Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
50,853
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 16

HUJAN turun mencurah lebat dari langit yang kelam. Kilat dan guruh saling menyambar di atas sana. Auni Liyana mengeluh perlahan sambil mengarahkan pandangannya menghadap kawasan parkir kereta tak jauh darinya. Keretanya diparkir di hujung sekali. Jika dia berlari sekali pun, pasti dia akan basah kuyup juga dengan hujan yang lebat itu.

Sempat dia mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul 5.30 petang. Dia harus pulang segera ke rumah. Dia tak mahu pula emaknya risaukan dia. Tambah lagi, dia telah berbohong dengan emaknya mengatakan dia ada hal ingin bertemu dengan kawannya. Sedangkan dia datang ke hospital untuk pemeriksaan. Berdosa pula rasanya terpaksa berbohong kepada emak sendiri. Tapi, dia masih belum bersedia untuk menceritakan hal yang sebenar.

“Nak saya hantarkan ke kereta?” tanya Doktor Hazim yang tiba-tiba muncul. Tersentak gadis itu dibuatnya. Pantas dia memandang doktor itu sambil tersenyum.

“Hehe... cantiknya payung,” ujar Auni Liyana menyindir sambil bergurau. Doktor Hazim pun turut tertawa melihat payung di tangannya. Payung itu berwarna pink terang sekali.

“Saya pinjam dengan nurse,” beritahu Doktor Hazim jujur. “So, nak ke keretakah?” dia mengulangi kembali pertanyaannya.

Auni Liyana diam seketika sambil melihat hujan yang mencurah. Angin yang bertiup menampakkan hujan semakin lebat. Lagi sekali dia melihat jam tangannya. Mungkin sebentar lagi, hujan ini akan sedikit renyai. “Kejap lagilah. Tunggu hujan ni renyai sikit. Kalau redah pakai payung pun sekarang ni, rasanya akan basah jugak. Lebat sangat hujan sampai dah tak nampak depan,” balas Auni Liyana.

“Hemm, okay! Kalau macam tu, saya tunggu sekali,” sahut Doktor Hazim.

“Eh, tak apalah. Tak nak menyusahkan doktor pulak. Mesti doktor sibuk kan,” segan pula Auni Liyana bila Doktor Hazim baik dengannya begitu.

“Tak apalah. Saya bukannya sibuk pun sekarang. Lagi pun, saya memang sengaja pinjam payung ni untuk Nana. Saya nampak Nana asyik tunggu dekat sini dari tadi. Jadi, saya agak yang Nana nak ke kereta tapi sebab hujan lebat, awak kena tunggu dekat sini dulu,” ujar Doktor Hazim. “Ahh, tapi saya tak bolehlah nak bagi payung ni dekat Nana sebab payung pinjam,” sambungnya lagi. Auni Liyana tertawa kecil mendengarkannya. Doktor Hazim memang seorang doktor yang baik dan prihatin.

“Terima kasih, doktor,” ucap Auni Liyana. Doktor Hazim tersenyum mendengarkannya.

“Saya dengar awak ambil cuti lama dari kerja? Buat apa?” sengaja Doktor Hazim bertanya.

“Ha’ah, saja Nana ambil cuti. Lagi pun, sebelum ni memang dah lama Nana tak cuti lama. Alah, tak adalah lama mana pun. 5 hari saja. Tu pun, sebab nak bawa mak dengan adik-adik jalan-jalan dekat sini. Tak adalah dorang bosan duduk kat rumah tu,” beritahu Auni Liyana.

“Jadi.... Nana belum beritahu keluarga Nana lagilah?” duga Doktor Hazim. Gadis itu tersenyum nipis. Dia memandang doktor itu. Pandangannya tampak sedikit sayu.

“Nana tak tahu macam mana nak cakap. Lagi pun....” Auni Liyana terdiam seketika. Dia melihat hujan mencurah turun. Untuk seketika dia mengeluh. “Nana tak tahu macam mana nak berterus terang tanpa melukakan hati dorang. Kalaulah ada kata-kata kebenaran yang tak melukakan.” Gadis itu kembali diam. Doktor Hazim memandangnya pula.

“Walau selembut mana pun kata-kata Nana untuk jelaskan, mereka tetap akan terluka,” akur Doktor Hazim. “Maaf... saya tak dapat bantu dalam hal ni,” tambahnya lagi.

“Tak apalah doktor. Nana tak harapkan bantuan sesiapa pun dalam hal ni. Ni masalah Nana. Insya ALLAH... Nana akan cuba selesaikan dengan sebaik yang mungkin. Terima kasih sebab sudi ambil berat pasal Nana,” ujar Auni Liyana sambil tersenyum nipis. Ahh, alangkah bahagianya aku kalau Rifdi yang katakan semua ni dekat aku! Getus hati kecilnya. Hingga ketika ini, lelaki itu juga yang masih diingatinya.

“Saya gembira sebab dapat ambil berat pasal Nana,” balas Doktor Hazim.

Auni Liyana memandangnya sambil berkerut. Bermadah juga kata-kata doktor itu. Dia sendiri pun kurang pasti akan maksud di sebaliknya. Mungkin sekadar prihatin seorang doktor terhadap seorang pesakit sepertinya.

“Hemm, nampaknya hujan dah makin reda,” ujar Doktor Hazim kemudiannya sambil menadahkan tangannya ke luar koridor. Titisan hujan makin berkurangan. “Jomlah! Saya hantarkan ke kereta,” ajaknya kemudian sambil membuka payungnya. Gadis itu akur dengannya. Mereka pun beriringan ke keretanya.

“Terima kasih doktor!” ucap Auni Liyana sebaik sahaja masuk ke keretanya.

“Hati-hati bawa kereta. Jalan tengah licin ni,” pesan Doktor Hazim. Setelah itu, gadis itu pun melambaikan tangannya sambil memandu keluar dari parkir.

Doktor Hazim hanya memandang sehingga kelibat gadis itu hilang di pandangannya. Keluhan kecil terlepas dari rengkungannya. Kadang-kadang dia berharap dapat berjumpa dengan gadis itu dalam situasi yang lebih normal. Bukannya sebagai doktor dan pesakit. Dia juga berharap dapat bertemunya lebih awal lagi. Tapi... sekurang-kurangnya, dia masih diberikan peluang untuk bertemu dengannya walaupun dalam lewat waktu ini dan situasi begini. Untuk itu, dia bersyukur sekali.

“SIBUK betul kamu hari ni Nana,” tegur Puan Musliha ketika anak gadisnya itu menuruni tangga. “Petang tadi kamu pergi berjumpa kawan. Dah malam macam ni, ada majlis pulak yang kena pergi,” sambungnya lagi.

“Bukannya kena pergi sangat pun, mak. Saja Nana nak pergi sebab majlis ni klien Nana yang adakan. Setakat nak jaga hubungan baik saja,” balas Auni Liyana sambil tersenyum nipis.

Puan Musliha terdiam melihat penampilan anak gadisnya. Dia tersenyum ceria. Dia memandang sahaja Auni Liyana dari atas ke bawah berulang kali. Gadis itu mengenakan sepasang gaun malam berwarna biru lembut. Gaun malam itu tampak seperti jubah moden. Bertutup sopan gaun malam itu. Tidak nampak seksi sebaliknya elegan dan sopan. Tudung warna sedondon digayakan bersama.

“Kenapa mak tengok Nana macam tu? Baju Nana ni pelik sangat ke?” tanya Auni Liyana mulai khuatir akan penampilannya. Dia sengaja cuba tampak ringkas tapi elegan untuk majlis itu. Tambah lagi, majlis diadakan di hotel terkenal.

“Tak sangka anak mak boleh secantik macam ni,” puji Puan Musliha. Senang hati dia melihatkannya. “Cantik dan sopan. Kalau macam nilah, Nana selalu pakai. Mesti ramai dah berkenan dengan Nana,” tambahnya lagi.

“Mak ni... ada-ada sajalah! Nana biasa-biasa sajalah. Cuma melaram sikit saja malam ni,” balas Auni Liyana segan dengan pujian itu. Rasanya penampilannya memang biasa saja. “Dahlah mak! Nana nak pergi dulu. Takut terlambat pulak nanti,” ujar Auni Liyana sambil menyalami tangan Puan Musliha.

“Naufal! Jom hantar akak,” ajak Auni Liyana di muka pintu sambil menyarungkan kasutnya.

“Dah ada dekat luar dah pun,” sahut Naufal dari luar rumah. Dia telah diminta untuk menghantar dan mengambil kakaknya ke majlis itu kerana Auni Liyana tidak mahu bersusah payah mencari parkir. Nufail juga ikut meneman abangnya. Tinggallah Puan Musliha seorang di rumah.

“Hati-hati bawa kereta tu Naufal,” pesan Puan Musliha di muka pintu.

Tidak lama pun perjalanan mereka. Hanya 15 minit sahaja untuk sampai ke hotel itu. Auni Liyana sempat menelek wajahnya di cermin sebelum keluar dari kereta. Tiada sebarang cela.

“Okay cik Nana! Kita dah sampai,” ujar Nufail yang membuka pintu kereta untuk kakaknya. Sengaja dia berlagak seperti pembantu peribadi. Auni Liyana tertawa kecil melihat keletah adiknya itu.

“Terima kasih,” ucap Auni Liyana sambil mengangkat sedikit kainnya memainkan peranannya. “Dahlah! Cepat balik ke rumah. Tinggal mak seorang saja tu. Nanti kalau akak dah nak balik, akak telefon korang,” pesan Auni Liyana.

“Yes, maam!!” serentak Naufal dan Nufail menjawabnya.

Auni Liyana mula rasa gelisah. Para tetamu yang ada langsung tidak dikenalinya. Mungkin kebanyakannya adalah pekerja syarikat anjuran majlis itu. Dia cuba mencari kelibat Dato' Bahri dan isterinya tapi masih tidak berjumpa. Dia cuba berlagak tenang. Tak mahu pulak tampak terlalu kekok di majlis besar seperti itu. Dia perlu menjaga adab dan sikap profesionalnya supaya dia tak nampak janggal. Jadi, dia hanya berdiri di satu sudut di ruang dewan besar itu. Dia lebih selesa dengan melihat para tetamu yang ada.

“Hai! Seorang sajakah?” sapa seorang lelaki. Auni Liyana tersenyum memandangnya sambil mengangguk.

“Pekerja syarikat ni?” tanya lelaki itu lagi.

“Erm, tak! Saya arkitek yang buatkan rumah untuk Dato'. Jadi sengaja Dato' jemput saya. Tanda penghargaan katanya,” jawab Auni Liyana jujur.

“Oh, yakah.” Lelaki itu terus tersenyum memandangnya. Auni Liyana pulak terasa sedikit kekok dengannya tapi dia cuba berlagak tenang. Tak mahu pulak lelaki itu berkecil hati dengan tingkahnya. “Saya Muhsin,” perkenal lelaki itu.

“Auni Liyana.” sengaja dia menyebut nama penuhnya. Selalunya dia sekadar memperkenalkan dirinya sebagai Nana sahaja. Tapi dengan orang yang baru dikenali dan mungkin takkan berpeluang untuk bertemu lagi, dia lebih selesa menyatakan nama penuhnya.

“Jadi, cik Liyanalah?” tanya Muhsin.

“Tak perlu cik!” jawab Auni Liyana. Muhsin tersenyum mendengarkannya.

“Hei, Muhsin! Kau buat apa dekat situ?” tegur kawan Muhsin. Lelaki itu pun tersenyum memandang kawannya. Kemudian, beberapa kawan lelaki itu mulai berkumpul di situ.

Auni Liyana diam sahaja memandang mereka semua. Hatinya memberontak untuk pergi dari situ tapi dia tak tahu untuk memberi alasan apa. Dia sebenarnya agak kekok dengan orang yang baru dikenali jika tiada sebarang hal rasmi. Walaupun dia dikenali sebagai seorang gadis yang ceria dan sedikit nakal tapi dia masih punyai rasa segan. Dia hanya nakal dengan mereka yang sudah dikenali dan yang dia suka.

“Liyana tinggal dekat mana?” tanya Muhsin.

“Dah kahwin?” tanya kawan Muhsin pula sengaja bergurau.

“Dah makankah? Ambillah makan. Nak saya ambilkan untuk awak?” pelawa kawannya yang lain pula.

Auni Liyana terdiam mendengarkannya. Tak pasti bagaimana untuk menjawabnya. Sebenarnya, dia tak minat untuk bercerita hal peribadi kepada mereka. Lagi pun, mungkin mereka tak akan berjumpa lagi selepas ini.

“Urm, saya....”

“Nana!”

Auni Liyana terdiam mendengarkan suara yang memanggilnya. Dia pantas berkalih memandang empunya diri. Muhsin dan kawan-kawannya juga turut berkalih. Untuk seketika, mereka semua diam.

Biar betul?! Aku bermimpikah? Dia panggil aku? Eh... tak! Yang lebih penting lagi... dia datang ke majlis ni?! Aku ingatkan dia tak mahu datang sebab aku datang. Bertubi-tubi pelbagai persoalan menikam benak gadis itu.

“Kawan awakkah?” tanya Muhsin menyedarkan lamunan gadis itu.

“Err... urmm... ya! Kawan,” balas Auni Liyana sedikit menggelabah.

Muhsin kelihatan seperti mengeluh kecewa. Baru sahaja dia ingin mengenali gadis itu. Datang pula kawannya mengganggu. Dia melihat sahaja gadis itu beredar mendapatkan lelaki yang dikatakan kawannya itu.

“Hai,” sapa Auni Liyana sambil tersenyum manis.

Rifdi Riyadh hanya memandangnya sinis. Dia tak berkata apa. Sebaliknya hanya berjalan dari situ. Auni Liyana pulak sekadar menurutinya. Gadis itu menjuihkan bibirnya melihat reaksi dingin lelaki itu. Dia yang panggil aku tadi. Dah tu, buat sombong pulak!! Getus hati kecilnya.

“Kita nak ke mana ni?” tanya Auni Liyana.

“Jumpa Dato',” jawab Rifdi Riyadh ringkas. Dingin sahaja nadanya.

“Oh, lepas tu?”

“Lepas tu... suka hati kaulah kau nak buat apa. Tanya aku kenapa,” tingkah Rifdi Riyadh. Auni Liyana hanya tersenyum nipis mendengarkannya. Seperti selalu tingkah lelaki itu berbicara dengannya. Dingin dan kasar.

“Hemm, tapi kenapa nak jumpa Dato', ajak Nana sekali? Rifdi segan nak pergi sendiri ke?” tanya Auni Liyana sengaja memerli sambil tersenyum sinis. Sengaja dia mahu mengenakan lelaki itu. Lelaki itu mendengus kasar. Malas hendak bertekak dengan gadis itu. “Atau.... Rifdi sengaja nak tolong Nana tadi?” duga Auni Liyana.

Kali ini, Rifdi Riyadh berhenti. Dia memandang gadis itu. Dalam dan tajam pandangannya. Auni Liyana hanya diam sahaja sambil terus tersenyum. Dia bersedia dengan pelbagai andaian kemarahan lelaki itu.

”Kau boleh fikir apa saja yang kau nak. Tapi...!” Rifdi Riyadh diam seketika. Sengaja ditekankan ayat akhirnya. “Jangan kau pernah fikir yang aku sengaja nak tolong kau. Sebab tu memang mustahil,” tegasnya kemudian.

“Okay,” akur Auni Liyana. “Terima kasih... Rifdi.”

“Kan aku dah kata, aku bukannya nak tolong kau. Kenapa pulak nak ucap terima kasih?!” tingkah Rifdi Riyadh.

“Tak! Bukannya untuk tadi. Untuk kejadian dekat parkir tu. Masa kita keluar makan dengan Dato' Bahri hari tu,” jelas Auni Liyana. “Terima kasih sebab tolong Nana dan hantarkan Nana ke hospital,” sambungnya lagi.

Rifdi Riyadh terdiam mendengarkannya. Dia mengetap bibirnya sambil memikirkan sesuatu untuk membidas kata-kata gadis itu. Tapi, dia mati akal. Tak sangka pula Auni Liyana akan membangkitkan hal itu.

“Ahh, tu pun Dato'! Jom!” ajak Auni Liyana sambil mendahului lelaki itu. Dia tersenyum bila Rifdi Riyadh mati akal untuk membalasnya.

Rifdi Riyadh mendengus geram. Tak sangka gadis itu sengaja mengenakannya. Tak pernah berubah sikapnya dari sekolah dulu. Memang nakal dan suka mencari peluang untuk mengenakannya.

“Oh, Liyana! Rifdi! Datang jugak kamu berdua. Terima kasihlah sebab sudi datang ke majlis ni,” ujar Dato' Bahri yang terlebih dulu tersedar akan kedatangan mereka. Auni Liyana sekadar tersenyum memandangnya. Manakala, Rifdi Riyadh berjabat dengan lelaki separuh abad itu.

“Sebab Dato' dah bersusah-payah jemput kami. Kami pun datanglah,” ujar Auni Liyana. Dato' Bahri ketawa mendengarkannya. Untuk seketika mereka berbual. Isteri Dato' Bahri turut menyertai perbualan mereka.

“Liyana nampak cantik sangat malam ni,” puji Datin Bazilah.

“Eh, tak adalah Datin. Saya biasa-biasa saja,” balas Auni Liyana tersipu malu. Segan dia menerima pujian sebegitu. Tak apalah. Yang cantik pun ciptaan ALLAH. Sempat hatinya mengingatkannya. Kemudian, Datin Bazilah dipanggil kawannya seketika. Tinggallah Auni Liyana bersama Rifdi Riyadh kembali.

Lelaki itu mengerling memandangnya. Bibirnya dicebikkan mendengarkan kata-kata Datin itu. Auni Liyana tersenyum memandangnya. Sengaja dia membuat muka sedikit manja dengan lelaki itu.

“Nana nampak pelikkah?” tanya Auni Liyana bila Rifdi Riyadh melihatkannya sambil berkerut dahi.

“Hemm, badut pun boleh nampak cantik jugak kalau pakai baju yang cantik,” balas Rifdi Riyadh sinis. Terus sahaja Auni Liyana tertawa mendengarkannya. Lelaki itu memandangnya sambil berkerut.

“Apa yang lucunya?” tingkah Rifdi Riyadh.

“Tak sangka! Encik Rifdi yang sarkastik selama ni pun boleh memuji badut macam Nana ni. Walaupun kedengaran sarkastik pujian tu tapi....” Auni Liyana cuba meleraikan tawanya. Dia memandang Rifdi Riyadh sambil tersenyum manis. “Terima kasih atas pujian tu. Nana akan ingat sampai bila-bila,” sambung gadis itu.

Rifdi Riyadh tergagap mencari bicaranya. Dia memandang tajam gadis itu. “Sila lupakan apa yang aku kata tadi. Tak payah nak ingat sampai bila-bila. Lupakan sekarang!” tingkah lelaki itu.

Auni Liyana hanya tersenyum memandangnya membuatkan lelaki itu bertambah tak keruan. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja supaya dia tak lagi tersasul bicara. Ada sahaja helah gadis itu untuk mengenakannya.

RIFDI RIYADH menuju ke parkir kereta. Dia sudah memberitahu Dato' Bahri yang dia ingin pulang lebih awal ke rumah. Mujur sahaja lelaki itu memahaminya walaupun Dato' pada mulanya agak menahan dia dan Auni Liyana. Mujur gadis itu pandai memberi alasan. Mungkin itu salah satu kelebihan yang ada padanya walaupun dia tak mahu mengakuinya.

“Siapa yang datang ambil dia?” tanya Rifdi Riyadh sendiri. Kelihatan, Auni Liyana dijemput seseorang. “Pak we dia kah? Mudanya!” tambahnya lagi.

Dia melihat sahaja keletah gadis itu dengan lelaki yang menjemputnya itu. Mereka kelihatan mesra sekali. Gadis itu boleh tertawa ceria dengan lelaki itu. Rifdi Riyadh mencebikkan bibirnya.

“Heh, asalkan ada rupa, kau tak kisahkan laki tu muda dari kau,” getus Rifdi Riyadh. Malas dia hendak berlama di situ. Terus sahaja dia memandu keretanya beredar dari situ.

Sepanjang perjalanan, sering kali juga wajah dan tingkah Auni Liyana pada malam itu hadir di fikirannya. Sering kali itu jugalah, dia menepis segala bayangan itu. Entah mengapa, bila dia sedikit terleka, pasti bayangan gadis itu akan hadir. Penat untuk dia menghalau semua bayangan itu.

Cukuplah kau hadir dalam nyata aku. Jangan kau nak hadir dalam bayangan aku pulak! Aku rimas nak halau semua bayangan yang ada wajah kau. Aku tak faham! Kenapa aku boleh bertemu balik dengan kau. Aku tak pernah pun mendoakan pertemuan ni. Ahh!! Tak mungkin senang untuk aku padamkan kebencian ni. Aku tak tahu macam mana untuk tak bencikan kau, Auni Liyana!! teriak hati Rifdi Riyadh.

Pandangan lelaki itu kosong memandang jalan yang gelap. Dia terus menyibukkan fikirannya dengan pelbagai perkara lain yang tidak berkaitan dengan Auni Liyana. Dia tak mahu terus membayangkan gadis itu. Dia berharap itu kali terakhir dia bertemu dengan gadis itu.
Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati