Home Novel Cinta CK (HALF GIRLFRIEND)
CK (HALF GIRLFRIEND)
Zura Rahman
23/7/2015 08:56:45
47,182
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 28

Kerteh ditinggalkan dalam keadaan senyap. Hadana masih berasa segan dengan lelaki itu apabila mengingati peristiwa semalam. Ah! Dia tidak sepatutnya mengikut lelaki itu ke sini. CK mungkin alergik dengan perempuan. Dia mungkin bencikan perkahwinan. Namun, dia juga seorang lelaki. Jika benar dia lelaki sempurna seperti yang dikatakannya… memang Hadana harus lebih berhati-hati selepas ini.


Selama ini, antara dia dan lelaki itu, perkataan malu dan segan boleh dikatakan tiada. Lelaki itu, tidak seperti lelaki lain yang buat Hadana mahu berhati-hati apabila berhadapan dengannya. Dia tidak seperti Naufal, yang buat Hadana sentiasa menjaga adap sopan dan tingkah laku. Tidak juga seperti lelaki-lelaki lain yang menaruh minat kepadanya. Mungkin disebabkan perangai tidak kisah CK itu, Hadana selalu berasa selesa dengannya. Namun kejadian semalam buatnya sedikit resah.

Pertalian mereka berdua memang sedikit pelik.

‘A boy and a girl cannot be friends.’

Betulkah?

Mungkin juga disebabkan adanya Naufal di sisi yang sentiasa membayangi kehadiran lelaki itu. Naufal punya semua ciri-ciri yang seorang wanita inginkan. Atau mungkin juga CK sebenarnya sudah berubah. Ya! Sejak memasuki alam pekerjaan, kawannya itu memang telah banyak berubah. Cuma CK masih lagi bersahaja seperti dahulu.

“Hari ni, pergi mana?” CK bertanya selepas kereta meninggalkan perkarangan hotel.

“Pergi pantai.”

“Tak pergi mandi kat kolam?”

“Tak.”

Ada beberapa soalan lagi yang ditanya oleh lelaki itu. Sepatah yang ditanya CK, sepatah yang dijawabnya. Kadang-kadang dia hanya mengangguk sahaja apabila CK bercerita. Lama-kelamaan CK kebosanan.

“Kenapa senyap aje ni?”

“Tak ada apa-apa. Tak ada cerita.” Sebenarnya dia masih malu kerana dia tidak pasti apa yang berlaku semalam. Hadana benar-benar tidak selesa untuk berborak dengan CK seperti selalu. Untuk menentang mata lelaki itu, lebih lagi.

“Hmm… okey.”

Selang beberapa minit, CK bertanya. “Nak singgah beli keropok lekor tak?”

“Nak!” Hadana mula rasa teruja. Sekurang-kurangnya ia akan menjadi alasannya untuk menghindari lelaki itu.

Senyap lagi.

Mereka diam sehingga kereta berhenti di deretan kedai di tepi jalan. Terdapat banyak kedai yang menjual keropok lekor, keropok keping serta hasil lauk lain. Hampir kesemua kedai menjual barangan yang sama. 

Kedai yang mereka berhenti tadi ada menyediakan tempat untuk menjamu selera. Mereka memilih untuk singgah menikmati keropok lekor di situ. Setelah membeli beberapa jenis keropok untuk dibawa pulang, mereka duduk di bangku.

Hadana masih seperti tadi, tidak banyak bercakap. Dia berhenti menyuap apabila dirasakan mata CK sedang merenungnya. Kebelakangan ini CK acap kali merenungnya begitu. Dia buat Hadana berasa tidak tenteram. Dia pandang lelaki di hadapannya sekilas, kemudian kembali menikmati keropok lekor yang lembut dan enak. Kandungan ikannya banyak sekali. Hadana cuba berlagak bersahaja, seperti waktu-waktu dahulu.

“Kenapa kau diam?” CK bertanya tiba-tiba. Matanya asyik merenung wajah Hadana. Kedua lengannya bersilang di dada. Santai sahaja duduknya.

Hadana mengangkat bahu. “Taklah. Penat aje.”

“Kau segan kat aku pasal semalam ke?” Sepasang matanya masih belum dilepaskan dari muka Hadana. Wajah itu mula merona merah. Hadana mula nampak gelabah. Keropok di tangan tidak jadi disua ke mulut.

Hadana menggeleng. Dia cuba berlagak biasa. Dia ingin tahu apa yang berlaku tetapi dia malu untuk bertanya.

CK tersenyum sekerat. Matanya tajam merenung.

Menjengkelkan betul apabila CK mula senyum begitu. Kadang-kadang CK memang menjengkelkan. Bukan sahaja dengan kata-katanya, tetapi senyumannya juga.

“Aku tak buat apa-apa kat kau okey…”

“Kenapa? Kau ingat, aku buat apa?” tuturnya bersahaja. Keningnya sengaja dijongket. CK masih tersenyum dengan satu ekspresi di wajah yang Hadana tidak suka. Nakal!

Hadana menjeling ke arah CK. Jelingan maut!

“Kenapa kau tidur kat katil aku semalam?” tanya Hadana keras. Matanya tajam menerkam lelaki itu.

Sekali lagi CK tersenyum mengejek. “Siapa tidur kat katil siapa?”

Dahi licin Hadana berkerut apabila dia terpinga-pinga begitu. Hadana mudah kalut. Perubahan cuaca dalam dirinya serta merta. Dalam dia berhati-hati begitu, kadang-kadang dia tidak dapat menyembunyikan kekalutan yang berlingkar dalam dirinya.

CK masih tersenyum.

Kadang-kadang dia suka menyakat Hadana semata-mata untuk melihat ekspresi wajah itu. Sedikit melucukan. Hadana yang cantik dan ayu yang sentiasa menjaga adap sopan, apabila kalut begitu akan menggeletek hatinya.

Selalunya, apabila dia termalu, Hadana akan menutup mulutnya yang tersenyum dengan tangan atau apa-apa sahaja yang sempat dicapainya. Samada buku atau apa-apa sahaja objek yang berdekatan. Jika terlebih malu, keseluruhan wajahnya akan cuba ditutup. Di sebalik kulit kuling langsatnya, wajah Hadana akan merona merah.

“Kau dah lupa, ya?” tanya CK, memprovok memori Hadana. “Kau yang tidur kat katil aku.”

Hadana terpempan. Malu! Dia tidak dapat ingat dengan jelas apa yang mereka lakukan, tetapi seingatnya dia menonton filem bersama CK dan dia menumpang duduk di atas katilnya. Dia tertidur di situ kah?

Melihatkan Hadana termangu-mangu berfikir, CK menawarkan jawapan. “Kau tertidur kat katil aku. Aku angkat kau ke katil kau. Itu sahaja.”

CK mengangkatnya? Oh. My. God!Kenapa boleh jadi begitu? Tetapi itu tidak menjawab mengapa dia akhirnya terbangun di dalam dakapan lelaki itu pagi itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.