Home Novel Cinta TUAH
Bab 17

Bab 17  Tuah: Apa mahumu, Kasturi?


Gerimis masih menodai alam. Rintik-rintik dari langit menguyur lembut membasahkan jemari dedaun dan tanah. Sesekali angin pagi datang membawa nyaman ke segenap ruang pendopo. Aku memusingkan kepala ke arah Lekir yang masih mamai. Matanya kuyu dikuasai kantuk.

"Dia dah bangun?"

Lekir yang memahami maksud soalanku menggeleng sebelum menguap luas.

"Yang lain ke mana?"

"Kata mereka mahu mencuci mata. Menurut Iskandar pandangan pagi di daerah ini 'amat cantik'."

Aku sandarkan kepala ke tiang pendopo. Berjaga sepanjang malam ditambah dengan dingin yang mengusap tubuh membuatkan aku sukar menolak keinginan untuk melelapkan mata. Menurut sida utama, Sultan Mansur Syah hanya mahu beristirahat hari ini. Jamuan utama meraikan kehadiran baginda akan diadakan  pada sebelah malam.

"Lekir, biar aku pula awasi dia. Kembali semula ke sini sebelum matahari terbenam."

Cerah terus biji mata Lekir mendengar keizinan aku melepaskannya dari menjaga Hanna buat seketika. Sesudah subuh Lekir telah menyatakan hasratnya untuk menyertai hulubalang bersiar-siar di sekitar kota.

"Jikalau begitu, aku pergi dulu Tuah."

Tidak ditemani sesiapa, sepi meraja keadaan. Kesunyian malam memudahkan akal untuk membaca ceritera politik istana, membuat telahan demi telahan. Akan tetapi kini, akal menolak untuk bekerjasama dengan sepi. Ia ingin menyendiri dan meluputkan segala ingatan tentang sebarang plot mahupun komplot.

Perlahan-lahan kelopak mata aku jatuh dan tertutup rapat. Aku hanya membuka mata semula setelah terasa lengan dicucuk-cucuk.

Kelam kabut aku betulkan kedudukan tubuh dan bersila apabila gambaran pertama yang terpantul di retina adalah wajah Hanna. Gadis itu duduk menyilang kaki menghadap aku. Apabila bibir Hanna mengorak sengih, aku tahu ada sesuatu yang dia mahu dari aku.

"Ada makanan tak? Lapar la."

Mata merayap ke luar menelah hari. Agak lama aku tertidur kerana bebola matahari telah naik tinggi  di langit melebih panjang galah. Hujan juga telah berhenti.

Setelah itu aku halakan pandangan ke arah Hanna. Penampilan gadis itu hari ini berlainan dari semalam. Wajah itu agak polos dengan hiasan warna-warna lembut dan muda di kelopak mata dan bibirnya. Semalam gadis itu nampak garang dan amat menonjol dengan calitan merah. 

Itu perkara pertama yang melintas di mata manakala yang melintas di fikiran pula...

Anak dara bangun meninggi hari lalu tiada segan silu meminta makanan. Tsk! Tsk!

Aku bangun dan melangkah keluar pendopo. Hayunan kaki berhenti sejenak sebelum aku berpusing ke belakang. Lirikan mata aku difahami Hanna. Gadis itu membontoti aku sehingga ke ruang penanggahan kecil yang dikhaskan untuk kegunaan tetamu dari Melaka. 

Dari awal lagi aku telah berpesan kepada Lekir agar menyiapkan satu hidangan untuk Hanna. Tanpa was-was aku membuka tudung hidangan dan labuhkan punggung di atas pelantar kayu. Aku capai makanan tanpa mempelawa Hanna. 

Gadis itu ternyata tidak menyulitkan aku. Tanpa meminta izin, dia terus capai makanan dan duduk di sebelah aku. 

Barangkali dingin mudah menyelerakkan nafsu makan. Barangkali juga air tangan tukang masak Istana Melaka penyambah selera.

Kebarangkalian itu mungkin penyebab kelajuan gadis itu menghabiskan makanan dan mencapai makanan lain dua kali ganda aku sekaligus menangkap perhatian aku. 

Hurm... mana sopan dan santun gadis ini?

Tanpa aku sedari aku telah mula mengumpul perkara jelek tentang perempuan yang selama ini tidak pernah aku kisahkan.

"Nama kau Tuah? Kau ni... Hang Tuah?"
Pertanyaan diujar dalam sela kunyahan. Selain gasar lakunya, bunyinya jujur. 

Aku tahu Si Penyoal hanya mahu kepastian identiti aku. Tapi aku mahu tahu lebih dari itu. Mungkin lain halnya seandainya mulut penyoal berasal dari daerah ini tetapi tidak jika dia bersama-sama aku di dalam Genta Segara. Sedangkan dayang yang baru diterima masuk ke istana tahu siapa aku!

Aku tangkap pandangan Hanna dan cuba memaku pandangan kami.

"Siapa gerangan tuan hamba? Siapakah yang mengutus tuan hamba? Apa tujuan tuan hamba mendekati hamba dan rakan-rakan hamba? Apa sebenarnya yang tuan hamba inginkan dari hamba?” 

Kesemua soalan aku ajukan dengan nada tegas. Asalnya aku hanya mahu tahu dia lawan atau kawan. Namun aku lebih gemar berterus terang. Lebih memudahkan urusanku.

Hanna tersedak. Mukanya merah menahan perit tekak. Makanan yang berada di dalam mulut nampak bagai ditelan begitu sahaja tanpa dikunyah. Tangan gadis itu pantas mencapai cawan air lantas diteguk rakus. Air yang penuh bergenang di cawan hilang dalam satu teguk.

Bingkas gadis itu berdiri. Ternyata raut gadis itu menyangkal semua sangkaan aku. Bahawa jiwa marhaen yang mengetahui namaku akan tunduk kepadaku. Mengelak amarahku. Kerana mereka mengetahui akibat yang bakal mendatangi mereka bukan kecil. Malah memungkinkan kehilangan nyawa. 

Matanya bulat membesar serentak dengan ngangaan mulut. Dia berpaling ke sisi sambil memicit-micit dahi. Ketika dia menghadap aku semula, kelembutan yang sering mendampingi raut perempuan hilang sama sekali. Dengan kening sedikit terangkat, dia menyergah aku. 

“Wah! Banyaknya soalan! Kau ingat aku ni orang jahat ke? Agak-agak la sikit. Ada kau nampak muka aku iras-iras KL Gangster atau penyangak macam muka kau kat dalam kapal hari tu?”  

Berombak dadanya menahan amarah. Bertambah besar matanya menjegil. Soalan aku dijawab dengan persoalan dalam kepantasan masa yang amat laju. Semuanya kedengaran terluah di dalam satu nafas.
Perlakuan Hanna seharusnya menghilangkan segala pertimbangan baik aku. Peliknya di ketika itu akal masih lagi sempat menimbang-nimbang untuk menokok angka kejelekan perempuan. 

Di antara kebodohan dan berani. 

Bodoh kerana perempuan sering bertindak mengikut perasaan. Antara perkara yang buat aku jelek tatkala berhadapan jantina berlawanan jenis.
Berani? Huh! Dia sengaja mencari mara!

“Raut wajah tidak mencerminkan apa-apa bagi aku. Apa helah yang kau sembunyikan di sebalik kemunculan tiba-tibamu ?” bentakku. Berakhir sudah ayat-ayat sopan. Kedua belah tangan aku silangkan ke dada. Renungan mataku semakin tajam. 

“Kau ni apahal? Tak pasal-pasal naik angin ni. Siap serkap jarang lagi.” 

Sambil mencekak pinggang gadis itu menjeling aku. Tiada bayangan ketakutan mahupun gementar di wajahnya malahan… dia pula yang marah?

Aku lepaskan ketawa. Hati galak berbisik,  'Aneh sekali. Amat amat aneh.'

Jarang sekali soalan aku dibiarkan tanpa jawapan. Meskipun tanpa bersuara , kewujudan aku sahaja sudah cukup menakutkan lawan. Tiada seorang pun yang berani ingkar apatah lagi membalas dengan jelingan yang tajam. 

“Aku sendiripun tak tahu macamana boleh sampai sini. Seorangpun aku tak kenal kat tempat ni. Aku... Aku cuma harap... aku boleh bernafas dengan aman sahaja. Tak diganggu sesiapa sebab aku tak pernah terniat nak ganggu sesiapa. Aku juga tak nak jadi kawan atau lawan sesiapa."

Suara Hanna mengendur. Seiring dengan redup matanya yang bertambah sayu.

"Tegak dan berdirinya aku di sini hanya atas dasar percaya. Dari wajah kamu semua, aku percaya kamu tak berniat jahat dekat aku walau kita masih saling tak kenal. ” 

Sungguh aku tidak menyangka kata-kata itu yang terhambur. Dia percayakan aku dan rakan-rakanku hanya berdasarkan air muka.

Haah! Wanita dan mulut manis mereka! Lidah yang bergulung di sebalik ulas bibir yang mengoda itu memang pandai bermain kata dan helah. Mereka berupaya menjatuhkan sebuah negara hanya dengan kekuatan kata-kata manis memukau kaum lelaki. Mana mungkin aku boleh terpedaya hanya dengan kata-kata seperti itu. Hanya orang-orang yang pendek akal sahaja boleh menerimanya. 

Bertentangan dengan sayu renung Hanna, bibir aku mencebik kepalsuan yang memancar dari mata itu.

“Tak percaya? Eishh… Lantak kamulah. Whatever.”  

Telinga aku sempat menangkap bicara sendirian Hanna ketika gadis itu beredar. 

"Macamla kau nak percaya apa yang aku cakap."

Aku perhatikan sahaja belakang Hanna yang semakin mengecil.

Perempuan dan angin meroyan mereka!

Perkara itu menambah panjang senarai yang aku telah kumpulkan. Jua antara penyebab yang membolehkan aku mengetahui maksud berputus asa. 

Dalam diam aku mengekori Hanna. Jejaknya aku ikuti dari jauh. Kejadian semalam tidak memungkinkan aku membiarkan Hanna lepas bebas sebegitu sahaja. 
Hari ini dia memakai celana panjang kain tebal menyerupai kaum lelaki. Keseluruhan baju Hanna menutupi auratnya. Warna gelap pakaian Hanna menyerlahkan kulitnya yang putih gebu. Dia juga menutup kepalanya dengan kain yang sama nada warna bajunya. Beg galas tetap ada di sisinya. 

Cara Hanna berjalan juga agak berbeza. Tiada rentak gemalai dan lenggok lembut seperti yang biasa gadis pamerkan. Hanna melangkah mengikut gerak hati, atau menurutku sesuka hatinya.

Hanna menelusuri barisan pohon-pohon rendang di luar kawasan penempatan orang-orang Melaka bertamu. Kakinya tidak berhenti melangkah sehinggalah dia menjumpai kolam yang jernih. 

Gadis itu  terus membuka kasut dan menjuntai kaki sehingga rapat ke gigi air. Pada mulanya air kolam berkocak lantaran sentuhan jari-jemari kaki Hanna di permukaan air. Setelah itu kolam berkocak di atas sebab yang berbeza. Ada titis-titis jenih yang menitis di permukaannya. Cairan jernih itu  bergenang di kolam mata Hanna sebelum berjuraian lebat di pipinya lalu bersatu dengan air jernih kolam tatkala gadis itu menundukkan kepala. 

Kini, aku dapat mendengar esakan yang kuat. Kenapa si gadis berduka? Adakah kata-kata aku tadi melukakan hatinya? 

Aku ketawa kecil. Perempuan... perempuan.
Acah-acah garang tetapi hati bagai buih. Tersentuh sedikit terus pecah.

Aku labuhkan tubuh sepenuhnya di hamparan hijau. Langit Majapahit sama sahaja dengan langit Melaka. Menaung tetapi memberi bahang. Kedudukan langit yang tinggi itu sama sifatnya dengan sikap manusia yang berkedudukan tinggi. Menaung tetapi menuntut taat setia.

Tangisan Hanna masih memecah hening. Aku cuba tenggelamkan suara hiba itu di dalam riuh suara lalang. Entah bila aku turut tenggelam sepenuhnya dengan gemersik simfoni alam akupun tak pasti.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.