Tan Sri Hisyam
diam tidak terkata. Berita yang Amir sampaikan benar-benar mengejutkannya. Puas
di ingat dan di raih kembali ingatannya terhadap tindak tanduk Nea dan Izz. Tapi
tiada satu pun yang mampu untuk dia kaitkan. Nea bercinta dengan Izz. Macam
mana dia boleh langsung tidak tahu? Mungkin Nea takut untuk berterus terang.
Kalau benar, ternyata ia bukan salah anak itu tapi dia. Dia yang meletakkan
sempadan di antara mereka anak beranak sehingga terciptanya jurang yang tidak
sepatutnya. “Susah uncle nak
percaya.”
“Saya
pun,” balas Amir.
“Habis
tu sekarang Amir nak buat apa?” Tanya Tan Sri Hisyam.
“Bukan
saya tapi uncle.”
“Maksud
Amir?”
Amir
memandang wajah Tan Sri Hisyam yang nampak bingung itu. “Uncle pilih saya atau Izz. Semua keputusan di tangan uncle. Saya yakin siapa saja yang uncle pilih, Nea kena terima. ”
Tan
Sri Hisyam tersentak. Ya, dia yang memulakan semua ini. Jadi dia juga yang
patut mengakhirinya. Namun ia bukan semudah dengan hanya memilih satu nama.
Ikut kemahuan hati, memang Amir calon yang sesuai. Tapi dia seorang papa. Bohonglah
kalau dia tidak mahu anaknya hidup dengan orang yang di cintai. Lebih-lebih
lagi lelaki itu Izz. Anak kepada sahabat baiknya sendiri. Sekurang-kurangnya,
dia tidak perlu sibuk-sibuk mahu ambil tahu tentang latar belakang bakal
menantunya.
“Uncle…”
“Err…”
Tan Sri Hisyam berperang dengan perasaan sendiri. Kemahuannya atau kebahagiaan
Nea? Mana satu yang harus dia pilih?
“Think it carefully. Saya tak nak uncle menyesal bila keputusan dah di
buat. Saya bukan nak cakap besar tapi kalau uncle
pilih saya, saya janji kemewahan dan kebahagiaan dunia milik uncle dan Nea.”
“Macam
mana dengan kebahagiaan akhirat? Amir mampu janji?” terus Tan Sri Hisyam
bertanya. Baginya anak muda ini angkuh dengan harta yang dimiliki. Agaknya lupa
bahawa harta dunia adalah pinjaman Allah. Bila-bila masa saja nikmat itu akan
di tarik.
Amir
terdiam seketika. Ini soalan perangkap! Dan jawapannya mungkin boleh jadi sebab
dia di pilih atau sebaliknya. “Saya… saya tak janji. Tapi bila saya kata saya
akan berubah untuk jadi yang lebih baik, maknanya saya betul-betul akan
berubah.”
Tan
sri hisyam mengeluh perlahan. Izz atau Amir? Kedua-duanya layak untuk menjadi
menantunya. Di saat ini, dia harus menimbang segala baik dan buruk. Dia tahu mungkin
dia bukan papa yang terbaik untuk Nea. Jadi dia mahu Nea mendapat suami yang
terbaik agar anaknya itu akan bahagia dunia dan akhirat.
***
“Apa
semua ni uncle?” Tanya Shasha. Dia
tidak puas hati dengan semua yang telah menimpa dirinya. Ianya sungguh tidak
adil!
Tan
Sri Khalid menggaru kepala yang tidak gatal. Dia juga bingung. Shasha menerjahnya
dengan satu berita yang langsung tidak terjangkau dek akal fikirannya. “Uncle… uncle pun tak tahu apa-apa pasal hal ni.”
Shasha
mendengus keras. “Shasha tak sukalah! Depan Shasha, Izz kata dia benci dengan
nea. Tapi dekat belakang, rupanya sayang.”
“Izz
main-main agaknya kata dia bercinta dengan Nea.”
“Main-main
apanya uncle. Bukan Shasha je dengar
tau. Tapi Amir pun ada sekali.”
Tan
Sri Khalid diam. Kelakuan Izz dan Nea biasa-biasa saja di matanya. Tidak mesra
tapi tidak juga dingin. Entah bila pula mereka berdua itu bercinta.
“Janganlah
diam uncle. Tolonglah shasha,” ujar Shasha.
“Sekarang
ni uncle dah tak tahu sama ada perkahwinan Izz dengan Shasha akan berjalan ikut
perancangan atau tak,” kata Tan Sri Khalid. Salahnya kerana terburu-buru. Sepatutnya dia
siasat dahulu tentang siapa yang ada di dalam hati Izz. Bukan main redah saja.
Betul juga kata isterinya. Dia terlalu terpengaruh dengan Hisyam untuk dapatkan
menantu dan punya cucu. Sekarang, semuanya sudah jadi kacau. Tapi rasanya sahabatnya
itu juga sudah tahu tentang ini. Pasti perasaan mereka berdua sama saja sekarang.
Rasa bersalah!
Shasha
menjengilkan mata. “Jangan cakap dengan Shasha yang uncle nak batalkan
perkahwinan kami pula.”
“Kalau
ya macam mana?”
“Mana
boleh uncle. Shasha dah bagitahu mama
dengan papa yang uncle nak datang
merisik bila dia orang balik dari Belanda nanti. Kalau uncle batalkan, apa Shasha nak jawab dengan dia orang?”
“Tak
apa. Bukan salah Shasha, tapi uncle.Jadi
biar uncle yang cakap,” kata Tan Sri
Khalid.
“Uncle dah bagi harapan pada Shasha dan
sekarang uncle senang-senang nak tarik balik? No! Shasha tak kan biar uncle
buat macam tu,” ujar Shasha.
Tan Sri Khalid membetulkan posisi duduknya di atas
sofa. Mujur isterinya tiada di rumah. Kalau tidak, pasti Shasha akan menyerang
isterinya dengan air mata. Isterinya itu memang pantang dengan air mata. Cepat
tersentuh! “Shasha tak kesian dengan Nea dan Izz ke?”
Shasha
tergelak sinis. “Sebelum Shasha kesian dengan orang lain, lebih baik Shasha
kesiankan diri sendiri. Shasha ni dah macam orang teraniaya.”
“Okeylah
macam ni. Shasha balik dulu. Nanti kita bincang lagi lagi hal ni. Uncle nak solat ni,” ujar Tan Sri Khalid
beralasan. Walaupun ada lima belas minit lagi sebelum masuk waktu solat asar,
hanya itu alasan yang boleh dia fikirkan ketika ini. Keberadaan Shasha di
rumahnya membuat kepalanya sakit.
“Yalah,
Shasha balik. Tapi ingat tau uncle,
Shasha yang paling layak untuk Izz. Bukan perempuan tu.” Shasha sempat berpesan
sebelum berdiri dan menuju ke pintu utama.
Tan
Sri Khalid hanya memerhati langkah Shasha sehingga hilang dari pandangan matanya.
Setelah itu, telefon bimbitnya di capai dan dia segera mendail nombor Tan Sri Hisyam.
Tidak lama, panggilannya bersambut. “Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.
Rasanya aku tahu kau nak cakap pasal apa,” jawab Tan Sri Hisyam di hujung
talian.
“Yalah.
Betullah tu. Shasha baru je balik lepas bagitahu aku cerita yang mengejutkan ni.”
Tan
Sri Hisyam tergelak. “Amir pula bagitahu aku semalam. Cuma aku tak tahu macam
mana nak bagitahu kau. Tengok-tengok, kau
dah call dulu.
“Rasa
macam aku dah salah buat keputusanlah,” adu Tan Sri Khalid.
“Bukan
aku tapi kita,” balas Tan Sri Hisyam.
“Jadi
apa keputusan kau?”
“Aku…
tahu kita kawan dah lama. Sejak dari zaman bujang lagi.” Tan Sri Hisyam
berhenti bercakap dan menyambungnya tidak lama kemudian. “Tapi itu tak bermakna
yang aku nak berbesan dengan kau.”
Tan
Sri Khalid ketawa. Jawapan itu memang nampak seperti Tan Sri Hisyam. “Aku tahu
dan aku tak salahkan kau. Lagipun kita tak dengar dari mulut tuan punya badan
lagi. Jadi mana boleh kita buat keputusan sekarang.”
“Kau
pula nak ke Nea jadi menantu kau?” Tanya Tan Sri Hisyam.
“Aku
tak kisah. Tapi bila mengenangkan Borhan, rasanya aku tak boleh abaikan Shasha.
Kau tahulah Borhan kalau dah naik hantu, tak boleh nak di kawal. Aku ni
silap-silap boleh kena saman malu.”
Tan
Sri Hisyam mengiyakan. Siapa yang tidak kenal dengan sikap Tan Sri Borhan.
Sikit-sikit saman. Sikit-sikit saman. Agaknya sudah berkepuk duit hasil kes
saman yang di menanginya di dalam bank.
“Tak
apalah. Nanti kita bincangkan lagi. Kau pun fikir-fikirkanlah. Tak rugi jadi
besan aku,” seloroh Tan Sri Khalid.
“Tapi
lagi rugi kalau aku tak berbesan dengan Tan Sri Ahmad,” balas Tan Sri Hisyam
yang akhirnya mencetuskan tawa mereka.
Setelah
berbalas ucapan salam, mereka sama-sama merenung siling. Cuba mencari jawapan
yang terbaik agar tidak salah membuat keputusan. Tidak lama, azan asar
berkumandang dari masjid berhampiran. Lalu keduanya bergegas untuk mengambil
air sembahyang dan menghadap Maha Pencipta. Mereka mahu bermunajat minta di
permudahkan segala urusan dunia dan juga akhirat.