Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
48,160
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

CHOCO mengiau di hujung kaki Auni Liyana. Manja ia menggesel kaki tuannya itu. Gadis itu pun membelai kucing kesayangannya itu. Naufal dan Nufail hanya diam sahaja duduk di sebelahnya. Masing-masing tersenyum nipis. Auni Liyana pula tertawa kecil.

“Tulah Nana! Degil sangat. Dah tahu badan tak sihat, nak jugak keluar rumah. Cubalah berehat dekat rumah saja. Nak sangat dikejar kerjanya tu. Kalau dah tak sihat macam mana nak buat kerja. Memang sengaja nak menyusahkan diri. Orang lain pun tak habis-habis risaukan dia,” leter Puan Musliha sambil membasuh pinggan di dapur. Lantang suaranya hingga kedengaran jelas ke ruang tamu. Dari semalam lagi dia tak habis berleter bila mendapat tahu anak gadisnya itu demam sehingga dimasukkan ke wad walaupun hanya sekejap.

“Akak, dahlah tu. Suruhlah mak berhenti. Dari pagi lagi dia berleter,” tegur Naufal sengaja bergurau. Naufal tertawa kecil mendengarkannya.

“Dari pagi apanya! Dari semalam lagilah,” sengaja Auni Liyana membetulkan adiknya itu.

“Tak penat ke mak asyik berleter. Nufail yang dengar ni pun dah penat,” sampuk Nufail pula. Tertawa sakan mereka bertiga.

“Eh, mak dah diamlah,” ujar Naufal kemudiannya. Terdengar deheman keras dari belakang mereka bertiga. Auni Liyana tersenyum pahit. Naufal dan Nufail pulak sudah meneguk liur. Alamak! Habislah!!

Perlahan-lahan mereka berkalih ke belakang. Puan Musliha memandang mereka tajam sambil bercekak pinggang.

“Eh mak! Bila mak ada dekat sini?” tanya Nufail cuba berlagak sahaja. Namun Puan Musliha sengaja mendiamkan diri sambil terus memandang mereka tajam.

“Ahh, Naufal nak pergi menyiram pokok bunga dekat depan tu kejap. Lupa pulak nak siram awal pagi tadi,” ujar Naufal sambil bangun dan beredar dari situ.

“Nufail pun tolong jugalah siram pokok bunga tu,” sampuk Nufail pula sambil mengekori abangnya itu. Tinggallah Auni Liyana dan emaknya sahaja di ruang tamu itu. Gadis itu pun bangun dan menarik emaknya untuk duduk bersamanya. Puan Musliha hanya menurut sahaja tanpa berkata apa. Tapi dia sengaja memasamkan wajahnya. Tertawa kecil Auni Liyana melihat keletah rajuk emaknya itu.

“Alah mak! Dahlah tu, jangan merajuk lagi. Dorang cuma bergurau saja dengan mak,” ujar Auni Liyana sambil mengurut lembut lengan ibunya.

“Aik, bukan Nana pun sama jugak ke. Mengatakan mak tadi,” bidas Puan Musliha.

“Eh, mana ada! Mak salah dengar kot,” gurau Auni Liyana. Puan Musliha mencebikkan bibirnya melihat anak gadisnya itu tertawa kecil.

“Yalah! Mak dah tua. Telinga pun dah tak berapa dengar dah,” balas Puan Musliha masih merajuk.

“Mana ada tua. Muda lagi ni. Kalau tak, takkanlah semua duda-duda dekat kampung kita tu boleh tergilakan mak pulak,” gurau Auni Liyana membalas kata-kata emaknya. Menjegil Puan Musliha mendengarkannya. Ringan sahaja tangannya mencubit peha anaknya itu. Terus sahaja Auni Liyana mengaduh sakit mendapat penangan cubitan berbisa itu.

“Nana jangan nak mengarut pulak! Mak dah tak terfikir nak kahwin lain dah. Yang mak nak tengok sekarang ni, Nana tu yang kahwin! Entah bila lagilah mak nak dapat menantu ni. Asyik sibuk dengan kerja saja Nana ni,” selar Puan Musliha. Auni Liyana memuncungkan bibirnya bila emaknya membangkitkan kembali hal itu.

Auni Liyana sedikit tersentak bila Puan Musliha melekapkan tangan ke dahinya. Emaknya tersenyum nipis. Masih panas dahinya tapi tidaklah seteruk semalam. Sudah makin surut demamnya. “Nana ada sakit lagi ke?” tanya Puan Musliha prihatin. Risau pulak jika Auni Liyana terasa pening atau sakit kepala.

“Tak! Dah tak sakit dah,” jawab Auni Liyana sambil melentok manja kepalanya ke atas riba emaknya.

Puan Musliha tersenyum melihat keletah manja anaknya itu. Dia membelai perlahan rambut anak gadisnya. Auni Liyana tersenyum nipis bila dimanjakan sebegitu oleh emaknya. Hatinya terasa sedikit sebak tapi pantas dia mengusir perasaan itu. Dia tak mahu berwajah sedih di hadapan emaknya.

“Hurmm.... sepatutnya Nana bermanja macam ni dengan suami Nana. Bukannya dengan mak!” ujar Puan Musliha. Pantas merona wajah Auni Liyana bila dia membayangkan sekilas lalu dimanjakan sebegitu oleh seorang lelaki.

“Mak!!”

Puan Musliha tertawa melihat reaksi anaknya itu. Auni Liyana menarik muka masam sambil memukul-mukul bantal kecil di sofanya itu. Kemudian, suasana antara mereka diam seketika. Auni Liyana masih meletakkan kepalanya di atas riba Puan Musliha.

“Mak,” panggil Auni Liyana bila melihat emaknya sedikit terleka melihat rancangan di televisyen. Emaknya sekadar berdehem menyahut panggilannya itu. “Mak pun pernah jugalah bermanja macam ni dengan ayah dulu?” tanya gadis itu. Puan Musliha terdiam seketika mendengarkan pertanyaan itu. Perlahan-lahan senyuman nipis terukir di wajahnya. Kedengaran keluhan kecil terlepas dari rengkungannya. Dia memandang lembut anaknya itu.

“Kalau dah baru kahwin, biasalah tu. Mestilah asyik nak berkepit dan bermanja saja dengan laki sendiri,” jawab Puan Musliha. Dia diam sebentar sambil mengingati kembali kenangan manis itu. Kemudian, dia mengeluh berat sebelum menyambung, “Entahlah Nana. Mak sendiri pun tak tahu di mana silapnya hubungan kami sampai boleh berpisah. Mungkin salah mak. Mak yang tak pandai jaga hati dia. Mak yang....”

“Mak...!” pantas Auni Liyana memotong kata-kata emaknya. Dia pantas bangun dan memegang lembut wajah emaknya. Dia menggeleng-geleng kurang bersetuju dengan kata-kata emaknya itu. “Bukan salah mak. Nana pasti yang mak memang tak bersalah. Ayah pun mungkin sama jugak. Mungkin mak dan ayah masing-masing tak bersalah. Mungkin.... dah memang ditakdirkan macam tu,” sambung Auni Liyana sambil tersenyum nipis. Pandangannya lembut menerkam wajah emaknya.

Puan Musliha tersenyum mendengarkannya. Dia memegang tangan Auni Liyana sambil berkata, “Mak bersyukur sebab Nana tak bencikan ayah Nana.”

Auni Liyana tersenyum nipis. “Mungkin Nana tak benci tapi.... Nana tak tahu macam mana nak memaafkan dia. Nana dah tak ingat macam mana wajah dia mak. Nana dah lupa,” ujar Auni Liyana. Terdengar sebak suaranya. Sejujurnya dia memang sudah melupakan wajah lelaki yang pernah dipanggil ayah itu. Hanya sampai usia 6 tahun sahaja lelaki bergelar ayah itu wujud di dalam hidupnya. Dari kecil lagi, lelaki itu sudah meninggalkan mereka sekeluarga. Membawa diri entah ke mana dan entah mengapa.

“Tak apalah Nana. Maaf akan datang bila sampai waktunya. Mak sendiri pun tak tahu sama ada mak masih marah atau tak lagi,” sahut Puan Musliha. Auni Liyana tersenyum nipis mendengarkannya.

“Tapi kan mak.... Pak Mid tu pun boleh tahan jugak mak,” sengaja Auni Liyana kembali mengusik emaknya. Dia berlari sebelum sempat emaknya mencubitnya lagi. Terdengar Puan Musliha bersuara lantang meleterinya. Auni Liyana pula terus tertawa kecil.

Naufal dan Nufail yang berada di luar tersenyum nipis mendengarkan pertelingkahan kecil antara emak dan kakak mereka itu. Ya, memang begitulah lumrah kehidupan mereka seharian di kampung. Tak pernah sunyi rumah mereka. Ada sahaja yang hendak dikelahikan dan diguraukan.

Naufal terus menyiram pokok bunga di taman kecil itu. Nufail sekadar melihat sahaja. Masing-masing tenteram dengan suasana itu.

“SELAMAT PETANG, doktor!” ucap sekumpulan jururawat. Doktor Hazim tersenyum memandang mereka sambil membalas ucapan selamat itu. Dia mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul 5.30 petang. Tanpa sedar, hari semakin redup. Awan-awan kelabu memenuhi di langit seperti sudah hampir malam. Guruh dan kilat juga saling bertingkah di celahan awan.

Langkah Doktor Hazim terhenti bila dia terdengar sesuatu. Seperti ada yang bergerak di dalam belukar bunga di sebelahnya. Dia pun menghampiri belukar itu. Perlahan-lahan dia menjenguk di sebalik belukar itu.

“Warghh!!!” tersentak Doktor Hazim bila seekor kucing hitam melompat keluar tiba-tiba. Dia terus mengurut dadanya cuba mengusir rasa gemuruh tadi. Kemudian, dia tersenyum sendiri. Hanya seekor kucing sahaja membuatkan dia berasa begitu gemuruh.

Kemudian, dia pun kembali berkalih ke hadapan. Belum sempat dia mengatur langkahnya kembali, sebiji bola yang agak kotor berlumpur terlanggar kakinya. Dia menunduk mengambil bola itu. Mungkin sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di situ. Tapi dia langsung tak melihat sesiapa pun di situ. Sunyi sekali kawasan itu. Hanya dia seorang sahaja di situ.

Doktor Hazim tersenyum sendiri. Nipis dan kelat sekali senyuman itu. Dia meneguk liur sendiri. Terasa sedikit meremang bulu roma tengkuknya. Dia melihat bola di tangannya. Nak buat apa dengan bola ni? Tanyanya sendirian.

“Bola,” satu suara halus berkata di belakang Doktor Hazim. Nafasnya seakan tersekat di rengkungannya. Pantas dia berkalih. Seorang kanak-kanak lelaki sedang memandangnya. Langsung tiada senyuman di wajah kecil itu. Wajahnya juga tampak pucat. “Bola...” lagi sekali budak itu meminta bolanya kembali.

“Ohh...” Doktor Hazim pun mengembalikan bola itu kepadanya.

“Terima kasih,” ujar budak itu perlahan sambil menundukkan sedikit kepalanya. Dia pun pantas beredar dari situ. Menghilang di sebalik selekoh di belakangnya. Doktor Hazim hanya melihat sahaja.

“Lebih baik aku pergi dari sini cepat,” ujar Doktor Hazim sendiri. Dia tak mahu untuk terus berlama di situ. Pelbagai andaian dan prasangka bermain di fikirannya. Tapi seperti mula tadi, belum pun sempat dia memulakan langkahnya, lagi sebiji bola bergolek perlahan melanggar kakinya dan berhenti betul-betul di hadapannya.

“Hah?” Doktor Hazim terdiam seketika. Kali ini, dia membiarkan sahaja bola itu di atas lantai. Dia memandang sahaja bola itu dengan pelbagai andaian. Bukan bola yang tadikah? Tanyanya sendiri. Corak bola itu sama seperti bola awal tadi. Bola itu juga berlumpur.

Entah mengapa, dia menunduk untuk mengambil bola itu. Tapi belum sempat dia mencapainya, sepasang tangan kecil mengambil bola itu dulu. Pantas sahaja, tingkahnya terhenti. Dia kaku memandang kanak-kanak itu. Kanak-kanak yang sama! Tapi macam mana dia boleh ada dekat depan ni pulak? Bukan tadi dia dah pergikah dekat belakang sana tadi?! Pelbagai persoalan bermain di benaknya.

Kanak-kanak itu memandangnya. Doktor Hazim pun turut memandang kanak-kanak itu. Masing-masing hanya diam. Perlahan-lahan, kanak-kanak itu menguntum senyuman nipis. Tak semena-mena suara tawa kecil kanak-kanak kedengaran di sekelilingnya. Terus sahaja, dia berkalih memandang sekeliling tapi tiada sesiapa pun di situ. Bila dia memandang kembali ke hadapan, kanak-kanak tadi sudah pun tiada di situ.

Tangannya sedikit menggeletar memikirkan kemungkinan siapakah kanak-kanak tadi sebenarnya. Fail di tangan dipegang erat cuba menenangkan dirinya. Dia ingin melangkah pergi dari situ tapi kakinya terasa begitu berat sekali. Badannya mula terasa sejuk. Ditambah lagi dengan angin yang sedang bertiup ketika itu.

“Hazim!! Cepat jalan! Lebih baik aku pergi saja dari sini,” ujarnya sendirian cuba memberi dorongan kepada diri sendiri.

Tap! Tap! Tap! Bunyi kasut bertumit berlaga dengan lantai kedengaran sayup di belakangnya. Semakin lama semakin menghampirinya. Tenang dan perlahan langkah itu. Doktor Hazim memeluk erat fail di tangannya. Dia cuba mengusir pelbagai andaian yang sedang mengusik benaknya. Dia cuba berfikiran positif.

“Doktor,” panggil satu suara perempuan di belakangnya. Sentuhan lembut di bahu mengejutkan Doktor Hazim. Seiringan itu juga kilat memancar di langit kelam.

“Warghh!!!!” Doktor Hazim menjerit sambil memejamkan matanya. Failnya ditekupkan ke mukanya. Bahunya tampak sedikit menggeletar. Pelbagai surah dan doa terhambur dari mulutnya ketika itu. Entah makhluk apa yang sedang mengacaunya ketika itu.

Auni Liyana hanya memandang tingkah doktor muda itu. Senyuman nipis mula bermain di bibirnya. Hampir tercetus tawa di suaranya tapi sengaja ditahan. “Doktor Hazim!” panggilnya sekali lagi. Dia meninggikan sedikit suaranya kali ini. “Doktor!!” Auni Liyana memanggil lagi bila Doktor Hazim masih menutup wajahnya dengan fail.

Perlahan-lahan Doktor Hazim membuka matanya dan mengalih fail itu. Dia menjenguk melihat empunya diri yang memanggilnya. Suara gadis itu kedengaran nyata sekali. Dia menarik nafas lega bila melihat Auni Liyana sedang memandangnya.

“Kenapa ni doktor? Macam nampak.... sesuatu yang menakutkan saja,” tanya Auni Liyana bila doktor itu mulai tenang.

“Tak! Sa... saya terkejut. Guruh tadi,” ujar Doktor Hazim beralasan. Guruh? Takkan takut dengan guruh pulak?! Ahh, apa-apa sajalah! Bentak hatinya sendiri.

“Ha’ah, guruh tadi kuat juga. Nana pun terkejut juga,” balas Auni Liyana sambil tersenyum. “Tapi.... doktor memang takutkan guruh ke? Sebab nampak macam muka doktor pucat sikit tadi.”

“Urm... yakah? Mungkin sebab gelap sikit agaknya dekat sini. Tu yang nampak pucat tu,” lagi sekali Doktor Hazim memberi alasan. Dia tampak sedikit menggelabah. Auni Liyana hanya tersenyum mendengarkannya.

“Ahh, budak ni..!” Doktor Hazim sedikit terkejut melihat budak yang mengambil bola tadi di sisi Auni Liyana. Gadis itu saling berpandangan dengan kanak-kanak kecil itu. Mereka tersenyum sesama sendiri.

“Kenapa dengan Afif, doktor?” tanya Auni Liyana.

“Eh, Afif?” Doktor Hazim sedikit kebingungan. Dahinya turut berkerut memandang kanak-kanak itu.

“Ha’ah, Afif. Dia pun pesakit dekat sini jugak. Tinggal dekat wad kanak-kanak,” beritahu Auni Liyana.

“Tadi dia.... bola....” Doktor Hazim tak pasti bagaimana untuk menceritakan kepada gadis itu. Tak mungkin dia mahu mengaku dia sedikit takut dengan kejadian awal tadi. Auni Liyana tersenyum sambil mengeluh perlahan. Dia memandang Afif.

“Afif usik doktor ya?” tanya Auni Liyana sengaja berlagak tegas dengannya. Afif hanya tersengih memandangnya. “Nakal tau!” ujar Auni Liyana sambil mencubit lembut pipi mungil Afif. Terkekek ketawa kanak-kanak itu. Doktor Hazim hanya memandang mereka. Dia masih lagi bingung.

“Tapi... ada dua orang budak,” ujar Doktor Hazim lagi.

“Adam!” panggil Auni Liyana kemudiannya. Kemudian, Adam pun muncul dari belukar di hadapan. Kanak-kanak itu juga tersengih memandangnya. “Adam dan Afif ni adik-beradik. Muka mereka memang seiras,” beritahu Auni Liyana lagi. Kemudian, beberapa kanak-kanak lain juga muncul dari tempat persembunyian mereka. Doktor Hazim mengerutkan dahi memandang semua kanak-kanak itu.

“Hai, kak Nana!” ucap mereka semua serentak. Semuanya tersenyum memandang doktor muda itu.

“Hai.... korang semua nakal ya? Sengaja usik Doktor Hazim,” ujar Auni Liyana sambil tersenyum.

“Hehe....” Ain tertawa kecil. “Oh, doktor ni namanya Doktor Hazim ya?” ujarnya sambil memandang Doktor Hazim.

“Tapi.... bestlah kacau doktor ni. Dia takut!” sahut Irfan pula. Mereka yang lain tertawa kecil mendengarkannya.

“Tak! Mana ada saya takut. Sa... saya tak takut... okay!” tempelak Doktor Hazim sambil mengetapkan bibirnya. Tak sangka mereka hanya sekumpulan kanak-kanak biasa yang sengaja mahu mengusiknya. Sangkanya tadi, entah makhluk apalah yang ingin menguji semangatnya.

Auni Liyana turut tertawa memandang keletah doktor itu yang terus menafikan yang dia terusik dengan keletah nakal kanak-kanak itu tadi. Beria-ia dia menafikannya.

“Oh, kat sini rupanya korang semua. Penat tau akak cari dari tadi lagi,” tingkah Farhana yang baru muncul. Dia bercekak pinggang memandang semua kanak-kanak itu. Sengaja dia membuat riak garang pada wajahnya tapi sedikit pun kanak-kanak itu tidak takut. Mereka hanya tertawa kecil memandangnya. Farhana mengeluh perlahan memandang mereka. Tampaknya, garangnya sudah tak berbisa lagi kepada mereka.

“Hmm, kenapa Nana? Doktor Hazim?” tanya Farhana bila melihat mereka berdua hanya diam. Tambah lagi, Doktor Hazim kelihatan agak menggelabah. Auni Liyana tersenyum memandang jururawat itu.

“Tadi dorang semua usik Doktor Hazim. Dorang buat helah macam biasalah. Sengaja takutkan doktor ni,” beritahu Auni Liyana. Farhana sekadar menggeleng-geleng mendengarkannya. Ada sahaja nakal mereka semua.

“Macam mana? Dia takutkah?” tanya Farhana separuh berbisik tapi masih jelas kedengaran.

Auni Liyana tak menjawab. Sebaliknya dia membuat isyarat bagus dengan ibu jarinya sambil tertawa kecil. Semua kanak-kanak itu juga turut tertawa.

“Saya tak takut. Okay?!” tempelak Doktor Hazim lagi. Dia memandang mereka berdua dengan wajah serius. Auni Liyana tertawa memandangnya. Begitu juga dengan Farhana.

“Maaflah doktor. Budak-budak ni semua memang nakal sikit. Harap doktor tak adalah nak terasa sangat dengan mereka semua ni,” ujar Farhana menghabiskan tawanya. “Cepat, minta maaf semua!” suruh Farhana.

“Kami minta maaf...” ucap mereka semua serentak. Namun, mereka masih tersenyum memandang doktor itu.

“Ahh, tak apa...” sahut Doktor Hazim perlahan.

Kemudian, Farhana pun meminta diri bersama semua kanak-kanak itu. Dia perlu membawa mereka semua kembali ke wad. Tinggallah Doktor Hazim dan Auni Liyana berdua. Gadis itu memandang doktor di hadapannya yang masih lagi memandang ke arah kanak-kanak itu yang makin menjauh dari mereka.

“Sebenarnya.... Nana tengok dari mula tadi lagi,” akui Auni Liyana akhirnya. Doktor Hazim pantas memandangnya sambil mengerutkan dahinya. Auni Liyana tertawa kembali bila memikirkan kembali reaksi doktor itu tadi.

“Ja.... jangan gelakkan saya!” ujar Doktor Hazim tegas. Wajahnya sedikit merona menahan malu. Segan pula bila gadis itu melihat semuanya. Pantas Auni Liyana menekup mulutnya cuba menahan dirinya dari terus ketawa. Berkerut dahinya kerana sukar untuk menahan tawanya.

Doktor Hazim mengeluh perlahan memandang gadis itu. “Okay, gelaklah...” akurnya kemudian.

Terus sahaja, Auni Liyana melepaskan tangannya dan ketawa. Untuk seketika, dia tak dapat menahan dirinya. Dia terus ketawa tapi masih beradab sebagai seorang gadis. Doktor Hazim tersenyum memandang keletah gadis itu. Terhibur hatinya bila melihat Auni Liyana masih mampu untuk ketawa seperti itu.

“Sebenarnya, memang Nana nak tegah dorang tadi tapi.... tak sangka pulak Nana terikut sekali subahat. Sebab reaksi doktor memang menarik,” beritahu Auni Liyana lagi. Doktor Hazim mengeluh mendengarkannya. Auni Liyana mengerling seketika doktor itu. “Doktor.... lemah semangat juga ya dengan benda-benda macam tu?” tanya Auni Liyana menduga.

“Tengok keadaan jugaklah,” ujar Doktor Hazim perlahan. Sedikit segan mengakui kelemahannya yang satu itu. Walaupun seorang lelaki tetapi dia agak lemah semangat dalam hal-hal mistik sebegitu.

“Maksudnya?”

“Kalau saya tahu ataupun memang saya dah bersedia dengan keadaan macam tu, saya akan okay saja. Tapi, kalau tiba-tiba macam tadi. Langsung tak diduga, memang saya tak berani sangat,” akui Doktor Hazim. Dia tersenyum nipis memandang gadis itu.

“Hemm... jadi doktor tak sukalah tengok cerita-cerita seram macam tu?” tanya Auni Liyana lagi.

“Hemm.... tak berapa suka,” jawab Doktor Hazim. “Okaylah! Memang saya tak boleh tengok cerita seram.”

“Hehe, doktor memang berterus-terang! That’s kind of cute side of you,” ujar Auni Liyana sambil tertawa kecil.

Doktor Hazim terdiam mendengarkannya. Dia mengalihkan wajahnya yang sedikit merona merah. Segan dengan kata-kata gadis itu tapi dia senang menerimanya. Untuk seketika mereka diam sambil terus menyusuri koridor itu.

“Okaylah! Kalau macam tu, lain kali Nana akan ajak doktor tengok cerita seram,” ujar Auni Liyana sambil tersenyum.

“Eh, tapi kan saya dah kata yang saya tak suka tengok cerita macam tu,” tingkah Doktor Hazim. Gadis itu memandangnya sambil tersenyum nipis.

“Tapi Nana suka cerita macam tu,” sahut Auni Liyana nakal. Doktor Hazim mati kata untuk membalasnya. Gadis itu pun terus tertawa kecil. Dia mengeluh perlahan sambil tersenyum nipis. Senang hati untuk dia menghabiskan masanya bersama gadis itu.
Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati