Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 14

Layla belek-belek lagi keputusan SPM yang di ambil dari sekolah tengahari tadi bersama Asha. Memang dia tidak percaya. Adakah dia bermimpi?. Betulkah apa yang terpapar itu? Sejak tadi lagi ayah dan ibu gembira sangat. Keputusannya cemerlang. Cemerlang sungguh. A untuk semua matapelajaran penting. A + pula untuk Matematik, Kimia, Biologi, bahkan Fizik yang dia takuti. Dia terasa diawang-awangan.

 Ibunya yang pada mulanya sangsi pun sangat gembira apabila dia membawa balik keputusan itu. “Alhamdulilllah! Alhamdulillah” ulangnya lantas memeluk Layla. Layla juga sangat terharu apabila ibu memeluknya kemas-kemas bagai tidak mahu lepas. Layla membalas pelukan itu dengan penuh rindu kerana sesungguhnya dia sangat rindukan pelukan ibunya. Menitis airmata bahagia dia. Agaknya inilah yang dia impi-impikan selama ini. Mendapat kasih sayang dan penghargaan dari ibunya. Pak Amir apatah lagi. Dia terus sujud syukur kepada Allah SWT atas kurniaan itu. Selepas itu mencium dahi Layla dan menyatakan betapa dia bangga dengan Layla. Cepat-cepat ibunya sms kepada kakak dan abang Layla. Nura dan Abang Zarif terus ucap tahniah melalui telefon tangan masing-masing. Mereka juga turut bangga atas pencapaian adik mereka. Adik-adik Layla juga yang masih kecil seperti Kamal, Musa dan Aisyah pun seolah faham turut seronok terutama melihat ibubapa mereka berpelukan dengan kakak mereka.

    “ Ni tengok kakak kamu ni, besar esok kamu semua ni kena berjaya macam kakak” kata ibu Layla pada adik-adik Layla yang bertiga itu. Kata-kata ibunya itu menyebabkan Layla terasa bangga dan benar-benar dihargai. Layla senyum bahagia. Hari itu juga ibu ajak ayahnya ke bandar untuk makan tengahari bersama. Layla boleh minta untuk makan di mana sahaja restoran yang dia suka. Untuk tidak menyusahkan bapanya, Layla hanya ajak ke Marrybrown. Itupun adik-adiknya yang bertiga itu sudah seronok sangat.

    Asha sebenarnya yang lebih dulu mengucap tahniah padanya tadi sebaik sahaja mendapat keputusan. Sebelum keputusan keluar masing-masing resah menunggu. Masih dia rasa tangan sejuk Asha yang sesejuk tangannya juga. Tetapi sebaik saja nama mereka diumumkan mendapat ‘straight’ A terus terlompat-lompat gadis berdua. Tak sia-sia mereka berdua berbincang dan ambil kelas tambahan di sekolah. Di saat akhir dulu mereka giat juga berbincang dengan guru-guru dan dapatkan restu mereka untuk mengambil peperiksaan itu. Memang Pak Amir mengajar Layla untuk hormatkan semua guru kerana katanya kalau kita tidak hormat guru tidak berkat ilmu yang kita dapat. Asyraf juga tidak kurang hebat. Tercapailah hasratnya menjadi seorang doktor nanti seperti yang dia cita-citakan kerana mendapat 9A+ dan seterusnya menjadi antara pelajar terbaik sekolah.

    Oh, terangnya dunia ini Layla rasakan. Terasa seperti berada di puncak gunung Everest. Tadi, Asyraf belanja mereka berdua makan ais kacang. Asyraf ucap tahniah pada dia dan Asha. Kemudian Asyraf macam berpesan pada Layla kalau sudah ke mana-mana nanti jangan lupakan dia sambil tersengeh-sengeh.Selepas itu berkias-kias pula ingin jadikan Layla teman istimewanya. Asha yang disebelah serta merta menyiku Layla. Agaknya memberi isyarat supaya Layla terima sahaja. Layla seperti biasa sengeh sahaja dan buat bodoh lantas mengalih tajuk perbualan. Apa yang hendak dia jawab?. Nanti kalau dia terus terang yang dia tiada perasaan pada lelaki itu, malu pulak anak ketua kampung itu. Sungguh kasihan kalau itu berlaku kerana Asyraf adalah antara rakan baiknya. Tapi, Layla pula bukan jenis orang yang boleh menerima seseorang atas dasar kasihan. Kalau hatinya tiada perasaan dia tidak pandai pula untuk berpura-pura hanya untuk menjaga hati. Bak kata pepatah hati bukan boleh dipaksa.

   Lagipun dalam fikirannya sekarang hanyalah cita-citanya untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Macam-macam angannya. Dia teringin ke Amerika Syarikat atau ke London mengambil jurusan Kimia. Kalau di UK dia ingin berjumpa abang. Tapi kalau ke Amerika Syarikat pun tak mengapa. Sebenarnya dia tidak kisah ke mana asalkan dia dapat belajar di luar negara. Pergi melihat negara orang. Menghirup pengalaman, meluaskan minda dan juga pandangan. Tidaklah terperuk di dalam ruang lingkup kampung itu sahaja. 

Dan yang paling seronok ialah peluang menikmati empat musim di negara orang. Dia terbayang musim salji dan musim bunga seperti gambar yang abang Zarif kirimkan dan letak dalam Facebooknya. Cantik sungguh. Salji memutih di musim dingin dan bunga-bunga tulip berkembangan di musim bunga. Hatinya terasa tidak sabar untuk mula mengisi borang permohonan ke universiti. Dan yang paling pasti ialah ibunya tidak akan kawinkan dirinya pada usia 18 tahun kerana terbukti bahawa dia telah berjaya dalam SPMnya dengan cemerlang. Oleh itu dia ada tiket kukuh untuk ke Universiti dan bukan lagi mengalami situasi terperangkap menjadi isteri entah siapa. Senyumnya bagai tak berpenghujung. Keputusan SPM di pandang lagi. Kalau boleh dia mahu ‘frame’kan merata dinding rumah supaya keputusan sentiasa di depan matanya dan depan mata ibunya. Ataupun tampal di merata kampung supaya orang tahu bahawa dia telah berjaya dan yang paling penting tidak akan dikahwinkan. Ye, tak kahwin, desis hati gadis itu sambil tersenyum lega.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.