Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,852
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

Sepasang kaki bersepatu jenis ‘ballerina shoes’ hitam berkilat melangkah laju ke arah bangunan Giant. Kereta diparkir agak jauh dari situ kerana keadaan agak sesak pada waktu petang Ahad begini. Dari majlis kahwin rakan sepejabatnya di Dewan Serbaguna di Setiawangsa, Lyn mengambil keputusan untuk berhenti membeli belah di sini. Dia ingin mendapatkan beberapa barang dapur serta sabun cuci kain. Esok kerja, dia malas untuk ke mana-mana.

Sesampai di hadapan pasaraya, Lyn mencapai sebuah bakul. Kemudian bakul itu diletakkan kembali ke tempatnya. Dia pergi mendapatkan sebuah troli. Berat juga jika dia mahu mengangkut bekas sabun itu. Mana tahu jika dia terbeli barang lain. Lyn senyum sendiri. Membeli-belah barang dapur ialah aktiviti yang amat disukainya.

Seorang petugas pasaraya yang sedang berdiri di hadapan kaunter menegurnya dengan begitu ramah. “Selamat datang kak long,” sapa pemuda itu dengan senyum manis. Lelaki yang berdiri di sebelahnya juga sedang tersenyum. Meleret.

Gadis yang berada di kaunter memandangnya tanpa berkelip. Kemudian dia memaksa sebuah senyuman kepada Lyn apabila Lyn menghadiahkan si gadis satu senyuman ikhlas. Senyum Lyn tiba-tiba mati apabila dia lihat beberapa pengunjung pasaraya tersebut juga memandangnya sambil tersenyum. Terasa pelik pula.

‘Takkanlah dia nampak cantik sangat? Rasanya pakaiannya biasa-biasa sahaja. Cuma dia berbaju kurung kali ini. Baju kurung berbunga pink dengan tudung bawal yang juga berwarna pink. Kebanyakkan orang berpakaian santai. Jeans dan blouse. Ataupun hotpants dan baju-T. Tapi tak adalah pelik sangat jika datang ke Giant dengan baju kurung. Okey, cuma tudung dia terlebih meriah hari ini. Tudung yang dipinjam dari Nadia, rakan serumahnya yang dihiasi batu permata di atas kepala. Takkan itupun pelik? Bukan tak ada gadis lain yang memakai tudung seperti itu. Silap-silap makcik-makcik pun datang Giant dengan tudung yang lip lap lip lap.’

Lyn meneruskan langkah menuju ke bahagian detergent. Sekotak sabun Daya berwarna merah jambu diambil dan diletak ke dalam troli. Tatkala kaki melangkah ke bahagian barang basah, hatinya berdetik tidak senang. ‘Am I overdressed for the ocassion?’ Takkan nak cantik sikit pun tak boleh? Ataupun… gincunya comot? Mustahil.

Mungkin pakaiannya tidak sesuai. Mana ada orang datang beli ikan berpakaian macam ni. Dia buat selamba. Troli ditolak perlahan. Dia menuju ke satu arah yang menempatkan ikan.

Seorang makcik berumur dalam lingkungan lima puluhan memerhati Lyn yang sedang mililh kepala salmon dan beberapa keping salmon yang dipotong steak. Lama dia memerhati. Lyn buat tak tahu sahaja. Terlalu ramai orang yang memerhatikannya hari ini.

“Nak masak macam mana ikan ni?” Makcik itu bertanya penuh minat. “Selalu juga makcik nampak orang beli ikan salmon ni, tapi makcik tak tahu nak masak macam mana.”

Lyn berkalih ke arah datangnya suara.

“Macam-macam boleh dibuat dengan ikan ni, makcik. Kepala sedap dibuat kari. Isi pun boleh dicampur sekali dalam kari,” Lyn menjawab ramah.

“Isi ikan salmon ni amat sedap jika digril. Kalau nak goreng macam goreng ikan selar tu pun boleh juga makcik…” sambung Lyn lagi. Dia tersenyum manis ke arah makcik tadi yang sedang memerhati hirisan ikan salmon dan dirinya silih berganti.

“Goreng lumur garam kunyit ke dik?” tanya makcik itu lagi. Matanya bersinar, terpegun barangkali. Makcik yang tidak diketahui namanya itu mengambil sekeping isi ikan dan dibelek-belek.

“Saya selalu letak garam sikit dengan lada sulah, kemudian saya goreng tanpa minyak atau dengan sedikit minyak atas non-stick pan. Kadan-kadang aje saya lumur garam kunyit makcik, apabila nak tukar selera.”

“Ooo…”

“Ikan ni tak perlu letak apa sangat sebab isi dia memang dah manis berlemak dan sedap. Kalau makcik nak bakar, makcik perah dengan lemon sikit, selepas tu lumur dengan secubit garam, lada sulah atau lada hitam. Baru bakar.”

“Makcik jarang guna lemon. Kalau pakai asam limau boleh tak?”

“Boleh aje, makcik,” Lyn tersengih. Rasa kelakar pula dengan gelagat makcik itu.

“Makcik pun nak cubalah. Selalunya makcik guna ikan merah atau jenahak sahaja untuk dibuat kari….” makcik itu mengambil seketul kepala ikan salmon dan memasukkannya ke dalam sebuah plastik. Dua potong isi ikan dimasukkan ke dalam plastik yang lain.

Tiba-tiba makcik tadi bersuara lagi, “Kenapa ikan ni mahal sangat ya, dik? Teringin nak cuba, tapi mahal, takut tak sedap pula.”

“Dah ikan import makcik… mahallah,” jawab Lyn sambil tersegih. “Tapi, salmon ni banyak khasiatnya. Banyak DHA dan budak-budak pun suka!” Ujar Lyn lagi. Girang. Terbayang pula kerenah anak-anak saudaranya yang mencuba salmon buat pertama kali. Sekali makan, nak lagi.

“Adik ada berapa orang anak?” Tanya makcik tadi tiba-tiba.

“Eh, saya belum kahwin lagi,” Lyn tersengih. Wajahnya terasa berbahang. Dia kelihatan seperti emak orangkah? Bahagian mana? Bentuk badannya atau caranya berpakaian?

“Oh, makcik ingatkan adik dah kahwin. Maaf ya… buat adik tersinggung,” kata makcik tadi lembut. Lengan Lyn disentuh perlahan.

“Tak apa makcik… saya dah biasa.” Lyn melakar sebuah senyuman manis, tetapi tekaknya terasa sedikit kelat. ‘Dah biasa? Hu hu… sedihnya. Nampak sangat dia ni seperti dah ada anak. Yalah… kalau dah hobi memasak, datang Giant beli ikan bukankah kegiatan orang yang dah beranak-pinak?’

Lyn menghulurkan bungkusan tadi kepada lelaki Bangladesh yang bertugas di kaunter penimbang.

“Adik manis, kepala ikan ini mau potong?”

“Belah dua dan potong dua,” kata Lyn. Kepala ikan salmon itu terlalu besar jika hanya dibelah dua. Apabila balik nanti dia akan bahagikan kepala ikan tersebut kepada dua bahagian dan disimpan di dalam peti ais. Boleh makan dua kali. Dia mengetuk-ngetuk pemegang troli dengan jari-jemarinya sementara petugas tadi menimbang dan membersihkan ikan.

Makcik tadi pun menghulurkan bungkusan berisi ikan salmon kepada lelaki Bangladesh itu.

“Adik kakak, mahu masak apa… semua beli kepala ikan salmon hari ini?’ tanya pekerja berketurunan Bangladesh sambil tersengih, menampakkan gigi yang sedikit berkarat.

Lyn tidak menjawab pertanyaan lelaki Bangla itu. Pertanyaannya dijawab ramah oleh makcik tadi.

“Cik adik manis… sungguh manis pakai baju pink, tudung pink… sama warna dengan itu..,” kata Bangla itu lagi seraya menunjuk ke arah kepalanya ketika menyerahkan plastik berisi ikan salmon yang siap dipotong.

Ya Allah! Sekarang baru Lyn sedar kenapa semua orang memandangnya dengan pandangan semacam. Semua orang okey! Dan mereka juga tersenyum-senyum kepadanya.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.