Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 49

Layla yang berada di sofanya memerhatikan saja tingkahlaku Faris yang pelik dalam bilik itu. Tadi dia ternampak lelaki berbaju adidas berseluar track tiga suku itu mengangkat tangan tiba-tiba dengan berkata “Yes..Yes…Yes ” sambil matanya tertera di iPhonenya. Tengok bola ke apa? Ada perlawanan bola Manchester United lawan Chelsea ke? Tapi tak dengar apa-apa pula, desis hati Layla. Pelik betul! Dia nak tergelak pun ada. Bayangkan mamat handsome jejaka Malaya itu berkelakuan seperti itu. Selalunya ‘maintain handsome” sahaja, desis hati Layla. Entah apa kena la!

Dia teringat semula perbincangannya dengan Faris berkenaan Boston tempohari. Meskipun dia memang tidak setuju untuk duduk bersama Faris di Boston tapi apakan dayanya. Tiga lawan satu. Tok Zauyah, Tan Sri dan Faris. Sudah tentulah dia kalah. Walaupun banyak kali juga dia cuba bincang kembali dengan Faris supaya mereka tinggal berasingan tetapi Faris asyik mengatakan tiada masalahnya kalau mereka duduk bersama di apartment tersebut. Kemudian ugut pula macam-macam. Faris kata dia nekad untuk duduk bersama dengan Layla. 

Kalau Layla tak suka pun Layla memang tiada pilihan. Ke mana gadis itu hendak pergi. Memang betul dia pun bukan pernah ke luar negeri pun. Sudah pasti bila di sana dia memerlukan Faris untuk membantunya. Nampaknya terpaksalah dia mengadap Faris lagi. Hai, entah apalah nasibnya. Namun, ada sebulan lagi dan sebulan adalah satu masa yang agak panjang. Apa-apa saja boleh berlaku.

Layla menghela nafas lalu memerhatikan Faris lagi. Sesungguhnya dia pelik dia melihatkan telatah lelaki itu sejak tadi yang khayal melihat skrin telefonnya itu. Sekejap dia termenung, sekejap tersenyum sendiri. Dari tadi khayal melihat telefon bimbitnya. Entah apa kena dengan lelaki itu.

 Bila dia memandang, lelaki itu memandang pula padanya. Pandangan mereka bersatu agak seketika sebelum Faris tersenyum padanya dengan senyuman yang paling mencairkan jiwa. Senyuman 100 juta ringgit agaknya! Cepat-cepat Layla melarikan matanya. Bahaya ! Entah apa yang bermain dalam fikiran lelaki itu. Tempohari dia dah pun ugut untuk tidur bersama sekarang entah apa pula. 

Layla cepat-cepat alih mata ke buku novelnya. Dari ekor matanya dia lihat lelaki itu bangun. Layla terasa risau. Sudah! Kenapa dia bangun pula? Huh! Tu lah mata kenapa kau tengok sangat mamat tu! Lain kali buat tak tahu saja. Kan dah datang! Desis hati Layla geram. Namun Faris berhenti setakat wing chair itu sahaja dan kemudian menghempas punggung di situ. Dia memerhatikan gadis itu yang pura-pura membaca.

     “Layla “ panggil Faris lembut. Layla telan air liur. Alamak ! Dia nak apa pula? Habislah aku! Faris menahan ketawa. 

     “Tok kata hujung minggu ni ada majlis sempena hari jadi ayah. Dia tanya awak ada nak perlukan apa-apa ke? Kalau ada boleh ikut Tok dan Nabila shopping esok.” Ujar Faris tiba-tiba. Dia gelihati melihat wajah gadis itu yang cemas dari celah bukunya itu. Sebenarnya dia teringat pesan Tok Zauyah selepas makan malam tadi tentang majlis harijadi ayahnya. Tok Zauyah pesan untuk dia maklumkan pada Layla. Layla terasa lega. Oh nak cakap itu rupanya. Tapi tak perlulah sampai renung dia semacam tadi. Sangat menakutkan! kata Layla dalam hati. Mendengarkan tentang harijadi Tan Sri Omar terus wajah Layla menyala kembali.

      “ Wah, bila birthday ayah tu? Saya tak ucapkan happy birthday pun lagi pada dia. Ayah suka apa ye? Saya ingat nak beli hadiah. ” Ujar Layla teruja. Dia memang suka meraikan hari lahir. Di rumahnya semua orang ada peluang untuk meraikan hari lahir meskipun hanya ala kadar sahaja.

       “Hari Rabu ni. Tapi majlisnya hujung minggu ni. Ayah tu suka macam-macam. Jenuh kalau saya nak senaraikan pada awak.”

       “Cakaplah. Mesti ada yang dia paling suka. Tapi…. saya tak mampu nak beli apa-apa untuk ayah. Saya bukan ada duit pun. Duit saya tinggal berapa ringgit saja” Ujar Layla sedikit kecewa.

       “Apa kata kita kongsi hadiah. Awak dan saya? “ Faris mencadangkan sambil jari telunjuknya menunjuk pada Layla kemudian pada dirinya. Mata Layla bersinar gembira. Dia teruja bila Faris berkata begitu.

      “ Eh, betul ke ni Faris? Tak susahkan awak ke? Nanti saya bayar balik ye?” ujarnya risau pula.

      “  Betul…Sikit pun tak susah. Eh, awak ni merepeklah nak bayar balik. Awaktu bukan kerja pun. Makan, minum dan pakaian awak kat rumah ni saya yang tanggung tau.” jawab Faris bersungguh. Layla mencemik. Dah mulalah tu mengungkit!

       “Tapi, saya tak kisah semua tu. Malahan saya suka berkongsi dengan awak” Balas Faris dengan penuh bermakna.

       “ Ye ke? Terima kasih Faris. Terima kasih. ” ucap Layla;

        “Sama-sama. No worries. Saya ni sebenarnya kalau boleh nak kongsi semua dengan awak.” ujar Faris selamba. “ Cuma awak saja yang tak nak.” Sambungnya. Layla pandang wajah Faris dua kali. Kenapa lain macam sahaja bunyi kata-katanya itu? Huh! Dah mulalah tu, desis hati Layla terasa janggal. Serta-merta wajahnya berubah. Faris hanya tersenyum melihat reaksi Layla itu. Dia tahu selepas itu Layla akan terdiam kerana kurang selesa. Tak mengapa, misi dia baru sahaja mahu bermula. Nanti, selepas misi dia menakluki gadis melayu muslimah terakhir itu berjaya pasti wajah itu akan tersenyum ikhlas paling sweet untuknya. Itu menguatkan lagi azam Faris untuk berubah.

       “ Eh hadiah apa kita nak beli untuk ayah ye?. Awak ada idea?” ujar Layla mengubah tajuk perbualan. Rengsa bila masing-masing tersenyap tadi.

         “ Saya dah minta Nora belikan. Nanti di kad hadiah tu, saya akan suruh Nora tulis nama kita berdua atas kad tu. What do you think? ” ujar Faris seronok. Dia sudah terbayang nama dia dan Layla di kad itu. “Faris dan Layla” ataupun letak “Faris love Layla” ? Faris tersengeh sendiri. Layla pelik. Apa hal pula lelaki itu tiba-tiba tersengeh seorang diri begitu? Sejak bila pula pandai berangan?

       “ Awak, kenapa awak tak pilihkan sendiri untuk ayah awak? Awak tahu ke apa Nora belikan untuk ayah awak tu?” kata-kata Layla itu membawa angan-angan Faris terhempas ke tanah.

      “ Err…kadang-kadang tahu, kadang tidak. Tapi, tiap-tiap tahun memang Nora yang pilihkan. Dan ada masa saya tak tahu apa-apa pun sehingga ayah buka hadiahnya”. jawab Faris serba-salah. Layla mengeleng-ngeleng. Susah untuk percaya apa yang Faris katakan tadi tentang pembelian hadiah itu. Bagi Layla pemberian hadiah sepatutnya lebih personal dari sekadar menulis nama di kad sahaja.

       “Tan Sri kan ayah awak. Sepatutnya awak sendirilah yang belikan hadiah untuk dia. Baru ada sentuhan personal yang bermakna dari seorang anak pada ayahnya. Bermakna sebab hadiah itu dipilih dengan hati yang tulus ikhlas untuk seseorang yang istimewa. Kalau saya mesti saya tersinggung kalau saya tahu hanya setiausaha saja yang belikan hadiah”. Kata Layla. Faris terkedu seketika. Betul juga kata-kata Layla itu dan kata-kata itu menyentuh tepat ke dalam hatinya.

      “ Okay, kalau macam tu saya suruh Nora batal pembelian tu dan nanti kita berdua pergi pilih sama-sama hadiah untuk ayah. Bagaimana? “ Faris mencadangkan.

       “ Orait, saya setuju sangat. Itulah yang terbaik.” Balas Layla sambil mengangguk dan tersenyum.

        “ Jadi, esok selepas saya balik kerja bolehlah kita pergi bersama. Kita makan malam di luar sekali. ” ujar Faris tersenyum. Gonna be fabulous evening, desis hatinya dengan penuh mengharap. Kemudian bangun dari wing chair tersebut lantas bergerak ke katil kingnya. Dia sangap. Terasa hari itu begitu meletihkan baginya tambahan pula tadi berjam dia merangka misi dan strategi untuk menakluki hati Layla. Lagipun,esok dia perlu bangun awal untuk solat subuhnya yang pertama. 5.30 pagi tu!

       “ Wah mengantuknya saya.” Keluh Faris. “Hah, awak jangan lupa pula date kita esok. Saya sampai saja, saya nak awak dah siap. Ok sleep tight and good night my sweet Layla.” Ucap Faris tiba-tiba sebelum menghempaskan diri ke katilnya. Layla tambah pelik. Date? My sweet Layla? Huh! Sejak bila pula aku jadi sweet Layla nya? Mengada-ngadalah tu kan? Bisik Layla dalam hati terasa rimas dengan kemesraan Faris.

Previous: Bab 48
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.