Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 48

Sejak perbualannya dengan Nora itu, Faris mula aktif mengumpul maklumat tentang Layla seperti yang disarankan oleh Nora. Dia mula memerhatikan apa minat gadis itu. Buku-buku yang Layla bacapun dia mula ambil kisah. Sesekali dia curi-curi baca tajuk buku-buku novel Layla. Manalah tahu boleh dapat petunjuk lelaki bagaimana yang gadis itu suka. Dan sewaktu dia rehat-rehat di katilnya sebelum tidur malam itu , dia teringat senarai salinan dari kata-kata Nora tentang kriteria yang perlu ada pada seorang lelaki pujaan wanita melayu terakhir muslimah seperti Layla itu. 

Dia telah menyalin semua ciri-ciri itu ke dalam ruang nota di telefon bimbitnya. Dia terfikir sendiri, adakah kriteria yang Nora sebut itu didambakan juga oleh Layla dari seorang suami? Layla kan gadis bertudung dan tidak tinggal solat pula macam Nora. Jadi ada kemungkinan kriteria Nora itu adalah logik bagi Layla, lagipun tak rugi untuk dia mencuba. Cuma kawan-kawannyalah yang akan pelik buat seketika bila dia tidak lagi ke kelab dan mula menunaikan solat. Tapi dia tak kisah, yang penting sekarang ialah Layla isterinya.

Dia memeriksa senarai itu. Kriteria pertama ialah solat 5 waktu. Layla tidak tinggal solat pastilah suami yang dia mahukan mestilah tidak tinggal solat 5 waktu juga. Lagi satu yang menguatkan keyakinannya ialah dia teringat sewaktu mula berkahwin, Layla ada juga cuba untuk mengejutkan dia solat subuh tetapi dia pula yang enggan dan marah. Malahan mendengus hodoh kepada gadis itu kerana mengganggu tidurnya yang enak. Dari situpun dia sepatutnya boleh agak yang Layla suka lelaki yang bersolat. Bolehkah dia bersolat seperti yang Layla mahukan? Faris berfikir-fikir sendiri. 

Walaupun dia jarang solat tapi dia masih ingat lagi bagaimana menunaikan solat dan mengambil wuduk. Dia juga ingat kesemua jenis solat 5 waktu itu. Cuma sebelumnya dia kurang rajin dan tidak peka tentang waktu sahaja. Kalau macam itu dia akan mula dengan solat dulu. Mungkin itu yang paling senang, fikir Faris sendiri dan yang paling ketara dan pasti Layla perasan. Esok juga dia akan mula solat subuh. Serta merta dia set alarm dalam telefon bimbitnya. Eh, pukul berapa pulak ye solat subuh? Dia bertanya sendiri. Tak mengapa, pakcik Google pasti tahu. Dia tersenyum lantas melirik ke dalam telefonnya. Kemudian mencari waktu solat subuh di kawasan mahligai Bukhari itu dan seterusnya menetapkan alarm untuk bangun pada waktu itu. 

Apa? 5.30 pagi! Awalnya! Tapi, ini harus dilakukan. Dia akan cuba bangun pada waktu tersebut untuk solat subuh. Dan esok untuk waktu-waktu lain seperti zohor, asar, maghrib dan isyak dia akan rujuk lagi pakcik google. Faris tersenyum yakin.

Ingatan Faris menerawang lagi cuba membuat satu refleksi diri. Ciri yang kedua merujuk pula pada bacaan Al-Quran. Serta merta dia teringat tidurnya yang terganggu dengan suara gadis itu membaca Al-Quran. Dulu, berbulu telinganya bila Layla membaca Al-Quran sampai dia ambil bantal tutup telinga. Betapa teruknya dia waktu itu! Nampak sangat kerasnya hati dia kerana tidak mahu mendengar ayat-ayat Allah. Allah SWT yang menciptakannya!. Astaghfirullahilazim. Layak kah dia menjadi hamba Allah kalau begitu sekali dia? Faris mengeleng-ngeleng. Entah kenapa Faris terasa insaf sendiri.

Jadi dia buat kesimpulan, pasti gadis itu juga mengharapkan suaminya pandai dan selalu membaca Al-Quran. Malangnya dah lama dia tidak membaca Al-Quran. Dah bertahun-tahun. Entah ingat lagi atau tidak ayat-ayat suci itu. Dia mengimbau semula kenangan dulu semasa kecil di mana Tok Zauyah yang bawa ustaz untuk ajarkan dia di rumah sehingga dia khatam Al-Quran. Masih ingat lagi majlis khatam Qurannya yang meriah. Gembiranya dia kerana ibunya pun masih ada. Namun itulah kali terakhir dia memegang kitab Allah itu seolah-olah khatam itu benar –benar penutup untuk terus membaca ayat-ayat Allah. Faris mengeleng-ngeleng sendiri. Patutlah Layla tak suka aku. Kalau begitu dia perlu cari seorang ustaz untuk belajar membaca Al-Quran semula dengan betul.

Faris melirik pula pada senarai seterusnya. Kali itu pada kriteria ketiga iaitu tidak merokok. Terasa hendak melompat Faris kerana dia memang menepati syarat tersebut dengan cemerlang sekali. Tidak pernah dia merokok seumur hidupnya. Yes! Yes! Dia rasa seronok. Kalaulah Layla tiada di sofa di depannya sudah tentu dia melompat. Faris rasa sedikit lega sebab sekurang-kurangnya adalah juga sesuatu yang baik tentang dia.

Faris meneliti ciri keempat pula iaitu puasa. Faris risau. Dia teringat bahawa ada masa puasanya tidak cukup bila dia berada di luar negara dan ada masanya cukup. Dia berpuasa selalunya ikut keadaan. Kalau malam itu ada majlis buka puasa atau dia berada di mahligai Bukhari, dia akan puasa. Tapi kalau di luar negara selalunya dia ponteng kerana tergoda dengan orang-orang tempatan yang bukan Islam. Baiklah, demi menepati syarat itu dia berjanji pada dirinya yang dia akan berpuasa penuh di bulan puasa tahun itu dan juga pada tahun-tahun seterusnya supaya Layla nampak yang dia adalah seorang lelaki yang tidak tinggal puasa. Faris membuat tandaan di nota itu sebagai satu kriteria yang memerlukan tindakannya yang sangat utama sekali!.

Mata Faris menerawang lagi ke senarai itu. Tinggal dua lagi. Kedua terakhir ialah tidak membuat dosa besar. Dosa besar? Apa dia dosa besar? Getus hati Faris bertanya sendiri. Hah, apa lagi pakcik google lah yang jadi mangsa. Faris lantas melayari Internet untuk mencari apakah contoh-contoh dosa besar. Dosa besar antaranya ialah seperti syirik, minum arak, berzina, menderhaka kepada dua ibu bapa, membunuh diri, makan harta anak yatim, membunuh , membunuh diri, merompak, mencuri dan macam-macam lagi. 

Faris berfikir-fikir. Jadi kalau dia mahu jadi lelaki idaman Layla dia perlu jauhkan semua itu. Dia tidak akan ke kelab lagi supaya dia tidak minum arak dan dia akan buat baik pada Tok dan ayahnya sebab dia tak mahu jadi derhaka. Dan selain itu dia akan mengelakkan dirinya dari melakukan dosa-dosa besar yang lain seperti merompak, zina, membunuh dan bunuh diri. Zina? Setahu Faris belum ada lagi wanita yang dia tidur bersama. Meskipun dia bukan orang yang baik tetapi yang satu itu dia memang jaga. Baiklah dia akan mengelak juga dari membuat dosa-dosa besar yang lain. Dan itu akan jadi azamnya yang keempat.

Dan kemudian senarai yang terakhir ialah imamkan solat. Imamkan solat? Dia tidak pernah mengimamkan mana-mana solat sekalipun seumur hidupnya. Dia pernah melihat ayahnya berbuat demikian di bilik solat di mahligai Bukhari. Bilik solat yang dia jarang sangat menjenguk itu pun berhenti sekadar jenguk sahaja dan tidak pernah masuk ke dalam. Jenuh Tok Zauyah dan bapanya mengajak tetapi Faris memang tak endahkan langsung. Parah ni! Dia akan ke bilik solat selalu untuk bersolat. Esok juga dia akan cari seorang ustaz untuk belajar bagaimana hendak imamkan solat. Manalah tahu dia perlu sembahyang berimam dengan Layla ke? Agaknya bila dia buat itu semua barulah Layla akan pandang dirinya. Baru gadis itu akan menerima dirinya sebab dia telah menepati ciri-ciri suami alim yang dikatakan Nora itu. 

Faris senyum sendiri mengingatkan itu. Hairan juga dia terhadap dirinya, sejak bila pula memenangi hati gadis itu jadi satu misi penting untuknya? Sudahlah begitu cuba pula menjadi seseorang yang dia tidak pernah terfikir sebelum ini. Kalaulah dia dapat menepati semua syarat itu memang dia boleh berbangga dengan dirinya. Agaknya sudah sampai seru untuk dia berubah. Berubah jadi lebih baik? Entahlah! Tapi dia memang nekad untuk perbaiki dirinya supaya Layla boleh menerimanya. Dia akan namakan misi itu misi menakluki gadis melayu muslimah terakhir bernama Layla!. Arghh! Gilakah dia? Gilalah agaknya!

Previous: Bab 47
Next: Bab 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.