Home Novelet Cinta HADIR BAGAI TAKDIR
HADIR BAGAI TAKDIR
Tinta Biru
6/2/2018 15:27:15
46,207
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 8

“Pereka fesyen terkemuka tanah air, Kyra Othman dikhabarkan telah dirisik oleh seorang VVIP dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh kedua-dua belah keluarga. Menurut sumber yang boleh dipercayai, keduanya sudah menjalin hubungan mesra sejak beberapa bulan yang lalu”.

            Belum pun sempat berita sepenuhnya disampaikan, Fathul Amri terus mematikan radio yang terpasang. Cukup untuk buat dia faham, hubungan yang tergantung akhirnya menemui titik kesudahan. Tiada bicara, tiada luahan…cinta yang datang terus hilang. Apa daya yang dia ada untuk memperjuangkan cinta yang hanya satu tangan berpaut padanya.

            Dia lelaki yang juga punya hati. Mudah menyayangi tetapi bukan senang untuk mencintai. Dan saat hatinya menyimpan rasa ikhlas untuk mencintai, dia terluka lagi. Tanpa sepatah bicara, mudahnya hubungan itu berlalu begitu sahaja. Mudahnya Kyra mengakhiri semuanya. Hatinya bagai ditusuk…nyilu dan perit.

            Kebebasan dan ruang sendiri yang gadis itu inginkan sudah dia beri. Mahu mengongkong,jauh sekali. Kerana Kyra adalah gadis yang berpendirian, punya cita-cita tinggi. Itu yang dia cuba fahami. Bukan dia tidak tahu tentang khabar-khabar angin yang ‘bertiup’ diruangan media sosial tentang keakraban Kyra dengan seseorang. Namun, dia lebih memilih untuk mempercayai gadis itu melebihi cerita-cerita palsu.

            Sudah beberapa kali disuarakan hasrat hati untuk membawa ikatan mereka ke arah yang lebih jelas hala tujunya. Dan beberapa kali juga hasratnya hanya dipandang sepi Kyra. Alasannya, masih banyak masa untuk dia kenali hati budi. Memang benar, perkenalan mereka cukup singkat. Tetapi Fathul Amri yakin, dia benar-benar ikhlas terhadap Kyra.

            Nafas ditarik dalam, walaupun hanya sisa kekuatan yang dihela berat. Kakinya menekan pedal minyak, menuju suatu tempat yang sering dia kunjungi bila dilanda perasaan sebegini. Dia perlukan waktu untuk bersendiri. Mengikis memori yang pernah diukir walaupun dia tahu amat payah untuk menghapuskan semuanya.

            Telefon bimbitnya dicapai dan dimatikan. Hanya privasi yang dia perlukan. Tangannya masih kuat menggenggam stereng, laju membelah lebuh raya. Waktu-waktu begini kebanyakan warga kota sudah mula pulang dari waktu bekerja.


……………


            Kereta diparkir, kaca mata hitam dikenakan pada wajahnya. Topi diletakkan kemas dikepala. Bukan dia mahu berselindung disebalik pemakaian sebegini, cuma ketika ini biarlah dia bertenang dan menyendiri. Takut, andai ada peminat yang mengajaknya untuk bergambar tiada senyuman ikhlas yang mampu dia ukir.

            Tasik Putrajaya yang terbentang luas dipandangnya lama. Mencedok sedikit kedamaian pada tenangnya permukaan air. Cahaya remang senja mula melatari dada langit Yang Esa. Angin petang yang berhembus bagai meniup sedikit rasa tenang dan mengusir pergi rasa terkilan dalam dada. Kepalanya didongakkan ke langit Tuhan,dipejamkan mata. Bukan mudah untuk melupakan semuanya dalam sekelip mata, namun dia akan mencuba demi sebuah harga diri seorang lelaki.

            Bagai baru semalam dia bertemu dengan Kyra, meluangkan masa bersama. Malah dia tidak malu untuk mengaku Kyra punya tempat istimewa dalam hatinya bila diajukan soalan sumpamanya oleh pihak media. Kerana tidak pernah terlintas difikirannya untuk mensia-siakan tiap detik waktu perkenalan mereka. Diakah yang terlalu cepat jatuh cinta? Atau taraf mereka yang menidakkan perhubungan seterusnya? Soalan-soalan ini hanya dibiar sepi tanpa jawapan.

            Telefon bimbitnya berbunyi, menandakan ada pesanan yang masuk. Nama Kyra tertera. Mesej melalui aplikasi whatsapp itu dibuka dan dibaca Fathul Amri.


Have you heard anything about me?- Kyra

Congratulation! I doakan you bahagia dengan insan tersayang- Fathul Amri


            Walaupun hatinya cukup terluka, dia ikhlas mendoakan Kyra. Sekurang-kurangnya, wanita itu pernah hadir memberi pelangi dalam hidupnya. Ya, pelangi. Pelangi sifatnya sementara, indahnya juga sementara…sekadar untuk halwa mata. Sekali pun tidak pernah ada rasa sesal dalam hatinya ditakdirkan bertemu dengan Kyra. Cuma dia terkilan, begini Kyra menoktahkan.

……………


           Lensa kamera dihalakan ke hadapan. Simbahan cahaya putih melatari segenap ruang. Senyuman terus diukir bagai tiada luka dari kisah semalam. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan mematuhi arahan jurukamera demi kepuasan. Wajahnya bagaikan tiada luka, walhal di dalam tiada siapa pun mampu menduga remuk yang dia rasa. Syahir memerhatikan raut wajah sahabatnya itu lewat ekor matanya. Ada kesedihan yang terselit, ada mendung disebalik senyum.

           Syahir tahu, tidak mudah bagi sahabat merangkap majikannya itu meniti kehidupan dibalik gelaran seorang selebriti. Ada perasaan yang harus dikorbankan, apa lagi rasa hati yang kadang-kadang harus dicampak tepi demi sesuap nasi. Fathul Amri, tenang di luar, tabah di dalam. Namun sekilas redup pandangan Fathul Amri sudah mampu dibaca dan ditafsir Syahir. Dia tahu apa yang yang terjadi, namun biarlah empunya meluahkan sendiri segala isihati.

           Semalam, sahabatnya itu pulang ke rumah dengan raut wajah yang cukup sugul. Sepatah yang ditanya, maka sepatah jugalah jawabnya. Tiada gurauan, apalagi senyuman. Sudah beberapa hari Fathul Amri dilihatnya bagai ‘hilang diri’ seketika. Fikirannya melayang, mengimbau perbualan mereka semalam sebelum Fathul Amri meninggalkannya terkebil-kebil keseorangan.

“Syah, boleh tak kau susun balik jadual aku untuk minggu-minggu akan datang? Make it pack, as long as I can fulfill it”. Ujar Fathul Amri pada sahabat merangkap pembantu peribadinya.

Syahir yang sedang ralit menonton siaran kegemarannya di kaca televisyen terus mengalihkan pandangan. Terkejut dan keliru dengan permintaan sahabatnya itu. Dia membetulkan duduk, berdehem kecil sebelum meneruskan bicara.

“Maksud kau?? Kau nak terima semua tawaran yang kau dapat?” Soal Syahir meminta kepastian. Ada redup pada sinar mata Fathul Amri, itu yang ditelah hatinya.

“Lebih kurang. Malam ni aku nak tengok balik semua skrip yang aku dapat. I will told you once I’ve decided. Cuma kalau boleh, sebulan dua ni aku nak fokus kerja”. Ulas Fathul Amri.

Dia menarik nafas perlahan sebelum menyambung bicara, seolah mencari kekuatan dalam diri.

“Oh ya, sebelum aku lupa. Aku rasa aku nak terima tawaran dari Chandelier Productions. So, kau boleh lah start planning schedule aku dan buat apa-apa yang patut”. Terang Fathul menutup bicara.

            Dia meminta diri, seraya berlalu ke bilik tidurnya dengan sebeban skrip yang menunggu untuk dibaca dan difahami tiap perjalanan cerita dan watak. Syahir yang ditinggalkan sendirian masih kebingungan, cuba menghadam tiap patah kata yang disampaikan Fathul Amri kepadanya sebentar tadi. Baru beberapa hari lepas, sahabatnya itu meminta agar dikosongkan segala aktiviti seninya buat seketika. Katanya mahu fokus untuk sesuatu yang penting. Dan hari ini, tanpa hujung pangkal bicara, terus sahabatnya itu memberi kata dua…penuhkan jadualnya dengan segala macam kerja.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Tinta Biru