Home Novelet Cinta HADIR BAGAI TAKDIR
HADIR BAGAI TAKDIR
Tinta Biru
6/2/2018 15:27:15
46,184
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 5

Langsir yang menutupi keseluruhan pintu gelangsar biliknya ditarik lembut. Membiarkan biasan cahaya mentari pagi menerobos masuk ke segenap bilik. Nuha Farieha mengukir senyuman lebar, menampakkan barisan giginya yang putih. Kakinya mengatur langkah menuju ke balkoni. Tangannya didepakan, nafas ditarik merasa nikmatnya hembusan angin Tuhan.

            Kalendar yang terletak pada meja kopinya dicapai. Dan dia tersenyum lagi. Harinya sudah tiba. Hari yang paling ditunggu-tunggu sejak hampir tiga tahun. Dan untuk tahun yang ke-3, dia mahu meraikannya dengan cara yang lebih istimewa. Biar ianya menjadi suatu memori yang terpahat kukuh dalam ingatannya.

            Tidak mahu membuang masa lebih lama, Nuha bergegas ke bahagian dapur rumahnya. Seluruh isi rumah masih sunyi dan sepi, tanda Dahlia masih belum muncul selepas melelapkan diri usai menunaikan solat Subuh pagi tadi. Bahan-bahan yang diperlukan dikeluarkan daripada kabinet dapur. Misinya bakal bermula, dia tersenyum senang.

            Dan kebiasaan bagi seorang Nuha Farieha tika berada di dapur, alunan muzik pasti mengiringinya. Lagu ‘Thousand Years’ dendangan Christina Perry jadi pilihan, menggambarkan perasaannya ketika ini. Tepung gandum dituang ke dalam mangkuk besar. Kepalanya sudah membayangkan kek yang bakal mendapat sentuhan tangannya sebentar sahaja lagi.

            Jadual kerjanya sudah dikosongkan awal-awal untuk hari ini sejak beberapa bulan yang lalu. Dia mahukan sesuatu yang istimewa untuk kali ini. Dia mahu Nazim merasai keikhlasan hatinya terhadap lelaki itu. Jujur, dia sangat menghargai perkenalannya dengan Nazim. Dan dia sudah bersedia untuk pergi lebih jauh dengan lelaki itu.

            Sambil mulutnya menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak dan lirik lagu, tangan lincah memasukkan bahan satu persatu menghasilkan satu adunan. Nuha Farieha tersenyum puas. Adunan lengkap dituang ke dalam loyang seterusnya dimasukkan ke dalam oven. Sementara menunggu kek masak, tangannya laju memotong buah-buahan segar seperti strawberi dan kiwi sebagai perhiasan. Less is more…biar ringkas, janji kek itu penuh dengan rasa keikhlasan dan kasih sayang.

“YaAllah…sedapnya bau!” Sampuk Dahlia yang entah bila menapak ke dapur, langsung tidak disedari Nuha.

“You buat apa ni mak cik?” Soal Dahlia pada Nuha yang sedang membelakanginya, masih ralit mencuci segala pinggan mangkuk yang diguna sebentar tadi.

“Cuci kereta..” Jawab Nuha, berseloroh.

“I dekat sinki kan…sah-sah lah basuh pinggan.” Sambung Nuha.

“Yang tu aku nampak. Ni, bau semerbak dengan krim-krim putar bagai ni. Takkan masak breakfast beria benar.” Ujar Dahlia, memohon penjelasan dari Nuha.

            Pinggan yang sudah dibasuh disusun atas rak, tangannya mencapai tuala kecil untuk mengelap tangan. Langkah kaki Nuha diatur, menghampiri Dahlia yang masih tekun memandang wajahnya. Raut wajah yang cukup ceria pada pengamatan Dahlia. Jelas terpancar rasa bahagia melalui sinar mata Nuha Farieha.

            Kek coklat dikeluarkan dari dalam oven. Bau aroma coklat masakan cukup mengujakan keduanya. Dahlia seperti dapat mengagak apa yang sedang direncanakan oleh sahabatnya itu. Jam pada pergelangan tangannya dipandang, melihat tarikh dan waktu ketika ini. BINGO! Tepat sekali jangkaan Dahlia, pasti Nuha punya agenda sempena hari lahir seorang insan istimewa dalam hidupnya.

            Buah-buah strawberi dan kiwi yang sudah dipotong, disusun Nuha dengan cermatnya. Hiasan yang cukup ringkas tetapi memadai untuk membuka selera tiap mata yang memandang. Dan yang lebih utama, adunannya didatangkan dengan rasa kasih dan ikhlas membentuk sebiji kek dengan aroma yang menggiurkan.

“Let me guess…hmmm, it must be for Nazim, right?” Telah Dahlia, walaupun dia sendiri sudah pasti dengan jawapan yang bakal dia terima.

            Senyuman yang terukir dibibir Nuha Farieha sudah cukup untuk menjawab tekaannya. Bertahun menjadi teman rapat dan bekerja bersama, riak muka Nuha sudah mampu dibacanya. Sebagai sahabat, dia bahagia melihat temannya itu meniti detik-detik gembira dalam hidup bersama Nazim. Dan harapannya cuma satu, agar Nuha tidak dikecewakan lagi seperti sebelumnya.


……………


            Kotak kek yang berada di sebelah tempat duduk penumpang diambil dengan penuh hati-hati. Pintu kereta ditutup perlahan. Langkah kakinya diatur laju, teruja untuk membuat kejutan pada Nazim. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya, bahkan sepanjang perjalanan menuju ke sini pun bibirnya menguntum senyum.

            Waktu-waktu begini pasti Nazim sedang bersiap untuk ke padang golf. Aktiviti rutin lelaki itu selepas waktu pejabat. Aktiviti yang biasa dilakukan oleh golongan elit. Sama ada atas dasa rsuka-suka atau bisnes. Bangi Golf Resort, tempat yang selalu menjadi kegemaran Nazim untuk melaksanakan sukan kegemarannya itu.

            Kerana terlalu teruja, jalannya aci redah sahaja. Langsung tidak memandang kiri atau kanan jalan. Hon yang nyaring memekik, menyedarkan Nuha Farieha. Namun, semuanya sudah terlambat. Kek yang dipegang sudah jatuh menyembah bumi, dia apatah lagi. Sudah terduduk bungkam. Beberapa orang yang berada disekitar tempat kejadian meluru ke arahnya.

            Entah bagaimana dia langsung tidak menyedari sebuah kereta yang sedang bergerak untuk keluar daripada petak parking. Nasibnya baik, ada yang pantas membunyikan hon kepada pemandu terbabit. Seorang pekerja wanita membantu Nuha untuk berdiri yang kelihatan masih tergamam. Kotak yang berisi kek dicapai.

“Are you okay miss?” Soal pekerja wanita tersebut.

“I’m okay. Thank you so much for your concern.” Balas Nuha pantas.

            Setelah memastikan tiada barangannya yang tercicir, Nuha meminta diri dan bergegas untuk ketemu Nazim. Nafasnya diatur, cuba menenangkan diri dan melupakan apa yang terjadi sebentar tadi. Salah sendiri kerana langsung tidak berhati-hati. Harapannya moga Nazim masih sudi untuk merasa kek yang sudah mungkin bertukar rupa. Akhirnya Nuha tersenyum sendiri memikirkan rupa kek yang sudah terpelanting tadi.

            Nuha Farieha mempercepatkan langkah. Dari jauh dia dapat melihat kelibat Nazim yang sedang membuat pukulan demi pukulan. Lengkap t-shirt polo rona biru, Nazim sentiasa kemas dengan penampilannya. Cukup untuk melambangkan dia adalah lelaki yang bekerjaya. Nuha meliarkan pandangan, melihat kiri dan kanan. Hanya Nazim seorang tanpa pembantu peribadinya hari ini.

“Assalamualaikum…”Tutur Nuha, menyapa Nazim dari belakang yang masih ralit menyusun strategi untuk membuat pukulan yang kemas.

“Waalaikumsalam…”Balas Nazim, pantas memusingkan badannya untuk melihat gerangan suara. Walaupun dari lirih suara sahaja dia sudah dapat mengagak gerangan empunya diri.

            Dan benar sekali telahan Nazim, Nuha sedang berdiri di hadapannya ketika ini dengan senyuman yang paling manis. Wajah itu ditatapnya lama sebelum senyum diukir menyambut kedatangan wanita tersebut. Kotak berisi kek disuakan kepada Nazim. Entah mengapa senyum Nazmi padanya tidak seperti selalunya, telah Nuha dalam hati.

“Nuha, thanks for coming. I memang plan nak jumpa you”. Tutur Nazim setelah lama mendiamkan diri.

“Really? Then, it was a jackpot that I’m coming to you first.” Balas Nuha, ceria.

“Why don’t you open up the box first? I’m sure you gonna like it.” Sambung Nuha,teruja untuk melihat reaksi Nazim.

“I will…but let me say something.” Celah Nazim.

            Kayu golf diletakkan semula. Topi yang menutupi sebahagian wajahnya dibuka. Liur yang ditelan terasa pahit dan perit. Entah bagaimana harus disampaikan pada wanita di hadapannya ini. Nafasnya ditarik perlahan, minda mula bekerja menyusun kata yang paling sempurna sebelum diluahkan dalam butir bicara.

“Nuha,you and I…we…we gonna go on our separate ways from now on. I just can’t be with you anymore.” Ujar Nazim satu-persatu walaupun perit untuk diluahkan.

            Raut wajah Nuha berubah keruh.Hilang rasa teruja dan bahagia. Hatinya dijentik rasa terkilan dan hiba. Dia bukan budak sekolah rendah. Tidak sukar untuk dia faham tiap patah perkataan yang keluar daripada mulut Nazim. Cukup untuk menghantar rasa remuk dalam hati. Dan yang lebih membuatkan hatinya dipagut luka, semuanya terhenti pada tarikh ini. Tarikh yang paling ditunggunya sejak tiga tahun berturut-turut.

“I’m not gonna ask you why…but can I get my cake back?” Ujar Nuha pada Nazim.

 Hatinya masih ditahan. Sebaknya masih disimpan. Dipujuk diri agar tidak menggugurkan air matanya saat ini, di hadapan lelaki ini. Dan dia masih menanti reaksi Nazim yang menunduk memandang kotak yang dipegangnya.

“Cake?” Soal Nazim pada Nuha.

“Yeah…the box in your hand. A custom made, special for someone. But since you just told earlier that we gonna go on our separate way, then I guess you’re not that‘someone’.” Balas Nuha, mencapai kotak ditangan Nazim.

“By the way…Happy Birthday Nazim. Thank you for all the memories. I don’t think I’m gonna keep it. Final goodbye then…Assalamualaikum.” Ujar Nuha, pantas kakinya melangkah. Meninggalkan Nazim di belakang.

            Gugur jua air mata wanitanya yang cuba ditahan di hadapan Nazim. Dia tidak mahu kelihatan lemah. Dan menagih kasih pada yang tidak sudi bukanlah kepakarannya, itu tidak akan terjadi sama sekali. Perlahan keretanya dipandu meninggalkan perkarangan Bangi Golf Resort. Dikesat sisa air mata yang masih bertakung.

            Hari yang disangkanya penuh bahagia, penuh tawa rupanya berakhir dengan air mata. Dia juga wanita biasa, tidak mampu menahan sebak dalam dada apalagi bila menyentuh soal hati. Tiba di rumah, Nuha terus menghilangkan dirinya ke dalam bilik. Dia perlukan masanya untuk bersendiri, bertenang dan melupakan apa yang terjadi hari ini.

            Seluar jeans yang dipakainya diselak ke paras lutut. Kesan luka dan calar pada lutut ditenungnya lama. Mungkin kerana rasa teruja beberapa jam yang lalu, dia langsung tidak sedar lututnya tercedera semasa jatuh. Nyilu dan pedih pada bahagian lututnya yang luka kian terasa. Dan air matanya gugur lagi, nyilu dihati lebih kuat sakitnya dibanding kecederaan pada lutut yang dialami.

            Badannya direbahkan, mata dipejam rapat. Mahu mengusir pergi segala apa yang terjadi. Hati dan mindanya terlalu penat. Biarlah dia pejamkan mata dengan harapan bila dia membukanya kembali, hatinya sudah cukup bersedia untuk hadapi realiti perpisahan dengan Nazim. Akhirnya Nuha terlena dalam basahnya air mata.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Tinta Biru