Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,386
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Nadia masih lagi berasa tidak bermaya walaupun sudah berehat selama dua hari sepanjang hujung minggu. Semangatnya untuk bekerja juga berada di tahap yang paling rendah. Untuk menaikkan semangat, dia sengaja mengenakan kemeja yang berwarna merah hati polos yang dipadankan dengan seluar panjang berwarna hitam serta tudung merah bercorak bunga-bunga besar yang berwarna merah dan putih. Kakinya diserlahkan dengan sepasang kasut tumit tinggi merah yang berukuran tiga setengah inci. Sudah agak lama dia mengidamkan kasut tumit tinggi yang lebih dikenali sebagai ‘pump’ itu, namun hanya dua minggu lepas dia berjaya mendapatkannya.

“Wow, merahnya you hari ini...” Carol menyapa.

Nadia tidak memberi sebarang jawapan kerana tidak ada jawapan yang diperlukan. Dia hanya mengukir senyum.

“Ada hot date ke?” usik Carol.

“Carol, bila I pakai baju berwarna biru, you kata I nampak biru… mestilah I nampak merah dengan kemeja merah hati ni. Apalah you ni.” Dia sudah arif dengan perangai Carol yang akan memberi komen apa sahaja yang dipakainya. Malah, dia terlalu suka memuji.

Nadia hanya tersengih. Tentunya dia kelihatan begitu ‘merah’ kerana kebanyakan pekerja di situ mengenakan sut yang berwarna gelap ataupun kemeja yang kurang menonjol warnanya.

Carol turut tersengih.

“Bagaimana dengan hujung minggu, Carol?” Nadia berbasa-basi. Soalan yang tidak jemu ditanya saban minggu. Jika bukan Carol yang bertanya, giliran dia pula untuk berbuat begitu. Nadia memasang komputernya. Dia harus menunggu sebentar sebelum komputernya ‘panas.’

“Cuti seperti biasa. Tiada apa-apa yang istimewa berlaku, tapi seronok dapat berehat,” kata Carol yang sudah mempunyai dua orang anak yang sedang menginjak dewasa. “You pula macam mana?”

“I pun biasa-biasa sahaja. Tiada apa yang istimewa pun...” kata Nadia sambil mencebik.

Carol tersengih.

“Kenapa lembap sangat sistem hari ini?” Pertanyaan itu ditujukan kepada Carol kerana dia merasakan komputernya mengambil masa yang agak lama untuk dibuka pagi itu.

“Memang sistem lembap pun hari ini. Tak tahu apa pula masalahnya!” omel Carol.

“I nak pergi buat air.” Nadia berkata kepada Carol dan berlalu meninggalkan mejanya.

“Hai, Nadia,” sapa Yanti yang juga berada di pantri.

“Oh, hai. Awal kau hari ini?”

“Hari ini suami aku hantar aku awal dari biasa… kebetulan dia ada mesyuarat pagi ni dekat-dekat sini.”

“Patutlah…”

“Nadia, kau makan tengah hari di mana hari ni?”

“Eh, sarapan pun belum kau dah tanya aku makan tengah hari?”

Yanti tergelak sakan. “Aku terlupa nak beritahu kau semalam. Hari ini, kita orang rancang nak makan di kedai yang baru dibuka di sebelah. Ingat nak ajak kau sekali,” kata Yanti.

“Rasanya tak boleh, Yanti. Aku nak jumpa kawan.” Hari ini dia sudah berjanji akan makan tengah hari dengan Jamil. Sudah beberapa kali Jamil mengajaknya. Sejak dia pulang dari percutian di Eropah mereka belum berjumpa.

“Kau tak boleh jumpa kawan kau tu lain kali?”

“Aku dah lama tak jumpa kawan aku ni. Lain kali ajelah aku sertai kau orang semua.” Jamil yang gemar mengumpul magnet peti sejuk itu berpesan supaya dia mendapatkan beberapa ketul magnet peti sejuk untuknya dari beberapa negara berlainan. Dia pasti gembira untuk menambah koleksi magnet peti sejuknya.

Okay. We fix a date later. Dah lama kita tak makan sama-sama,” kata Yanti.

“Nak buat macam mana Yanti, masing-masing sibuk…”

“Itulah, kerja satu ofis pun susah nak makan sama-sama, apa lagi kalau kerja di tempat berlainan,” kata Yanti yang sedang mencuci mug di sinki.

“Betul tu. Lepas balik cuti panjang, lagi banyak kerja yang nak kena buat. It’s already  up to my neck!”

Yanti ketawa besar mendengar sungutan Nadia.

Lima minit sebelum sampai di pekarangan ofis Nadia, Jamil menelefon memintanya turun dan menunggu di luar lobi. Sebaik Nadia sampai di bawah, tidak lama kemudian sebuah BMW berwarna putih berhenti betul-betul di hadapannya. Pintu dibuka lalu Nadia terus meloloskan diri di tempat duduk di sebelah pemandu. Jamil sempat memberikan satu senyuman sebelum memandu meninggalkan pekarangan pejabat.

“Kita nak makan di mana ni?” tanya Nadia sebaik sahaja punggungnya mencecah tempat duduk di sebelah Jamil.

“I akan bawa you makan di sebuah restoran yang baru dua bulan dibuka. I pernah ke sana beberapa kali. You pasti suka.”

“Restoran mana?”

“Tunggu dan lihat,” kata Jamil sambil tersenyum melirik. Dia enggan memberitahu.

Tidak lama kemudian, Jamil memberhentikan keretanya di hadapan sebuah bangunan lama yang telah diubah suai menjadi sebuah restoran. Mereka disapa oleh seorang wanita Melayu yang berpakaian tradisional Cina di pintu masuk. Mereka diiring masuk oleh seorang pelayan restoran ke satu meja yang menempatkan dua buah kerusi dan dipersilakan duduk. Dari luar, restoran itu kelihatan biasa sahaja, namun apabila melangkah ke dalam, dia terpesona.

“Cantik...” puji Nadia. Keseluruhan restoran itu dihiasi dekorasi yang berasaskan budaya Cina. Dari lantai sehingga ke siling, perabot semuanya ada elemen negara itu. Walaupun Nadia tidak berpengetahuan luas mengenai dekorasi yang dipilih, namun dia tahu tuan punya restoran meletakkan buah fikiran yang terbaik untuk menghasilkan satu suasana yang akan membawa pengunjung restoran itu ke suatu tempat yang lain.

Waktu makan masih lagi awal, namun sseparuh dari ruang restoran itu sudah dipenuhi pelanggan.

“Boleh tahan ramai orang datang sini, ya?”

“Memang ramai. Sejak dibuka, restoran ni selalu penuh pada waktu makan tengah hari,” kata Jamil.

“Kebanyakan pelanggan adalah pekerja ofis.” Nadia membuat telahan, berdasarkan pakaian masing-masing. Terdapat juga beberapa pelanggan yang kelihatan serius berdiskusi manakala ada yang berbual sambil bergelak ketawa.

“Tempat baru, ramailah orang yang datang untuk mencuba. Lagipun suasana di sini memang damai, sesuai untuk suasana santai ataupun untuk mengadakan sesuatu perbincangan.” Jamil memberi pendapatnya.

“Makanan pun nampak sedap,” kata Nadia sambil membetulkan duduknya.

Jamil mengiakan. “Makanan di sini memang sedap. Sebab itu I bawa you ke sini.”

Kemudian, seorang pelayan datang sambil membawa menu. Buku menu yang berwarna merah gelap dan dihiasihiasan lukisan bunga sakura di tepi itu amat menarik. Nadia membelek-belek helaian menu. Jamil juga berbuat begitu. Juadah yang terdapat di dalam menu itu kelihatan sedap dan memancingnya untuk mencuba, namun ada sesetengah menu yang dia tidak dapat mengagak apa rasanya.

“Mil, apa kata you cadangkan apa yang sedap kat sini.”

“I sudah cuba coconut prawn, ling sim steam chicken, buttered prawn dan sichuan cold spicy chicken. Semuanya sedap. Ataupun kalau you nak sesuatu yang mencabar sedikit, you boleh cuba pekin roast duck.”

Nadia membelek-belek lagi buku menu itu. “Ada menu ikan yang sedap?”

“You boleh cuba Shui Zhu Yu ataupun sichuan sweet and sour crispy fish ataupun ginseng steamed fish.”

“Apa kata kita order satu masakan sayur yang paling sedap di sini?” tanya Jamil sambil dia memberitahu pelayan restoran apa yang mereka mahu.

“Encik mahu sebarang pencuci mulut?” tanya pelayan muda itu.

Jamil mencadangkan donkey rolling on the ground sebagai pencuci mulut. Dia pasti Nadia akan suka pilihannya.

“Ada apa-apa lagi yang encik mahu pesan?”

“Itu saja, terima kasih.”

“Terima kasih,” ucap pelayan itu dan berlalu pergi dengan penuh hormat.

Pelanggan restoran semakin ramai. Kelihatan satu barisan pengunjung di luar restoran sedang menunggu untuk dipelawa masuk. Jamil memulakan perbualan.

“Hari Sabtu minggu hadapan firma I ada buat family day. I nak ajak you join sekali.”

Family day? Buat kat mana?” tanya Nadia.

“Port Dickson.”

“Boleh ke orang luar join? I seganlah… nanti apa orang kata?”

“Apa salahnya?Family day ni untuk pekerja seisi keluarga dan I boleh ajak seseorang menemani. You kan kawan I?”

Nadia berkira-kira di dalam hati. “Apa acara yang akan diadakan di sana?”

“Hari pertama ada acara sukaneka dan makan malam. Hari seterusnya adalah acara bebas.”

Nadia berfikir sejenak. “Macam mana dengan bilik?”

“Ahli jawatankuasa akan aturkan bilik untuk semua orang. You jangan risau, mereka akan cari teman sebilik untuk you dengan mana-mana kakitangan yang masih bujang.”

“Nantilah I fikirkan ya?”

“Kenapa? You dah ada rancangan ke?”

“Tak juga… nantilah I beritahu sama ada I nak ikut atau tak.”

“I nak tahu jawapan hari Isnin minggu depan boleh? Sebab komiti nak senarai nama sebelum hari Selasa.”

“Tentu sekali boleh.”

Setelah bercerita panjang mengenai percutiannya, Nadia mengalih perbualan ke topik lain. “You macam mana sekarang? Sibuk lagi ke?” tanya Nadia.

“Lebih sibuk berbanding tahun lepas. Ekonomi pun dah mula pick up. Alhamdulillah... kami ada beberapa pelanggan yang setia. Selama lima tahun kebelakangan ini, pendapatan firma guaman kami semakin bertambah.” Jamil mengambil napkin berwarna putih dan mengelap mulutnya lalu meletakkan napkin itu ke atas meja.

“Oh ya, I nak beritahu you, firma kami telah dilantik menjadi panel untuk salah satu bank nombor satu di Malaysia ini!” kata Jamil bangga. Walaupun firma guaman itu tidak begitu besar, namun dengan kualiti kerja yang bagus, mereka berjaya mempertahankan pelanggan lama dan berjaya mendapatkan pelanggan baru.

“Tahniah, Mil!”

“You pula macam mana?” soal Jamil pula.

“I macam biasa. Kalau tak sibuk, itu bukan bekerja di bank pelaburan namanya.” Kedua-duanya ketawa, sudah arif dengan keadaan itu.

“You masih pulang lewat sekarang ni?”

Nadia hanya mengangguk. “You pernah rasa kuih ini, Mil?”

“Belum pernah.”

“Pelik nama kuih ni…” Nadia tertanya-tanya jika ia mempunyai rasa yang pelik juga. Dari luar pencuci mulut itu kelihatan seperti kuih batang buruk yang besar. Dia merasa sedikit hidangan pencuci mulut yang diberi nama yang pelik, ‘Donkey Rolling on the Ground’. Nadia memerhati pencuci mulut itu dan cuba membayangkan seekor keldai yang bergolek di atas tanah berdebu.

“Sedap ke?” tanya Jamil, memerhati Nadia yang mengunyah pencuci mulut itu dengan berhati-hati.

“Sedap. Cuba you rasa. Dia macam kuih atau kek yang dibuat daripada pes kacang merah yang digulung dengan tepung beras pulut. Kerana teksturnya yang melekit, I rasa bahan utama bagi lapisan pencuci mulut ini ialah tepung beras pulut,” terang Nadia umpama pengkritik makanan.

Jamil tersengih lalu mencubanya. “Memang sedap.”

“Kalau boleh you jangan balik lambat sangat. Semalam I ada terbaca di surat khabar tentang kejadian rompak dan bunuh di sebuah kompleks membeli-belah. Kalau boleh bila you balik kerja, terus pulang ke rumah. Kalau nak ke mana-mana, minta kawan yang temankan.” Panjang pesanan Jamil.

Nadia terharu dengan keprihatinan Jamil. “Insya-ALLAH I selamat. You jangan risau. I selalu berhati-hati.”

“Bukan apa, I cuma risau.”

“Terima kasih, Mil. I pun risau juga… macam-macam perkara yang berlaku sekarang ni.”

Makan sambil berborak, akhirnya habis juga makanan yang dipesan.Dia memang amat berpuas hati makan di situ. Jika ada kesempatan, dia akan ke situ lagi.

Nadia melihat jam di tangan. “Hampir pukul dua. I rasa lebih baik kita beredar sekarang.”

Jamil memanggil pelayan dan meminta bil. Selepas menjelaskan bil, Jamil menghantar Nadia pulang ke ofis sebelum dia pulang ke pejabatnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.