Home Novelet Cinta HADIR BAGAI TAKDIR
HADIR BAGAI TAKDIR
Tinta Biru
6/2/2018 15:27:15
46,211
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 14

Saat dada lapang menerima

Digantikan rasa redha

Mencukupkansegala

~Tinta Biru~

 

 

Fathul Amri membetulkan tali pinggang keledar yang dipakainya. Matanya dihalakan ke arah tingkap pesawat. Jauh dia membuang pandang melihat ketulan-ketulan awan yang terbentuk pada lapisan langit Tuhan. Dalam hati dia tidak berhenti memuji tanda-tanda kebesaran Allah yang satu itu. Kepulan-kepulan awan putih yang terbentuk seolah gula-gula kapas jika dilihat pada mata zahir.

            Subhanallah! Hanya kalimah itu yang terungkap dibibir melihat indahnya ciptaan Allah. Dan benarlah ayat Allah, “bertebaranlah engkau di muka bumi, dan lihatlah tanda-tanda kebesaranNya”. Syukur, Allah menjemputnya menjadi tetamu di bumi suci. Bukan semua orang diberi peluang dan rezeki seumpamanya. Dia percaya, tiada yang mustahil dengan restu Allah.

“Fath, kau ok tak? Diam sahaja dari tadi.” Tegur Syahir di sebelah.

“You know what…Kyra datang jumpa aku masa dekat airport tadi.” Jelas Fathul Amri. Ketara perubahan pada riak wajah Syahir.

“What? Dia nak apa jumpa kau?” Soal Syahir, kurang senang dengan sebaris nama itu.

“To get back together.” Sepatah jawab Fathul Amri.

“Semudah itu? Lepas dia tinggalkan kau sepi tanpa berita? So merepek.” Balas Syahir.

            Dia orang yang paling dekat dan paling terkesan melihat bagaimana Fathul Amri melalui detik-detik kelukaannya. Sebut nama Kyra sahaja boleh menyiat rasa dalam dadanya. Berhari-hari dia menjadi saksi Fathul Amri mengurung diri dalam bilik. Dan dia juga yang menjadi saksi bagaimana lelaki itu menitiskan air mata lewat utusan doa pada tuhannya.

            Harapannya bila mereka ke tanah suci, Fathul Amri dapat melupakan segala kisah dukanya serta membuka lembaran baharu. Dan Syahir sendiri pun tidak mahu lagi menyimpan rasa sakit hati terhadap Kyra. Untuk melupakan mungkin agak sukar untuk dia, namun untuk memaafkan…hatinya sedang mencuba.


…………….


            Setitis demi setitis air matanya jatuh menuruni pipi. Kaabah di hadapan mata dipandangnya dengan penuh rasa syahdu dan hiba. Tidak pernah terlintas dalam kotak mindanya, Allah akan menjemputnya ke sini…menjadi sebahagian daripada tetamuNya yang istimewa. Berada di sini, jiwa seorang Fathul Amri begitu rapuh sekali.

            Kedua belah tangan diangkat ke langit Yang Esa, sambil mata dipejam rapat. Ditiup rasa ikhlas dalam hati, ditanam rasa keyakinan pada Rabbul Izzati.

 

Ya Allah, Ya Fattah, Ya Malik

Wahai Tuhan pemilik hati

Kau campakkanlah rasa redha

Pada tiap ketentuan yang telah kau tuliskan untukku

 

Ya Allah

Kau cabutlah segala rasa sakit

Dan gantikanlah dengan kesembuhan

Derita dengan bahagia

Air mata berganti tawa

 

Ya Rabb,

Pada ajaibnya sebuah doa

Insanmu yang hina ini memohon dengan sejuta rasa

Temukanlah aku dengan Rabbatul Baitku

Yang telah kau ukir namanya di Luh MahfuzMu buatku

Amin…Amin…Amin,Ya Rabbal A’lamin

 

            Kedua telapak tangan ditekapkan ke muka. Setiap kali dia mengutus doa pada Yang Esa di sini, setiap kali itulah hatinya pasti diketuk rasa hiba. Mungkin kerana dekatnya dia dengan Yang Maha Kuasa, maka segala isi doa bagaikan lantunan bicara dua mata antara dia dengan penciptanya.


……………


            Fathul Amri, Syahir serta Hariz melangkah seiringan menuju ke Jabal Rahmah. Bukit yang menemukan kembali Nabi Adam A.S dengan Hawa setelah terpisah di syurga bertahun lamanya. Kisah cinta manusia pertama yang diturunkan Allah ke bumi. Penyatuan dua jiwa yang memanjatkan doa dan penyerahan hati pada Allah.

            Dalam lautan manusia yang berpusu-pusu menuju puncak Jabal Rahmah, Fathul Amri hanya menapak sehingga dikaki bukit sahaja. Doa tetap didengar Allah di mana sahaja hambaNya berada, tambah pula di Jabal Rahmah…tempat mustajabnya doa. Matanya dipejam menikmati bau bumi suci.

            Fikirannya dikosongkan dari segala hal dunia. Hati dilapangkan dari sebarang hambatan nafsu dan rasa. Perlahan bibir Fathul Amri mengalunkan zikrullah, memuji kebesaran Yang Esa. Dia mahu mengikhlaskan hati tatkala menitipkan kiriman doa pada Yang Satu. Matanya menuntaskan pandangan, menghadap kiblat.


Ya Allah
Yang memegang rahsia hati
Hambamu ini sering keliru dengan hambatan rasa

Ya Allah
Kau temukanlah aku dengan bakal zaujahkau
dengan aturan paling sempurna
dengan jalan yang penuh sederhana

Ya Allah
Berikanlah aku petunjuk yang benar
Jentiklah hatiku andai dia yang kau kirim itu
sudah benar-benar berada disekitarku

Ya Allah
Kau pertemukanlah aku dengan hawaku
Yang bisa menerima orang tuaku dengan lapang dada
Menyayangi ibuku apa adanya
Dan menghormati insan yang menjadi penguatku sepanjang masa

 

            Fathul Amri mengaminkan doanya. Jawapan pada doanya diserahkan pada Allah Yang Maha Kuasa. Sebagai hamba, hanya itu yang dia mampu lakukan. Berdoa dan meluahkn pengharapan hanya pada Allah. Jodoh yang terbaik pastinya didamba oleh setiap umat Nabi Muhammad, dan Fathul Amti juga tidak terkecuali.

            Fathul Amri tidak mahu lagi terlalu mudah menyerahkan hati. Cukuplah dengan apa yang sudah dia lalui, banyak masa sudah dia bazirkan untuk orang yang tidak tahu menghargai cintanya. Dia mahu menyerahkan pengharapannya pada Allah. Doa, doa dan terus berdoa…itulah nasihat Hariz padanya, mutawwif yang memimpinnya.

            Mungkin jawapannya berselirat, penuh ujian di awalan. Tetapi sebagai hamba yang berpegang pada qada’ dan qadar, Fathul Amri percaya dengan ketentuan Tuhan. Bukan semua doa dimakbulkan dengan pencapaian depan mata, boleh jadi dititipkan melalui lapang dada.


……………….


“Oh ya Nuha, malam ini kita ada lagi tiga scene untuk you. Kita break sekejap sampai maghrib, then sambung balik selepas itu.” Ujar Suraya, pembantu pengarah.

            Nuha mengangguk memahami. Sebotol air mineral dicapai dan dia berjalan menuju ke pangkin kayu yang menghadap kolam renang. Hari ini lokasi penggambaran mereka kembali semula ke rumah mewah yang terletak di pinggiran ibu kota. Dan seperti biasa, tempat kegemaran Nuha untuk melepaskan lelah adalah pangkin kayu.

            Dahlia hanya mengekori langkahnya dari belakang. Kalau tidak menyakat kru-kru produksi, menelaah skrip sahajalah yang Nuha lakukan. Terasa lain suasana di set penggambaran sepanjang ketiadaan Fathul Amri. Mereka sekepala, andai beradu idea nakal menyakat Johan dengan yang lainnya pasti kecoh suasana. Sedikit sebanyak, dia akui turut merindui keletah Fathul Amri. Sisi lain lelaki itu yang hanya ditonjolkan apabila dia selesa dengan seseorang.

“Assalamualikum…nama saya Fathul Amri. Boleh kita berkenalan?” Soal Fathul Amri.

“Tak lawak lah Dahlia.” Balas Nuha yang sedang ralit menelaah skrip ditangannya.

“Dahlia? Dahlia pergi toilet.” Jawab Fathul Amri, seronok mengusik Nuha yang masih enggan memandang wajahnya. Pasti wanita itu tidak menyangka akan kepulangannya dari tanah suci pada hari ini.

“Fath! Ya Allah…Bila masa Fath sampai?” Ujar Nuha dengan gelak kecil. Langsung tidak dia duga, orang yang berada di sebelahnya adalah Fathul Amri.

“A while ago. After touch down terus datang set.”Jawab Fathul Amri pada pertanyaan Nuha.

“Nah, for you. Hope you like it.” Sambung Fathul Amri lagi sambil menyuakan sebuah beg kertas kepada Nuha. Hulurannya bersambut. Beg kertas dicapai dan Nuha terus menyelongkar isinya bersama senyuman di bibir.

“Cantiknya. Thank you Fath. I really appreciate it. Terharunya…” Ujar Nuha sambil matanya tidak lepas memandang abaya rona putih yang dihadiahkan oleh Fathul Amri itu.

            Fathul Amri tersenyum. Terimbau kembali saat dia melangkahkan kaki di bumi Madinah sebagai syarat ziarah. Ketika matanya ralit memerhati gantungan jubah dan abaya dalam sebuah kedai, mindanya dilintasi sebaris nama Nuha Farieha. Dia antara wanita yang paling dekat dengan Fathul Amri selain ibu serta adiknya. Sudahnya, abaya rona putih dicapai dan dibeli sebagai cenderahati untuk Nuha.

            Bukan sekali dua wajah Nuha Farieha terlayar di tubir mata sepanjang dia berada di tanah suci. Acapkali wajah mulus putih bersih itu menyapa kornea mata sehingga hati sendiri terdetik…apa yang cuba Allah sampaikan. Berkali dipujuk hati agar tidak terbuai dengan perasaan sendiri.

            Di Jabal Rahmah tempoh hari, dia bagaikan melihat susuk tubuh mirip Nuha Farieha sedang tersenyum memandangnya. Bila mata dipejam celik beberapa kali, pasti bayangan itu akan hilang sekelip mata. Adakah ia adalah jawapan pada doanya, atau mainan perasaan…Fathul Amri sendiri kurang pasti. Tetapi andai kata itulah jawapan pada doanya, dia berbisik pada Allah agar indah penyudahnya nanti.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Tinta Biru