Home Novel Cinta TUAH
Bab 29
Bab 29 HUJAN PANAS


Adakalanya hati gembira apabila kelainan memecah rutin.

Tiada suara penyanyi Korea yang mengejutkan aku hari ini. Sebaliknya jaga aku disambut siulan burung dan kokokan ayam. 

Permulaan hari yang indah!

Malas masih berkumpul dalam tubuh. Walaupun badan berlapik lantai, aku masih mahu menyambung nikmat berbaring.


Pagi yang indah sebab semalam berakhir indah?

Senyuman mekar di bibir. Suara Rangga memanggil nama aku berlegar-legar di minda. Dalam imaginasi, aku dah ikat Rangga di tiang pendopo. Mengancam bahawa aku hanya akan melepaskan dia setelah nama aku dipanggil seperti semalam.

"Hanna! Hanna!"

"Nope! Bukan tune tu. Semalam lagi sedap," marah aku kepada Rangga. Nama aku melantun keras dari peti suara Rangga.

Kali ini panggilan nama aku bergema beserta gegaran pintu. 

Dum! Dum! Dum!

"Hanna! Tuan hamba ada di dalam?"

Celik terus mata aku. Imaginasi serta-merta hilang. Itu memang bukan suara Rangga. 

Sebelum membuka pintu, aku betulkan dahulu baju dan tudung. Pakaian aku masih sama seperti semalam. Pemanggil namaku mengundur ke belakang ketika aku membuka pintu. 

"Lekiu? Awak cari saya?"

Mata Lekiu terkebil-kebil laju. Setelah mengenali Tuah, aku rasa kecacatan saraf muka Lekiu lebih parah. Mimik Lekiu kekal serius di saat gembira, cemas, santai, humor. Tangan aku dah terasa-rasa nak angkat ke pipi Si Lekiu ini. 

Aku nak pastikan dia manusia atau Artificial Intelligence. Hahaha

Tanpa sepatah kata atau sapaan, Lekiu beredar keluar pendopo. Dia menanti aku di tepi pedati.


Lekiu nak bawa aku pergi mana?

Hati bebas prasangka semasa aku menuruti Lekiu. Aku terus masuk ke perut pedati, manakala Lekiu duduk di luar bersama pemandu.

Dan dan aku rasa nak terjun dari kereta kuda setelah mengetahui rencana Lekiu.

Dia hanya melaksanakan rencana Tuah!


Seperti lazimnya, kehadiran aku bak halimunan pada Tuah. Kalau dia sedang berbaring, dia akan terus berbaring walaupun aku telah berada di sebelah dia. Saiz pedati agak besar, jadi sela ruang di antara aku dan Tuah luas.

Aku imbas Tuah sekali lalu. Pakaian Tuah santai hari ini. Semalam Tuah nampak macam hero teater bangsawan. Segak berbaju kurung tenun songket. Mungkin acara semalam adalah formal. Pengiring Sultan dan bakal Mentua.

Apabila pedati keluar dari perkarangan kawasan penempatan orang-orang Melaka, perhatian aku beralih ke pemandangan di luar. Suria pagi sedang menyalurkan hangat kepada isi bumi. Sawah cerah kekuning-kuningan. Ladang menghijau terang. Tak jemu mata singgah lama-lama.

Namun pemandangan yang menyentuh hati adalah manusia dan pilihan hidup mereka. Kesederhanaan dan berlapang dada. Tiada susuk yang terlihat tergesa-gesa. Ibu-ibu bergurau senda dan ketawa sambil menjunjung raga pakaian kotor di kepala. Bapak-bapak mencicip air panas dengan tenang sambil berbual dengan jiran dan taulan dengan pakaian kerja yang siap tersarung.


Suasana desa amat mendamaikan mata dan hati. Pada pemerhatian aku, apa yang terpamer bukan sikap sambil lewa. Mereka bekerja keras untuk hidup. Pagi membawa ke malam mencari rezeki. Tetapi mereka tidak mengabaikan tuntutan jiwa untuk menikmati kehidupan. 

Menikmati kehidupan... 

Aku lepaskan keluh. 

Nak terus bernafaspun ada masanya terasa amat susah. Hidup bermakna kena terus hidup. Itu sahaja. 

Aku mengurut jemari bagi mententeramkan jiwa, membuang rasa bersalah kerana menganiaya diri sendiri. Ketika pedati berhenti, baru aku perasan Tuah dah lama bangun. Aku usir rasa kurang senang yang hadir dari lirikan Tuah.

Kereta kuda berhenti di tepi terusan. 


"Nah," ujar Tuah sebaik sahaja kami turun dari pedati. 

Sekaki payung terbang melayang untuk aku sambut. Ke mana pula Tuah nak bawa aku siap berpayung bagai ni. Lagaknya seperti hendak berjalan jauh. Aku harap sangat dia peka dengan cara jalan aku yang terkedek-kedek.

Tumit kasut aku tinggi la Tuah oii. Kalau kau jalan laju-laju, tak ada pasal aku nak mengejar kau. Buat sakit kaki aku aje nanti.

Itu luahan hati aku ketika Tuah imbas aku dari bawah ke atas.

Aku yang dah bersiap sedia nak melenggang -lenggok catwalk gaya itik pulang petang terus batalkan hasrat apabila nampak Tuah menuju ke perahu. 

Pilihan yang bagus. Selamat kaki aku. Akan tetapi...


Tuah sudah duduk bersila dalam perahu sedangkan aku masih memagut dagu di tebing. Banyak perkara yang aku pertimbangkan melihatkan body slim fit perahu. 

Plepap!

Kuat betul Tuah menghentak papan dayung sampai aku tersentak. Bacaan mimik mencuka Tuah memberitahu bahawa peratusan kesabaran Tuah tinggal kurang dari 40 peratus. 

"Du-duk."

Err... mungkin tak sampai 20 peratus. 

Arahan yang terkandung di dalam dua suku kata itu bagai terpancut dari retakan glasier. Menghantar ancaman beku kepada sesiapa yang mengingkari perkataan itu.

Dengan segala berat hati, aku paksa sebelah kaki memijak perahu. 

Biar betul! Baru masuk sebelah kaki dah tersenget-senget perahu. Mata menabur resah ke permukaan air yang hampir sama rata dengan bibir perahu. Takut dan gayat membuatkan aku menimbang semula keputusan.

Lebih baik sakit kaki daripada lencun dalam terusan. 


Aku sudah membuat keputusan untuk menarik keluar kaki ketika satu daya dikenakan di belakang aku. Manisfestasi akan hilangnya kesabaran makhluk Tuhan bernama Tuah. Terasa kayu dayung menghentak badan. 

Nak imbang diripun susah, apatah lagi kalau didorong dengan daya paksaan yang mengejut sebegitu. Akibatnya, aku kehilangan imbangan diri sepenuhnya. 

"Opocot!"

Sedar-sedar aku dah terhumban ke dalam perahu. Tingkah yang melulu menyebabkan perahu jalor terolang-aling begitu kuat. Air melimpah masuk ke perahu lantas membasahkan bahagian bawah baju. Dilanda panik, aku berpaut kuat sambil memejam mata. Kesemua deria aku mati serentak. Dalam diri aku hanya tinggal gayat dan ketakutan.


Keadaan kembali tenang selepas seketika. Malangnya di kala itu aku pula dilanda haru-biru.

Fungsi deria aku kembali bermula dengan deria pendengaran. 

Telinga menangkap dekahan ketawa. Suara yang kedengaran sayup.

Telinga bergema dengan degupan jantung. Detakan dalam dada yang laju.

Telinga mengesan bunyi hembusan nafas. Kasar dilepaskan dari rongga mulut.

Otak sedang ligat memproses dan menyusun fakta apabila muncul suara yang menyentak semua deria aku.

"Boleh lepaskan aku. Sekarang!"

Tuhan, Aku sedang memaut orang...

Serentak pancaindera aku mengesan hangat dan wangi tubuh Tuah, kelat air liur aku dan apabila aku buka mata...

Mata Si Naga sedang membuntang garang manakala lidah api menyembur-nyembur keluar dari lubang hidung yang sekejap kembang dan kempis.

Wajah Tuah amat menakutkan!

Dada aku berombak laju menahan gementar. Entah dari mana datangnya suara itu, aku tak tahu. Yang pasti, suara itulah yang memandu tingkah aku selanjutnya.

Relax Hanna. Susun satu persatu.

Longgarkan pelukan. Lepaskan tengkuk Tuah. Tegakkan badan. Berundur perlahan-lahan.

Maka aku mengesot ke belakang sehingga habis ruang. Mata Si Tikus dan Si Naga berterusan berlaga sehinggalah Tuah sendiri yang memutuskannya dengan menoleh ke sisi dan mula menggerakkan dayung.

Udara yang tersangkut-sangkut di dada kesemuanya aku lepaskan.

Leganya!

Perahu meluncur laju kerana Tuah terus memecut dayungan. Petak-petak sawah melewati kami dengan pantas. Dari jauh, batasan biru kehijauan pergunungan melingkari horizon kuning. Mungkinkah bahan mineral tinggalan lava gunung berapi menjadikan tanah di sini subur? 


Padi berbuahkan emas. Itulah yang dilihat oleh Wan Empuk dan Wan Malini pada malam zuriat Iskandar Zulqarnain tiba ke Bukit Siguntang. Minda aku juga mengungkap ayat yang sama apabila jalur suria memanah bunting padi di depan mata. Pemandangan yang menakjubkan.

Cantik betul! Macam mimpi.

Aneh bunyi bisikan hati kerana aku sememangnya sedang bermimpi.


Sebentar sahaja telah terasa kepala berbahang. Mana payung yang Tuah bagi tadi? Jawapannya ada di hadapan mata aku. 

Aku intai Tuah. Lelaki itu masih dengan bungkamnya walaupun larut dalam keindahan alam. Perlahan-lahan aku membongkok seraya meregang tangan untuk mencapai batang payung di hujung kaki Tuah.

Dapat pegang, aku tarik payung perlahan-lahan sehinga rapat. Tuah tak ambil pusing apa aku tengah buat.

Payung kertas mengingatkan aku akan Nyonya Hua yang selalu melewati rumah aku untuk ke gerai goreng pisang. Walaupun dekat, sakan dia bergaya dengan kebaya pendek, kain batik dan payung antik. Hari ini Nyonya Hanna pula nak melaram dengan payung antik.

Aku akui ada saat dan ketikanya aku agak cemerkap. Contohnya sekarang.


Tanpa berfikir panjang aku terus sahaja kembangkan bilah payung. Aku terlupa ada air terperangkap pada lipatan payung yang terendam di lantai perahu. Rintik-rintik air dengan warna pelangi menghujani Tuah. Dalam terik, Tuah basah. 

Ops! 

Dayungan terhenti. Dada Tuah kembali berombak laju. Genggaman Tuah pada kedua batang pendayung bertambah kejap sehingga timbul urat hijau. Dia masih enggan mengubah hala pandang. Matanya tajam merenung alam nan terbentang. Barangkali Tuah melepaskan geramnya ke situ. Setelah berlalu beberapa detik, kayu pendayung Tuah menguak air tenang lebih kuat dan pantas.

Kadar kelajuan perahu; 60 km sejam.

Lagi marah dari tadi?                                                    Sorry, sorry, aku tak sengaja. Tadipun aku tak sengaja. 

Paksa aku lagi!                                                             Padan muka kena peluk!

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.