Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,846
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Ceh… Lyn meraba-raba kepalanya. Macam mana pula dia boleh lupa? Sepatutnya headphone tu dia tinggalkan sahaja di dalam kereta. Headphone berbulu berwarna merah jambu terang itu tidak sepatutnya dibawa untuk membeli ikan! Huh… masak dia kali ni. Hmm mana nak letak muka ni? Mahu ditanggalkan headphone ni, dia hanya membawa clutch yang hanya muat-muat Samsung S3, kad kredit dan beberapa not kertas.

Lyn cuba memaniskan wajah. Terasa mukanya sudah 4 inci tebalnya. Tapi… bukan dia seorang yang memakai headphone sebegitu. Tengok, artis luar negara pun pakai fon kepala bersaiz sebesar penumbuk yang berbulu dan berwarna terang seperti itu. And mine is shocking pink. So what? Hello… dia orang tu artis. Kau siapa? 

Lyn cuba berlagak biasa. Dia menolak troli ke arah kaunter untuk membuat pembayaran untuk semua barang yang dibelinya. Dia memang suka memasak. Sebab itu juga dia suka ke pasaraya membeli belah barang dapur. Tetapi apa balanya, kebelakangan ini selalu sahaja dia ditimpa musibah. Dua minggu lepas tak semena kasut Crocsnya terpelanting di atas tangga bergerak. Ketika itu dia sedang menyesuaikan kedudukan kasut di kaki kirinya. Tiba-tiba kasut tersebut tercabut dari kaki gebunya dan melayang ke udara. Nasib baik pakcik yang berada di atas tangga bergerak itu sempat mengelak, jika tidak, pasti kasut getah tersebut akan mendarat tepat di atas mukanya.

Dua bulan sebelum itu dia tersedak ketika mencuba mi segera yang sedang dipromosi. Sudahlah di sebelahnya ada seorang lelaki yang turut sama ingin mencuba mi segera itu. Lelaki tersebut sedikit terkejut apabila dia tiba-tiba batuk-batuk. Malu bukan kepalang!Perkara yang betul-betul dia tidak sangka. Dia bukannya seorang yang clumsy. Tapi…

Satu-satunya kenangan terindah dan paling manis sewaktu ke hypermarket empat bulan lepas ialah apabila dia terjumpa tanpa sengaja lelaki yang mencuri hati wanitanya. Kejadian di rak makanan dalam tin itu titik tolak permulaan satu kisah. Empat bulan lalu, di tengah-tengah kesibukan orang ramai yang sedang membeli-belah, Lyn terpandang seseorang yang sedang memilih barang di satu rak berdekatan dengan mulut terkumat kamit. Tertarik dengan penampilan lelaki itu, dia mencuri dengar.

“Tuna in olive oil...tuna in oil...tuna in brine… yang dalam air pun ada….” kata lelaki berkemeja jalur biru perlahan namun begitu jelas di pendengarannya. Lyn menoleh sekilas. Si dia sedang pening memilih tuna di dalam tin. Dengan pelbagai jenama dan jenis ikan tuna, lelaki itu kelihatan ragu-ragu.

‘Boleh tahan mamat ni.’ Lyn tersenyum sedikit.

Sederhana tinggi. Berkulit sawo matang tetapi kelihatan begitu kemas dan bergaya. Rupa… boleh tahan. Tidak terlalu kacak dan tidak hodoh. Tidak malu dibawa berjalan-jalanlah. Sedap mata memandang. Lyn ketawa kecil dalam hati. Dia menoleh ke arah lelaki itu sekali lagi, ingin mencuri pandang.

Tiba-tiba lelaki tersebut berkata sesuatu kepadanya.

Lyn terkejut bukan kepalang. Astagfirullahal azim. Nasib baik dia tiada penyakit lemah jantung. Jika tidak mahu pengsan dia di situ.

“Yang mana satu yang sedap ni? Banyak sangat nak pilih…” tanya lelaki itu. Di tangannya ada dua tin tuna.

Dia cakap dengan aku ke? Terasa tubuhnya.

“Sorry miss… I nak beli ni, tapi tak tahu pula yang mana yang sedap,” kata lelaki itu lagi. Dia tersengih.

‘Memang dia sedang bercakap dengan aku!’ Lyn terasa badannya seperti melayang sekejap. Lelaki stylo dengan rambut pendek dan tipis ala Taylor Lautner yang disikat rapi itu sedang bercakap dengannya! Lyn tersengih, tapi dia dapat mengawalnya. Sengihan ditukar kepada satu senyuman dalam seberapa segera.

“Oh… ini…” kata Lyn sambil memerhatikan tin-tin tuna di tangan jejaka tersebut. “Saya lebih suka jenama ni.…” Lyn seraya mengunjuk kepada lelaki yang tidak diketahui nama itu sebuah tin tuna yang berwarna hijau dan bertulisan putih dengan latar merah.

“Ayam Brand…” kata lelaki itu perlahan.

Lyn hanya memerhati tingkah laku lelaki tersebut. Dia meletakkan kembali tin-tin tuna di tangannya dan mengambil tin yang lain. “Yang mana yang best ya?” tanya lelaki itu lagi. Orangnya memang menarik sekali.

“Hmm… sama aje. Cuma you ada beberapa pilihan. Sama ada you nak tuna yang plain macam ni, atau pun kalau nak lebih senang you boleh beli tuna yang sudah dicampur mayonaise atau cili seperti ini,” terang Lyn berhati-hati. Jangan pula dia tersasul. Dia menyimpan senyuman dalam hati.

“I cuba yang inilah. I suka pedas,” jelas lelaki itu tanpa dipinta. Dia tersenyum.

Lyn membalas senyuman lelaki itu. Manis dan menawan sekali senyumannya. Hati wanitanya berlagu.

Tiba-tiba lelaki itu memperkenalkan dirinya. “I, Azman…” Tangan kanannya dihulur kepada Lyn yang masih di awangan.

Mahu sahaja tangan sasa itu disalami, tetapi niatnya terhenti. Tangan lelaki itu dibiarkan tidak bersambut.

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.