Home Novel Cinta TUAH
Bab 13
BAB 13 PERCAYAKAN AKU, KASTURI


Mulut aku yang dah terbuka luas bersedia bila-bila masa sahaja untuk muntahkan jerkahan dan maki-hamun. Suara aku memang nyaring keluar selepas itu. Akan tetapi tanpa butir kata.

"Aaahhh!"

Bagai nak terkeluar anak tekak aku memberi reaksi terhadap perlakuan gila Rangga. Boleh dengan selamba sahaja dia menghumban tubuh kami ke udara. Di kala itu, tak perlu dia ingatkan aku supaya jangan lepaskan dia, aku rela diri berpaut erat ditubuhnya.

Badan aku yang memusing-musing seketika sebelum kami mendarat membuatkan kain kembang aku mengembung bak bukaan payung. Kalau aku tak panik, pendaratan yang dramatik sebegitu mudah sahaja menarik aku ke alam khayal. Mungkin aku dah berangan jadi Rapunzel manakala Rangga adalah Flynn Rider yang sedang membantu aku melepaskan diri dari menara kurungan ahli sihir.

Malangnya apa yang aku alami adalah kejutan dan ketakutan di tahap maksima. Walaupun dalam masa yang singkat sahaja kaki selamat mencecah tanah, gigil tubuh aku Tuhan sahaja yang tahu. Kalau Rangga tidak berterusan memaut tubuh aku, memang aku akan terjelepuk serta-merta di situ. Kepala lutut aku terasa lembik hendak menyokong badan.

Aku kejapkan kelopak mata yang telah tertutup dari awal lagak stunt Rangga bermula. Aku tahan semua perasaan yang serentak bergolak. Melepasi saat-saat bahaya, kemarahan mulai mendominasi ketakutan.

Sambil menyumpah seranah Rangga di dalam hati, aku atur semula pernafasan. Lama juga masa yang aku ambil untuk tenangkan diri. Rangga membisu dan beku di sebelah walaupun rangkulannya masih erat.

Pasa saat aku membuka mata, perkara pertama yang aku buat adalah menjeling Rangga. Kemarahan yang memuncak membuatkan aku dihujani perasaan itu bertalu-talu. Aku betul-betul berang tetapi sudut rational akal merasakan pertalian di antara kami terlalu nipis untuk aku dedahkan sisi gelap aku kepada Rangga. Mulut aku ini boleh non-stop memaki hamun dan membebel macam letupan mercun papan malam Raya Cina kalau naik angin. Nak tak nak aku terpaksa himpit dan tahan perasaan ini agar tidak terlepas sehingga kata-kata yang dah berjajar menanti di peti suara turut tertahan sama. Tetapi aku kumpulkan apa yang terbuku di dada dan ledakkan kemarahan menerusi panahan mata.

Rangga sambut renungan membunuh aku dengan berani. Dia tidak mengelak atau melarikan anak mata. Sebaliknya balasan pandangan Rangga amat lembut dan lunak. Sebelah tangannya naik ke kepala aku menggosok-gosok permukaan tudung.

"Bertenang. Selagi aku ada di sisimu, aku akan pastikan kau senantiasa aman dan selamat. Akan tetapi tujuan itu, aku butuh keyakinanmu. Kasturi, sudikah kau mempercayai aku?"

Aku dok terketar lutut, Si Rangga sempat berdrama?

Suara Rangga menyebut nama yang Tuah berikan kepadaku kedengaran bersungguh. Muka dia serius. Apa agaknya yang dia difikirkan? Kalau soalan yang sama dia tanya di puncak gapura sebelum terjunan tadi, laju dah aku jawab...

Aku- Tak-Hingin!

Akan tetapi kata-kata Rangga terkandung kebenaran. Buktinya adalah keadaan fizikal aku yang langsung tak terjejas malah selamat walaupun berhadapan saat-saat yang berbahaya. Rangga mengotakan kata-katanya.

Sambil menimbang jawapan, secara tak sengaja aku menangkap aksi luar biasa di belakang Rangga. Seorang pemuda dengan pakaian yang sama dengan Rangga sedang... terbang?

Bukan terbang tetapi gerakannya terlalu pantas untuk mata aku jejaki sehingga menampakkan imej terbang. Lelaki itu sebenarnya melompat, berpijak dan melonjakkan tubuh dengan ulangan aksi yang sama beberapa kali sehingga sampai ke puncak gapura. Badan lelaki itu kelihatan ringan melayang di udara.

Dan aku juga perasan akan sesuatu. Tangga yang aku panjat tadi sudah tiada. Aku juga nampak juraian tali kasar yang labuh dari puncak sehingga mencecah tanah. Pasti Rangga berpaut pada tali itu semasa membawa aku turun.

Seharusnya aku menyediakan jawapan Rangga bukannya mengajukan soalan.

"Biasanya... macamana kau panjat gapura tu?"

Jawapan Rangga menentukan arah pemberat neraca timbang keputusan aku.

"Para pengawal kota tidak pernah memanjat pintu gerbang. Syarat untuk menjadi pengawal kota dan keraton mudah. Hanya perlu memiliki keupayaan melebihi perajurit biasa," jelas Rangga dalam nada rendah diri.

Kini mengertilah aku bahawa kemarahan aku tadi bersifat sia-sia. Aku berhak takut kerana terkejut di atas tindakan spontan Rangga. Tetapi bukan ketakutan yang bersandarkan ancaman. Aksi Rangga tadi mungkin sahaja rutin baginya. Lagak stunt dengan kadar bahaya kosong peratus.

Permintaan Rangga juga membuatkan aku tertanya-tanya akan identiti lelaki itu. Siapa sebenarnya dia?

"Mari, aku bawa kau ke satu tempat," pelawa Rangga. Dia memimpin aku mendekati seekor kuda. Binatang gagah yang siap dengan pelana telah menanti di bawah pohon ara tidak jauh dari situ. Seorang pengawal kota setia memegang tali kekang kuda.

"Awak nak bawa saya ke mana?"

Setelah aku berada di belakang kuda, barulah Rangga menjawab, "Pergi isi perut. Kau tentu sudah lapar."

Rangga duduk di belakang aku dan mengawal tali kekang kuda. Posisi rapat sebegitu memungkinkan aroma badan Rangga menghurung aku.

Hurm... manisnya bauan hutan dan rempah-ratus.

Kegelapan telah melatari alam ketika kuda yang aku dan Rangga tunggang melewati sebuah kolam yang besar. Meskipun ada obor yang menyala di penjuru tertentu sekitar kolam, kelam masih berupaya menyembunyikan keindahan di situ.

Rupa-rupanya inilah pendaran cahaya yang menggamit mata dari puncak Wringin Lawang siang tadi.

Kalau diikutkan kuasa kuda, sekejap sahaja masa yang diambil untuk tiba dari bucu ke bucu kolam. Entah terlebih lenggok ke kuda ini? Yang pasti agak lama masa yang kami habiskan di pinggir kolam.

Kau tengah catwalk ke kuda?

Tuk tik tak tik tuk

Derap kuda gemalai berbunyi menghentak laluan suram yang berterap bata merah. Kawasan lapang tanpa sebarang rintangan angin menggasak badan aku dengan kesejukan apabila deru angin lembab yang melalui permukaan kolam merempuh kami. Refleks suhu yang tidak terkawal meremangkan bulu roma aku. Teringat pula Rangga yang tidak mengenakan baju di belakang aku. Tak sejuk ke dia? Atau alah bisa tegal biasa menjadikan dia kebal dengan suhu rendah alam.

"Kita nak makan di mana?" soal aku.

"Dapur istana."

Apabila mendengar perkataan 'dapur istana', aku sendeng tubuh dan berpaling.
Duduk di pelana yang sama, pasti air muka kami jelas di mata masing-masing. Aku pamerkan bantahan sedangkan dia mempamer muktamad.

Keyakinan di serata raut Rangga membuat aku mengubah posisi pandang kembali ke hadapan. Menyelami perlakuan Rangga dari detik mula pertemuan kami menyedarkan aku akan perjalanan hari aku bersama lelaki itu semenjak awal lagi berkisar 'kepercayaan'.

Panjat menara, terjun menara, menunggang kuda. Aktiviti yang mustahil aku lakukan seorang diri. Mustahil juga dicapai andai tiada kepercayaan. Hati mengulang-ulang pertanyaan Rangga.

'Sudikah kau mempercayai aku?'

Mungkin aku perlukan lebih bukti dari Rangga sebelum menyerahkan apa yang dia mahu. Kepercayaan aku.

Berdepan dengan daerah, situasi dan masyarakat asing, memang rational kalau aku kelilingkan diri dengan tembok curiga bagi tujuan keselamatan diri.

Walau bagaimanapun, demi perut yang dah melagukan keroncong, aku sudi beri pengecualian dan faham risiko yang aku terpaksa terima.

Memasuki kawasan istana bermakna merisikokan diri aku bertembung dengan rombongan Melaka. Aku mungkin akan terperangkap dengan mereka tanpa berpeluang melepaskan diri lagi.

"Jauh lagi ke?"

"Pintu istana dengan gapura amat dekat. Aku sengaja berpusing jauh."

Aku tak tahu apa helah Rangga berbuat sedemikian. Yang aku tahu melodi perut aku dah berubah dari keroncong ke heavy metal.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.