Home Novel Cinta TUAH
Bab 20

Bab 20.  MARI KITA LIHAT SIAPA YANG KENA.


Lenggok paduan suara empat jelitawan Melaka; Dang Condong, Dang Anum, Dang Rakna Dewi dan Dang Rakna Candramedani memang padan dengan tingkah rancak rebana. Sakan sungguh orang-orang Jawa dan Melaka berjoget. Ada yang sekejap menari sekejap duduk dan menari semula. Ada yang melelong menari dalam mabuk. 

Yang tetap diam papan punggung di lantai hanyalah hulubalang-hulubalang Melaka. Walaupun santai dalam menikmati suasana ceria, mata helang mereka tetap berjaga-jaga.

Hilangnya ceria tingkah rebana, 
maka tamatlah lunak suara.
Hilangnya nyanyian, 
maka tamatlah tarian.

Kemeriahan jamuan telah berakhir dengan kembalinya para hadirin ke tempat duduk masing-masing. 
Bagi aku pula penamat kemeriahan tadi tanda bermulanya persembahan kemuncak. Melihat pandangan dan senyuman Betara Majapahit dan Mahapatih saling berlaga, aku tahu agenda utama mereka bakal berlangsung bila-bila masa sahaja lagi.

Lagu akan dibuka dengan indah andai suara berpadu dengan irama tepat pada temponya. Sama halnya dengan rencana yang telah disusun oleh Mahapatih. Permulaan yang bagus dengan agenda bergerak lancar mengikut jangkaan masa.
Usai santapan para tetamu. 
Selesai acara bersuka-ria.
Setelah sasarannya mabuk.

Apa yang perlu hanyalah menyelak tirai persembahan akhir. Semudah itu! 

Aku agak mungkin itu yang difikirkan Betara Majapahit semasa baginda mengangkat piala yang bertatah batu permata kepada Tuah seraya bertitah, "Hai Hang Tuah, jika sungguh kau kasihkan anakku Raja Melaka ini, minumlah sisaku ini. Engkau kulihat tidaklah bergerak bertunggu anakku."

Tuah tidak pula menolak kehendak Sang Prabu. Dia bangkit dan menyambut huluran Betara Majapahit. 
"Daulat Tuanku. Patik menjunjung anugerah."
Piala dijunjung sebelum isi piala diteguk habis. Setelah itu Tuah kembali duduk di tempatnya.

Kini, jarak pandang yang telus membolehkan aku pasakkan pandangan lurus ke arah master mind plot durjana malam ini. Lelaki yang dikepalanya berhias makhota. Alasan rencana lelaki itu bersandarkan sebuah kasih. Rasa sayang yang amat mendalam seorang ayah yang tidak mahu berjauhan dengan anak gadisnya. Namun korban kasih tersebut terlalu mahal. Ia menuntut nyawa lelaki yang kemasyhuran namanya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, Hang Tuah.

Bagi menutup sebarang sangsi, Mahapatih bangun menyembah Seri Betara untuk mempersembahkan tarian. Perlakuan tersebut membuka peluang kepada pelan jahatnya dengan mempelawa Tuah menari bersama-sama.

This is it, Hanna!
This is it.
Meh aku gantikan tempat kau, Tuah.

Tarian Zapin, Asyik, Canggung, Rodat, Mak Yong, Payung, Lilin, Kipas, Mak Inang,  Lenggok, Gamelan, Cinta Sayang, Inai, Kuda Kepang, Serampang Dua Belas, Piring, satu langkahpun aku tak tahu.

Tetapi ada muzik rancak dah mula menyeru-nyeru dalam kepala aku.

Ddu du ddu du dudududu
Blackpink 
Ah yeah Ah yeah

Lantakla gamat satu jamuan. Gerak gedik melentik Minah KPop ini aku hafal. Selalu praktis depan cermin sambil melalak di kala angin sewel aku datang. Aku bingkas berdiri menyahut pelawaan Mahapatih yang sedang menanti di hadapan Tuah.

"Saya akan menari bagi pihak Tuah."

Seharusnya ayat itu keluar menyusuli tindakan berani aku. Malangnya, tak sempat aku buka mulut, tubuh Tuah tinggi menghadang pandangan di antara aku dan Mahapatih. Dia terus berpusing ke belakang dan berkata, "Duduk."

Seperti lazimnya, lontaran suara Tuah bernada memaksa. Aku tolak ke tepi arahan itu. Lantas aku beri perhatian pada raut Tuah yang tenang, kulit putih Tuah yang dah kemerahan, kelopak matanya yang kuyu.

Dia mabuk ke?

Apabila aku tidak menurut, tetap tegak bak patung cendana, Tuah menyambung kata, "Aku percayakan dikau."

Kali ini intonasi Tuah lembut dan perlahan. Persis angin sepoi bahasa. Suara itu berlegar lama di wajah, mengelus gemalai pipi, membujuk rayu dan melemahkan jiwa. Akhirnya aku akur terhadap tuntutan  pemilik suara itu.

Tuah percayakan aku?
Sudah semestinya aku akan percayakan dia.

Sebaik sahaja aku duduk, Tuah memusingkan badan ke hadapan kembali menghadap Mahapatih. Hanya suara Tuah yang memenuhi ruang jamuan ketika dia menerima pelawaan Mahapatih.

"Patik tiada tahu menari. Jikalau menari sambil bermain pedang, perisai, tombak atau keris panjang tahulah patik."

Aku boleh rasa ketawa Betara Majapahit terkandung sekali kelegaan. Mangsa jelas rela memasuki perangkapnya. Lalu apa lagi yang dia ingini? Menari atau bermain senjata sama sahaja. Yang penting adalah keadaan akal Tuah yang kabur dalam bertindak kerana mabuk. 

Perkara itu mudah difahami tatkala mendengar Sang Prabu memberi kebenaran.
"Menari apa Hang Tuah? Ingin beta melihat kau menari."

Lalu Tuah melangkah ke ruang lapang. Barangkali Mahapatih dapat merasakan aura kehebatan Tuah kerana lelaki itu spontan berundur ke tempat duduknya.

"Daulat Tuanku. Inilah menari cara hulubalang."

Dengan tangan kiri, Tuah mencabut keris panjang dari sarung. Lengan kanannya direntang lurus. Lalu lelaki tinggi lampai itu mula menggerakkan tubuh. Jika tangan kiri yang dikedang, tangan kanan akan memegang hulu keris. Begitulah sebaliknya. Aku tak pasti gerakan sebegitu dikira tarian. Nampak macam warming up dan meregang otot aje. Pergerakan Tuah walaupun amat ringkas masih menonjolkan ekspresi seni pencak Melayu. Aku suka melihat jemari runcingnya yang cantik mengubah bunga-bunga silat. Hmm... tak dinafikan mata aku juga tersengaja suka pada otot lengan Tuah yang pejal, eheh!

Tu tangan baju tu... sengaja disingsing jauh ke apa?

Ikut mata aku, memang dah tak nak berkalih ke hala lain. Statik ke persembahan Tuah sahaja. Namun kebimbangan aku mengatasi segala perasaan yang ada. Oleh sebab itu, aku liarkan bebola mata. Parameter pengawasan aku tidak hanya terhad sekitar Tuah tetapi luas mencakupi seluruh ruang istana. 

Di mana agaknya pembunuh upahan itu bersembunyi? Aku langsung tak ada idea di mana, siapa dan bagaimana cubaan membunuh Tuah akan dilakukan.
Akhirnya aku jatuhkan pandangan pada Tuah semula. Gerak tubuhnya masih sama.

Dua keadaan yang tidak selari menggamit perhatian aku. Mata khayal dan ketajaman gerakan Tuah. Adakah itu tindakan refleksi akal separa sedar atau akal itu sememangnya sentiasa sedar dan berpura-pura?

Setiap kali Tuah mengubah posisi tubuh, keris panjang di tangannya turut bergerak. Aku perasan mata keris itu akan tetap kembali mengacu ke arah yang sama. Jika jarum kompas menunjuk arah utara, mata keris Tuah pula lurus terhunus ke sebelah kanan Tuah.

Dah banyak kali aku periksa sudut itu. Tak ada apa-apa yang mencurigakan di situ melainkan tersergam beberapa deretan tiang kayu yang terlindung dengan kain tenun merah. Kain tersebut digantung tinggi dengan hujungnya melepa di lantai.

Siapa sangka, tak semena-mena hunusan keris panjang Tuah berkalih arah. Daripada kanan menghala ke hadapan.

Mata keris itu tepat menghadap aku. 

Tuah mengangkat muka merenung aku. Kelopak mata yang dari awal persembahan kuyu dan layu kini terbuka begitu luas. Sinar tajamnya terdahulu menyentak sedarku sebelum aku sedar apa Tuah sedang buat. 

"Tuah..."
Nama keramat itu aku sebut dalam tarikan nafas panjang. Mungkin menjadi nafas terakhir hayat aku.

Agak-agak kau kalau manusia yang sedang membidik sasarannya dipanggil orang dengan nama Hang Tuah, berapa peratus kemungkinan bidikan itu tidak mengena?

Huwaaa! Kejamnya kau Tuah. 

Baru tadi kau cakap kau percayakan aku. Sekarang kau nak bunuh aku. Besar sangat ke dosa aku dekat kau? Kot ye pun kau marahkan aku, atau kau ada terasa apa-apa ke dengan aku, cakapla dengan aku. Kita bincang baik-baik.

Aku tahu baki hayatku amat suntuk semasa Tuah lemparkan keris panjang. Nak telan air liurpun tak sempat. Aku pejamkan mata dan berharap agar lidah sempat habiskan Dua Kalimah Syahadah sebelum keris Tuah menamatkan riwayat aku.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.