Home Novelet Cinta HADIR BAGAI TAKDIR
HADIR BAGAI TAKDIR
Tinta Biru
6/2/2018 15:27:15
46,177
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 15

We don’t meet people by accident
they’re meant to cross our path for a reason

 

 

“Jom Nuha, Dahlia join kami lepak. Boleh sembang-sembang panjang.” Ujar Johan. Menjadi kebiasaan kru-kru produksi untuk lepak santai sekiranya waktu penggambaran berakhir lebih awal.

“I love too…tapi maaf Jo. We can’t make it today. Hari ini nak pegi jumpa anak-anak”. Balas Nuha, menolak dengan baik ajakan Johan.

“Oh ya…lupa. Hari tu you ada cakap. Then, send my warm regards to them. Will join you guys one day”. Ujar Johan.

            Menjadi kebiasaan Nuha Farieha menziarahi anak-anak Rumah Bakti Nur Syaheera pada setiap hujung minggu. Sudah lebih dua tahun dia menjadi sebahagian sukarelawan rumah anak-anak yatim tersebut. Jika punya kelapangan, dia akan ke sana meluangkan masa bersama penghuni-penghuninya.

            Baju-baju yang dipakai dimasukkan ke tempat duduk belakang. Nuha Farieha masih ralit mengemas pakaian yang dibawa ke set penggambaran. Mana tidaknya, pulang sahaja dari Indonesia dia terus memulakan kerja di tanah air sendiri. Pakaian untuk setiap ‘event’ atau sesi fotografi terus disumbatnya ke dalam kereta.

“Eh, Dahlia dengan Nuha tak join sekali?” Soal Syahir pada Dahlia. Keduanya dilihat seakan mahu bergegas pulang.

“Nuha every weekend dia akan melawat anak-anak dia. So, today is the day. Tak dapat nak join korang. Next time ok.” Balas Dahlia.

“Melawat anak-anak? Zaman bila pula Nuha kahwin?” Soal Syahir dalam nada berseloroh. Fathul yamg mendengar hanya mengangguk, mengiyakan soalan yang diutarakan Syahir.

            Nuha yang mendengar perbualan antara mereka terus masuk mencelah. Seperti biasa, senyuman tidak pernah lekang dari bibir. Dia dan Fathul Amri masih mencari keserasian sementelah keduanya belum pernah bekerja bersama. Agak sukar untuk mereka mencipta keserasian kerana Fathul Amri sendiri terlalu merendah diri dengan kebolehannya.

            Sikap Nuha Farieha yang cepat bergaul mesra setidak-tidaknya mengurangkan rasa kekok dan janggal antara keduanya. Nuha yakin, lama kelamaan keserasian pasti ada. Yang penting mereka ikhlas bekerja dan berkarya bukan kerana mahu mengejar populariti semata-mata.

“Anak-anak I ramai. Kalau nak jumpa boleh lah join.”Celah Nuha Farieha.

“Hah? Still tak faham. You ada anak angkat ke Nuha?” Soal Syahir lagi beserta kerutan di dahi.

“Anak-anak syurga. Anak-anak Rumah Bakti Nur Syaheera. Kalau berminat nak join jomlah.” Ajak Nuha pada Syahir serta Fathul Amri.

“Hmmm…sounds good.” Celah Fathul Amri.

            Jam dipergelangan tangan dipandangnya sekilas. Sudah hampir menjengah ke pukul tiga petang. Kepalanya mula mencongak jadual kerjanya pada hari ini. Kalau diikutkan tiada sebarang aktiviti untuknya selepas ini. Pelawaan Nuha Farieha agak menjentik hatinya. Bukan senang dia boleh meluangkan masa melakukan aktiviti seumpamanya.

“I got an idea. Untuk minum petang anak-anak kat sana nanti I belanja. Lagipun, I nak singgah kafe sekejap.” Saran Fathul Amri, menyahut pelawaan Nuha Farieha.

“Are you sure you wanna join us?” Soal Nuha Farieha sekali lagi meminta kepastian.

“Yeah..100%. Kan Syah?” Ujar Fathul Amri, mengangguk. Syahir mengiakan kerana dia juga ikut teruja untuk sama-sama mengenali anak-anak yang dimaksudkan Nuha Farieha.

“So, kalau macam tu…let’s meet up there. I pergi kafe dahulu dengan Syah, then nanti kami terus bergerak ke sana.” Usul Fathul Amri.

            Nuha dan Dahlia mengangguk serentak. Nampaknya anak-anak Rumah As-Syaheera bakal mendapat tetamu penting hari ini. Dia yakin anak-anak itu pasti gembira. Sekurang-kurangnya mereka punya tempat untuk berkongsi rasa. Mereka bergerak meninggalkan set penggambaran, menuju ke destinasi masing-masing sesuai rancangan.

            Mujur sahaja jadual penggambaran hari ini selesai lebih cepat. Sudah agak lama Nuha Farieha tidak berkesempatan untuk menziarah anak-anak rumah kebajikan tersebut. Sejak pulang dari Indonesia, ini lah kali pertama dia punya sela masa untuk bertemu mereka. Dalam kesibukan bekerja, rindu pada anak-anak ini tidak pernah padam dari hatinya.

            Anak-ana kini banyak memberi inspirasi kehidupan padanya. Dia belajar erti syukur. Dia belajar erti menghargai dan dia belajar erti menyayangi. Dia bangkit dari kekecewaan melalui kasih sayang anak-anak kecil ini.


……………


            Kereta Proton Preve milik Nuha Farieha memasuki perkarangan Rumah As-Syaheera. Melewati perkarangan rumah itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan dia tersenyum. Dahlia juga tidak kurang rasa terujanya. Mereka sudah lama tidak bertamu, meluangkan masa dengan anak-anak syurga ini.

            Beg kertas yang berisi coklat dicapai. Nuha melangkah keluar dari keretanya. Dahlia turut membantu membawa beberapa beg kertas yang mengandungi coklat. Itu sahaja yang sempat dibeli mereka setibanya di Malaysia. Sekurang-kurangnya mereka tidak datang dengan tangan kosong. Anak-anak ini bukan dambakan wang atau cenderamata, hanya secebis kasih sayang masyarakat sekeliling yang mereka damba.

            Kebiasaannya,waktu-waktu begini anak-anak tersebut pasti sedang sibuk dengan aktviti sendiri. Dan kebanyakannya akan menyiapkan sebarang latihan atau kerja rumah yang perlu diselesaikan sebelum hari persekolahan. Nuha Farieha tersenyum, dari jauh dia melihat si kecil Qaisara melambaikan tangan ke arahnya.

            Langkah Qaisara diatur laju. Wajah yang sentiasa ditunggu-tunggu saban waktu akhirnya muncul jua. Tubuh kecil Qaisara memeluk erat Nuha Farieha, melampiaskan rasa rindu yang menggebu. Anak kecil itu sangat manja dengannya. Pipi comel milik Qaisara diusap lembut Nuha Farieha, tumpah segala rasa kasihnya pada anak itu. Qaisara memegang erat jemari Nuha Farieha, melangkah seiringan menuju ke dewan belajar Rumah As-Syaheera.

            Genggaman Qaisara seolah tidak mahu melepaskan Nuha. Makin lama, makin erat dan kejap. Kedatangan Nuha sedikit sebanyak mengubat rasa rindunya pada arwah ibu dan ayah. Anak kecil yang sudah yatim piatu sejak berusia dua tahun lagi. Hidupnya hanya menumpang kasih pada mereka yang sudi singgah dan berziarah ke sini.

            Kedatangan Dahlia dan Nuha Farieha disambut dengan sapaan salam dan senyum mesra daripada kakitangan Rumah As-Syaheera, Kak Rahimah dan Abang Muaz terutamanya. Keduanya merupakan penaung yang menguruskan hal kebajikan anak-anak di sini. Melalui satu program amal, Nuha kenal keduanya dan terus menjadi sebahagian aktivis yang banyak menyumbang serta mencari dana untuk kelestarian anak-anak di sini.

“Assalamualaikum Kak Rahimah, Abang Muaz. Lamanya tak jumpa.” Ujar Nuha Farieha sambil memeluk erat wanita yang sudah hampir sebaya dengan ibunya itu.

“Waalaikumsalam…kami sihat, Alhamdulillah. Nuha bila balik Malaysia?” Soal Kak Rahimah.

“Beberapa hari lepas kak. Ni, baru je habis shooting.Hari ni habis awal, itu yang datang sini. Rindu sangat dengan anak-anak.” Ujar Nuha Farieha.

“Kenapa tak bagi tahu nak datang sini? Kalau tak boleh kami sediakan minum petang special sikit untuk Nuha.” Celah Abang Muaz pula.

“Saja…nak bagi surprise. Tak sempat nak plan pun.Alang-alang ada masa luang, itu yang terus ke sini sampai lupa nak call.” Balas Nuha Farieha.

“Terubat rindu Qaisara kan?” Ujar Abang Muaz sambil menyentuh lembut pipi comel Qaisara. Anak kecil itu masih menggenggam erat jemari Nuha, seolah tidak mahu melepaskannya walaupun sesaat.

“Kalau tidak hari-hari tanya, bila Kak Nuha nak datang? Kak Nuha dah tak sayang Qaisara ke? Macam-macam lagi lah soalan dia.”Ulas Kak Rahimah pula.

            Nuha Farieha tergelak kecil. Kedatangannya ke sini sentiasa dirai dan disambut baik semua kakitangan. Malah, mereka sudah dianggap sebagai sebuah keluarga. Kak Rahimah dan Abang Muaz sendiri banyak berkongsi nasihat dan pedoman hidup dengannya. Sedikit sebanyak dia terinspirasi dengan kehidupan mereka. Bersederhana dan melakukan ihsan sesama manusia.

            Kereta Honda City rona Biru Metalic memasuki perkarangan Rumah As-Syaheera. Nuha dan Dahlia mengukirkan senyuman. Sementara Kak Rahimah dan Abang Muaz pula memerhati dengan kerutan di dahi. Entah siapa lagi tetamu mereka hari ini. Pastinya bukan tetamu yang sering  berziarah ke sini.

“Hari ni, kami bawa kawan. Hero pujaan Kak Rahimah. Abang Muaz jangan jealous pula nanti.” Jelas Nuha pada keduanya kerana masing-masin gmenunjukkan raut wajah penuh tanda tanya.

            Syahir mendahului Fathul Amri, melangkah mendapatkan Nuha dan Dahlia. Tangannya dihulur untuk bersalaman dengan Abang Muaz. Keduanya saling berbalas senyuman. Pintu kereta ditutup, langkah diatur kemas Fathul Amri menuju ke tempat rakan-rakannya berkumpul. Dari jauh dia dapat melihat Nuha Farieha yang erat memegang tangan seorang anak kecil.

            Kak Rahimah memanjangkan lehernya, cuba mengamati susuk tubuh yang sedang berjalan menuju ke arah mereka. Tubuh tinggi lampai dengan wajah putih bersih itu seakan cukup dikenalinya. Nuha Farieha dan Dahlia hanya tergelak kecil melihat gelagat Kak Rahimah. Keduanya tahu benar yang Kak Rahimah antara peminat setia drama lakonan Fathul Amri.

“Assalamualaikum…” Sapa Fathul Amri, menghulurkan tangan untuk berjabat salam dengan Abang Muaz.

            Kak Rahimah masih memandang raut wajah Fathul Amri tanpa berkedip. Timbul rasa lucu dihati Nuha Farieha. Agaknya, inilah perasaan seorang peminat yang dapat bersua muka dengan idola pujaan mereka.

“Kak, saya bawa hero pujaan akak. Amacam, sapa lagi handsome? Abang Muaz ke Fathul Amri?” Seloroh Nuha Farieha, cuba mengusik Kak Rahimah.

“Hish kamu ni Nuha…ke situ pulak. Eh, jom lah masuk ke dalam. Boleh jumpa anak-anak. Mesti mereka teruja tengok siapa yang datang berziarah.” Ajak Kak Rahimah. Semua menggangguk, mengiakan.

            Ramai yang teruja dengan kehadiran Fathul Amri. mana tidaknya, wajah itu hanya mampu dipandang mereka lewat siaran drama di kaca televisyen. Seorang aktor yang mula meningkat naik dan disebut-sebut namanya sudi bertandang ke Rumah As-Syaheera. Pastinya, anak-anak di sini terharu dan gembira. Ditambah dengan kehadiran Nuha Farieha yang senantiasa dirindui mereka.

            Masing-masing berebut untuk bersalaman dengan Fathul Amri. Dan yang menyentuh hati Nuha, lelaki itu tidak kekok serta iklas melayan kerenah anak-anak yatim ini. Jujur, dia suka dengan sikap Fathul Amri yang sentiasa menghormati orang-orang disekelilingnya.

            Potongan-potongan kek dan beberapa jenis kuih-muih yang dibawa Fathul Amri disusun Dahlia dan Kak Rahimah. Nampaknya, anak-anak Rumah As-Syaheera langkah kanan pada petang ini. Fathul Amri berbesar hati mahu berkongsi sedikit rezeki dengan mereka. Apa yang dikongsi bukanlah sebesar mana jika nak dibandingkan dengan senyuman yang terukir pada wajah anak-anak ini.

Previous: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Tinta Biru