Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,599
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAb 27

MULUT Lyn Jasmine terkumat-kamit. Setelah selesai bercakap di telefon, dia berkata perlahan, seakan-akan bercakap dengan diri sendiri. Gadis itu kembali ke meja makan dan duduk menghadap nasi yang ditinggalkan tadi.

“Buat selera orang terbantut aje.”

“Siapa tu?” tanya Mutia yang kehairanan dengan tingkah laku temannya. Jika tidak penting, masakan Lyn Jasmine akan menjawab panggilan tersebut.

“Bos aku,” jawab Lyn Jasmine dengan muka bosan.

“Kenapa dengan dia? Ada hal mustahak ke?”

“Hmm… ada hal urgent untuk esok. Dia nak pesan sesuatu.”

Teks dalam Bahasa Inggeris itu berbunyi begini :

Please prepare these…

Summary of project details

Summary of financial performance

I need it for 10 o’clock meeting tomorrow.

Itu kandungan pesanan daripada Shen yang diterima melalui pesanan aplikasi WhatsApp. Sebelum itu Shen menelefon memberitahunya bahawa dia ada menghantar e-mel penting kepadanya. Dia diminta memeriksa kandungan e-mel untuk mesyuarat pagi esok kerana Lyn Jasmine dikehendaki hadir ke mesyuarat tersebut.

Sekarang dia diarahkan untuk membuat ringkasan mengenai projek tersebut dan juga ringkasan status kewangan syarikat pula. Dia melihat jam di telefon. Hampir pukul 9.00 malam. Pukul berapa dia akan tidur malam ini?

“Kenapa serius sangat ni?” tanya Nadia kehairanan.

Baru sekejap tadi Lyn Jasmine sungguh teruja dengan rancangannya untuk berdiet. Sekarang kawannya itu memandang skrin telefon dengan serius dan menaip sesuatu dengan cepat.

“Jap… aku nak balas mesej ni.”

“Mesej daripada siapa?”

“Bos aku.” Mendatar sahaja suara Lyn Jasmine. Langsung tidak teruja.

“Bos baru kau tu, Lyn?”

Lyn Jasmine hanya mengangguk.

“Macam mana dengan dia?”

“Macam mana? Sejak dia masuk situ, huru-hara jadual aku ni. Sibuk memanjang! Banyak perubahan yang dibuatnya.”ujar Lyn Jasmine perlahan.

“Eh, kau orang, aku ada hal nak buat ni.” Lyn Jasmine terus mengorak sila dan terburu-buru masuk ke biliknya.

Hanya pandangan mata mengekori langkahnya.

****

KEESOKAN harinya, di pejabat.

Benci betul! Lyn Jasmine mula tidak suka dengan cara kerja Shen. Pagi itu, dia bersengkang mata menahan rasa mengantuk. Nasib baik dia tidak terlelap ketika memandu tadi. Dan yang paling dia tidak suka apabila sesampai sahaja dia di pejabat pagi itu…

Morning!” tegur Shen mesra, tidak seperti selalu. Semestinya dia sudah mimpi indah-indah malam tadi sementara dirinya bertungkus-lumus menyiapkan apa yang patut untuk mesyuarat pagi itu.

Morning.” Lyn Jasmine membalas ucapan selamat daripada Shen dengan satu senyuman terpaksa. Dia baru sahaja mahu menarik nafas pagi itu, Shen sudah tercegat di hadapannya.

Hari ini lelaki itu memakai suit kelabu muda yang dipadankan dengan tali leher kelabu yang sedondon. Potongan suit terletak cantik di badannya yang tinggi dan tegap. Rambut yang hitam bersinar disisir kemas. Kulit wajahnya yang cerah kelihatan bersih dan sihat. Dia tampak sungguh hebat.

Tentu sekali rupanya kini 360 darjah bertentangan dengan rupa paras Shen. Dengan tidur yang tidak cukup dan wajah yang tidak disolek, dia tidak dapat bayangkan betapa buruk dan tidak bermaya wajahnya pagi itu.

Konsentrasinya berada 100% di atas figura kacak dan bergaya di hadapannya menyebabkan dia terlupa bahawa di sebelah Shen berdiri seorang wanita muda yang cantik. Gaya seorang eksekutif. Wanita yang berambut panjang berwarna coklat keperangan itu memakai suit skirt pendek berwarna coklat tua. Rambutnya panjang lurus dan berkilat-kilat seperti baru keluar dari salon.

Lyn Jasmine cuba membuat analisa; mungkin dia lebih sesuai menjadi model Rejoice daripada menjadi staf di situ. Gadis itu nampak begitu muda, kemungkinan besar dia baru sahaja menamatkan pengajian di universiti. Dia cuba meneka.

“Mari I perkenalkan. Ini, Hana,” kata Shen seraya memandang Hana. “Dia staf baru kita dan akan mula bekerja hari ini. I tinggalkan dia dengan you.”

Erk! Kenapa dia? Bukankah sepatutnya Ana yang uruskan staf baru? Sediakan tempat dan uruskan semua perkara yang berkaitan. Selepas itu memperkenalkan Hana kepada semua pekerja di situ? Tidak cukupkah tanggungjawabnya di situ sehingga perkara remeh-temeh pun dia harus lakukan?

Geramnya dengan lelaki itu, usah cakap!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.