Home Novel Cinta Jatuh Hati Di Paris
Jatuh Hati Di Paris
Zura Rahman
29/1/2014 09:49:37
49,444
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Sembilan Tahun Berlalu


Usai solat subuh, Puan Sri Zulaikha membaca sehelai dua al-Quran sebelum dia mandi dan turun ke dapur. Begitulah rutin hariannya setiap hari sejak bersara dari dunia pekerjaan 20 tahun lalu. Walaupun ada pembantu rumah yang akan memasak dan mengemas, dia akan pastikan beberapa perkara yang melibatkan suaminya diuruskan sendiri. Walaupun urusan harian memasak ditugaskan kepada Mak Jah, sekali-sekala dia akan turun ke dapur untuk memasak. Tanpa gagal, setiap pagi dia akan menyediakan segelas jus epal hijau untuk suaminya.

“Mana Azreen? Dia belum bangun lagi ke?” tanya Tan Sri Hashim. Jus epal sejuk dinikmati sebelum sarapan dijamah.

“Masih tidur agaknya. Tadi saya sudah kejutkan, tapi sampai sekarang tak nampak batang hidungnya pun.” Puan Sri Zulaikha mengomel tentang anak bongsunya yang suka bangun lewat. Azreen yang pulang dari Uniten semalam masih belum bangun agaknya. Dia menyenduk nasi goreng ke pinggan suaminya, kemudian ke pinggannya pula.

“Dia mesti penat tu… biasalah hari minggu, dia mesti nak sambung tidur.” Suaminya berkata, memihak kepada anak perempuan kesayangannya.

“Abang jangan manjakan sangat Azreen tu. Hari minggu, hari minggu juga, tapi jangan sampai matahari naik di atas kepala baru nak bangun. Tak elok anak dara bangun lewat.”

Suaminya ketawa mendengar bebelan isterinya. “Mana ada abang manjakan sangat. Biarlah dia rehat kalau dia penat.”

“Hari ini abang main golf di mana?” tanya Puan Sri Zulaikha seraya duduk bertentangan suaminya. Suaminya sudah siap berpakaian untuk bermain golf, acara sukan yang digemarinya.

“Kinrara.”

Sebenarnya dia ingin tahu perkembangan terbaru rancangan suaminya.

“Bang, saya nak tanya. Err… Arief ada telefon?”

“Belum. Dia sibuk agaknya…”

“Dia langsung tak telefon? E-mel?” tanya Puan Sri Zulaikha tidak sabar.

Suaminya berhenti menyuap. Sudu dan garfu diletakkan di tepi. Nasi goreng yang masih bersisa separuh itu dibiarkan. Jus epal diteguk perlahan.

Tidak seperti selalu, hari ini sengaja Puan Sri Zulaikha menyediakan makan pagi yang berat kerana suaminya memerlukan lebih kalori untuk aktiviti bermain golf. Maklumlah, apabila usia sudah meningkat, kesihatan perlu dijaga. Pengambilan makanan juga harus lebih teliti. Sebab itu juga setiap pagi dia akan membuat jus epal segar untuk suami dan juga dirinya.

Pagi-pagi lagi, dia akan mengisar sebiji epal hijau bersama seleri untuk suaminya dan epal hijau bersama daun pegaga untuk dirinya. Ditambah sedikit madu sebagai ganti gula. Minuman jus epal bukan sahaja sedap dan menyegarkan malah amat berkhasiat. Minuman yang telah diamalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini memang menampakkan hasil. Jika dahulu suaminya sentiasa mengalami masalah penghadaman, kini dia sudah tidak mengalami masalah itu lagi. Bahkan tahap kesihatannya juga bertambah baik.

Puan Sri Zulaikha masih menunggu suaminya meneruskan kata-kata.

“Kita beri dia masa. Dalam dua tiga hari ini jika dia masih belum beri apa-apa jawapan, kita hubungi dia lagi.”

Puan Sri Zulaikha lega apabila mendengar suaminya berkata ‘kita’ akan hubungi Arief. Tidak seperti selalu suaminya yang akan membuat keputusan di rumah itu.

“Kalau begitu kita tunggu sehari dua lagi.”

Semangatnya yang hilang kian pulih. Sejak Afnan sakit, ini merupakan satu-satunya berita yang paling menggembirakan walaupun Arief belum lagi menyatakan keinginan untuk pulang ke Malaysia. Dia yakin ALLAH akan makbulkan doanya kali ini. Gerak hati seorang ibu selalunya betul ,tetapi dia tidak mahu menaruh harapan menggunung tinggi.

“Selamat pagi!” sapa Azreen ceria. Kerusi ditarik. Pantas dia mengambil pinggan lalu nasi goreng disenduk.

Puan Sri Zulaikha hanya memerhatikan tingkah laku anak gadis itu.

“Mana abang dan Kak Farah, mama?” Azreen bertanya sambil mata merenung telur mata kerbau tiga suku masak kegemarannya.

“Mereka ke hospital.”

“Awalnya, pagi-pagi lagi sudah ke hospital?”

“Lebih baik pergi awal, daripada terlewat.”

“Temu janji dengan doktor dah dibuat, kan?”

“Memang. Mereka pergi untuk slot pertama,” jawab mama.

“Oh...” Azreen mula menyuap nasi goreng.

“Alya dan Amani mana?” Mata gadis itu melilar sekeliling.

“Budak-budak tu belum bangun lagi.”

“Patutlah sunyi saja.”

“Semalam sampai pukul berapa? Papa tak perasan pun adik balik?” tanya Tan Sri Hashim yang diam dari tadi.

“Hmm… pukul sembilan rasanya.” Azreen mengunyah nasi yang masih bersisa di dalam mulut. Matanya mengerling ke arah mama yang sedang menikmati jus epal.

“Kenapa lambat sangat? Bahaya perempuan memandu seorang diri malam-malam.” Tan Sri Hashim menzahirkan kegusarannya.

“Mula-mula tu adik ingat nak balik pagi ini, tapi bosan pula duduk di hostel. Sebab itu adik balik juga semalam.” Dia lega kerana papa tidak bertanya lebih lanjut.

“Lain kali kalau dah malam sangat tak payah balik. Tunggu esok saja. Ataupun telefon papa, nanti papa suruh Pak Mat ambil adik di hostel.” Anaknya itu kadang-kadang menumpang sekejap di bilik kawannya di hostel atau di rumah sewa rakannya sekiranya ada urusan pelajaran yang perlu diselesaikan. Jika tidak, dia akan berulang-alik dari rumah ke kampus.

“Alah… perkara kecil saja, papa. Pukul sembilan bukan lewat sangat pun…”

Puan Sri Zulaikha mencelah. “Adik, dengar sahaja cakap papa tu. Kami risau jika apa-apa jadi pada adik sebab kami sayang adik…”

“Adik tahulah… papa tak payah risau. Adik bukan buat perkara yang tak elok pun. Cuma terlewat balik aje. Adik tengok rakan-rakan sebaya adik bebas keluar masuk rumah tanpa halangan atau sekatan daripada ibu bapa mereka,” omel Azreen dengan wajah kelat.

Papa ada garis panduan sendiri yang kadangkala dia rasa merimaskan. Tetapi dia diamkan sahaja. Dia tahu, papa tidak suka jika anak-anak atau isteri melawan cakapnya. Sebab itu, dia tidak pernah melihat mama membangkang keputusan papa.

“Papa bukan apa. Papa cuma risaukan keselamatan adik. Papa tahu adik tahu jaga diri,” kata Tan Sri Hashim. “Eh, saya dah lewat ni. Saya pergi dulu.” Tan Sri Hashim meminta diri.

Puan Sri Zulaikha dan Azreen meneruskan makan pagi. Setelah Tan Sri Hashim beredar, mama sempat berbisik, “Nanti kita cuba Skype angah, ya!”

Azreen tersengih sampai ke telinga. Jika papa tahu dia sampai hampir pukul sepuluh setengah semalam, papanya pasti akan marah. Dia cepat-cepat menghabiskan nasi di pinggan dan meneguk jus epal.

Farah meletakkan segelas jus oren di hadapan suaminya. Dia melabuhkan punggung di sisi Afnan.

“Mana Alya dan Amani?” tanya Afnan. Sejak mereka sampai ke sini pagi tadi, batang hidung dua beradik itu belum kelihatan.

“Ada, dalam bilik. Tengah main dengan anak patung Barbie bersama koleksi terbaru pakaian Barbie.”

“Koleksi pakaian terbaru Barbie? Mana dia orang dapat?”

“Mak yang belikan sewaktu dia menemani ayah menghadiri mesyuarat di Hong Kong minggu lepas.”

“Sudah banyak koleksi pakaian Barbie yang dia orang ada… beli lagi?” tanya Afnan. Jus oren diteguk perlahan.

“Alah… biarlah bang. Mak mana ada cucu perempuan?”

“Hmm... sebab itulah mereka manjakan sangat budak-budak dua orang tu…” Afnan berkata dalam nada perlahan. “Farah cuba ajar mereka berdikari supaya senang Farah membesarkan mereka nanti.”

Farah dapat rasakan sesuatu maksud yang lain daripada pesanan suaminya itu. Dia memandang suaminya lama. Mata mereka bertentangan.

“Abang minta maaf jika abang tak dapat bersama-sama Farah membesarkan anak-anak.” Tangan Farah diraih.

Farah menggenggam tangan suaminya. “Abang tak perlu minta maaf. Ini semua ketentuan ALLAH.” Suara Farah mula sebak.

“Tapi abang masih lagi rasa bersalah. Abang akan menyusahkan Farah nanti, membesarkan anak-anak sendirian.”

“Bukan salah abang pun. Abang tak minta semua ini berlaku…” nafi Farah.

“Abang selalu berfikir, bila abang sudah tiada nanti, macam mana hidup Farah, hidup anak-anak…”

“Sudahlah, bang… jangan fikir perkara bukan-bukan. Kita tengok keadaan nanti. Buat masa sekarang, abang fokus pada rawatan abang dan kita cuba luangkan masa sebanyak mungkin bersama-sama.”

Mereka diam seketika.

“Abang nak tanya sesuatu…”

“Apa dia, bang?” Hati Farah sedikit berdebar. Lain sahaja bunyi nada suara suaminya kali ini.

“Bila abang sudah tiada nanti, adakah Farah akan berkahwin lagi?”

“Kenapa abang tanya soalan yang bukan-bukan ni?”

“Tak… itu bukan soalan yang bukan-bukan. Beberapa minggu ini, abang asyik terfikir tentang Farah dan anak-anak. Abang rasa bersalah sebab Farah dan anak-anak terpaksa mengharungi semua ini.”

“Abang jangan merepek!”

“Farah belum jawab lagi soalan abang.”

Farah melarikan pandangan ke luar. Dia menghela nafas. “Buat masa sekarang, Farah tak dapat berfikir apa-apa. Farah tak pernah terfikir pasal itu pun. Farah cuma risau anak-anak, terutamanya Alya. Dia masih kecil dan sentiasa manja dengan abang…” Farah menahan air mata yang mula bergenang di birai mata.

“Bukan apa, abang tidak mahu pentingkan diri. Jika Farah rasa Farah perlukan seseorang selepas pemergian abang, abang relakan. Abang bahagia jika Farah bahagia, jika semua orang bahagia,” kata Afnan sambil mengusap-usap rambut isterinya.

“Kita jangan cakap pasal ini lagi ya? Itu semua tidak penting bagi Farah. Yang penting sekarang, abang masih sihat dan ada waktu untuk kita bersama.” Air mata yang ditahan akhirnya tumpah juga. Cepat-cepat Farah mengesat juraian air mata yang mula jatuh di pipi.

“Kenapa mama menangis?” tanya satu suara comel tiba-tiba. Alya sedang berdiri di situ. Di tangannya terpegang kemas patung Barbie yang berambut ikal keemasan.

“Tak… mama bukan menangis. Mata mama cuma pedih.”

“Kenapa mata mama pedih?” tanya anak kecil itu lagi.

“Habuk masuk mata tadi. Hmm… adik nak tunjukkan mama sesuatu?” Farah cepat-cepat menukar tajuk perbualan. Dia tidak mahu anak kecil yang tidak tahu apa-apa itu tahu dia menangis. Dia cuba untuk tersenyum.

Alya menghulurkan patung Barbie itu kepada ibunya. “Ini anak patung baru adik. Cantik tak baju dia?” tanya Alya yang lebih manja dipanggil adik.

“Cantik… cantik sangat!” Farah cuba menceriakan suaranya. Baju patung Barbie dibelek sama.

Si kecil tersenyum lebar, puas apabila mamanya turut memuji baju anak patungnya itu. Kemudian, dia bertanya soalan yang sama kepada papanya.

“Papa pun suka dengan baju dia. Adik yang buat?”

Si kecil menggeleng-geleng. “Nenek yang belikan. Cantik, kan!” Alya masih lagi teruja dengan permainan barunya itu.

“Adik, sini sekejap!” Laungan kakaknya membuatkan si adik menoleh. “Cepatlah datang sini!” kata kakaknya lagi.

Tanpa sebarang kata, Alya berjalan sambil melompat-lompat riang menuju ke arah kakaknya yang sedang menunggu.

Pandangan mereka berdua mengekori langkah Alya. ‘Adakah dia akan sentiasa riang begini enam bulan akan datang?’ desis hati Farah.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.