Home Novel Cinta TUAH
Bab 11
BAB 11  THE LOST WORLD


Sudah tentu pilihan di antara belakang togel dia dan belakang fit baju aku, aku relakan keseksian yang pertama. Hehehe

Tawaran aku segera diterima tanpa banyak soal. Aku memanjat tangga kayu di belakang lelaki itu. Pendakian yang lancar pada awalnya sebentar sahaja menjadi tersekat-sekat. Masa dan tenaga banyak dibuang bagi mengimbang tubuh sebab...

Kasut tinggi ini lagi la!

Dalam lelah agak berkial-kial aku cuba memadankan sudut lekuk tumit pada batang tangga. Kalau perhatian aku tersasar, akibatnya badan aku boleh turut tersasar menjunam ke bawah. Permukaan tumit kasut yang licin menambah kerumitan. Akhirnya aku berhenti sejenak bagi menimbang keputusan.

Puncak masih sayup. Lelaki itu berada selang enam anak tangga dari kedudukan aku dan masih gagah memanjat.

Dengan sebelah tangan menggenggam bilah tangga menyokong berat badan, sebelah tangan lagi menyusup ke kaki. Kedua kasut aku tanggalkan.

"Rangga, tunggu!"

Dalam terdesak, mulut dah tak meminta pendapat akal sebelum membuat keputusannya sendiri.

Memang benar, aku perlu hentikan lelaki itu. Aku perlukan bantuannya. Akan tetapi usaha aku ini agak semberono dan.... Aish! memalukan.

Semasa Tuah selamba sahaja memberikan nama baru kepada aku, aku marah. Sekarang, sesuka hati hati aku pula panggil orang dengan nama yang aku paling suka.

Usaha aku berjaya mendapat perhatian. Gerak kakinya terhenti. Dia menoleh. Lehernya yang tegak telah merunduk.

Seawal saat pertembungan anak mata kami, aku dah rasa menyesal melaung nama tah siapa-siapa tah. Padan muka aku kerana berlagak sombong di tempat orang. Aku seharusnya mulakan perkenalan secara rasmi tadi walaupun ringkas. Sekurang-kurangnya aku perlu tahu nama lelaki itu sebelum meminta pertolongannya, bukan?

"Ada apa tuan hamba?"

Jeda.

Aku menantikan sesuatu. Penafian atau pembetulan. Aku masih ingat betapa lajunya mulut lelaki itu memperbetulkan setiap fakta aku yang baginya kurang tepat. Apatah lagi nama dia...

Rangga.
Nama itu aku petik daripada watak hero yang aku suka dalam filem Ada Apa Dengan Cinta. Nama yang tiada langsung hubung kait di antara dua lelaki tersebut. Redup mata Nicholas Saputra yang mendalam tak sama dengan pesona renungan lelaki itu. Sekali imbas wajah lelaki itu lebih mirip artis Indonesia Randy Pangalila.

Mungkin aku patut ubah Rangga kepada Randy?

"Tuan hamba?"

Laungan suara itu penuh kerisauan. Melebihi kerisauan aku kerana terlepas panggil.

Hurm, dia biarkan sahaja perihal nama atau... memang kebetulan nama dia Rangga?

Melihat aku masih mengebil-ngebil biji mata, lelaki itu mengundur beberapa anak tangga dan hulurkan tangan.

"Berikan sepatu itu kepadaku."

Aku syak lelaki itu ada kuasa psikik. Tinggi empati dia. Bicara minda aku semua dia tahu. Manakala lidahnya pula terkandung jampi. Namun aku sedar pukauan bukan datang dari lafaz mantera yang keluar dari celahan bibir tetapi sepasang mata yang menyorot terang berhias senyuman manis.

Di kedudukan selari, boleh dikatakan wajah kami saling bertatapan. Setiap perincian wajahnya amat jelas di mata aku. Lebar betul dia melarik senyum sehingga menampakkan kedua lesung pipit yang dalam.

Aku tak sedarpun tangan dah menjulur tinggi menghulurkan kasut.

"Bisa dilanjutkan lagi pendakiannya atau... sudah mahu mengalah?"

Jeda dalam pertanyaan itu berbaur provokasi. Suara dia menyedarkan aku daripada berterusan terpukau dengan tampang seorang pemuda. Soalan Rangga aku jawab dengan lirikan mata.

Aku? Mengalah? Haah!

Geram aje mendengar serakan gelak dari atas.

Sekilas, aku teringat matanya yang lama singgah rendah ke kaki aku semasa kami berada di bawah tadi. Mungkin dia sudah mengagak kesulitan sebegini akan berlaku. Senyuman lebar sebelum ketawanya itu mungkin mempersenda akal pendek aku.

Dalam melayan gerutu hati, aku sambung memanjat dari satu tangga ke satu tangga. Kini, rentak kaki Rangga dan aku hampir sama. Kedudukan kami agak dekat. Sesekali kepala Rangga condong ke belakang menjenguk aku di bawah.

Ketika langit biru telah memenuhi segenap pandangan, kaki dah mula menggigil kepenatan. Aku pacukan semua kudrat menghalang kekalahan.

Jangan berhenti!
Terus panjat!
Panjat!
Sikit lagi!

Paling penting, jangan sesekali mengalah.

Akhirnya aku berjaya tiba di puncak.
Aku nak menjerit melepaskan kegembiraan akan tetapi suara tersekat akibat terpempan.

Whoaa!
Hanya lepas deras nafas aku yang terkeluar.

Menakjubkan!
Sajian pemandangan dari puncak amat mengagumkan. Gabungan sentuhan genius landskap alam buatan manusia dan sentuhan klasik dan halus senibina purba serta-merta memukau jiwa dan minda.

Bagaikan Penjejak Harta Karun yang berjumpa The Lost World, lonjakan keterujaan aku mencanak ke langit.
Sungguh! Kota itu menyembunyikan syurga dunia di dalam belantara. Dan segala-galanya kelihatan begitu nyata sehingga aku sendiri keliru.

Betul ke ini mimpi?

Tata kota nampak terancang dan kemas tersusun. Dari aras tinggi, sempadan pemukiman kelihatan berpetak-petak dipisahkan oleh jalan atau terusan.

Tegak menghadap pintu gapura terdapat jejeran pohon-pohon rendang dengan akar udara mengalu-alukan kehadiran tetamu khas keraton dengan teduhan sebelum padang hijau nan terbentang luas menyambut mereka.

Titik fokus mata aku tiba-tiba sahaja terhenti di satu seksyen nan luas. Binaan kompleks bangunan di situ lebih besar dan tinggi daripada kawasan lain yang nampak kecil pada saiz petak bumbung . Gemerlapan kuning keemasan menyimbah di kebanyakan kawasan menenggelam warna neutral alam.

"Di sanalah terletaknya istana Raja Wilwatikta. Aku pasti Yang Mulia Raja sedang meraikan para tetamu dari Kerajaan Melaka."

Seperti biasa kepekaan Rangga meleraikan tanda soal bisu aku.

"Rangga..."
Sengaja aku putuskan suara bagi mencari kepastian kali kedua perihal nama itu.

"Ya, ada apa?"
Sah, dia memperakui nama itu buat dirinya.

"Bangunan apa yang tinggi tu?" soalku. Dari puncak gapura, sayup kelihatan beberapa mercu bata merah yang menjulang tinggi dari celahan kehijauan alam. Pemandangan sebegitu mengingatkan aku akan tunggul pucuk rebung yang muncul mencanak dari celah bumi.

Anak mata Rangga melunjur tegak dari garis telunjuk aku.

"Itu bangunan-bangunan suci. Tempat khusus memupuk tingkat kerohanian."

Bangunan suci? Candi barangkali. Kesimpulan aku, Islam masih belum bertapak lagi di daerah ini.

Memang tak puas-puas menatap lakaran keindahan alam tambah-tambah lagi dengan sudut pandangan yang terbatas. Bagi merakam momen berharga sesempurna mungkin, aku set minda  kepada mode panorama. Lalu aku pusingkan kepala ke arah paling kiri dan menyapu pemandangan dengan gerak perlahan sehingga ke sudut paling kanan.

Aku harap sangat otak aku sempat save apa yang diimbas lensa mata tadi kerana tiba-tiba sahaja minda menyekat semua kemasukan  data apabila objek paling kanan menembusinya.

Rangga dan tenungannya!

Hatta setelah kepala aku berhenti berlegar mata itu masih pegun menatap. Setiap detik dan saat yang berlalu menambah likat kadar tatapan Rangga. Kedua kening Rangga berkerut di atas mata bundar yang semakin mengecil. Ombak dadanya jelas turun naik menanggung nafas yang memberat. Hati aku yang tenang dan damai terus berkocak hebat. Roma terpacak berdiri seiring kemunculan rasa seram sejuk.

"Persis Apsara." gumam Rangga. Suaranya amat perlahan tetapi kedudukan kami yang hampir memungkinkan aku mendengar bisikan dalam nada rendah itu.

Di saat itu selain desir tudung dan kain kembang payung yang galak memukul-mukul tubuh, bunyi paling kuat yang aku dengar adalah detak jantung aku. 

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.