Home Novel Cinta TUAH
Bab 4
BAB 4  PERGILAH AWAN


Keanehan adalah kejadian luar batas kebiasaan yang dipersoal akal dan diperbahas logik. Hal itu yang seharusnya berlaku pada aku sekarang. Entah kenapa, peristiwa semalam dan hari ini elok sahaja hati aku terima tanpa sebarang prasangka. Jiwa aku cukup tenang bagai tiada apa-apa yang bakal berlaku hari ini yang dapat meragut kedamaian.

Kalau lautan depan mata aku ini tup-tup tertonggeng terbalik 'upside down' macam yang dialami Kaptan Jack Sparrow dalam pencarian hujung dunianya, aku rasa aku boleh aje duduk diam-diam kat anjung kabin ni.
Buat derk je... hahaha

Mungkin pembohongan adalah perkara yang jiwa aku perlukan ketika ini untuk mengubat lara hati. Manakala akal perlukan ilusi untuk mengaburi hakikat. Kenyataan bahawa diri rela dipermainkan oleh fantasi sememangnya menyedihkan. Jelas sangat jiwa aku amat lemah sehingga sanggup membiarkan diri diperdaya helah minda.

Di ketika ini tiada apa di batas langit yang mampu menghadang terik mentari melainkan gumpalan gemawan. Bahang panas yang menghangatkan kapal lekas mengeringkan kayu di lantai dek yang terpercik air masin. Berada di bawah teduhan bumbung anjung tingkat satu kabin kapal memberi seribu rahmat dan kedamaian.

Tempias gelora laut yang menyimbah tidak aku halang. Dengan senang hati aku tadah sahaja muka membiarkan titis masin merenik di wajah. Kerana aku tahu silir-semilir samudera akan mengeringkan kesan basah itu.

Mungkinkah jika aku akur menerima hukum alam, hati akan menjadi lebih tenang?

Mungkinkah andai aku pasrah, jiwa akan senantiasa damai sebegini?

Lalu apa perlunya aku bangkit melawan derita?
Untuk aku buktikan keunggulan sebuah cinta?
Cinta yang telah pergi tetapi masih aku cuba pertahankan. Meskipun dengan menikam hati sendiri?

Di luar, ombak laut masih garang berdesir menghentam kapal. Genta Segara meluncur laju menyaingi kapal lain. Buih-buih berasak-asak timbul di laluan yang dilanggar Genta Segara lantas membentuk garis putih yang memanjang di permukaan lautan. Kocakan bak buih sabun itu tidak kekal lama. Selayang pandang, gelembung udara itu pecah dan menghilang tanpa jejak.

Andai sahaja cerita pilu yang pernah hadir di dalam hidup ini bagaikan buih, cepat mengelembung cepat jua pecah dan lenyap, pasti luka hati ini telah lama sembuh.

Puas memerhati air laut, aku lepaskan pandangan menyoroti tompokan putih di dada langit. Awan berarak gemalai berlatar biru galak menggamitku agar bermain teka bentuk dengannya. Permainan yang suatu ketika dahulu sering menghanyutkan masa aku dengan Iqbal sehingga lewat petang. Sambil bersembunyi di atas pokok menunggu rakan-rakan yang menjadi 'ibu' menjumpai kami, Iqbal akan melekakan aku dengan bermain teka bentuk awan.

"Ikan? Arnab? Kucing?"

Aku yang dua tahun lebih muda daripada Iqbal hanya meneka secara rambang. Usia mentah memudahkan Iqbal melabel ketidakmampuan akal aku.

"Ishh, bodoh! Itu bentuk love laa."

Seawal sembilan tahun Iqbal telah kenal lambang cinta. Sudah tentu dia juga telah kenal cinta yang telah berada di hatinya.

Aku yang kegelisahan kerana telah terlalu lama bersembunyi menyuarakan kebimbangan.

"Iqbal, dah tinggal kita berdua aje ni. Mana diaorang ni?"

"Ala, biarlah diaorang. Iqbal nak kawan dengan Hanna seorang sahaja," ujar Iqbal.

"Kenapa tak nak kawan dengan semua orang? Mereka buat jahat dekat Iqbal ke?"

"Tak mereka baik juga macam Hanna. Tapi Hanna lebih istimewa daripada mereka."

Iqbal tersengih-sengih sehingga menampakkan dua batang gigi kapak.

"Istimewa macamana?"
Aku masih tidak memahami maksud Iqbal

"Hanna tak pernah marah Iqbal. Hanna tak kisahpun kalau Iqbal lari lambat masa kita main galah panjang. Hanna tak pernah bersungut kalau baju Iqbal berbau busuk. Hanna selalu tolong Iqbal dan ayah di pasar. Sebab itulah Iqbal nak kawan dengan Hanna seorang sahaja."

Penjelasan panjang lebar Iqbal tak masuk dalam kepala aku sangat tetapi pembuktian kasih Iqbal berpanjangan dari kecil sehinggalah dewasa. Sebaik sahaja dia telah mempunyai pekerjaan tetap, aku terus dilamar menjadi suri hatinya. Dialah sahabat baik dan tunangan aku.

Awan mungkin dapat menyembunyikan bayangan Iqbal tetapi tidak di dalam dada aku. Lelaki itu masih tersemat erat di dalam hati aku walaupun dia tak akan dapat aku temui lagi buat selama-lamanya.

Hanna akan selamanya mencintai Iqbal, sampai bila-bila.

Hati berikrar dalam kepedihan. Perlahan-lahan aku tundukkan kelopak mata seiring gerakan kepala sehingga menyendal paha. Kedua tangan aku lingkarkan ke sekeliling lutut, memaut kuat kaki atau memaut kekuatan diri sebenarnya.

Air mata aku tumpah lagi buat ke sekian kalinya.

Entah bila Lekir duduk berdekatan, akupun tak pasti. Muka lelaki itu agak kelat macam termakan buah ciku tak cukup masak. Ada bungkusan daun pisang di tangan Lekir. Teragak-agak dia menegur aku.

"Er... er... ini... makanan untuk tuan hamba."

Orang memberi, laju sahaja aku menerima. Huluran Lekir aku sambut cepat-cepat. Simpati pula aku melihat raut Lekir yang berkemungkinan bersimpati melihat raut aku.

"Tuan hamba..."

"Hanna." Mudah sahaja aku memotong cakap Lekir. Patah sebutan kata dia lambat-lambat, aku cakap laju-laju.

"Hanna tidur sahaja di kamar semalam. Pada hemat hamba, daratan sudah tidak beberapa jauh."

"Lelaki garang tu tak marah ke? Itu bilik dia ye?"
Aku nak sebut lelaki samseng tapi aku tahu Lekir mesti tak faham.

Lebar senyuman Lekir. Sebelah tangan Lekir menghadang bibirnya.
"Tuan hamba tak usah khuatir. Hamba akan uruskan hal itu."

Perlakuan Lekir menggelikan hati. Macamlah ada orang lain dekat situ yang beriya dia nak berbisik bagai. Tak tahulah pula kalau dinding di belakang aku boleh mendengar.

Tak kisahlah mata bengkak ke, muka merah ke, kebaikan Lekir aku balas dengan senyuman lebar. Nak bagi duit, aku rasa Ringgit Malaysia di dalam dompet mungkin tak berguna buat Lekir.

"Terima kasih banyak-banyak, Lekir. Kau sangat budiman."

Dah kenyang perut, aku tak sedar bila aku terlelap. Aku hanya nampak papan siling kamar sahaja sebelum memejamkan mata.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.