Home Novel Cinta TUAH
Bab 34
BAB 34 DONE FOR ME


Semenjak pemergian Iqbal, jiwa aku semakin mengecil. Oleh kerana itu aku telah mengepung dinding hati, enggan membenarkan sembarang perasaan mengusiknya lagi.

Itu pengajaran yang aku dapat setelah kehilangan keseluruhan jiwa.

Aku yang terbiasa dengan jiwa lepas bebas terpaksa mengurungnya. Memang derita. Bahana cinta dan rindu yang kejam merejam semahunya sehingga jiwa aku berkecai dan hancur sepenuhnya.

Bersusah payah aku berusaha mengutip cebisan hati. Dengan bantuan Ihsan, hanya sejumlah kecil sahaja yang mampu aku kumpulkan.

Dan aku kenal benar jiwa kerdil aku.
Alahannya pada apa.
Reaksinya juga jelas.
Tembok dinding aku akan pecah, membenar masuk apa yang pernah hilang.

Tulus kasih dan budi.

Dua perkara itu sedang membutakan mata hati aku melebihi ketakutan dan kebimbangan. Dua perkara yang mendominasi akal dan hati.

Dua perkara yang sekian lama aku cuba elak.

Aku telan kelat yang bergenang dalam mulut. Rasa yang memenuhi lidah apabila hati mengenang penjelasan Lekiu dan anggapan serong aku terhadap Tuah.

Aku tahu apa kehendak hati. Sekeping jiwa itu bukannya berkeinginan membalas budi. Hati aku hanya ingin meraikan budi.
Paling kurang menghargainya.
Bukannya membidas atau memijak hentak kebaikan.

Hanya bunyi alam mengiringi kepulangan kami. Lekiu juga berdiam diri. Mungkin lelaki itu bimbang terlepas cerita lagi.

Sebelum turun dari kenderaan beroda kayu, aku titipkan pesanan kepada Lekiu.

"Boleh tolong saya, Lekiu? Bagitahu Tuah, jangan susahkan diri kerana saya. Saya tak bercadang nak singgah lama di sini."

Dengan kepala yang menunduk seraya melangkah merentasi ruang legar pendopo, aku hanya nampak kaki yang silih berganti kanan dan kiri membawa diri ke kamar.

Beberapa langkah menghampiri bilik tidur, aku berhenti berjalan.

Tuah!

Nama itu sering buat aku naik angin. Malam ini, nama itu memancing sebak. Ada bebanan perasaan yang tersangkut di hati yang memberatkan langkah kaki. Aku pejamkan mata dan tahan nafas bagi menghalau galau. Mungkin asakan perasaan akan pergi mengikut hembusan nafas yang laju. Ternyata aku tersilap perkiraan kerana udara yang aku hela selepas itu juga sama laju. Rasa bersalah kembali memasuki diri dan menghambat hati.

Jadi bukan aku yang memenangi pertaruhan itu, Tuah. Aku menang sebab kau yang benarkan kemenangan.

Bebola mata aku basah ketika aku pandang pintu bilik. Angin yang berlegar-legar di ruang terbuka pendopo menghantar sejuk ke serata ruang. Bertambah lewat malam, suhu bertambah sejuk.

Namun Tuah, tahukah kau bahawa aku kekal hangat di dalam kamar. Hanya kau seorang yang kesejukan di luar. Dalam lena... atau jaga.

Gerak hati mendesak untuk menjenguk Tuah.
Jenguk sahaja.
Aku nak tengok sahaja.

Aku pusingkan badan. Kelam yang hanya bersuluh dian masih menampakkan sekujur tubuh yang terlentang di papan lantai. Kaki memesong arah kanan. Aku berjingkit dan melangkah begitu berlahan. Pengalaman sebelum ini membuatkan aku lebih cermat. Aku tidak berniat mengganggu lena Tuah.

Dada Tuah berombak perlahan. Matanya rapat tertutup. Nampak macam dia sedang tidur nyenyak.

Tuah nampak baik-baik sahaja. Jom, masuk tidur Hanna.

Itu bisikan pertama hati sebelum memperdengarkan teguran, 'Dekat tangan Tuah ada nyamuk.'

Badan dah menghadap arah bilik semasa hati berbolak-balik. Mata ini selalu nampak perkara yang tak sepatutnya aku nampak. Geram dengan diri sendiri, aku lirikkan hujung mata ke tangan Tuah.

Mak Aii! Memboyot perut nyamuk yang menonggeng di atas tangan Tuah.

Mesti aku dah baling akal ke lantai semasa aku duduk bertinggung tepi Tuah. Hanya jari telunjuk yang mendekati nyamuk. Niat aku nak titikkan sahaja jari di atas perut nyamuk. Binatang spesis pelesit ini kalau tengah mentekedarah mana sedar bahaya. Entah kenapa semakin hujung jari aku menghampiri nyamuk, semakin kuat degup jantung aku.

Macamla aku buat perkara salah...

Pap!

Nyamuk terlepas lari, jemari aku tertangkap. Kulit Tuah terasa kasar melekap di sekeliling tangan aku. Tangan aku direntap sehingga tubuh terdorong mendekati Tuah. Mata terus tertancap ke wajah lelaki itu.

Sambil menjegil Tuah menyoal tegas, "Kau mahu berbuat apa?"

Jantung aku yang dah rasa nak luruh setelah mendapati Tuah terjaga terus rasa nak tercampak keluar mendengar suara kasar Tuah.

Dah selambak air liur aku telan tapi tekak masih rasa kering. Mulut nak bercakap tetapi suara tak nak keluar.

"Hek eleh... Bukannya aku nak buat apa-apapun. Aku nak tamatkan riwayat nyamuk dekat tangan kau la."

"Hei! Kau siapa aku siapa yang beriya bagai nak tolong aku. Bukan bini akupun. Kawanpun bukan. Pasal nyamuk seekor kau menyibuk?"

Itu monolog dalaman diri. Dialog aku dan Tuah yang lidah aku biasa gunakan. Respon Tuah yang aku andaikan berpandukan reaksi Tuah sekarang. Sinar tajam mata dia sedang menikam aku.

Sejujurnya aku tak suka monolog itu. Beralasan meskipun benar, mencerminkan ketidakjujuran hati. Biarpun aku tidak berniat jahat, perbuatan aku tanpa tuntutan yang wajar. Untuk itu aku bersedia tanggung akibat. Apa sahaja anggapan Tuah terhadap aku, akan aku terima. Aku rela kuncikan bibir daripada mencipta alasan bodoh.

Melihat aku lama mendiamkan diri, akhirnya Tuah lepaskan jari aku. Tangan kirinya diangkat ke dahi menutupi mata dan separuh muka. Tuah sambung tidur.

Aku agak Tuah lepaskan hal tadi begitu sahaja. Logiknya memang aku tak berdaya nak apa-apakan dia. Aku perempuan, dia... Hang Tuah! Genggaman dia sahaja dah rasa nak patah jari aku. Itu belum lagi dia layangkan penumbuk atau penerajang. Memang boleh putus nafas dibuatnya.

Bingkas aku bangun dan beredar. Namun, tak sampai lima langkah, aku berhenti lagi. Perlahan aku lepaskan keluhan.

Hais! Mata ini memang buat hal sungguh malam ini.

Aku tertengok tangan Tuah menggaru-garu tempat gigitan nyamuk tadi. Masih dihurung rasa bersalah yang sama, aku tidak lagi menolak desakan hati. Sebaliknya perasaan itu aku terima dengan baik.

Berpatah balik, aku sedar hakikat kini dan tadi semuanya berlainan.

Tadi aku sangka Tuah tidur.
Kini aku tahu Tuah sedar.
Tadi perlakuan aku mencuri-curi.
Di kala ini aku buat terang-terangan.
Tadi aku mahu mencegah.
Sekarang aku mahu mengubat.

Yang sama adalah detak jantung aku. Kekal berlari laju samada perbuatan aku terancang atau tidak. Mungkin jua aku salah membuat andaian bagi situasi kini. Denyut jantung aku bukannya memberi reaksi kepada perbuatan apa, akan tetapi siapa.

Aku duduk semula di sisi Tuah, buka beg bimbit dan keluarkan Mopiko. Setelah penutup terbuka, aku picit hujung Mopiko sehingga cairan krim putih keluar. Kesan merah di bekas gigitan nyamuk tadi merebak setelah Tuah garu. Tuah masih tidak mengalih tangan dari mukanya. Aku tahu dia sedar dan tidak tahu kenapa kali ini dia tidak peduli.

Dengan cermat aku tekapkan muncung Mopiko di permukaan kulit paling merah dan nampak menimbul. Setelah aku pastikan semua kawasan itu diseliputi krim, aku picit batang Mopiko agar mengeluarkan krim lebih banyak dan ratakan ke semua kulit yang kemerahan.

Selesai letak ubat, aku tak mahu ganggu Tuah lagi. Baru nak bangkit, tapak tangan Tuah berkalih arah dan terbuka menadah.

"Nyamuk tidak mengigit di situ sahaja..."

Aku faham maksud Tuah. Kata-kata Tuah buat aku rasa nak menangis dan ketawa. Sebak hati kembali. Ini harga keselesaan yang Tuah rela gadaikan buat aku. Kelakar kerana ayat itu berbunyi terlalu telus. Tuah langsung tidak jual mahal. Mungkin rengsa kegatalan segera mereda setelah ubat disapukan.

Aku buka penutup Mopiko semula dan menyapu krim ke tangan dan kaki aku. Tadi air mata hanya membasahi retina. Kini air jernih itu telah bertakung di tubir mata.

Aduhai Hanna, kenapa emo sangat. Muncung halus nyamuk aje yang tembus kulit Tuah. Bukannya keris atau tombak. Lagi pula dia bukan lelaki biasa. Dia Hang-Tu-ah.

Emosi adakalanya mengikut telunjuk kebodohan. Aku tahu sangat perkara itu. Dan aku juga faham kenapa hati aku boleh terima perkara bodoh macam itu. Kata hati tadi hanyalah alasan. Emosi aku meruncing bukan risaukan nyamuk atau Tuah.

Aku terharu atas kebaikan yang tidak dipamerkan kepada aku.

"Aku minta maaf, Tuah."
Kerana tidak percayakan kau.
Kerana tidak menghargai kau.
Kerana aku gagal menyelami sanubari kau.

Aku percaya apa yang aku nak percaya sahaja. Buruk betul perangai ini.

Lafaz kemaafan itu aku ujar dalam nada amat perlahan semasa aku letakkan Mopiko atas tapak tangan Tuah. Selepas itu baru aku sedar matanya dah lama merenung aku.

Pertama kali ukiran senyuman aku ikhlas buat Tuah.

"Pusing penutup krim ini dan picit isinya. Sapu dekat tempat yang gatal."

Penjelasan aku memisahkan kami. Itulah yang aku sangka. Yang aku tak sangka, sentimental blues masih tak hilang di pangkal hati. Hatta kelibat selimut boleh buat aku susah hati.

Kau dah kenapa ni, Hanna?

Aku keluar semula bawa selimut untuk Tuah. Minda masih belum membuat keputusan untuk letakkan selimut di tepi Tuah atau tolong selimutkan dia semasa tangan kanan Tuah menengadah lagi. Seperti tadi, mata Tuah masih terpejam.

"Selimut."

Sepatah sahaja ayat Tuah.

Selepas selimut bertukar tangan, keluar lagi dua patah perkataan.

"Pergi tidur."

Aku pakukan kaki di tempat yang sama buat seketika. Perasaan yang bercampur baur buat aku keliru. Apa lagi yang masih tertinggal?

Oh, ya. Perkara yang paling penting.

"Tuah, terima kasih."
Di atas semua kebaikan kau. Yang kau buat depan aku. Atau belakang aku.

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.