Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab 14

Dato’ Azhar merenung dua keping gambar yang diberikan oleh penyiasat upahannya tadi. Apa yang dilihatnya sekarang adalah sama dengan apa yang disangkakannya selama ini. Dato' Azhar menarik nafas dalam, dengan perlahan juga nafas dilepaskan. Dia tak tahu apa yang patut dia buat sekarang. Dua keping gambar ini adalah satu permulaan perubahan dalam hidup dia juga keluarganya. Selama ini dia mencari di mana mereka, sangkanya jika mereka dapat ketemu semula semua masalah akan selesai tapi sekarang, semuanya tidak seperti yang dia harapkan. Insan yang selama ini dia cari rupanya ada dihadapan matanya, dan sekarang dia tak tahu macam mana nak berhadapan dengan mereka semua. 

“Abang, kita perlu cerita semua ni dengan Ira. Dia perlu tahu.” Datin Ainul tahu masalah yang sedang melanda suaminya. Dan dia tak mahu ada masalah lain akan timbul dari masalah yang sudah ada ini. Dia sendiri terkejut dengan hasil penemuan penyiasat upahan suaminya kali ini. Penyiasat upahan yang ke 7 baru membuahkan hasil, dan hasil yang sangat berbaloi sepadan dengan bayaran yang dikenakan. 

“Abang tak tahu nak cerita dari mana? Ira sendiri pun tak tahu yang dia ada bapa saudara. Banyak sangat yang dia tak tahu.” Salah dia kerana merahsiakan tentang kewujudan abangnya dari pengetahuan Zahira, dan sekarang penemuan ini akan membongkarkan semua rahsia yang dia simpan selama ini dari pengetahuan anaknya Zahira.

“Ira dah dewasa bang, Ainul yakin dia akan faham kenapa abang buat semua ini. Kita sama-sama terus terang dengan dia abang. Terpulang pada dia untuk buat keputusan samada untuk teruskan atau batalkan semuanya.” Datin Ainul memegang tangan suaminya tanda dia sentiasa ada disisi suaminya saat susah mahupun senang. Dia yakin, Zahira mampu untuk buat keputusan yang terbaik. 




“Saya tak sampai hati nak lukakan hati anak kita Ainul. Saya pasti akan banyak hati yang terluka bila semua ini terbongkar. Lagipun, tak sanggup lagi saya nak berhadapan dengan dia, berpuluh tahun dia menderita kerana perbuatan keluarga saya.” Masih terbayang lagi dimatanya wajah kecewa Aisyah saat keluarganya menuduh Aisyah yang menggoda abangnya sedangkan ketika itu Aisyah sudah menjadi tunangan dia. Dia cuba mempertahankan maruah Aisyah tapi ditentang kuat oleh ayah dan ibu. Dia marah kerana abangnya sendiri sanggup merosakkan kebahagiaan dia. 

Sebab itu berpuluh tahun dia lari tinggalkan keluarganya membawa hati yang marah juga kecewa. Sebelum dia keluar negara dia ada berusaha mencari Aisyah tapi tak jumpa sehingga dia putus asa dan berazam pulang dari luar negara dia akan jejak semula Aisyah. Akhirnya hari ini setelah lebih 27 tahun baru dia berjaya menjejaki Aisyah. ‘Maafkan aku Aisyah kerana telah membiarkan kau tanggung derita sendiri. Maafkan aku.’ 

          

Zahira teruja sampaikan berita yang Zafril akan menghantar rombongan meminang hujung minggu ini kepada mama dan papa. Namun reaksi papa dan mama seperti tidak gembira membuatkan Zahira tertanya-tanya apakah papa tidak suka dengan Zafril? Tapi sebelum mereka menjadi pasangan kekasih lagi papa sudah tahu siapa Zafril dengan status dirinya. Jadi kenapa tiba-tiba papa dan mama seperti tidak suka dengan berita yang dia sampaikan? Macam ada sesuatu yang papa dan mama rahsiakan dari dia. 

“Pa, Ma kenapa diam je ni? Mama dengan papa tak suka Zafril ke?” Soal Zahira inginkan kepastian.

“Tentulah suka, dia kan staff kesayangan papa. Cuma papa rasa anak papa yang cantik menawan ini better dapat lelaki yang lebih baik dari Zafril.” Zahira pamer wajah tidak suka dengan kata-kata papanya. Kenapa tiba-tiba dia perlu lelaki lain, sedangkan Zafril adalah lelaki dambaan dia selama ini. Mana mungkin hati dia akan beralih arah, bertahun-tahun dia menyimpan dan menjaga rasa hati ini untuk diberikan hanya untuk Zafril bukan lelaki lain.

“Apa maksud papa lelaki yang lebih baik? Zafril tak cukup baik ke untuk Ira? Papa nak Arif jadi menantu papa? Kalau papa nak tengok anak papa ni menderita then nanti tolak peminangan Zafril. Ira takkan kahwin dengan lelaki lain selain Zafril. Ira minta maaf papa, mama.” Terasa sesak dada Dato’ Azhar dengan pengakuan Zahira tadi. Baru bukak mukadimah sikit tentang Zafril dah marah macam tu sekali, kalaulah Zahira tahu semua kebenarannya tak tahulah bagaimana pulak reaksinya. Dato’ Azhar dan Datin Ainul buntu, tak tahu apa akan jadi minggu depan bila keluarga Zafril datang meminang Zahira nanti. 


Hari yang dinanti telah tiba, mereka sekeluarga telah siap sedia untuk meminang seorang anak gadis untuk anak teruna sulung keluarga Puan Aisyah dan Tuan Syarif. Puan Aisyah adalah insan yang paling gembira saat Zafril perkenalkan Zahira sebagai calon isterinya. Puan Aisyah begitu menyenangi Zahira begitu juga ayah tiri dan adik perempuannya. Kata Imani, Zahira akan jadi kakak yang paling terbaik didunia. Selama umurnya inilah kali pertama dia rasa mempunyai sebuah keluarga yang lengkap. 

“Ibu..Aril mintak maaf. Aril banyak kecil kan hati ibu.” Zafril melutut dihadapan ibunya. Dia mahu memohon ampun dan maaf dari insan yang melahirkan dia kedunia ini.

“Tak perlu sayang, Aril tak pernah kecilkan hati ibu. Kita lupakan cerita lama, fokus dengan masa sekarang dan masa depan.” Aisyah sudah penat untuk mengenang kisah pahit itu, kalaulah otaknya ini seperti data komputer yang boleh dipadamkan sebarang maklumat ynag tidak diingini pasti dia akan berbuat demikian.

“Terima kasih terima sebab bawakan menantu yang baik untuk jadi menantu ibu.” Puan Aisyah tidak pernah puas menatap wajah anak lelakinya ini. Wajah yang tenang tapi tersimpan seribu kepahitan dalam hidupnya.

“Aril..aril adalah anak yang paling istimewa dalam hidup ibu. Terima kasih sebab tak pernah benci ibu, ibu tahu nenek didik Aril dengan baik. Selama ini nenek buat yang terbaik untuk ibu juga Aril. Ibu dah redha sayang, redha dengan semua kisah silam ibu. Maafkan ibu sebab tak pernah pertahankan Aril dan tak pernah cakap yang ibu terlalu sayangkan Aril. Anak-anak ibu adalah nyawa ibu.” Tubuh Zafril dipeluk erat, air mata bagaikan empangan pecah. Mengalir tanpa henti. Pipi dan dahi Zafril dicium bertalu-talu. Sungguh dia menyesal kerana pernah mahu membunuh anak ini. Allahhuakbar.

“Ibu, boleh Aril tahu siapa ayah Aril?” Aisyah tersentak saat soalan itu menerjah gegendang telinganya. Soalan yang tak pernah dia sangka akan keluar dari mulut Zafril. Lama Aisyah mendiamkan diri cuba mencari kekuatan untuk menjawab soalan anaknya.

“Nanti ibu akan ceritakan semuanya pada Aril, sekarang kita ada misi yang lain. Jom kita dah lewat ni.” Puan Aisyah berjaya mencari alasan untuk tidak menjawab soalan anaknya. Dia belum bersedia untuk membuka kembali cerita silam yang sangat menyakitkan. Kalaulah Zafril tahu betapa seksanya dia melupakan semua kisah silam itu pasti anaknya takkan bertanya soalan seperti tadi. Zafril mengeluh halus, entah sampai bila dia perlu menanti untuk mengetahui siapakan ayahnya yang sebenar. Mungkin lelaki itu bukan orang-orang biasa agaknya. Zafril ikut bangun setelah namanya dipanggil berulang kali oleh ibu.

Puan Aisyah kaget melihat lelaki yang sedang berdiri dihadapannya sekarang. Betulkah dia lelaki yang sama? Lelaki yang pernah singgah dalam hidupnya dulu. Tuan Syarif menepuk lembut bahu isterinya, dia tak tahu apa yang tak kena dengan Dato’ Azhar sampai isterinya berdiri tegak kaku dihadapan lelaki itu. 

“Jemputlah masuk, saya Dato’ Azhar ayah kepada Zahira.” Tuan Syarif menyambut salam yang dihulurkan Dato’ Azhar. 

“Abang saya nak balik.” Tuan Syarif hairan kenapa tiba-tiba isterinya nak ajak balik padahal dia yang paling gembira dan teruja untuk rombongan peminangan ini.

“Saya nak balik, suruh mereka semua balik. Majlis pertunangan takkan pernah berlaku diantara anak saya dengan anak dia. Saya tak nak ada kaitan dengan keturunan ini.” Puan Aisyah terus meluru keluar dari rumah, wajahnya sangat bengis. Segala kebencian yang selama ini dia cuba buang tiba-tiba muncul kembali. Dia sangkakan dia sudah memaafkan mereka semua tapi dia silap. Hati dia masih belum mampu, untuk melupakan dan memaafkan orang yang telah buat aniaya pada dia dan keluarganya. 

“Aisyah awak dah kenapa? Cuba bawak berbincang dulu. Awak tak kasihankan Zafril ke jika kita batalkan semua ni tiba-tiba macam ni? Cuba bawak istighfar bagitahu saya kenapa awak marah sangat?” Lembut suara Tuan Syarif memujuk. Jika dia juga meninggikan suara saat ini tentu perkara buruk akan berlaku, dia tak mahu Aisyah yang dulu muncul kembali.

“Saya takkan benarkan anak saya berkahwin dengan keluarga yang telah musnahkan hidup ibu dia. Tolong batalkan semuanya, kita balik sekarang.” 

Suasana terus bertukar kecoh bila Tuan Syarif membuat pengumuman bahawa rombongan pihak lelaki membatalkan majlis pertunangan. Namun berjaya ditenangkan oleh keluarga pihak perempuan. Dato’ Azhar sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku, sebab itu dia telah bersedia. Cuma dia kasihankan anaknya, Dato’ Azhar mencari wajah isteri. Tika ini dia  memang perlukan sokongan dari isterinya untuk membantu dia menyelesaikan masalah ini.


Sedari tadi Zafril hanya mendiamkan diri, bermacam-macam perkara berlegar-legar dalam kepalanya. Dia tak tahu apa punca ibunya tiba-tiba batalkan semuanya. Bila ditanya ibu hanya diam dan menangis. Bila tanya abah, jawapannya langsung tidak membantu. Malah lebih menambahkan beban dalam kepala Zafril. Dia ada menghubungi Zahira, tapi langsung tidak berjawab. Zafril benar-benar buntu, dia bangun ke bilik air mengambil wudhuk. Dia perlu tenangkan dirinya, hanya dengan solat hati ini akan tenang. Bila solat kita seperti sedang berbicara dengan Allah, aku ingin mengadu padaMu ya Allah. Kau leraikanlah apa yang sedang berlaku saat ini, aku benar-benar buntu. 

“Ibu boleh Aril cakap dengan ibu.” Zafril yakin pagi ini adalah masa yang paling sesuai untuk dia berbual dengan ibu dari hati ke hati. Dia mahu tahu apa yang sebenarnya telah berlaku semalam.   

“Ibu tahu Aril nak cakap apa. Zahira bukan perempuan yang sesuai untuk Aril.” Zafril mengeluh perlahan, wajah ibu direnung lama. Dia sayangkan ibu, syurga dia adalah ibu. Tapi dia juga sayangkan Zahira, Zahira cinta pertamanya juga mungkin cinta terakhir dia. 

“Ibu tolong jangan buat Aril tertanya-tanya kenapa ibu tiba-tiba jadi macam ini? Sebelum ini hubungan ibu dengan Ira baik-baik je. Apa yang dia dah buat pada ibu sampai ibu benci dengan dia?”

“Salah dia..sebab dia lahir dari keturunan Haji Ramli. Ibu tak nak cakap tentang hal ini lagi.” Zafril menarik nafas dalam. Entah kenapa hati dia betul-betul sakit dengan tindakan ibu. Kenapa ibu buat dia macam ni? apa dosa dia sampai ibu sanggup mengorbankan kebahagiaan dia. Siapa Haji Ramli? Apa kaitan keluarga Zahira dengan semua ini?

“Aril bukan nak kurang ajar dengan ibu, ibu satu-satunya ibu Aril dunia dan akhirat. Tolong terus terang dengan Aril, tentang semuanya. Tentang ayah, tentang Zahira dan sekarang tentang Haji Ramli. Jangan buat Aril terus tertanya-tanya macam Aril ni tunggul yang tiada perasaan. Berpuluh tahun Aril pendam semua ini sendiri, hati Aril ni. Aril pujuk sendiri supaya jangan terus memberontak. Tapi bila masa depan Aril juga terheret sama Aril tak boleh berdiam diri lagi. Aril nak tahu semuanya sekarang. Tolong ibu.” Zafril sudah duduk melutut depan ibunya. Apa nak jadi hari ini jadilah, janji dia tahu tentang semuanya yang ibu rahsiakan dari dia selama ini.

Puan Aisyah sudah mula menangis, dia tak mampu untuk bercerita pada Zafril tentang lelaki yang dianggap ayah kandung itu. Lelaki itu telah musnahkan hidup dia, kerana lelaki itu dia hampir menjadi seorang pembunuh. Kerana lelaki itu juga dia mahu menamatkan riwayat hidupnya sendiri. Layakkah lelaki seperti itu dianggap seorang ayah untuk anaknya. Takkan, dia takkan benarkan Zafril tahu siapa lelaki durjana itu. Takkan sama sekali.

“Jangan paksa ibu Aril. Biarlah semuanya terus jadi rahsia ibu.”

 “Rahsia ibu? Salah ke Aril nak tahu tentang ayah Aril sendiri, kenapa ibu benci sangat pada dia?” 

Suasana diruang tamu semakin tegang, Imani sedari tadi memasang telinga terus keluar mendapatkan ibunya risau jugak berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini nanti. 

“Memang ibu benci lelaki yang Aril anggap sebagai ayah tu! Sebab dia dan keluarga dia hidup ibu musnah, sebab mereka semua ibu perlu tanggung seumur hidup yang ibu dirogol sampai melahirkan seorang anak luar nikah! Aril anak seorang perogol! Ibu benci! Ibu benci!" Aisyah sudah meraung disitu, Imani cuba menenangkannya.

Kata-kata itu cukup jelas ditelinga Zafril. Entah dari mana datangnya air membasahi mata dan pipi. Fahamlah Zafril kenapa selama ini ibu bencikan dia dan sampai sekarang masih belum menerima dia seadanya. Kehadiran dia tak sepatutnya berlaku. Ibu dirogol bukan seperti yang dia sangkakan selama ini. Terasa seperti satu batu besar menghempap tubuhnya saat ini.

“Maafkan saya. Hari ini baru saya tahu kenapa ibu benci saya, buang saya. Saya berjanji takkan pernah muncul lagi dihadapan ibu. Terima kasih sebab sudi lahirkan saya ke dunia ini. Halalkan makan minum saya, saya cuma nak ibu tahu kasih sayang saya pada ibu ikhlas sepenuh hati saya. Saya memang tak sedar diri.  Betullah orang cakap, jika sekali kita dibuang kita akan terus dibuang sampai bila-bila, walaupun diambil kembali tapi kesudahannya akan tetap dibuang jua. Assalammualaikum.” 

Puan Aisyah baru tersedar yang dia sudah terlanjur mengeluarkan kata-kata. Dia menjerit memanggil nama anaknya. Zafril terus berlalu meninggalkan rumah tanpa menoleh lagi. Puan Aisyah tahu sekali lagi dia telah menghancur lumatkan hati anaknya. 

“Aril jangan tinggalkan ibu. Aril anak ibu, Aril…..” Puan Aisyah cuba mengejar kereta yang dipandu Zafril namun apalah kudrat dia seorang wanita untuk mengejar kereta yang telah pun bergerak laju. Dia akhirnya jatuh menyembah bumi.

“Ibu! ya Allah!”


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania