Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 13

Seminggu telah berlalu sejak Tuk Zauyah meletakkan kata putus pada Faris. Faris tahu dalam kes ini dia tidak ada pilihan. Dia tidak pernah hidup berdikari. Kehidupannya yang mewah sejak dulu tidak memungkinkan dia menolak tawaran Tuk Zauyah itu. Walau bagaimanapun, Faris tahu Tuk Zauyah boleh memaksa dia berkahwin tetapi tidak boleh memaksa hati dan perasaannya. Dan kalaupun dia berkawin dengan pilihan Tuk Zauyah tak mungkin dia akan setia pada wanita itu. Dia akan tersu kekalkan caranya sekarang dan akan pastikan wanita itu juga akan sengsara seperti dia. Malanglah wanita yang akan berkahwin dengannya nanti!

Tan Sri Omar pun tidak dapat membantu Faris bila Faris utarakan syarat Tok Zauyah itu. Jauh di sudut hati Tan Sri Omar setuju dengan apa yang Tok Zauyah cuba buat. Omar tahu dia berjaya dalam perniagaan tetapi dia gagal dalam mengemudi kehidupan anak-anaknya. Anak-anaknya tidak tahu erti tanggungjawab. Asyik bersuka-suka sahaja tanpa rasa bersalah. Faris, Wafiq dan Nabila semuanya begitu. Tanpa ada kekangan agama. Agama hanya satu istiadat bila kahwin, kematian dan hari raya. Tak lebih dari itu. Omar sedar kesilapannya. Tidak cuba memperbetulkan mereka sewaktu kecil dan remaja ketika masih boleh dibentuk. Dia tidak salahkan anak-anaknya 100 peratus. Dia dan Sophie yang bersalah. Tapi Sophie juga tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Dia wanita kacukan Melayu tapi ibunya seorang Melayu tidak mendidik Sophie sewajarnya kerana terikut-ikut dengan budaya barat sebelah bapanya. Maka jadilah Sophie sebegitu. Omar pula tidak cuba mendidik Sophie. Dalam beberapa tahun perkahwinan Omar terasa begitu bahagia sebelum Sophie jadi seorang kaki minum. Sophie mula minum kerana kecewa kehilangan rahimnya selepas melahirkan Nabila. Kecewa sebab dia mahukan anak lagi. Dan itu semua memakan diri Sophie.

Jadi bila Tok Zauyah berkeras begitu pada Faris, Omar setuju dalam diam dengan tidak berbuat apa-apa untuk menghalang. Dia pun risau juga dengan Faris. Hampir saja bersekedudukan dengan wanita keturunan Itali Yahudi di Boston dulu. Wajah mereka terpampang di dada majalah dan Internet. Tuk Zauyah paksa Omar panggil Faris balik. Belum ada keturunan Tok Zauyah yang kahwin dengan Yahudi. Ini, Faris pula nak mulakan. Hari itu juga Tok Zauyah suruh Omar panggil Faris balik. Naik jet pun naik jetlah. Faris nak marahpun marahlah. Maruah keluarga Bukhari perlu diselamatkan.

Faris sebenarnya serba salah. Dia masih tidak dapat menerima apa yang Tok Zauyah mahukan. Kalau ikutkan hati dia mahu lari sahaja ke Boston. Semalam dia bergaduh dengan Tok Zauyah lagi. Mereka bertegang urat sehingga orang tua itu tiba-tiba sesak nafas. Terpaksa Tan Sri Omar panggil doktor peribadi mereka. Tan Sri Omar marahkan Faris kerana berkeras dengan Tok Zauyah yang memang sudah begitu tua dan agak uzur. Sejam Tan Sri Omar marahkan anaknya dan paksa Faris ikut sahaja kehendak Tok Zauyah. Bila melihat neneknya begitu Faris terpaksa lembut hati. Memang dia tidak setuju dengan cara orang tua itu tapi di sudut hati dia sayangkan juga orang tua itu juga. Tempat dia selalu bermanja sewaktu kecil bila ibunya tiada di sisi. Itulah yang membuatkan dia tiada pilihan.

Justeru itu, Faris telah menyatakan jawapannya tepat seminggu seperti yang diminta oleh orang tua itu. Dia setuju saja dengan cadangan Tuk Zauyah itu. Dia tiada pilihan. Ayahnya pun tidak membantu. Nabilah dan Wafiq pula tidak tahu tentang perjanjian itu. Kalau mereka tahu mungkin lebih giat mereka mengetawakannya. Dia tak begitu rapat dengan mereka berdua. Wafiq lebih rapat dengan Nabila. Faris banyak berada di sekolah berasrama di Australia manakala Wafiq dan Nabila di Malaysia. Dan mungkin juga kerana beza umur mereka. Dia 27 tahun. Wafiq 23 dan Nabila pula 22 tahun. Kerana umur mereka itulah kedua-duanya rapat di antara satu sama lain.

Tok Zauyah memang sungguh gembira mendengarkan jawapan Faris itu. Dia sudah nekad untuk mengambil seseorang menjadi isteri kepada cucunya. Sejak bertemu dengan gadis itu, Tok Zauyah memang pasti benar gadis itulah calon yang paling sesuai. Semua calon yang dipilih oleh orang suruhannya semuanya dia tidak berkenan. Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Tapi gadis yang dibawa oleh Pak Amir memang yang paling sempurna untuk cucunya itu cuma latar belakangnya sahaja sebagai anak pemandu. Tok Zauyah tidak kisahkan itu semua kerana dia dulu pun anak orang kampung dan bukanlah ada latar belakang yang hebat. Yang penting baik budi bahasa, kuat jati diri Melayunya dan ada pegangan agama Islam yang kukuh. Yang penting sekarang Pak Amir perlu setuju untuk mengahwinkan anak gadisnya itu dengan Faris.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.