Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 1

 Namanya Layla. Nama yang sangat pendek dan biasa. Tidak seperti nama-nama yang ada pada zaman kini yang selalunya dua tiga patah. Ada nama pertama ada nama kedua dan ketiga. Tapi namanya hanya Layla. Layla Amir. Tersangatlah pendek dan biasa seperti orangnya juga. Tiada apa yang istimewa tentangnya. Keluarganya pun biasa saja. Bapanya seorang pemandu manakala ibu seorang suri rumah. Kadang-kadang kalau tak cukup wang, ibu dan bapanya akan pergi menjual nasi lemak. Dan dia akan tinggal bersama dengan adik-adiknya yang bertiga. Kamal, Musa dan Aisyah. Tapi bila mereka ada maka bertambahlah kerjanya. Bukan sekadar perlu menguruskan rumah tetapi juga menjaga mereka bertiga. Kadang-kadang dia juga pergi meniaga bersama bapanya manakala ibunya tinggal di rumah pula. Sejak kecil dia telah diajar dengan tanggungjawab membantu keluarga seperti itu. Lagipun dia memang suka pergi meniaga dengan ayahnya. Seronok apabila dapat menghabiskan nasi lemak hasil jerih payah  ibunya yang pagi-pagi telahpun bangun menyediakan nasi lemak tersebut untuk jualan.

Dia juga mempunyai seorang abang dan kakak. Abang berada di di luar negara manakala kakaknya berada di USM dalam tahun 2. Dia pula sedang menunggu keputusan SPM. Abang adalah idola nya begitu juga kakak. Kedua-dua mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hanya tinggal Layla sahaja buat masa itu. Nasib nya belum ditentukan ke mana-mana. Seperti abangnya Layla ingin pergi ke luar negara. Abang nya Zarif, berada di Ireland dalam jurusan seni bina. Kakak nya Nura pula di USM dalam bidang Kejuruteraaan Petroleum. Kakak dan abangnya memang hebat. Jadi sebutan orang di kampung mereka. Dan sebab itu semuanya kini memandang padanya. Ada juga kata-kata mereka yang singgah ke telinga nya. Kata mereka dah tentu lah dia akan mengikut jejak mereka. Itu yang membuatnya tak lena tidur sejak beberapa ketika ini. Terutamanya apabila keputusan SPM menjelang tiba. Harapan mereka tidak sanggup dia fikirkan terutamanya harapan ibu dan ayahnya. Ayahnya bukan ada kelulusan apa-apa pun. Setakat SRP manakala ibu tidak bersekolah langsung. Mengikut cerita ibunya, dia anak perempuan seorang. Arwah nenek Layla risaukan kehilangan anak perempuannya nan seorang itu. Maka tidaklah ibunya ke mana-mana kecuali menjaga ibu bapanya dan adik-adiknya sahaja. Oleh sebab itu ibunya begitu perihatin terhadap pelajaran anak-anaknya.

Walaupun hidup mereka begitu kedua ibu bapa Layla cukup menekankan pada anak-anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh kerana kata mereka, mereka bukan ada harta yang nak dititipkan. Semangat ibu bapa mereka yang membara itulah yang menjadikan kakak dan abang Layla begitu. Kakak dan abangnya lebih dulu merasa perit kemiskinan. Lebih sedar dari Layla dan adiknya yang kecil-kecil itu. Adik-adiknya sebenarnya lebih senang kerana sejak akhir-akhir itu ayah mereka Pak Amir bekerja dengan seorang hartawan yang agak pemurah. Selalu ayah mereka mendapat bonus yang lebih. Yang selalu dapat belanja lebih tentulah adik-adiknya yang kecil-kecil itu. Kamal 10 tahun, Musa 6 tahun dan Aisyah 4 tahun. Mereka bertiga jauh lebih kecil darinya. Kamal lahir sewaktu Layla berumur 8 tahun. Lama juga Layla bermanja dengan ayah dan ibu. Bahkan mereka ingat Layla yang bongsu. Tapi siapa sangka dia ada 3 orang adik lagi yang kecil-kecil selepas itu. Memandangkan dia lah kakak yang ada sewaktu ini maka kalau ada apa-apa Layla lah yang selalu beralah ataupun selalu diminta beralah. Dia juga menjadi harapan ibu bapanya.

Harapan ibu dan ayah Layla memang tinggi terhadapnya. Mereka berharap Layla dapat mengulangi kejayaan kakak dan abangnya dalam SPM. Entahlah. Layla tidak pasti dan yakin kerana tak seperti kakak dan abangnya, Layla hanya sekolah harian biasa di kampong. Sedangkan kakak di MRSM dan abang pula di MCKK. Sebenarnya, harapan yang diletakkan pada bahunya terasa berat kerana Layla risau sekiranya ia tidak kesampaian. Layla bukan genius seperti kakak dan abang. Dalam banyak keaadaan Layla perlu usaha lebih. Dia terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan A. Tidak seperti abang dan kakaknya yang mempunyai otak geliga. Usia, abang dan kakaknya tak banyak beza hanya dua tahun sahaja. Mereka seperti kawan rapat dalam kebanyakan perkara manakala Layla selalu tidak dapat turut sama dalam setiap perbincangan mereka. Mungkin ada jurang generasi agaknya.

Bukan senang untuk menjadi anak tengah. Layla selalu keseorangan bertemankan kucing kesayangan ataupun buku novel di tangan. Kakak dan abang macam ada visi sendiri. Mereka selalu bincang apa cita-cita mereka bila berjaya nanti. Layla pula seorang yang suka berangan. “ A dreamer” kata orang putih sebab kata mereka Layla selalu berada dalam angan sendiri. Acap kali mereka ketawakan Layla yang sedang berangan tidak sedar diri bila mereka memanggilnya.

Ibupun kadang-kadang menegur Layla yang sering masak nasi hangit kerana leka membaca novel. Kata ibu apa yang dapat dengan baca novel. Sering ibu menyebut nama kakak. Katanya kenapa Layla tak macam kakak. Kakak memang pandai dalam semua perkara tidak seperti Layla. Memang Layla akui, dia tidak pandai memasak macam kakak. Tak cerkas macam kakak. Dan macam-macam lagi ibu kata. Kadang-kadang panas juga hatinya. Yelah, kakak hanya ada di rumah sekali sekala bila cuti semester tapi Layla memang terperangkap di rumah itu. Setiap hari. Mestilah nampak semua kekurangan kerana terlalu dekat di mata ibu. Gadis itu selalu terfikir kalau begitu selepas SPM dia mahu pergi jauh. Mungkin kalau jauh ibunya akan lihat perkara yang baik tentang dia pula, seperti pandangan ibu terhadap kakaknya.

Dalam banyak perkara, cuma ayahnya saja yang memahaminya. Ayah selalu juga menangkan Layla. Dalam hal seperti itu kadang-kadang Layla terfikir mungkin ayah sayangkan Layla lebih dari kakak. Ayah dan Layla memang rapat. Ayah suka Layla buat kopi. Ayah suka bercerita dengannya kisah kanak-kanaknya. Ayah juga suka bercerita tentang angan-angannya. Agaknya ayah dan Layla ada banyak persamaan. Mereka sama-sama a dreamer. Itulah sebabnya ayah agak simpati dengannya. Ayah selalu nasihatkan Layla supaya apa-apa pun yang Layla lakukan Layla mesti ingatkan keluarga. Ingatkan Allah dan juga bangsa. Tapi sebagai seorang ayah

Layla melihat lelaki itu sebagai ayah yang hebat. Ayah yang sanggup buat apa saja untuk kelangsungan anak-anak dan isterinya. Ayah yang tak akan makan selagi anak-anak tak kenyang makan. Ayahnya juga seorang suami yang penyayang dan romantik. Dalam hal ini ibu sangat bertuah. Ayah cinta sejati ibu. Layla berharap satu hari nanti dia akan dikurrniakan cinta sejati seperti ibu dan ayah. Ibu yang tak boleh hidup tanpa ayah. Ayah yang meletakkan ibu ditempat yang paling tinggi dalam hatinya.

Ibu pula Layla rasakan seperti wanita yang mampu buat apa saja. Ibu seorang yang berhati waja dan gigih. Seorang wanita yang sangat berpegang pada ugamanya. Ibu walaupun tak berapa pandai membaca rumi tapi ibu pandai membaca Al-Quran. Lunak suaranya mendayu-dayu. Ibu yang tak pernah tinggal solat lima waktu. Ibu yang menitipkan roh keislaman dalam jiwa mereka. Menyuruh mereka solat, berbuat baik dan selalu mengingatkan mereka adik beradik untuk tidak membuat perkara yang bertentangan dengan Islam dalam banyak segi. Untuk tahu mana yang halal dan haram.

Layla tidak pasti kalau ditakdirkan dia bergelar ibu nanti,adakah dia mampu sekuat ibu. Ibu yang melahirkan mereka semua. Ibu yang kalau buat apa saja sepenuh hati hatta memasak sekalipun. Semangat waja ibu itu turun pada kakak dan abang dan malangnya bukan padanya. Itulah sebabnya ibu agak kecewa dengannya. Kerana Layla tak seperti kakak dan abang. Bagi ibu Layla seperti tidak berkemampuan untuk jadi sehebat kakak dan abangnya. Orang kata “ short of expectation”. Oleh sebab itu Layla dan ibunya macam tak serasi. Ibu kadang-kadang terpaksa meminta ayah nasihatkan Layla apabila gadis itu keras kepala atau bila apa yang diharapkan darinya tak menjadi kenyataan. Macam PMR dulu. Layla tidak mendapat semua A seperti kakak dan abang. Ibunya memang kecewa sungguh.

Oleh itu harapan ibunya terhadap keputusan peperiksaan SPMnya lah yang selalu meresahkannya. Dua tiga minggu lagi keputusan akan keluar. Entah tercapai harapan ibu atau tidak. Memang dia sudah berusaha. Tapi semua kemungkinan boleh berlaku. Sebab dia adalah manusia yang paling tidak konsisten dalam apa sahaja yang dia lakukan. Contoh kalau memasak nasi, ada masa lembik ada masa keras, ada masa hangit. Kadang-kadang ibu tepuk kepala tidak tahan. Masak nasi tidaklah mempunyai kesan yang begitu penting berbanding dengan SPM. SPM macam tiket menempa kejayaan. Kalau tanpa SPM di mana dia akan pergi?Sudahlah begitu dalam zaman sekarang kalau tidak cukup hebat bukan senang nak dapatkan biasiswa. Pinjaman pun belum tentu boleh dapat.

   “ Kalau SPM Layla tak bagus, Layla kawin aje lah. Mak dan ayah bukan ada duit nak hantar belajar swasta” kata ibu satu hari waktu Layla menghidang makanan tengahari. Berdesing telinga nya. Geram sungguh Layla rasa. Wajarkah ibu suruh kahwin? Inikan abad 21 mana ada orang kahwin selepas SPM? Layla menarik muka terasa mahu saja dia menghempas bekas lauk di atas meja. Tapi takut pula kalau ayah kata dia kurang ajar. Nanti tak semena-mena kena penampar free daripada ayah pula. Layla lihat ayahnya diam sahaja tanpa berkata apa-apa walaupun dia memang mengharapkan ayah berkata sesuatu. Tapi ayah selamba aje menyenduk lauk ke atas nasinya. Muka ayah biasa saja.

    “ Mak, Layla mana boleh kawin. Masak nasi pun belum pandai.” Jawabnya perlahan menahan marah di dada. Antara dengar dan tidak. Dia telahpun duduk menyenduk nasi ke dalam pinggan.

    “ Hmmm....kena belajarlah. Dah kalau tak nak belajar kat universiti belajar jadi isteri je la...” sela ibu. Ibu menyuap nasi ke mulut. Perit betul bila mendengar kata-kata ibunya itu.

   “ Ish awakni. Tunggulah keputusan dia keluar dulu. Jangan fikir bukan-bukan. Nanti masin mulut awaktu terpaksa pulak kita terima menantu awal-awal.” Akhirnya ayah bersuara. Layla terasa menang sedikit. Macamnilah ayah! Ujarnya dalam hati bangga dengan ayah.

    “ Saya risau apalah nanti keputusan Layla ni. Awak tengok PMR dulu. Buat maluje. Tak macam Zarif dan Nura. “ Kata-kata ibu buat Layla tersentak. Kecil hatinya terasa. Nasi di mulut rasa tidak tertelan. Air mata seolah mahu menitis tapi segera dia telan. Memang sejak keputusan PMR dulu ibu macam tidak percaya padanya. Asyik itu sahaja yang ibu ungkit selalu dan hampir setiap hari sejak akhir-akhir ini.

    “ Awak sebagai ibu kena doakan dia bukannya cakap-cakap macamni. Saya pasti Layla dah buat yang terbaik. Tapi kalau tak kesampaian bukan rezeki namanya. Awak sepatutnya lebih tahu dari saya benda-benda macamni” balas ayah cuba memujuk Layla.

    “ Awak menangkanlah anak kesayangan awaktu. Dia banyak lemak dah awak tahu. Itu sebab dia jadi macam tu.” Marah ibu pada ayah. Layla perasan mata ibu yang tajam memandangnya yang kini tiada selera untuk makan. Kenapa ibu tak faham perasaan nya. Macam kata ayahnya, Layla selalu mencuba yang terbaik.Perit rasanya bila ibu begitu. Ibu tidak sayangkan dia seperti kakak dan abang. Kenapa kasih ibu berbeza untuknya? Anak angkatkah dia? Kalaulah tidak kerana dia masih hormatkan ibu dan ayah sudah tentu dia sudah lari ke bilik. Tapi demi menjaga hati mereka Layla masih di situ walaupun nasi terasa seperti pasir sahaja dalam mulutnya.

    “ Dahlah. Tak baik depan makanan cakap macam tu. Jom makan. Belum masanya kita bincang perkara ni. Keputusan pun belum keluar lagi. Apa yang awak ribut-ributkan pulak. Kita tengok nanti macamana. Doakan supaya Layla ni berjaya.” Ayah menasihatkan ibu. Ibu terdiam tapi muka ibu mencuka padanya. Ibu tidak puas hati agaknya kerana ayah menangkan Layla lagi. Tapi mesej ibu memang jelas. Kalau dia tidak dapat yang terbaik SPM nanti habislah angan-angannya untuk ke universiti melanjutkan pelajaran macam abang dan kakak. Entah dengan siapalah ibu mahu jodohkan dia. Dia resah. Cepat sahaja dia selesai makan meskipun nasi masih bersisa. Ibu tegur dia.

   “ Tengok, nasi pun tak habis. Membazir. Itu tanda buat kerja tak sempurna.” Bebel ibu lagi.

   “ Layla kenyanglah ibu.” Dia memberi alasan. Ibu mendengus tidak puas hati lagi.

    “ Kalau dah kenyang kenapa ambik banyak-banyak. Hish! Membazir aje.” Sela ibu lagi. Ayah hanya mengeleng. Ibu dan dia memang tak habis-habis. Dia tinggalkan saja ibu dengan perasaan berbuku. Segera Layla basuh tangan dan pinggan di sinki. Ibu memang begitu dengannya setiap hari, getusnya dengan hati yang tersinggung.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.