Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,539
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 8

FIGURA seorang lelaki tinggi lampai dan tegap berkemeja putih bersih yang dipadankan dengan seluar linen berwarna putih susu keluar dari perut pesawat bersaiz jumbo A380 yang baru sahaja mendarat. Dia merupakan penumpang terakhir yang keluar dari situ. Di tangan kirinya, tergenggam kemas sebuah beg troli perak Samsonite bersaiz kecil manakala tangan kanan lepas bebas. Begitu bersahaja dia melangkah dalam kekalutan ratusan penumpang.

Ketika orang ramai berjalan laju ke bahagian ‘Baggage Reclaim', dia melangkah tenang penuh gaya ke arah bahagian ‘Arrival’. Sesampai di Pintu No. 5 di International Arrival, sepasang kacamata hitam RayBan dikeluarkan dari kocek bajunya. Panas terik mentari pada petang itu menyakitkan matanya. 

“Tuan Shen!” Sapa satu suara. Hazri terkocoh-kocoh ke arah pemuda yang dipanggil Tuan Shen tadi. Hazri terus mengambil beg troli ditangannya dan membawanya ke kereta yang sedia menunggu. Beg diletak ke dalam bonet. Pintu belakang kereta dibuka. Shen memboloskan diri ke dalam kereta.

Shen menyandarkan badannya yang agak keletihan ke kerusi di belakang kereta. “Daddy ada abang?” Lelaki yang memanggilnya Tuan Shen itu dipanggil abang sahaja kerana usia mereka yang agak jauh berbeza, serta atas sebab yang lain juga.

“Tuan Fakharuddin ada di rumah. Dia sedang menunggu tuan,” jawab Hazri jelas di pendengarannya. Semua pekerja di rumahnya memanggilnya Tuan Shen ataupun Tuan, dan dia membiarkan sahaja. Entah mengapa dia berasa seronok dipanggil begitu. Sesekali dia mahu berlagak seperti tuan besar.

Angin sejuk dari penghawa dingin sedikit sebanyak mengurangkan kepanasan yang sedang dirasainya. Dia rasa panas luar dan dalam. Daddy seolah-olah tidak dapat menunggu dia habis bercuti untuk menyambut ulang tahun kelahirannya. Jika tidak, dia akan masih lagi menikmati udara nyaman London. Lagi tiga hari dia akan pulang ke Kuala Lumpur tetapi dia digesa untuk pulang segera. Dia mahu membantah tetapi dia tidak mampu. Satu-satunya manusia di atas muka bumi ini yang dia tidak mampu melawan ialah ayahnya. Sesungguhnya dia benci dengan perasaan tersebut.

Daddy! Apa yang mahu dikejarnya sehingga percutian sambil menyambut ulang tahunnya itu diganggu sebegitu rupa. Dia lebih rela bersendirian bersama penguin yang comel di pulau Tasmania atau bersama biri-biri yang nakal di Canterbury daripada berhadapan dengan ayahnya.

Sebaik kaki menjijak lantai rumah, Shen menuju ke ruang tamu. Dia mengharapkan daddy berada di situ. Jika daddy tidak berada di ruang tamu, dia mungkin berada di bilik bacaan di tingkat atas. Shen berpaling. Belum sempat dia melangkah, daddy menegur.

“Hussein!”

Sejuk sahaja nada suara daddy. Beribu batu perjalanannya, dia disambut begitu. Dia tidak mengharapkan daddy menyambutnya di lapangan kapal terbang dengan limosine. Tidak juga dia mengharapkan karpet merah dihampar menyambut kepulangannya. Bukan juga peluk cium yang diharap daripada daddy. Sekurang-kurangnya biarlah kehadirannya dirasai, ditunggu dengan setulus hati.

“Hussein, awak ke sini sekejap!”

Hussein! Selalu sahaja daddy memanggilnya dengan nama itu. Sudah berkali-kali dia memberitahu daddy bahawa dia tidak suka akan nama itu. Nama yang begitu kolot itu tidak sesuai dengan dirinya. Sejak usia remajanya Hussein menggelarkan dirinya Shen, sejajar dengan perwatakannya yang lepas bebas tetapi daddy tetap memanggilnya dengan nama kegemarannya itu. Seingatnya, dalam dirinya, itu sahaja yang daddy suka dan perasaan itu sedang membunuhnya.

Daddy sedang berjalan beriringan dengan mommy. Dia memberi satu kucupan di pipi ibunya seperti selalu.

How was the flight, darling?” Mommy bertanya mesra setelah satu kucupan sayang hinggap di pipi kanannya.

Okay, mom. As always.” Ringkas sahaja jawapannya. Dia tertanya-tanya apa yang ingin diberitakan kepadanya oleh daddy.

Shen menghulurkan tangan untuk bersalam. Dalam keadaan bagaimana sekalipun, dia harus bersalam dengan daddy. Dalam apa jua keadaan daddy tetap ayahnya. Dia tidak pernah lupa.

“Duduk…” Pinta daddy tanpa berbasa basi. Begitulah daddy. Apa yang diinginkannya, dinyatakan tanpa selindung. Mommy turut duduk di sebelah daddy. Shen mengambil tempat betul-betul di hadapan orang tuanya. Lembut kerusi empuk buatan Itali itu tidak mampu menyamankan rasa sebal di hatinya.

“Apa dia daddy? Mustahak sangat ke hal yang daddy nak bincangkan hingga tak dapat nak tunggu Shen balik tiga hari lagi?”

“Perkara ini amat penting. Lusa, daddy outstation. Daddy tak ada peluang untuk bercakap dengan awak nanti.” 

“Bagaimana dengan urusan pertukaran awak?” Tanya daddy terus kepada perkara yang ingin dibincangkannya tanpa bertanyakan tentang dirinya. Daddy selalu begitu. Rasanya selagi dia masih bernafas dan berdiri teguh, daddy tidak tega untuk bertanya.

“Berjalan seperti yang dirancang…”

‘Seperti yang daddy rancang’. Kata Shen di dalam hati. Dia tidak mampu menzahirkan apa yang terbuku di dadanya.

“Bagus. Daddy tak mahu ada masalah nanti.”

Don’t worry dad. You can count on me.” Shen memberi keyakinan kepada ayahnya walaupun dalam hatinya, dia menggerutu akan keputusan daddy.


Previous: BAB 7
Next:

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.