Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
49,552
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

AUNI LIYANA membuka tombol pintu rumahnya. Dia menanggalkan kasut sebelum melangkah naik ke lantai rumahnya. Gugusan kunci di tangan sekadar dilemparkan sahaja ke atas sofa di ruang tamu. Helaan nafasnya kedengaran panjang dan sedikit berat. Tudung di kepala segera ditanggalkan bila bahang panas dari luar masih belum reda. Dia melepaskan lelah di atas sofa empuk itu.

Meowwww.... seekor kucing berwarna hitam mengiau manja sambil menggeselkan badannya di kaki Auni Liyana. Gadis itu tersenyum sambil mengangkat kucing itu ke atas ribaannya. Dia membelai manja kucing itu. Comel sekali kucing itu kerana bulu di hujung ekornya berwarna putih. Begitu juga di keempat-empat kakinya seperti ia memakai stoking. Sedikit tompok putih juga kelihatan di wajah kucing itu.

“Choco....” Auni Liyana menyebut nama kucing yang hampir dua tahun dipeliharanya itu. Choco mengiau manja seakan menyahut panggilan tuannya. Auni Liyana hanya diam sambil tersenyum nipis melihat kemanjaan Choco. “Choco....” gadis itu menyebut lagi sekali nama kucing kesayangannya itu. Choco hanya memandangnya. “Choco....” kali ini, suara Auni Liyana kedengaran sedikit serak. Air mata yang bergenang di tubir matanya mula menitis membasahi pipinya. Choco mengiau lagi bila titisan air mata itu jatuh mengenai badannya.

Esak kecil Auni Liyana bertambah sedu dan syahdu. Air matanya makin deras mengalir. Bahunya ikut terhincut dengan irama tangisannya itu. Choco hanya diam memandang tuannya. Gadis itu memeluk kucingnya seakan ingin menenangkan sedikit gelora di jiwanya kala itu. Dia benar-benar rapuh di saat itu. Dia sedikit goyah dalam dugaan kali ini.

“Setahun.... Cuma setahun saja lagi,” ujar Auni Liyana dalam sendunya. Suaranya kedengaran sedikit tersekat-sekat. “Nana hanya boleh hidup untuk setahun saja lagi. Nana dah tak ada harapan. Nana....” Dia tak pasti bagaimana untuk meneruskan bicaranya seorang diri. Dia sepi dalam sendunya. Choco hanya mengiau sambil memandangnya.

Auni Liyana terus menangis. Air mata yang menuruni pipinya dibiarkan sahaja tanpa dikesat. Mungkin deritanya akan pergi bersama linangan air mata itu. Dia terus duduk di situ hinggalah dia terlena tanpa sedar.

Dalam lena itu, dia bermimpi kembali tentang perjumpaannya dengan Doktor Yamin pagi tadi. Mimpi yang terjalin dari memorinya sebentar tadi.

“MAAFKAN saya Nana. Saya dan semua doktor di sini dah cuba sedaya yang mungkin untuk bagi rawatan yang terbaik untuk awak. Tapi.... kuasa Tuhan tak siapa yang boleh halang. Penyakit Leukemia kronik yang awak hidap.... sukar untuk disembuhkan. Hanya pembedahan saja ikhtiar yang terakhir tapi.... peluang untuk dapatkan penderma yang sesuai sangat tipis,” jelas Doktor Yamin jujur. Kedengaran kecewa dan kesal di dalam suaranya. “Maafkan saya....” lagi sekali Doktor Yamin memohon maaf.

“Berapa lama lagi masa yang Nana ada, doktor?” tanya Auni Liyana. Dia cuba tampak tenang walaupun hakikatnya berita itu benar-benar merenggut harapannya.

Doktor Yamin diam seketika. Dia memandang telus wajah gadis di hadapannya itu. Begitu muda gadis itu dalam pandangannya. Muda dan tabah sekali. “Saya cuma mampu meramalkan sebagai seorang doktor. Semuanya terletak di tangan Tuhan,” ujar Doktor Yamin. Dia diam seketika sebelum menyambung bicaranya, “ Mengikut apa yang saya lihat dan doktor lain juga. Awak ada lebih kurang setahun saja lagi atau mungkin lebih lama atau.... mungkin lebih awal.”

Nafas Auni Liyana seakan terhenti seketika ketika mendengarkannya. Setahun? Hanya setahun saja lagi?! Apa yang boleh aku buat dalam setahun ni? Apa yang perlu aku buat?! Hati Auni Liyana terus berbalah sendiri.

“Nana,” panggil Doktor Yamin mematikan lamunannya. Auni Liyana pantas mengangkat wajahnya memandang doktor separuh abad itu. “Tapi Nana perlu pastikan yang Nana sentiasa ambil ubat. Kalau tak mungkin keadaan Nana akan jadi makin teruk dan....” Doktor Yamin tak betah untuk meneruskan kata-katanya.

Auni Liyana juga tak bertanya lagi. Dia mengerti apa yang ingin dikatakan doktor itu. Kelangsungan hidupnya kini bergantung pada ubat-ubatan dan juga doa serta harapan yang tak pernah putus.

“Ya, Nana faham doktor. Terima kasih untuk selama ini. Doktor dah banyak bantu Nana. Terima kasih doktor,” ucap Auni Liyana seikhlas hati. Pandangannya tampak sayu.

“Tabahkan hati, Nana! Jangan berputus asa. Sentiasa berdoa dan berharap. Mungkin.... Nana akan diberi peluang. Nana harus percaya dengan Qada’ dan Qadar. Sebagai doktor, saya hanya mampu meramalkan mengikut ilmu yang dipinjamkan- NYA. Harapan untuk sembuh sentiasa ada. Insya-ALLAH....” nasihat Doktor Yamin. Dia tak mahu gadis muda itu berputus harap. Dia sendiri turut berdoa agar Auni Liyana terus diberi peluang untuk mengecapi hidup ini.

CHOCO terus mengiau kegirangan sambil bermain dengan bebola benangnya. Ia menguis bebola itu hingga bergolek dan kemudian menangkapnya semula. Setelah dapat, ia pun menguis lagi sekali. Kali ini, bebola itu tergolek sedikit jauh hingga ke bawah kabinet di ruang tamu. Choco memerhatikan sahaja bebola itu bergolek. Mungkin dia sudah hilang minat untuk bermain dengan bebola itu setelah agak lama dia bermain sendirian.

Choco pun berjalan menghampiri Auni Liyana. Dilihatnya, tuannya itu masih lagi tidur. Ada sisa-sisa air mata yang berbekas di wajah tuannya itu. Kucing yang berekor panjang dan kembang itu mengiau seperti ingin mengejutkan Auni Liyana. Setelah tiada sebarang reaksi dari tuannya, Choco pun menguis tangan Auni Liyana yang terjuntai ke atas lantai. Kelihatan Auni Liyana menggerakkan sedikit tubuhnya tapi matanya masih lagi terpejam. Choco pun mencuba lagi sekali.

“Warghhhh!!” jerit Auni Liyana tiba-tiba sambil menjegilkan matanya. Choco terus melompat jauh sambil menderam terperanjat dengan sergahan itu. Auni Liyana tertawa kecil melihat reaksi kucingnya itu. “Padan muka! Pandai sangat kacau orang tidur,” kata Auni Liyana sambil mengeliat.

Choco hanya mengiau sahaja. Kemudian, ia pun berlari ke arah dapur. Tak lama kemudian, Choco kembali sambil membawa bekas makanannya. Auni Liyana memicingkan pandangannya memandang kucing itu. Choco masih lagi mengiau.

“Huh! Nak makan rupanya. Sebab tu kejutkan aku,” tingkah Auni Liyana sendiri. Dia mengeliat dahulu membetulkan regangan urat-urat di badan. Sedikit lenguh terasa bila dia tidur di sofa itu. Setelah itu, barulah dia bangun. Dia mengambil sepaket makanan kucing dari almari dapur lalu dituangkan ke dalam bekas makanan Choco. Kucing itu tak menunggu lama sebelum menikmati makanan petangnya.

Auni Liyana melihat jam di dinding. Sudah masuk waktu asar. Agak lama juga dia tertidur. Dia melihat sahaja Choco menghabiskan makanannya. Dia pun mula terasa sedikit lapar.

Pintu peti sejuk dibuka. Auni Liyana melihat masih ada lagi bahan masakan. Lebih baik dia memasak sahaja hari ini. Dia tak bercadang untuk keluar ke mana-mana lagi hari ini. Tapi sebelum itu, lebih baik dia mandi untuk menyegarkan badan dan bersolat terlebih dahulu. Utamakan yang lebih penting dahulu.

“YA ALLAH.... ya Tuhan ku. Aku pohon pada-MU untuk terus berharap. Aku pohonkan secebis keajaiban dari-MU. Berikanlah aku peluang untuk pulih dari sakit ini dan terus hidup lebih lama. Tapi....” Auni Liyana terhenti seketika. Sendu mula mengiringi doanya. Air mata mula bergenang tapi sengaja ditahannya agar jangan tumpah lagi.

“Tapi.... andainya telah tertulis dalam Qadar-MU yang nyawa aku hanya setakat ini. Aku pohon pada-MU, benarkan aku menggembirakan mereka yang pernah hadir dalam hidup aku dan menggembirakan aku. Tabahkan dan redhakanlah hatiku dengan Qadar-MU ini. Semoga aku masih punyai cukup masa untuk aku berada di kalangan hamba-MU yang diberi peluang mengecapi harumnya bau syurga. Amin.... ya Rabbal alamin....” Auni Liyana mengakhiri doanya sambil meraup tangannya ke wajah. Agak lama dia meraup wajahnya. Ketika itu, air mata sudah membasahi wajahnya.

Satu persatu wajah keluarga dan kawan-kawannya bermain di layar ingatan. Di dalam setiap memori itu, mereka semua saling tersenyum dan ketawa. Semuanya adalah saat-saat indah dalam hidupnya. Mereka yang belum mengetahui perihal sebenar dirinya. Mereka yang akan terluka kelak bila dia harus berterus terang. Tapi sebelum itu, biarlah dia melihat mereka semua tersenyum sekali lagi. Itulah niatnya di akhir ini.

Auni Liyana ingin meninggalkan memori terindah dalam akhir hidupnya. Dia tak mahu sebarang sesalan kerana dia sudah tak mempunyai waktu untuk menyesal kelak. Dia ingin menikmati hidup sepenuhnya. Masih ada banyak perkara yang ingin dilakukannya. Dia tersenyum sendiri sambil merencanakan beberapa keinginannya.

Telekung yang sudah ditanggalkan disidai kemas di penyidai. Begitu juga dengan sejadah. Setelah itu, Auni Liyana pun mengambil buku nota yang selalu digunakannya dari beg tangan yang terletak di atas meja solek di dalam bilik tidurnya itu. Dia menulis sesuatu di atas halaman baru buku nota itu. Sambil itu dia melihat kalendar di dalam telefon bimbitnya.

1. Nak bagi hadiah birthday yang sangat spesial untuk Aida, Hanis, Azira & Fatin.... :]

2. Tak lupa jugak untuk.... Syira, Zahid & Amir.

3. Insya-ALLAH.... nak hantar mak tunaikan haji hujung tahun ni.

4. Nak bagi segala yang terbaik kat mak.... dan Nufail & Naufal jugak.

5. Nak gembirakan mak.... :]....

6. Nak melawat zoo negara, muzium negara, balai seni negara, hutan simpan di Pahang.... dan banyak tempat lain lagilah.

7. ....

Auni Liyana terhenti menulis seketika. Umm.... apa lagi ya? Dia bertanya sendiri di dalam hati. Kemudian, dia membaca kembali apa yang ditulisnya. Dia sekadar menulis apa yang terlintas di fikirannya sahaja ketika itu. Tak dinafikan dia lebih ingin menggembirakan emaknya di kampung. Dia ingin menjadi anak yang solehah di saat akhir ini. Emak dan adik-adiknya begitu penting di dalam hidupnya.

“Mak.... maafkan Nana kalau Nana pergi dulu. Nufail.... Naufal.... akak harap akak dah jadi kakak yang terbaik buat korang berdua,” ujar Auni Liyana sendiri di hadapan cermin meja soleknya. Kemudian, dia melihat kembali catatannya sebentar tadi. Ada sesuatu terlintas di fikirannya.

7. .... tak boleh bercinta LOVE IS NOT AN OPTION!!!!

Auni Liyana tersenyum kecil membaca baris terakhir catatannya. Ya! Cinta bukan satu pilihan bagi dirinya kala ini. Malah dia tak perlu pun untuk berharap ke arah itu. Bukan haknya untuk dicintai sesiapa di saat nyawanya di hujung nafas. Dia akan cuba sedaya yang mungkin untuk mengelakkan hal itu.

Adakah dia layak dicintai seorang lelaki dan bahagia dalam pelukan cinta itu sedangkan dia sendiri tak boleh menjanjikan kebahagiaan untuk lelaki itu. Biarlah dia pergi tanpa rasa dicintai. Cukup sekadar disayangi.
Previous: SINOPSIS
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati