikut sejarah antara kakaknya dan Rifdi Riyadh, agak mustahil kakaknya untuk berkelakuan sebegitu. Jadi, dia hanya mampu mengangguk perlahan menjawab pertanyaan Encik Mukhriz tadi.

Kali ini, Puan Musliha dan Puan Hayati saling berpandangan. Mereka berdua juga mahu mencungkil rahsia silam kedua anak muda itu. Masing-masing mahu tahu apa sebenarnya yang terjadi.

“Tapi... kenapa pulak Naufal boleh tahu?” tanya Puan Musliha pula. Dia sedikit hairan dengan perkara itu. Mungkinkah Auni Liyana selalu menceritakan segala hal peribadinya kepada adik lelakinya itu?

“Kami bertiga pernah satu sekolah menengah yang sama mak,” beritahu Naufal. Kemudian dia memandang adiknya. “Tapi masa tu Nufail masih lagi di sekolah rendah. Jadi, mungkin dia tak tahu pasal hal ni. Masa tu, Naufal pun baru masuk ke sekolah tu. Akak pulak dah tingkatan 4 dan abang Rifdi pulak dah masuk tingkatan 6. Tapi kisah dorang bermula setahun lebih awal sebelum Naufal masuk ke sekolah tu lagi,” ujar Naufal memulakan ceritanya.

Selepas itu, mereka semua mendengarnya dengan teliti sekali. Tapi Naufal bijak bercerita. Dia tak menceritakan semuanya. Hanya sekadar, apa yang perlu mereka tahu saja dan yang sebetulnya dia tahu. Sebab dia sendiri juga tak mengetahui keseluruhan kisah silam kakaknya itu. Dia tak mahu pula menyampaikan khabar angin yang dia sendiri tak pasti akan kebenarannya.

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati