Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,574
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Petang itu Azman masuk lambat ke pejabat. Ini semua gara-gara Mira yang mengajaknya menemaninya membeli-belah. Katanya hanya mahu cuci mata, tetapi rabak poketnya hari itu angkara sebuah beg tangan yang pada hemahnya tiada keistimewaannya. Apa yang ada pada tas tangan itu, jika dia sudah ada empat tas tangan yang jauh lebih baik daripada itu? Ini semuanya kerana dia tidak sempat membelikan tas tangan yang dikirim Mira ketika dia ke Venice minggu lepas.

Kerenah gadis itu kadangkala memeningkan kepalanya. Biarpun berwajah cantik dan manja, kadangkala dia berasa bosan dengan perangai Mira yang terlalu mengada-ngada.

Lyn Jasmine. Akhirnya dia berjaya mendapatkan nombor telefon gadis itu. Selembut bunyi namanya selembut itu wajahnya. Dia tidak begitu cantik namun ada sesuatu pada wajahnya yang sedikit keibuan itu. Gadis berwajah polos dengan kulit yang putih kemerahan itu telah mengetuk-ngetuk hati lelakinya. Melihat kulit gadis itu yang putih bak salji buat hatinya sejuk. Memandang wajah tenang dan polos Lyn Jasmine buat perasaannya tenteram. Tutur katanya juga selembut bayu, tidak membentak seperti Mira.

Entah mengapa, seperti ada kuasa magnet, jari jemarinya mula mendial nombor telefon si gadis ‘Snow White’.

****

Bunyi telefon memeranjatkannya yang sedang meneliti penyata kewangan. Rutinnya termasuk membuat laporan bulanan untuk kewangan syarikat. Waktu-waktu begini dia akan menjadi tersangat sibuk.

Skrin telefon dipandang sekilas.

Azman!

Jantungnya mula berdegup. Jejaka itu menghubunginya! Dalam debar, dia teruja.

“Assalamualaikum,” sapa Lyn perlahan, dalam nada suara yang terkawal.

“Waalaikum salam, maaf I mengganggu,” kata Azman terlebih dahulu.

“Taklah. I bukannya sibuk sangat,”

“Betulke? Baguslah, I tak nak ganggu you aje,” ujar Azman lega.

“Tak. I boleh bercakap.” Sebenarnya dia terlalu sibuk untuk berbual-bual di telefon tetapi panggilan Azman itu adalah kes terpencil. Dia tidak mahu terlalu jual mahal sehingga terlepas peluang yang ada. Susah juga menjadi perempuan ni. Jika dia jual mahal, dia dianggap sombong. Jika dia terlalu mudah melayan, dianggap murah. Double standard! Sempat Lyn merungut.

Anything?” Akhirnya dia bertanya soalan yang tidak akan membuatnya nampak murah. Tidak terhegeh-hegeh.

I just want to say hi… dan pasal tempoh hari, I nak minta maaf jika I kacau you dan kawan you makan.”

Lyn tertawa kecil. “Tak adalah. Kami bukannya berborak apa sangat. Tak mengganggu pun…” Jika mengganggu pun tidak mengapa, dia suka. Ha ha! Lyn ketawa dalam hati.

“Ofis you kat mana sebenarnya? Kadang-kadang I pergi juga ke situ untuk mesyuarat dengan pelanggan,”

“Ofis I sederet dengan Farmasi Kita dan Restoren Ayam Kampung. Kat hujung tu ada satu bangunan tinggi sikit….”

“Bangunan hujung yang tinggi… yang hujung sekali tu? Nadine Corp?”

“A’ah. Itulah dia.”

“I see… tak jauh dari Farmasi Kita. I selalu juga ke situ…”

“You buat apa kat situ?”

“I supply barang-barang farmasi. Farmasi Kita tu salah satu pelanggan I,”

“Oh, you kerja dengan pharmaceutical company ke?”

“Ya.”

“Owh…”

“Sepanjang I pergi ke situ, tak pernah pula I ternampak you. Kita orang selalu makan di Restoren Ayam Kampung tu. Kalau I ke sana, tak sah kalau tak makan kat situ,” terang Azman diiringi ketwa perlahan

“Mungkin ada, tapi you yang tak perasan.”

“Mungkin juga. Lain kali apabila I ke sana, kita lunch sama-sama?”

“Insya ALLAH, kalau I tak sibuk,” janji Lyn. Insya ALLAH sepatutnya digunakan apabila dia berjanji untuk melakukan sesuatu tetapi sekarang dia menyatakan kalimah itu untuk melepaskan dirinya jika dia tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu.

Alright. I tak nak ambil masa you lama-lama. Kita jumpa nanti ya.” Perbualan ditamatkan.

Azman mematikan panggilan dengan senyum simpul di wajah. Pada mulanya dia teragak-agak untuk menelefon si Snow White tetapi naluri lelakinya memaksa dia berbuat begitu. Kali ini dia puas dapat bercakap dengan empunya badan. Puas kerana berjaya memberanikan dirinya menelefon. Dia bukannya penakut atau penyegan dengan perempuan tetapi kejadian di Giant tempoh hari membuatnya sedikit risau.


Previous: Bab 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.