“Kalau
bukan sebab mama, tak ingin aku nak ajak kau naik kereta aku ni,” kata Izz.
Mamanya yang beria-ia menyuruh dia menjemput Nea. Walaupun sudah di kata mereka
akan naik kereta yang berasingan, mamanya tidak peduli. Kata Puan Sri Fatimah,
dia perlu gentleman sikit. Huh!
Dengan Nea, tidak perlu gentleman.
Buang masa dan tenaga saja.
“Ingat
aku nak sangat ke naik kereta dengan kau?” Balas Nea sebal. Kalau tidak suka,
diam-diam sudahlah. Izz memang mulut kepoh!
Izz
mencebik. Sepanjang perjalanan dari banglo Tan Sri Hisyam sehinggalah hampir tiba ke destinasi yang di tuju, mereka diam saja. Yalah, bukannya mereka keluar
untuk berborak. Jauh sekali mahu bergurau senda. Mereka hanya mahu membeli
cincin tunang. Itupun dalam keadaan yang sangat-sangat terpaksa.
Setelah
sampai dan kereta di parkir di kawasan yang di sediakan, Izz terlebih dahulu
turun dari kereta. Dia melangkah tanpa menoleh lagi ke belakang. Nea hanya
mengikut. Lelaki itu masuk lif, dia ikut. Lelaki itu naik eskalator, dia juga
ikut. Setelah beberapa ketika, kelihatan Izz memasuki kedai Habib Jewel. Nea
pula masih membuntuti dari belakang. Baru dia melabuhkan punggung di sebelah
lelaki itu, Izz mengejutkannya dengan dengan sebaris ayat. "Aku dah pilihkan
untuk kau.”
Nea
mengetap bibir. Cepatnya pilih. Lalu cincin yang sudah di serahkan oleh pekerja
wanita di kedai itu, di ambil. Cincin belah rotan. Memang sesuai di jadikan
cincin tunang. Tapi masalahnya dia tak berkenan. Ringkas sangat! “Tak cantik.”
“Eh
kau ni. Jangan nak demand sangat.
Ingat sikit, cincin ni aku yang bayar tau.”
“Kau
yang bayar tapi aku yang pakai. Nanti kalau orang kata cincin tunang aku tak
cantik,malulah aku.”
Izz
tersenyum sinis. “Bukan salah cincin. Salah jari kau. Jari kau tu tak cantik.”
“Cakap
je lah apa-apa. Yang penting, aku tak nak pakai cincin yang kau pilih tu,” kata
Nea.
“Aku
tak bayar kalau kau pilih yang lain,”ugut Izz.
“Aku
bayar. Macamlah aku tak ada duit.”
Izz
mengetap bibir. “Jangan nak malukan aku. Bayar sendiri konon? Mana cincin yang
kau nak? Aku bayar. Yang paling mahal kat kedai ni pun aku sanggup bayar.”
Nea
ketawa. “Betul ni? Jangan menyesal dah lah.” Setelah itu, laju matanya mencari
cincin yang berkenan di hati. Hampir dua puluh minit berlalu, akhirnya dia
memilih sebentuk cincin emas putih dengan bentuk round cut. Harganya tidak
mahal dan tidak murah. Sedang-sedang saja. Sama seperti rupa cincin itu yang
sedang-sedang cantik. “Aku nak yang ni.”
“Ni?”
Pantas Izz merampas cincin itu dari Nea sebelum di belek-beleknya. “Macam ni
yang kau suka?”
“Aku
yang pakai. Jadi suka hati akulah nak yang macam mana. Jadi, apa lagi?
Bayarlah.”
“Yang
paling mahal tak ada ke?”
“Kalau
encik nak yang paling mahal, saya boleh tunjukkan,” kata pekerja wanita yang
sejak tadi melayani Nea dan Izz. Walaupun pelik dengan perangai pasangan di
hadapannya ini, dia tetap bersangka baik. Mungkin mereka gaduh-gaduh manja.
“Eh
tak apalah. Yang ni pun dah okey,” balas Izz.
Setelah
selesai urusan pembelian, Izz terus berjalan di hadapan. Nea pelik. Si tenuk ni
tak nak balik ke? “Kau nak pergi mana?”
“Makan.
Kenapa?”
“Tapi
aku nak balik,” kata Nea.
“Baliklah,”
balas Izz lalu terus melangkah tanpa menghiraukan Nea.
Nea
bercekak pinggang. Nanti kalau dia balik naik teksi, papanya pasti akan menyoal
yang macam-macam. Dia malas mahu bertekak dengan papa. Sudahnya, langkah Izz
yang semakin jauh di kejar.
“Kata nak balik?” Sindir Izz apabila
Nea menarik kerusi di hadapannya. Mereka kini sudah berada di restoran Secret Recipe.
“Malas
nak bazir duit bayar tambang teksi.”
“Kalau
kau pujuk uncle Hisyam supaya
batalkan pertunangan kita ni, tak adalah kau kena keluar dengan aku. Semua ni
salah kau.”
Nea
mencerlungkan mata. “Sampai bila kau nak salahkan aku ni?”
“Sampai
kita tak jadi kahwin.”
“Kau
pula, kenapa tak pujuk uncle khalid?
Cakap orang lebih-lebih. Dia sendiri, tak ada hasil.”
Izz
mendengus. “Ingat senang ke nak pujuk?”
“Samalah
macam aku. Ingat senang nak pujuk papa? Lain kali sebelum mengata tu, cermin
diri sendiri dulu.”
“Tak
payah nak sindir-sindir. Macam ni lah, aku rasa kita dah tak sempat nak pujuk
dia orang. So, kita kena fikir cara lain.”
“Maksud
kau?”
“Lusa
kita dah nak tunang. Jadi memang dah tak sempat. Dalam masa dua hari rasanya tak
ada apa yang kita boleh buat. Semua orang dah tahu, barang-barang pun dah beli.
Jadi dah terang-teranglah yang parents
kita tak kan setuju kalau kita minta tangguh. Jadi sekarang ni, kita tunang
je,” kata Izz.
Nea
tersentak. “Kau nak tunang ke? Jangan kata kau dah ubah fikiran pula?”
“Jangan
nak perasan. Aku bukan nak sangat tunang dengan kau. Tapi aku ada rancangan
yang lebih baik. Papa aku cakap kita tunang sebulan. So, kita akan ada lebih banyak masa untuk plan macam mana nak batalkan perkahwinan
kita ni. Kalau kita tak boleh pujuk, kita guna cara lain.”
“Okey
juga,” balas Nea. Tapi rasanya dia tidak berani lagi untuk memujuk Tan Sri Hisyam.
Minta tangguh kahwin pun sudah mengalir air matanya. Apa lagi kalau mahu minta
batalkan perkahwinan. Ngeri! “Tapi…”
“Tapi
apa? Jangan kata yang kau dah give up.
Ke kau dah jatuh cinta dengan aku?”
Nea
menjuihkan bibir. “Jangan perasanlah tenuk! Aku tak kisah kau nak buat apa pun
untuk batalkan perkahwinan kita nanti tapi aku tak nak pujuk papa.”
Izz
mengerutkan dahi. “kenapa pula? Susahlah macam tu.”
“Kau
tak kenal papa aku.”
“Memanglah
aku tak kenal sebab tu papa kau bukan papa aku.”
“Stop it Izz. Sakit hati bercakap dengan
kau ni.”
Izz
ketawa. “Kau ni Nea, janganlah marah-marah. Nanti cepat tua. Tak ada pula yang
nak dengan kau nanti.”
“Sebab
kau tu menyakitkan hati. Jadi wajiblah aku marah-marah. Tak kan nak suka pula?”
“Tapi
kan Nea…” Seketika Izz merenung wajah Nea. Di amatinya satu-satu bahagian wajah
Nea. Bibir, hidung dan berakhir di mata. Kali pertama merenung wajah Nea dengan bersungguh-sungguh menerbitkan satu perasaan asing dalam dirinya. Tapi rasa itu tidak di pedulikan. Bukannya
apa-apa pun. Tak penting! Bidas hatinya.
Renungan
mata dari Izz itu membuat Nea tidak selesa. Kenapa pula dia ni? “Kenapa tenung
aku macam tu?”
“Macam
mana kalau satu hari nanti, aku jatuh cinta dengan kau? Kau cinta aku balik
tak?”
“Hah??”
Nea membulatkan matanya. Biar betul Izz tanya soalan macam tu? Gila ke apa?
Namun
tidak lama, Izz ketawa kuat. Kelihatan bergegar-gegar badannya. “Kau percaya
ke? Tolonglah Nea, benda tu lah yang paling last
akan terjadi dalam hidup aku. Atau mungkin juga benda tu tak kan pernah terjadi
langsung. Aku mesti dah gila kalau jatuh cinta dengan kau.”
Nea
menjeling geram. Tapi dalam hati, dia sedikit terasa. Teruk sangat ke kalau
jatuh cinta dengannya? Ah! Si tenuk ini memang tidak tahu menghargai wanita.
Siapalah yang suka spesies lelaki seperti Izz Anaqi ini? Tiada. Eh, adalah.
Shasha!
“Oleh
sebab kau dah berjaya buat aku ketawa terbahak-bahak, aku belanja kau makan. Lain
kali, kalau kau nak aku belanja kau, buatlah aku gelak lagi,” ujar Izz dengan
sisa tawa yang masih kedengaran.
“Ha,ha,ha.
Kelakar sangat!” Balas Nea geram. Memang dasar tenuk!