Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,592
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2


HUJUNG minggu, waktu yang selalu ditunggu-tunggu. Hanya pada hujung minggu dia dapat merehatkan badan dan minda. Tetapi hari ini, Nadia tidak bernasib baik. Setelah bertungkus lumus selama lima hari di pejabat, dia terpaksa membawa pulang kerja-kerja pejabat yang masih tidak surut, malah semakin bertambah kerana minggu hadapan dia akan mula bercuti panjang.

 

Lazimnya begitulah. Jika dia akan bercuti, minggu terakhir sebelum cuti bermula, dia bagaikan lipas kudung. Ada saja perkara penting yang harus diselesaikan. Jari-jemarinya ligat menari di atas papan kekunci komputer riba.

Semalam, sebaik sahaja dia selesai menyiapkan satu kertas cadangan, bosnya memberitahu bahawa dia harus segera mengkaji beberapa dokumen perjanjian yang akan ditandatangani minggu hadapan. ‘Ah, tidak boleh lihat orang senang!’ gerutu Nadia di dalam hati.

Tepat pukul 7.00 malam, dia menerima beberapa draf perjanjian daripada peguam yang menguruskan dokumentasi bagi pihak bank. Pagi ini, ada beberapa draf perjanjian yang masuk ke peti e-melnya. Niat di hati untuk bersenang-lenang terbantut. Semalam, Lyn sudah mengingatkannya untuk mengemas barang-barang yang perlu dibawa untuk trip backpacking ke Eropah minggu hadapan. Arghh! Sesak nafasnya memikirkan terlalu banyak perkara yang mesti dibuat dalam jangkamasa yang singkat.

“Kau dah kemas barang-barang kau atau belum?” tanya Lyn semalam sewaktu mereka berpapasan di ruang tamu.

“Belum. Tak sempat.”

“Hah! Belum? Kau buat apa sampai tak sempat nak mengemas?”

“Aku sibuk sangat, Lyn.” Masa seolah-olah memcemburui keinginannya untuk bercuti. Dia akan dilambakkan dengan pelbagai kerja, sama ada baru atau lama.

“Banyak sangat ke kerja yang kau kena selesaikan?” tanya Lyn lagi.

“Semalam, aku baru dapat satu kes baru. Super urgent lagi kata bos. Selalu macam tu... bila aku nak bercuti lama aje tiba-tiba ada saja perkara yang 'super urgent' akan melayang ke atas meja aku.” Nadia berkata dengan wajah kelat.

“Apa-apa pun, kau jangan lupa pula Nadia. Seminggu lagi kita akan bertolak.” Lyn mengingatkannya apabila melihat rakannya itu masih bertungkus lumus dengan kertas kerjanya.

“Kita orang dah siap kemas,” kata Lyn lagi. Kita orang ditujukan kepada dirinya, Mutia dan seorang rakan Mutia yang ingin turut serta dalam trip itu.

“Ya, aku tahu. Ahad nanti aku kemas barang aku,” kata Nadia, mengira secara mental beberapa hari yang tinggal untuknya mengemas. Itu pun dia sudah berterima kasih kepada Lyn yang mengambil alih tugas menyediakan bekalan makanan untuk mereka. Jika tidak, haru-biru hidupnya.

Nadia bangun menuju ke dapur, membiarkan komputer ribanya terpasang. Beberapa kepilan kertas yang terdiri daripada kertas cadangan yang diluluskan oleh pihak bank berserta surat tawaran bagi kemudahan pinjaman bank dan beberapa dokumen lain dibiarkan berselerakan di atas meja.

Dia ingin membancuh Nescafe. Selepas solat subuh tadi, Nadia sudah jerang air di dapur. Satu sudu Nescafe, dua sudu gula serta tiga sudu krimer Coffemate kegemarannya dimasukkan ke dalam sebuah kole. Kemudian air panas dituang. Bau harum Nescafe menerawang. Satu kole Nescafe yang sempurna mengikut seleranya sudah siap dibancuh. Hari ini, dia hanya akan makan roti yang disapu mentega dan ditabur sedikit gula sahaja untuk sarapan. Dia begitu malas untuk memasak atau turun membeli sarapan. Bukan tidak ada kedai yang menjual pelbagai sarapan di sepanjang jalan di kawasan berdekatan, tetapi dia mahu makan sesuatu yang cepat. Kerja masih menunggunya.

Nadia kembali ke bilik bersama sarapannya dan mula membaca draf dokumen yang tertera di skrin komputer. Sambil mengunyah roti, matanya tertancap di skrin komputer. Dia mahu siapkan semua komen yang perlu dibuat ke atas dokumen-dokumen hari ini, jadi esok dapatlah dia menyiapkan beg sandang yang masih belum terusik di tepi dinding.

Waktu berlalu tanpa disedari. Sudah hampir pukul sebelas. Perutnya mula berkokok minta diisi. Dia berkira-kira untuk turun mencari nasi campur. Dia keluar, menjenguk ke bilik Lyn. Dilihat temannya tiada di situ. Dia ke dapur. Lyn berada di situ, sedang sibuk mengupas bawang.

“Kau nak masak ke Lyn?”

“Ha’ah...”

“Nak masak apa?”

“Aku nak buat beriani kambing.”

Temannya itu lengkap berapron, gaya seorang chef. Nadia tersenyum kecil melihat Lyn yang tekun dengan kerjanya.

“Eh, bila kau beli barang-barang ni?” tanya Nadia sambil menunjuk ke arah sepeket hirisan kambing dan sekotak rempah beriani di atas kaunter dapur.

“Beras basmathi pun ada?” Nadia mengamati kotak rempah beriani yang tertulis rempah Beriani India Utara. Bunyinya sahaja sudah sedap! Adakah setanding dengan beriani di restoran India Utara yang pernah dia kunjungi di Kuala Lumpur?

“Minggu lepas lagi aku beli, tapi tak sempat buat. Minggu depan kita tak ada di rumah, aku nak habiskan kambing ni,” jawab Lyn panjang lebar. Tangannya ligat menghiris bawang yang sudah dikupas.

“Hmm... aku rancang tadi nak turun beli nasi campur. Ingat nak ajak kau sekali… tapi kalau kau dah masak, aku makan saja ya?” kata Nadia tersengih.

“Yalah Nadia. Takkan aku nak habiskan nasi ni sorang-sorang!”

Nadia ketawa. “Aku sayang kau!”

“Yalah tu… bila aku masak aje kau sayang aku!” kata Lyn seolah-olah merajuk. Bibirnya mencebik.

“Eh, aku selalu sayang kau… tapi aku ‘lagi’ sayang kau bila kau masak.” Nadia menekan perkataan ‘lagi’.

“Bila nak siap ni? Aku dah lapar sangat ni….” kata Nadia sambil memegang perutnya.

“Sabarlah… kalau nak cepat siap tolong aku perapkan kambing tu dengan rempah beriani.” Lyn memuncungkan mulut ke arah daging kambing.

Nadia menjirus hirisan kambing dengan air, kemudian ditoskan. Kotak rempah beriani dibuka. Seperti arahan Lyn, satu per tiga daripada rempah itu dilumur ke seluruh kambing yang sudah dipotong dan diketepikan.

Lyn mengambil beras basmathi lalu menyukat ke dalam periuk. Dia merendam beras. “Beras ni seelok-eloknya direndam selama satu jam, tetapi disebabkan sudah ada orang yang kebulur di sini, kita ambil jalan pintas. Kita rendam sekejap cukuplah,” kata Lyn seperti dalam rancangan memasak yang selalu ditontonnya di TV.

Nadia mengerling ke arah temannya yang berlagak seperti Chef Wan pula. Kemudian, Lyn memanaskan minyak masak dan mula menumis bawang yang telah dihiris tadi. Setelah bawang menjadi kekuning-kuningan, dia memasukkan hirisan kambing yang telah diperap dengan rempah beriani. Setelah bahagian luar daging sudah garing sedikit Lyn memasukkan air. Kuali ditutup.

“Kita biarkan daging ni empuk dulu,” kata Lyn.

Selepas itu, Lyn mengambil periuk yang agak besar dan memasukkan beras yang sudah direndam tadi.

“Eh, tak banyak sangat ke air tu Lyn?” tanya Nadia apabila dilihat Lyn memasukkan hampir lapan gelas air ke dalam periuk yang berisi beras.

“Taklah. Beras ni nanti akan ditapis apabila sudah 75% masak. Hanya berasnya yang akan diambil,” terang Lyn. Gadis itu amat gemar memasak. Pantang ternampak resipi yang menarik, dia akan memcubanya.

“Kau tak keluar?” tanya Lyn. Periuk diletak di atas dapur. Api dapur gas dinyalakan.

“Tak. Aku ada kerja nak buat.”

“Kenapa banyak sangat kerja kau? Sudahlah hari-hari balik lambat, hujung minggu pun kau masih bawa balik kerja ke rumah. Orang kerja bank memang macam ni ke?”

“Bukan semua orang kerja di bank sibuk. Tengok bahagian mana kau kerja dan di bank mana kau kerja. Kalau kau kerja seperti aku, memang banyak kerja. Deadline tight!”

“Aku tengok Mutia tu kerja bank jugak, tapi dia tak sibuk macam kau. Ada masa juga untuk keluar dating. Malam-malam pun sempat dia berdating...”

“Mutia kerja di bank komersial. Aku kerja di bank pelaburan. Lagipun kami buat perkara yang berlainan. Workload tak sama. Cara kerja pun tak sama. Lagi satu, aku mana ada teman lelaki untuk bertemu janji sana sini...”

“Habis tu, Jamil yang selalu kau jumpa tu?”

“Hmm… mana ada selalu jumpa.”

“Aku rasa selalu juga kau keluar dengan dia....”

“Kita orang kawan aje.”

“Kawan aje? Aku tengok dia tu boleh tahan juga. Gentleman pula tu…” Dia pernah melihat Jamil sewaktu lelaki itu datang ke pangsapuri menghantar Nadia. Sebenarnya lebih tepat jika dikatakan dia mengintai kerana dia curi-curi melihat lelaki itu dari balik tingkap nako dapur.

“Memanglah boleh tahan… bila kau tengok dia, Lyn?”

“Aku pernah nampak sewaktu dia ke sini… Dia tu peguam, kan?”

“Hmm... kenapa?”

“Dia kerja di firma mana?”

“Dia salah seorang rakan kongsi di Fahmi, Kamaruddin & Partners,” jawab Nadia.

“Betul ke? Dia nampak muda…” komen Lyn pula.

“Memang dia muda pun. Lebih kurang sebaya kita.” Nadia memerhati Lyn menyediakan nasi beriani. Sesekali Lyn melihat resipi yang tertera di belakang kotak rempah. Mahu pastikan semua langkah diikut dengan betul, jadi hasilnya akan terjamin sedap.

“Wow, beruntung sesiapa yang kahwin dengan dia! Baik, gentleman dan berkaliber!”

“Dia bukan saja berkaliber. Dia juga seorang yang merendah diri. Dia rakan kongsi yang paling muda di firma tu tau!”

“Kiranya dia seorang peguam muda yang boleh dikatakan berjaya!” Lyn tidak henti memuji Jamil.

“Kalau kau jumpa dia, kau mesti suka dia Lyn…Jamil seorang yang pandai berbual terutama perihal semasa. Dia banyak membaca. Kiranya beruntung sesiapa yang memiliki dia.” Secara tidak langsung, Nadia turut memuji peguam muda itu.

“Habis tu, kenapa kau tak terima dia aje? Aku nampak dia macam serius.”

“Setakat ni kita orang tak ada apa-apa hubungan istimewa,” jawab Nadia.

“Kenapa? Dia tak pernah luahkan perasaan dia pada kau?” Lyn bertanya.

Nadia hanya mengangkat bahu.

Sekarang Lyn sedar dia kedengaran terlalu menyibuk. “Kau tak perlu jawab soalan aku tadi kalau tak mahu...” Lyn menapis nasi yang sudah hampir masak. Hanya beras diambil manakala airnya dibuang. Kemudian, beberapa senduk beras dimasukkan ke dalam periuk elektrik. Ketulan daging kambing yang sudah dimasak dengan rempah beriani diletakkan di atas nasi. Kemudian, baki beras disendukkan ke dalam periuk. Beberapa titik pewarna kuning dititis ke atas nasi. Untuk mencantikkan rupa nasi, kata Lyn.

“Cerewet rupanya nak buat nasi ni. Patutlah kalau makan di restoran, bukan main mahal lagi,” komen Nadia.

“Memang. Tapi sekarang kita sudah dapat menikmatinya di rumah!” kata Lyn girang.

Perut Nadia berbunyi lagi. Dia mencari-cari sesuatu yang boleh dimakan. Peti ais dibuka. Hanya terdapat dua biji epal Royal Gala di situ. Dia mengambil sebiji epal dan epal itu dicuci di bawah laluan air paip. Epal dipotong lapan. Dia mengambil sepotong lalu disua ke mulut.

“Lyn, bila Mutia kahwin nanti tinggal kita berdua yang masih bujang. Kau tak risau ke?” Nadia menggigit sepotong lagi epal. Sempat dia mengomel bahawa epal itu tidak serangup epal Royal Gala yang selalu dibelinya.

“Apa pula tak risau? Aku tak mahu hidup keseorangan sampai tua.” Lyn memandang Nadia.

Tangannya yang sedang ligat mengelap kaunter dapur berhenti seketika. Lyn bertanya Nadia soalan yang sama. “Kau pula?”

“Entahlah. Emak aku tu dah bising pasal aku membujang ni.” Sepotong lagi epal masuk ke mulutnya.

Lyn tidak mahu bertanya lanjut. Itu bukan pertama kali mereka bercakap tentang teman lelaki dan perkahwinan. Isu kahwin sentiasa sahaja menghantui mereka terutama sejak akhir-akhir ini. Mereka membiarkan sahaja persoalan jodoh tergantung begitu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.