Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
49,574
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

“HAPPY BIRTHDAY to you.... happy birthday to you.... happy birthday to Syira.... happy birthday to you....” nyanyian lagu selamat hari lahir itu kedengaran meriah memenuhi ruangan sudut sebuah restoran.

“Happy birthday Syira!” ucap Auni Liyana sambil memeluk erat kawannya itu. Syira tersenyum gembira mendengarkannya sambil mengucapkan terima kasih. Beberapa kawan perempuan yang lain juga turut berbuat demikian. Ketika itu, ada beberapa kawan-kawan dari universiti sama-sama meraikan sambutan hari lahir Syira. Terharu gadis itu dengan sambutan istimewa itu.

“Eh, dengan aku tak nak peluk sekali ke?” tanya Zahid sengaja bergurau.

“Mana boleh! Haram,” tingkah Syira pantas. Mereka semua pantas tertawa mendengarkannya. Dari dulu lagi, perkataan itu sudah menjadi kebiasaan antara mereka.

Setelah itu, Syira pun memotong kek yang dihadiahkan salah seorang daripada mereka dan membahagikannya kepada semua yang ada di situ. Dia sengaja melebihkan bahagian untuk Auni Liyana kerana dia tahu gadis itu memang gemarkan kek. Auni Liyana tersenyum lebar melihat bahagiannya.

“Sukalah tu! Dapat makan kek yang paling besar,” ujar Amir pula. Auni Liyana hanya menjuihkan bibirnya sahaja. Lagi sekali, tawa bergema antara mereka. Ketika itu, masih ada beberapa kawan yang lain termasuklah kawan sepejabat Syira. Tapi, mereka berempatlah yang paling rapat dari zaman universiti lagi. Ke mana sahaja dan apa sahaja sambutan, pasti mereka berempat akan selalu hadir bersama.

“Oh ya Syira! Hampir terlupa pulak aku,” kata Auni Liyana tiba-tiba sambil menyeluk beg tangannya. Sebuah kotak baldu dikeluarkan dan dihulurkan kepada Syira. “Nah! Hadiah hari lahir kau,” sambungnya sambil tersenyum.

Syira pula sedikit teragak-agak menyambut pemberian itu. Tampak dari luaran, agak mahal hadiah itu walaupun dia masih belum membukanya. Namun, dia menyambut juga huluran itu sambil terus mengucapkan terima kasih.

“Wau, nampak macam mahal saja. Bukalah Syira. Kami pun nak tau jugak apa yang Nana belikan untuk kau,” sampuk Amir kemudiannya.

“Ha’ah, betul tu! Lagi pun, Nana ni bukannya pandai pilih hadiah pun. Aku ingat lagi yang dia pernah hadiahkan teddy bear untuk aku dulu masa hari lahir aku,” desak Zahid pula. Mereka yang mendengarkannya hanya tertawa.

“Eh, okay apa tu! Paling penting, aku ikhlas tau bagi hadiah tu,” selar Auni Liyana sambil tersenyum mengingati kembali kenangan lalu itu.

“Masalahnya, kau bagi teddy bear tu warna pink! Dah tu, siap bereben merah lagi,” tingkah Zahid sambil menjuihkan bibirnya. Tawa mereka makin galak. Auni Liyana jurut turut tertawa.

“Alah, nak kena buka sekarang ke?” sengaja Syira cuba melengah-lengahkan.

“Entah korang ni! Sibuk saja nak tau apa yang orang bagi,” sokong Auni Liyana pula. Sebenarnya, dia sedikit segan untuk memberitahu hadiah apa yang diberikannya.

“Alah, buka sajalah! Bukannya berbalut pun kotak tu. Lagi kau kata macam tu Nana, lagi aku nak tahu hadiah apa yang kau bagi,” desak Zahid lagi. Auni Liyana sekadar tersenyum sambil memandang Syira. Dia memberi isyarat dia tak kisah bila Syira ingin membuka hadiahnya.

Akhirnya, Syira pun beralah jua dengan pujukan kawan-kawan yang lain. Kotak baldu hitam itu dibuka perlaha-lahan. Terdiam seketika dia melihat barang di dalamnya. Pantas dia berkalih memandang Auni Liyana. “Kau biar betul Nana! Mahal jam tangan ni,” ujar Syira. Makin tak keruan pula untuk dia menerima hadiah itu. Belum pernah Auni Liyana menghadiahkan sesuatu yang berjenama dan mahal kepadanya.

“Alah, bukannya selalu pun. Untuk kali ni saja. Aku harap kau sudilah terima,” balas Auni Liyana jujur. Dia tersenyum cuba meyakinkan kawannya itu, dia tak berkira dengan hadiah itu.

“Kenapa? Hadiah apa yang mahalnya?” tanya Amir pula, makin ingin tahu. Syira pun menunjukkan hadiah itu kepada mereka. Zahid sedikit terbeliak matanya melihat jam tangan di dalam kotak itu.

“Wau....” Amir pula kagum dengan pilihan hadiah Auni Liyana. “Jam tangan Fossil. Aku rasa koleksi ni, mahu cecah juga harga dia dekat Rm1500.00 lebih,” tambah Amir lagi. Syira memandang Auni Liyana meminta kepastian. Apakah dia benar-benar tak kisah menghadiahkan jam itu kepadanya.

“Betul! Aku memang ikhlas bagi kau. Lagi pun, kau memang dah lama kan nak jam tangan jenama ni?” sengaja Auni Liyana menduga. Syira diam seketika sambil mengangguk.

“Terima kasih Nana! Terima kasih sangat-sangat!!” ucap Syira sambil memeluk erat Auni Liyana. Walaupun sedikit segan untuk menerima pemberian itu tapi dia benar-benar gembira menerimanya. “Aku akan jaga jam ni dengan baik!” janji Syira seterusnya. Auni Liyana tertawa kecil melihat ulah kawannya itu.

“Wah... lepas ni hari lahir aku. Bolehlah kau bagi Ferrari sebijik,” gurau Zahid.

“Eh, tu dah melampau sangat tu! Aku sendiri pun pakai Proton Inspira saja, kau pulak yang nak lebih-lebih,” tingkah Auni Liyana. Amir dan Syira tertawa mendengarkannya. Ada sahaja keletah antara mereka.

Untuk seketika, mereka semua terus berbual sambil menikmati juadan makan tengah hari. Mereka bercadang untuk duduk berbual lebih lama tapi Auni Liyana terpaksa meminta diri dulu. Dia ada hal yang perlu diuruskan. Dia ada perjumpaan di tapak pembinaan projek yang baru diambilnya. Jadi, dia pun beredar dulu dari situ.

AUNI LIYANA menggunakan fail nipis di tangannya untuk melindungkan wajahnya dari terus terkena bahang matahari yang sedang panas terik itu. Sesekali juga, dia mengipas wajahnya. Pandangannya sedikit berbinar tapi dia masih lagi berdiri di situ sambil meliarkan pandangannya memandang sekeliling.

Pembinaan telah dimulakan. Terdapat longgokan batu-bata, simen dan pasir tersudut di kawasan itu. Tiang-tiang utama rumah berlot banglo itu sudah terpacak di tanah. Pekerja-pekerja yang ada ketika itu sedang sibuk dengan tugas sendiri. terik matahari tak dihiraukan mereka.

“Cik Liyana!” panggil Aidil, pembantu kontraktor yang bertugas di situ. Auni Liyana pantas berkalih sambil melemparkan senyuman mesra. “Bos saya dah sampai! Jomlah saya kenalkan cik Liyana dengan dia. Kita ke bawah pokok dekat hujung sana tu. Teduh sikit dekat situ,” ajak Aidil sambil menunjuk ke arah sebatang pokok yang merendang tak jauh dari situ.

“Okay!” akur Auni Liyana sambil mengikut langkah anak muda itu. Dari jauh lagi, dia dapat melihat seorang lelaki yang berpakaian formal sedang memberi arahan kepada buruh-buruh yang ada di situ.

Aidil terlebih dahulu mendapatkan ketuanya memberitahu akan kedatangan Auni Liyana. Gadis itu hanya mengekori dari belakang sambil menanti kontraktor itu menghabiskan arahannya kepada buruh-buruh binaan itu.

“Kenalkan cik Liyana. Kontraktor untuk projek binaan banglo ni,” ujar Aidil menggamit perhatian Auni Liyana. Gadis itu pun mengangkat wajahnya memandang kontraktor yang dimaksudkan. “Encik Rifdi Riyadh,” beritahu Aidil mewakili ketuanya.

“Dan encik Rifdi.... ni pulak arkitek yang bertanggungjawab dalam projek ni. Cik Liyana,” beritahu Aidil menjadi pengantara antara mereka berdua.

Raut Rifdi Riyadh pantas berubah melihatkan padis di hadapannya itu. Senyuman yang mula tadi langsung hilang dari bibirnya. Hanya pandangan yang tajam menerkam dengan dahi yang berkerut.

Auni Liyana pun turut terpana melihatkannya. Senyumannya juga sedikit hambar. Untuk seketika, masing-masing hanya berdiam sambil memandang antara satu sama lain. Aidil pula sekadar memerhatikan keletah mereka berdua. Kenapa pulak dengan dorang ni? Tetiba saja diam! Tak ada benda nak cakapkah? Benaknya terus dihujah pelbagai persoalan.

“Selamat berkenalan, encik Rifdi,” ujar Auni Liyana akhirnya memecah kesunyian antara mereka. Dia cuba menjadi profesional walaupun hatinya turut ditujah pelbagai rasa ketika itu. Senyumannya juga cuba dimesrakan.

Rifdi Riyadh masih lagi diam. Namun, dia cuba untuk membalas senyuman gadis itu seadanya. Dia cuba mengutamakan sikap profesionalnya juga. Kemudian, dia berkalih memandang Aidil di sebelahnya. “Umm, Aidil! Kau pergi tengokkan kawasan sebelah sana tu. Kau suruh pekerja yang ada dekat situ mulakan binaan. Ni pelannya,” suruh Rifdi Riyadh sambil menyerahkan fail di tangannya kepada Aidil. Penolongnya itu hanya mengangguk memahami arahan yang diberikan.

Aidil pun pergilah dari situ meninggalkan Rifdi Riyadh bersendirian dengan Auni Liyana. Sedikit sebanyak, dia dapat mengagak yang ketuanya itu mahu bersendirian dengan arkitek muda itu. Aidil hanya tersenyum memikirkannya.

“Tak payahlah kau nak senyum lagi dengan aku,” ujar Rifdi Riyadh sebaik sahaja Aidil beredar.

“Eh, kan senyum tu satu sedekah. Tak salahkan?” sengaja Auni Liyana menduga. Pantas Rifdi Riyadh menjelingnya. Dia masih lagi tersenyum seperti mula tadi. Lelaki itu mengeluh berat. Dia berdiri betul-betul menghadap gadis itu.

“Wau, hebat! Lepas lebih kurang 7 tahun lamanya kita tak berjumpa langsung. Kali pertama saja kita berjumpa, kau dah berjaya buatkan aku sakit hati,” selar Rifdi Riyadh. Auni Liyana hanya tertawa kecil mendengarkannya. Lelaki itu masih sama seperti dulu. Kebenciannya tetap ada.

“Umm, Nana rasa apa saja yang Nana cakap.... Rifdi masih akan sakit hati jugak dengan Nana, kan?” duga Auni Liyana. Lelaki itu mencebik mendengarkannya. “Jadi, lebih baik Nana cakap apa yang memang Nana nak cakapkan. Sebab, akhirnya masih sama,” sambungnya lagi. Senyumannya masih lagi mekar.

“Yup! Masih sama. I still hate you,” ungkap Rifdi Riyadh tanpa berselindung. Kali ini, barulah dia tersenyum memerli.

Wow.... that’s really a breath taker,” perli Auni Liyana pula sambil terus tersenyum. Rifdi Riyadh mencebik lagi. Sememangnya Auni Liyana pandai untuk mengenakan lelaki itu. “Umm.... Jadi, Rifdi macam mana sekarang? Dah kahwin ke?” tanya Auni Liyana kemudiannya. Sedikit sebanyak, dia masih ingin mengetahui keadaan terkini lelaki itu.

“Wohoo.... sejak bila pulak kita ni dalam hubungan kawan yang boleh ambil tahu sesama kita pulak ni?” selar Rifdi Riyadh. Sememangnya, apa saja yang dikatakan Auni Liyana tidak kena pada pendengarannya.

“Eh, kita bukan kawan ke? Umm.... what a shame,” ujar Auni Liyana tenang menghadapinya. Itu hanya menambahkah lagi sakit hati Rifdi Riyadh. Kedengaran lelaki itu mendesah rimas.

“Serius cakap! Tak pernah pun terlintas dekat fikiran aku ni yang aku akan bertemu balik dengan kau. Aku ingatkan, semuanya akan tamat dekat sekolah dulu. Jadi, tak payahlah aku nak terus sakit hati dengan kau,” ujar Rifdi Riyadh sambil memandang tajam gadis itu.

“Kuasa Tuhan nak temukan kita balik. Nana pun tak sangka kita akan bertemu balik dalam situasi macam ni. Saling bekerjasama untuk satu projek binaan,” sahut Auni Liyana. Ketika itu, dia meliarkan pandangan memandang buruh-buruh yang sedang bekerja.

Walaupun.... aku selalu berharap untuk bertemu balik dengan Rifdi tapi sekarang, dah terlewat! Malah, aku pun tak berharap lagi nak jumpa dengan dia balik tapi.... kuasa Tuhan memang aku tak boleh nak halang. Desis hati kecil Auni Liyana.

“Yup! Aku pun tak sangka yang kau seorang arkitek sekarang,” kata Rifdi Riyadh tenang nadanya kala itu.

“Kalau Rifdi cuba mengenali Nana dulu. Mesti Rifdi akan tahu yang Nana memang bercita-cita nak jadi arkitek,” balas Auni Liyana.

“Tulah masalahnya! Aku tak pernah teringin nak mengenali kau. Dulu ataupun sekarang!” tingkah Rifdi Riyadh.

Auni Liyana tersenyum sendiri. Nampaknya, sukar untuk menyingkirkan benci di hati lelaki itu. Mungkin akan selamanya dia membenci kerana gadis itu langsung tak dapat membaca nada kemaafan dalam tutur bicara lelaki itu.

“Jangan risau Rifdi. Rasanya, kita takkan selalu bertemu. Kerja Nana sebagai arkitek untuk projek ni pun dah nak selesai. Mungkin kita takkan bertemu lagi. Melainkan Rifdi nak Nana ada dekat sini?” ujar Auni Liyana menduga. Walaupun tahu akan balasan lelaki itu tapi dia masih sengaja menduganya. Hanya sedikit kata indah dari lelaki itu begitu diinginkannya. Mungkin bosan dengan kata-kata sinis dan benci lelaki itu terhadapnya selama ini.

“Baguslah macam tu! Dan.... jangan risau. Aku tak pernah terasa walau sekali pun nak kau ada dekat dengan aku. Lagi jauh lagi bagus,” balas Rifdi Riyadh.

“Yup! Rasanya tak mustahil harapan Rifdi tu,” hanya itu terluah dari bibir Auni Liyana. Sedikit sayu nadanya. Senyumannya juga sedikit hambar.

Rifdi Riyadh mengerlingnya dengan dahi berkerut. Cuba memahami maksud gadis itu. Mungkin dia akan berhijrah ke luar negara selepas ini. Mungkin kerana kerja ataupun berkahwin. Tapi.... adakah lelaki yang mahukan dia? Pelbagai persoalan menghujah benak Rifdi Riyadh. Perasaan sakit hati dan benci terhadap gadis itu telah membutakannya untuk melihat sisi lain Auni Liyana. Sehinggakan dia merasakan tiada lelaki yang mungkin menyukainya seperti dirinya yang tak habis dengan kebenciannya.

Jangan risau Rifdi Riyadh! Nana akan pergi jauh dari sini. Jauhnya yang membatasi ruang waktu antara kita. Kalau itu yang Rifdi mahukan, pasti Nana senang tunaikan. Sekurang-kurangnya, untuk Rifdi yang pernah hadir dan selalu ada dalam hati ni.... Nana doakan kebahagiaan untuk Rifdi. Walaupun, Nana sedar. Walau selama mana pun Nana tunggu.... senyaring mana pun jeritan Nana meluahkannya, perasaan Nana hanyalah sebelah pihak.... Auni Liyana terus bermonolog sendiri di dalam hatinya.

Dia sempat mencuri pandang menatap wajah lelaki itu sebelum dia beredar dari tapak pembinaan itu. Jauh di sudut hati, dia senang dan gembira dengan pertemuan mereka kembali.

Terima kasih Tuhan...

Temukan aku kembali dengan dia

Walaupun rasa aku masih sama untuk dia

Dan dia juga masih punyai rasa yang sama untukku

Walaupun rasa itu berbeza

Kali ini, biarlah aku simpan rasa ini

Tak ingin lagi untuk dia mengerti

Mungkin ini jalan cerita antara kami

yang telah KAU tetapkan

Sekadar mengenali dia sudah cukup untukku

Aku bahagia bertemu dengannya.......

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati