Home Novel Cinta TUAH
Bab 2
BAB 2   DIA YANG COMEL


Tak sangka dalam takut, aku boleh terlena.

Lagi tak sangka, mimpi aku bersambung lagi!

Saat mata terbuka, tubuh masih lagi membuai-buai. Aku tetap terperangkap dalam mimpi yang sama. Terkurung di kamar sempit yang sama dengan seorang lelaki.

Yang berbeza hanyalah perasaan aku. Ketakutan telah hilang berganti... asyik?

Biar betul! Tapi kan...
Mungkin betul sebab makin lama aku pandang wajah lelaki itu, makin aku nak pandang lama-lama.

Kucing comel, teddy bear comel, itu biasa.
Lelaki comel?
Dalam Astro Korean Pack memang banyak.
Kalau depan mata?
Jawapan yang aku ada bak kata P. Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang, jarang-jarang.

Dari berbaring aku bingkas duduk. Siap menghadap lelaki itu. Memang kali ini dah terlajak berani, tak macam tadi. Itu adalah kerana lelaki itu bukan lelaki tadi!

Aku pamerkan senyuman. Leretkan simpulan panjang-panjang. Mulut dah tak sabar nak menyapa tetapi tak tahu nak berkata apa. Kalau di alam nyata, sah-sah aku tegur, "Muka awak macam penyanyi K-Pop la."

Memandangkan pakaian yang tersarung di tubuh kurus itu ala-ala drama wuxia, aku masih mencari-cari ayat yang sesuai. Dalam masa yang sama terfikir juga boleh ke lelaki ini bercakap bahasa Melayu?

"Tuan hamba dah jaga?"

Aku hamburkan ketawa. Kenyataan dia boleh berbahasa Melayu menggembirakan aku sekaligus melapangkan dada.

Tak jauh mana mimpi aku. Tak sampai ke hujung dunia. Aku masih di sekitar alam Melayu.

Lega di situ tetapi runsing pula di tempat lain. Nada dan pilihan perkataan lelaki itu mengingatkan aku kepada panggung budaya dan teater purbawara.

Lelaki-lelaki ini sedang berlatih drama bangsawan ke? Seorang pegang pedang, seorang lagi berbasa-basi dengan perkataan hamba.

"Tuan hamba boleh berjalan? Biar hamba mengiringi tuan hamba pulang."

Ironi, aku tengok muka dia lagi pucat daripada muka aku. Siap picit-picit kepala lagi. Silap gaya aku pula yang kena papah dia berjalan.

"Nak pulang ke mana?"

Walau tak ke mana-mana, hal itu aku kena tahu. Empat dinding kayu ini tak mungkin akan bersuara jika aku bertanya soalan yang sama.

"Dari mana tuan hamba datang."

Hampeh!
Jawapan serupa macam soalan, daa...
Engkau tanya aku balik? Kau tahu ke dari mana aku datang? Akupun tak tahu dari mana aku datang, Cik Abang Oii!

Kata-kata itu aku lepaskan dalam hati sahaja. Mulut masih beradab sopan.

Giler tak sopan depan lelaki macam ni!
Aku ni perempuan dalam kategori pemalu kot.

"Hurm... dari mana ya?"

Aku gelak-gelak cuba selindung apa yang aku rasa.
Aku rasa ini hanyalah mimpi.
Mimpi yang bertali.
Panjang pula talinya, huh!

"Bukan dari kamar bahtera ini."

Aaa... bahtera? Patutlah tak habis-habis membuai-buai badan aku. Siap pening-pening lagi. Aku berada di atas kapal laut rupanya.

Maklumat itu buat aku rasa nak hantuk kepala kuat-kuat ke dinding. Biar cepat terjaga dari lena. Biar lekas keluar dari mimpi.

Itu adalah kerana aku pasti setiap pelayaran ada destinasinya. Ke mana kapal laut ini akan membawa aku? Mungkin tekaan awal aku tadi tentang alam Melayu tidak lagi benar. Hujung dunia mungkin sahaja menjadi perhentian pelayaran ini.

"Kenapa kau cakap macam tu?"

Lelaki itu melepaskan ketawa. Dinamik deraian tawanya merdu dari crescendo kepada decrescendo.

"Tidak elok tuan hamba berlama-lama di sini. Kamar ini dihuni lelaki."

Tak perasan tangan mulai meraba dahi. Aku rasa aku tahu kenapa lelaki itu menggantikan lelaki kelat, beku dan bengis yang mula-mula aku jumpa. Dia mungkin perunding atau pengantara lelaki itu, tuan bilik ini.

"Kau nak halau aku dari sini?"

"Tuan hamba tidak berhak berada di kamar ini. Kamar ini ada tuannya."

Dah la muka comel, mulut pandai menjawab. Di mana kelemahan lelaki ini? Pada jiwanya?

"Kau nak suruh aku melepak dekat luar sana?"

Wajah pucat lesi itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Aku tak tahu apa yang dia fikir. Tapi aku rasa aku boleh bergantung dengan dia di sini. Sekurang-kurangnya air muka lelaki ini sedikit bersih daripada lelaki pertama yang aku jumpa.

"Tuan hamba boleh berpindah ke tempat lain yang selayaknya dan selamat."

Ooo begitu ke... ada banyak lagi kapal laut lain rupanya.
Dan lelaki itu masih bertegas nak halau aku?

Masalahnya...
Aku tak inginpun nak berada lama-lama kat sini.
Aku tak nak cari masalah lagi.
Aku dah penat dengan masalah aku sendiri. Aku malas dah nak fikir hal orang lain.

Kau faham tak?

Mestilah kau tak faham sebab kau tak dengar jeritan hati aku ini.

Lama juga kepala otak bekerja keras sebelum aku dapat idea. Aku keluarkan sesuatu daripada beg galas. Hanya tiga biji yang aku letakkan di atas tapak tangan.

Hehehe umpan!

"Ambillah. Boleh kurangkan pening."

Kening lelaki itu berkerut seribu sebelum dia pandang aku semula. Pancaran mata kuyu itu penuh syak wasangka.

"Takde maknanya aku nak racun kau."

Aku ambil sebiji gula-gula bermentol dan hisap. Nyaman yang datang segera mendamaikan kepala aku yang dah ikut sama bergoyang dengan kapal.

Agaknya, setelah nampak aku masih hidup dan mampu tersengih-sengih, barulah lelaki kurus itu percayakan aku lalu mencapai baki dua biji gula-gula.

Seketika kemudian aku boleh lihat mata sepet lelaki itu semakin segar. Begitu juga dengan wajahnya telah berwarna.

Umpan dah kena, baru aku berani mencuba nasib. Aku gunakan kemahiran utama yang aku miliki, berunding.

"Saya setuju untuk keluar dari sini. Tapi boleh tak awak jangan hantar saya ke tempat lain lagi? Bagi saya sedikit masa untuk berfikir."

Aku hulurkan tiga biji gula-gula lagi sebagai balasan rundingan. Tak sangka pula lelaki itu terus mengambilnya.

"Hamba setuju. Mari kita keluar dari kamar ini dahulu."

Sebaik sahaja lelaki itu menolak daun pintu, tiupan angin buas terus menerpa tubuh. Spontan aku jadikan tangan sebagai perisai untuk menghadang kekasaran alam ke atas kulit muka. Namun aku tak berjaya mengelak hawa dingin menyentuh tubuh. Dalam masa yang sama telinga menangkap deruan desiran ombak yang amat kuat dari arah belakang.

Hajat nak mengintai keadaan tak kesampaian apabila kedudukan kapal tiba-tiba sahaja tidak stabil. Aku pegang rangka pintu kuat-kuat apabila tubuh tertunduk mencerun sehingga 30 darjah. Elok kaki berubah pasak, badan pula melambung ke belakang. Kaki kiri siap terangkat ketika aku cuba mengimbang badan. Keadaan terolang-aling berterusan selama beberapa ketika.

Tak lama selepas itu muncul ngauman yang menakutkan di sebelah kanan kapal. Dalam posisi hampir tertirap dan terlentang, aku cuba mengangkat muka mencari jawapan kepada apa yang sedang berlaku. Apa yang terhidang depan mata buat aku terlupa di mana aku berada.









Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.