Home Novel Cinta TUAH
Bab 45
Bab 45 Rangga: Andai bisa kubawa lari


Keinginan ingin tahu adalah dorongan naluri yang kuat. la memaksa mataku terbuka awal dari biasa. la mendorong diri menjadi bodoh sebegini. Melakukan perkara sia-sia.

Matahari masih belum menebarkan cahaya sewaktu aku terpacak di hadapan bilik tidur Hanna. Padahal aku tahu akan hakikat bahawa aku akan bersendirian sehingga Hanna terjaga. Andai aku gegar pintu kamar sehingga tercabut untuk mengejutkan dia hatta aku robohkan seluruh binaan, aku jamin Hanna akan tetap dalam lenanya.

Sudahnya aku duduk atas lantai di luar bilik Hanna. Memerhati hamba-hamba memulakan kerja. Membalas sapaan mereka. Melihat siang mulai hidup dengan kudup bunga beransur memekar dan daun layu menyegar disapa sinar pagi.

Bersandar di tiang, aku menggosok perut yang padat. Setelah beberapa kali Mbak Wulan berulang-alik memujukku bersarapan, akhirnya aku akur. Juadah pagi laksana santapan DiRaja. Lama tidak diam di rumah, aku lupa akan kemewahan yang memang menjadi milikku selaku seorang tuan.

Menjalani kehidupan sebagai Bhayangkara tidak dapat lari dari bergelumang dengan jerih. Latihan dan tugas menjengah tanpa henti. Tambahan lagi dengan keadaan keraton meraikan kehadiran ahli keluarga baru dari Melaka, kesibukan menjadi berganda. Untungnya Gusti Puteri tidak menyertai perburuan. Maka aku punya hari untuk diluangkan mengikut giliran yang telah ditetapkan.

Bayu pagi berterusan menebarkan hawa dingin dari celahan jemari suria. Sejuk membuatkan romaku tegak. Aku eratkan pelukan tubuh. Pancaran cahaya matahari lembut dihadang awan tebal. Memandang ke langit timur, aku membuat perkiraan. Matahari telah naik sekadar tombak. Lalu aku pejamkan mata, menduga kejadian yang akan berlaku penuh teruja.

Pertama.
Sudah tiba masanya Hanna bangun.

Bibir melentur senyum semasa telinga menangkap bunyi pintu berkeriut. Teruja aku terus mencanak tinggi. Sebahagian kecilnya untuk mengetahui samada telahan kedua aku benar. Selebihnya aku tak sabar menatap wajah segar Hanna.

Namun aku hanya membenarkan sedikit perasaan keluar. Lantas aku lirikkan mata ke sisi tanpa mendongak.

Iya, tekaan kedua aku benar.
Hanna mengenakan sepatu baru pagi ini. Pasti pakaiannya juga berbeza daripada semalam. Tanpa menyapaku, dia duduk di sebelah.

Aku masih merendahkan pandangan, membiarkan mata menikmati warna biru laut. Warna baju yang sepadan dengan celana biru tua Hanna. Perlahan-lahan aku angkat mata, menilik wajahnya yang menghimpun warna-warna lembut. Bibir dan pipi dicalit samar bunga mawar, kelabu dan biru muda di kelopak matanya. Akhirnya aku singgah lama pada senyumannya.

Huh! Mudahnya kau menawanku, Hanna.
Apa yang sedang menambat hatimu?

Dagu Hanna nampak runcing ketika mendongak. Perkataan pertama yang diujar berbentuk pujian.

"Cantik."

"Apa yang cantik?"
Aku tambah lagi soalan menyedari perhatiannya berkalih sebentar ke arahku.

"Atau siapa yang cantik?"
Telunjuk menuding ke muka sendiri.

Habis senget senyuman Hanna. Setelah itu muncung bibirnya meninggi.
"Tu. Cantik susunannya. Dari jauh nampak macam sarang lebah, kan?"

Aku ikut garis lurus pandangan Hanna. Hurm, pujian kepada alam itu biasa. Tetapi pujian kepada bumbung jarang-jarang aku dengar.

"Itu atap sirap. Diperbuat daripada kayu Ulin. Kayu itu utuh dan lasak bak pertiwi Wilwatikta ini."

Penerangan aku disahut ketawa sinis Hanna. Kenapa? Apa yang tidak kena dengan menyata hakikat? Getus hati itu aku letuskan menerusi raut wajah.

"Itulah bezanya kita. Saya suka pandang dengan hati. Awak suka pandang dengan akal. Kita melihat perkara yang sama dengan pandangan yang berbeza."

Ooh, perkara itu.

"Menurutku, perkara sebegitu condong kepada perbezaan di antara perempuan dengan lelaki. Manakala kau dan aku..."

Aku tatap mata Hanna sedalamnya seraya menyambung kata, "Aku berharap benar agar tiada apa-apa yang membezakan kita."

Hanna membalas tatapanku. Dia menggeleng dan menyangkal harapanku.
"Kita tak sama Rangga."

Pengakuan Hanna segera mendatangkan gemuruh. Dia akan memberi penjelasan tentang dirinya? Tetapi apakah aku telah bersedia untuk mengetahui apa yang sepatutnya aku tidak ketahui?

"Awak anak orang kaya. Saya tak. Awak ingat saya tak perasan rumah orang kaya aje yang ada atap macam ni."

Apa?
Ah, Hanna... Hanna.
Lalu aku letuskan ketawa besar. Sia-sia kebimbanganku. Mungkin aku perlu atur semula cara berfikir. Agar lebih mudah dan ringkas seiring Hanna.

Untuk menghabiskan masa yang bersisa, aku tidak bercadang memerap Hanna di rumahku.

"Nak ke mana, Rangga? Eh, Sangkaningrat."

Pendayung di tangan laju menolak air. Aku mahu cepat tiba ke destinasi.

"Aku suka mendengar kau menyebut nama Rangga. Kita kekalkan sahaja panggilan itu."

"Iya, Ndoro."

Nada suara Hanna mengajuk suara hamba-hambaku. Menyesal pula membawa Hanna bertandang ke rumah. Walaupun sekejap, banyak perihal aku yang dia sudah tahu. Hanna duduk di haluan sampan menghadap aku. Tangan kanannya bermain-main air.

"Kenapa awak jadi Bhayangkara? Kalau saya lah kan, tak kuasa nak jadi kuli orang kalau duit berkepok banyak."

Mengenali Hanna, aku tahu cara dia berfikir. Jadi aku tidak ambil hati dengan pendapatnya.

"Urip iku urup. Hidup itu nyala. Kehidupan kita sebaiknya laksana dian. Menerangi yang lain. Manakala berkorban demi pertiwi merupakan cita-cita agung bagi seorang laki-laki. Cita- cita itu tidak terbatas dengan martabat dan darjat. Dipilih, aku cukup berbesar hati."

Muka Hanna masih terteleng ke arah terusan. Nampak macam dia leka mengocak air, namun dia ambil pusing kata-kataku.

"Kenapa diaorang pilih awak?"

"Tampan."
Aku tahu gurauan itu yang mengalih perhatian Hanna. Bibirnya mencemik.

"Panglima yang pilih awak tu mesti juling."

Balasan gurauan Hanna mengundang ketawaku. Ini adalah di antara sebab kenapa aku suka berada di samping dia. Hati aku girang dek banyak ketawa.

"Iya, sudah tentu kerana kebolehanku. Gusti Puteri juga menyenangi aku kerana kami sudah saling kenal dari kecil."

Berdua-duaan dalam batasan sampan yang kecil membuat aku terfikir sesuatu.

"Hanna, andai aku bawa kau ke dunia yang hanya ada kita, mahukah kau mengikutiku?"

Warna biru di kelopak mata Hanna menyerlah ketika dia mengerdipkan mata beberapa kali.

"Maksud awak, kita pergi ke pulau? Kita je tinggal dekat situ?"

Pulau? Hurm, lontaran pendapat yang baik.

"Kalau kita berdua aje yang ada di situ, bukan aku, dengan kau sekali mati kutu nanti. Bosan."

Aku lontarkan senyuman manis. Dalam masa yang sama menelan pahit yang turut aku rasa, mendengar hati berbicara.

Kau tahu Hanna, asalkan ada kamu, di bahagian dunia manapun kita berada tidak akan membosankan aku. Dan aku berjanji, akan membuat kau rasa perasaan yang sama.

"Kita sudah sampai."

Aku berhenti mendayung dan menambat perahu pada kayu pancang.

Hati bersyukur kerana kelihatan Hanna sukakan tempat ini. Dia berlari ke hadapan mendahului aku. Ada kawasan lapang di pinggir hutan yang menghadap sawah padi. Sumur hijau membataskan dua kawasan itu.

"Awesome," luah Hanna sambil ketawa girang.

Aku duduk di wakaf yang dibina para petani. Mataku kekal mengekori Hanna. Seri wajahnya sama seperti pertemuan pertama kami di puncak Pura Waktra. Kecantikan dan pesona perawan yang bisa membuat hati pria menjadi tamak.

Aku sendiri dapat merasakan ketamakan itu! Bertambah dari hari ke hari memberati hati. Dan aku yakin lebih lama aku pendam, semakin kurang siumanku.

Tak sedar tangan telah mengusap-ngusap dada, menenangkan diri. Aneh kerana perasaan ini bisa membuat manusia hilang waras.

"Aduh, sahabatku. Aku sangka kau telah kabur jauh dengan gadis itu."

Spontan mataku terpejam, bibirku kejap tatkala disapa. Meledak marah dan geramku.

Sial! Lelaki ini tak bisa lihat aku senang.

Aku tepis tangan yang mendarat di bahu.
Malas aku nak lihat muka Si pengacau.

"Katakan segera apa mahumu, Arya. Lekas beredar!"

Pangkin kayu terasa sedikit tenggelam. Pasti Arya telah mengambil tempat di sebelahku.

"Kalau menurut apa mahuku, itu mudah. Masalahnya aku menurut titah Gusti Puteri."

Mataku terbuka luas mendengar nama panggilan itu. Arya mengangguk-angguk ketika empat mata kami bertembung.

"Benar. Riwayatmu bakal tamat."



Previous: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.