Home Novel Cinta TUAH
Bab 30

Pakar psikologi menyatakan bahawa rasa bersalah adalah emosi introspeksi hasil dari evaluasi hubungan diri dengan peristiwa negatif.

Rasa bersalah aku terhasil setelah menilai raut cuka getah Tuah dengan hubung kait peristiwa 'Tak Sengaja Terpelukmu' dan 'Kau Berhujan di Tengah Panas.'

Naluri yang menuding kesalahan ke arah diri sendiri menggesa agar aku perbaiki keadaan. Pantas sungguh akal bijaksana aku menunjukkan jalan pintas.

Hanna, lagukan sahaja pujuk. Jimat masa dan tenaga kau.

Aku pejamkan mata seraya mengisi ruang hati dengan keikhlasan. Bibir menggumam melodi Dayung Sampan dalam rentak sentimental.

Aku tahu aku tak perlu mencapai awan untuk membuktikan kesaktian sebagaimana Laksamana Sunan. Kerana suara ini telah berjaya membuktikan kesaktiannya menawan Laksamana Hang Tuah hanya dengan getar 'hm'.

Impak kocakan air akibat dihentak pendayung Tuah semakin lemah semakin gumamku menghampiri penamat.

Percaya dengan suara hati, aku angkatkan wajah, mata terbuka mencari Tuah. Air muka Tuah dibayangi ketenangan walaupun dia berterusan menayang sisi simetri sempurna wajahnya. Perisai ais Tuah masih tebal.

Namun, itu sudah cukup untuk melunturkan rasa bersalah aku. Memancing gembira aku.

Kegembiraan yang membuah bahagia. Kebahagiaan yang menjemput senyuman.

Maka ketahuilah aduhai Tuah. Bibir ini mengukir senyum dengan harapan kau bisa gembira. Lagu ini aku senandungkan agar kau bisa bahagia.

Naik sampan mencari ikan
Ikan dicari ai Tuan Nona mencari ikan
Kalau Tuan mencari teman
Teman sejati ai Tuan Susah mencari teman

Ya ya ya ya
Lai lai lai lai lai lai lai lai
Lai lai lai lai lai lai lai lai
Dayung, dayung, dayung, dayung

Naik sampan, sampan didayung
Sampan melaju ai Nona ke lautan biru
Kalau tuan mencari jodoh
Jangan mencari ai Tuan yang selalu cemburu

Naik sampan di tengah lautan
Dihembus badai ai Tuan hingga ke seberang sana
Kalau Tuan mencari kawan
Cari yang genit ai Tuan genit seperti saya

Kali ini ketawa kuat aku di penghujung lagu untuk menutup malu. Sengaja aku pilih lagu Dayung Sampan versi Hetty Koes Endang. Liriknya agak humor. Aku lagukan secara akustik diiringi muzik alam. Sambil menyanyi, aku pusing-pusingkan batang payung, lembik-lembikkan batang tengkok dan lenggokkan tubuh.

Aku nak pujuk orang kot. Persembahan perlu ada 'jiwa' untuk memancing perhatian. Gaya gedik memang sesuai. Tak sangka pula semasa aku kenyitkan mata di lirik akhir 'genit seperti saya', Tuah halakan muka ke hadapan.

Haaah Hanna! Memang kau dah sewel!

Tiada langsung anggapan dalam minda aku bahawa lelaki yang sedang aku pujuk ini adalah Hang Tuah. Di mata aku dia hanyalah Tuah.

Buat kali pertama ketawa kami bersatu dalam nada harmoni. Gabungan suara kami bergetaran indah, mengubah warna kulit aku dan Tuah kepada tona hangat. Aku masih berterusan merenung Tuah ketika Tuah mengalah. Tuah merenung ke sisi semula. Aku boleh rasakan Tuah sedang melepaskan bisikan bahagia kepada alam

Kadar kelajuan perahu; 10 km sejam.
Marah Tuah dah hilang.
Perisai ais Tuah dah cair.
Ngeh ngeh ngeh

Ini baru rasa bersiar-siar. Tadi aku rasa tengah berlumba perahu. Semalam...
Haa! Itu contoh rombongan Mak Jemah.

Nikmat bersiar-siar aku tidak lama kerana tiba-tiba sahaja satu fenomena melanda kami.

Oleh kerana perhatian aku tadi sepenuhnya tertumpah buat Tuah, aku lambat menyedari bahawa kami telah menghampiri pemukiman. Aku langsung tidak sedar kumpulan manusia telah mula bersesak dan mengejar perahu kami di daratan. Semua ini aku sedar setelah gegak bunyi memenuhi ruang udara.

Atau lebih tepat lagi itu adalah gempar anak-anak dara Jawa yang disampok histeria. Dalam hal keadaan sopan dan santun yang terjaga, sorakan teruja mereka terkawal.

Sudah tentu aku tahu siapa Si Penarik Kerumun! Selebriti seperahu aku ini.

Aku syak Tuah telah lama menyedari fenomena ini sebab kedudukan dia menghadap haluan. Sedangkan aku nampak buritan. Kini aku faham sebab 'mengalah awal' Tuah tadi. Mengapa dia masih melempar pandangan  ke sisi berlawanan arah kawasan penempatan penduduk.

Perahu yang bergerak semakin perlahan memberi peluang kepada lebih ramai fanatik fangirl Tuah berlonggok di tepi tebing. Dari jauh fenomena ini kelihatan seperti koloni semut yang sedang menghebahkan parti tumpahan kampit gula. Antena mereka saling bersentuhan lalu menonong laju mengikut garis bau. Barisan manusia menganjur dari jauh dan semakin bersesak-sesak di tebing kiri aku. Sekalian gadis, ibu, bapak dan anak kecil ingar menengok Tuah.

Maka tahulah aku akan erti terpinggir.  Dalam ratusan pasang mata yang 'melihat bagai nak menelan', tiada satupun 'eye contact' menyinggah aku. Semua panah asmara melepasi badan aku lalu terbenam di dada  Tuah.

Glamour giler Si Tuah ni.

Siapa sangka di dalam kejutan, ada renjatan. Satu suara lunak sedang  menembusi riuh-rendah para pesaingnya. Alunan suara itu merdu sehingga angin menawarkan diri untuk menebarkan guritan yang dikidungkan dari jauh. Aku berpusing ke belakang. Susuk gadis itu nampak kecil, tak sepadan dengan kelantangan suara.

Sedangkan alam turut terpegun dengan prosa Jawa itu apatah lagi peminat fanatik Tuah. Indera mereka terenjat dengan renjana yang diluahkan dalam bentuk yang sempurna. Perubahan drastik daripada gemuruh kepada hening merindingkan romaku.

Hati kecil aku syak itu mungkin teknik mengorat gaya klasik. Gurindam atau syair bersemut menggantikan pickup line yang disahut chia chia chia.

Aku tak faham bahasa yang digunakan. Tetapi irama indah itu merangsang akal. Segera aku teringatkan sesuatu. Aku cepat-cepat mencapai handphone dan membuka album screenshots di galeri. Mata berlari pada terjemahan Bahasa Melayu di bawah bahasa Jawa. 

Ibarat siulan angin yang merentas padang pasir, mustahil Tuah tidak mendengar kidung yang sedang berkumandang. Namun Tuah tetap Tuah. Sedikitpun lelaki itu tidak tersentuh dengan kekecohan yang timbul sebab dirinya. Dari awal lagi hanya satu nama sahaja yang diseru-seru.

Tuah, Tuah, Tuah, Tuaah, Tuaaah!
Langit Majapahit bergemuruh dengan nama Tuah.

Tuah yang sedikit menunduk hanya mengangkat wajah untuk bertemu wajahku setelah aku membacakan guritan buatnya.

Setitik embun di daun bawang putih
Mengucur dari daun jintan
Sepanjang hari aduhai teringin
Mabuk kepayang nikmatnya
hamba jatuh cinta
Bak mandi di penghadapan
Ternoda aniaya malu derita
Aduhai sampainya hati!
Asyik menangis rindukan dia.

Mak ai! Jadi tukang bacapun terasa terserap segala kesyahduan. Kalau guritan itu ditujukan buat aku, alamat termeluaplah segala perasaan aku dari serata ceruk hati bak marshmallow kepanasan di dalam ketuhar microwave

Manakala kesannya terhadap Tuah?

Entah kenapa aku rasa mata itu kembali membidik panah.

What's wrong?

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.