Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Seluruh Cinta
kayrania
31/10/2018 02:27:12
10,262
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Suhaila ralat dan kecewa dengan apa yang telah terjadi diantara dia dan Zafril. Ini semua berpunca dari Imran. Terus terang Suhaila tidak pernah kisah langsung dengan status Zafril. Bagi dia bukan salah Zafril, tapi salah ibu dan ayah Zafril yang melakukan hubungan terlarang itu. Mujur dia cepat sedar dalam hubungannya dengan Imran dulu jika tidak mungkin anaknya juga akan menerima nasib yang sama seperti Zafril. Ampunkan aku Ya Allah, banyak dosa aku padaMu, semoga aku terus kuat dengan dugaan dan ujian hidup ini.

“Su, mama nak cakap sikit dengan Su.” Tegas suara Datin Aida menyapa anaknya.

“Hmm..apa dia ma?”

“Betul ke Imran bagitahu mama, Su putuskan hubungan dengan dia sebab Su ada lelaki lain? dan lelaki itu anak tak sah taraf?” Sakit telinga Suhaila mendengar soalan ibunya. Pandai pulak Imran ni buat cerita.

“Ma..tolonglah jangan percayakan Imran tu. Su dah lama putus dengan dia, takde kaitan pun dengan lelaki tu.” Suhaila cuba membela Zafril, dia tak mahu maruah Zafril dipijak-pijak.

“Oh jadi betullah Su berkawan dengan lelaki yang tak tahu asal usul tu? Tolong jangan buat perkara yang boleh memalukan keluarga kita. Kalau ye pun Su dah tak suka dengan Imran but please bukan lelaki tu. Mama tak suka. Mama tak nak Su menyesal nanti.” Datin Aida terus berlalu. Suhaila menahan rasa bila Mama mengugutnya begitu. Kenapalah Imran tidak seperti Zafril. 

Tengahari itu Suhaila ke pejabat Zafril, dia menerima kejutan hari ini bila melihat Zafril berjalan beriringan ke kereta bersama Zahira. Suhaila hairan sejak bila pulak Zafril mula rapat dengan anak Dato’ Azhar. Ada hubungan istimewakah? Tapi itu kan anak majikan dia sudah tentu dia layan dengan baik. Suhaila cuba bersangka baik. Namun kakinya tetap melangkah mengikuti dua manusia tadi. Tanpa sedar semua perbuatannya tadi diperhatikan juga oleh seseorang.


“Terima kasih Cik Zahira sudi terima pelawaan saya. Cik ok ke makan dekat kedai macam ni?” Ini adalah kedai makan kegemaran Zafril, walaupun hanya kedai biasa tapi masakan dia luar biasa. Dia tak kisah jika setiap hari makan di kedai ini, dia tidak pernah jemu. 

“Saya ok la, kenapa awak ingat saya ni suka ke makan kat tempat-tempat yang mewah macam hotel tu? Memang tak la. Tak payah la bercik-cik, Zahira cukup.” Zafril hanya tersenyum, dia sebenarnya risau jugak ajak anak bos keluar makan, salah cakap kang masak nanti. Tapi dia tahu Zahira tidak pernah menyalahgunakan gelaran anak bos untuk kepentingan dirinya.

“Saya hormat Cik Zahira sebagai orang atasan saya, jadi saya harap Cik Zahira faham. Saya selesa dengan panggilan Cik Zahira.” Zahira hanya menganggukkan kepala, malas nak bersoal jawab tentang hal remeh. Kalau sudah begitu permintaan Zafril dia hanya menurut.

“Cik Zahira tamat SPM dulu memang terus sambung study UITM ke?” 

“Tak lah mula-mula saya masuk politeknik Ungku Omar, tapi bila Uitm offer diploma perakaunan dan dekat dengan family terus saya stop poli..masa dekat poli la saya kenal…ehem..eh makanan dah sampai, jom makan saya dah lapar ni.” Sedar keterlanjuran kata buatkan Zahira cepat mengubah topik perbualan mereka. Kemunculan pelayan menghantar makanan yang dipesan tepat pada masanya. Zafril tahu ada sesuatu yang Zahira cuba sembunyikan dari dia. Namun Zafril tidak mahu memaksa, jika Zahira tidak mahu menyambung cerita lagi. Sebab dia sendiri tidak pasti samaada betul atau tidak tekaannya bahawa Zahira adalah peminat rahsianya selama ini.

Sedang mereka menjamu selera, Suhaila datang menegur. Niatnya hanya mahu tahu apa hubungan diantara Zafril dan Zahira. Kenapa Zafril tidak boleh menerima dia tapi begitu senang menerima Zahira. 

“Assalammualaikum, maaf kacau you berdua tengah lunch date. I tak sangka la you Zafril, dengan I you tolak cinta I mentah-mentah. Tapi dengan dia ni boleh pulak you bercinta. You jadikan alasan status you untuk mainkan hati I.” Sebak suara Suhaila, sungguh dia sangat kecewa dengan Zafril. Dia sangkakan Zafril tidak seperti lelaki lain, tapi sangkaannya silap.

“Su, you dah salah faham. I dengan Cik Zahira cuma keluar makan diantara staff dengan bos, nothing special. Come join us.” Zafril cuba menenangkan Suhaila yang tampak sedih. Zahira pula serba salah dengan apa yang sedang terjadi. ‘Aku ni perampas kekasih orang ke?’ Bisik hati Zahira. ‘Nope! Dia orang tak bercinta pun!’

“Perangai you memang sepadan dengan status you.” Zappp. Kata-kata itu menusuk ke hati Zafril. Sekali lagi dia dihina. Mungkin seumur hidupnya dia akan sentiasa menjadi mangsa hinaan orang. Zahira perasan perubahan riak wajah Zafril. 

“Cik Suhaila, awak tak layak untuk menghina Encik Zafril. Jaga-jaga dalam pertuturan kita, takut terguris hati orang. Saya dan Zafril tak bercinta pun.” Zahira cuba meredakan suasana. Riak wajah Zafril jelas dia tidak suka dengan apa yang Suhaila katakan tadi. Zahira juga hairan bagaimana Suhaila tahu tentang rahsia Zafril.

“Awak baliklah Suhaila. Saya mintak maaf pada awak jika selama kita bekerja bersama dan berkawan ini ada perkara yang saya buat tak menyenangkan hati awak. Saya tak layak untuk awak. Saya juga tak layak untuk Cik Zahira atau mana-mana perempuan pun. Suhaila..terimalah Imran semula. Dia betul-betul sayangkan awak.” Dengan penuh rasa rendah hati Zafril mohon maaf dan mohon Suhaila faham situasi dia sekarang. Dia berharap Suhaila akan memberikan peluang kedua buat Imran. Zahira disebelah hanya diam walau hatinya turut kecewa bila terang-terang Zafril juga menolak cintanya.

“Su! Ikut mama! Su tak layak untuk lelaki macam ni! Cermin diri kau sebelum nak berkawan dengan mana-mana perempuan. Cari asal usul diri tu dulu sebelum nak pinang anak dara orang. Jom kita balik!” Tangan Suhaila direntap kuat oleh Datin Aida. Marah sungguh dia bila mendengar Zafril menolak cinta anaknya. ‘Dia ingat dia siapa?suka-suka reject anak aku! Dasar anak luar nikah!’ Suhaila hanya akur dengan arahan ibunya, benarlah jodoh dia bukan dengan Zafril. Dan bukan juga dengan Imran. Mana mungkin dia akan menerima Imran semula, kerana pintu hatinya telah tertutup rapat buat lelaki itu dan juga dia tidak mahu ada hubungan langsung dengan keluarga Zafril dan Imran. Adik-beradik itu telah hancur leburkan hati dan cintanya. Air mata mengalir bagaikan hujan yang turun, hanya dibiarkan mengalir sepi. Sesepi hatinya sekarang.



Zafril termenung sendiri mengenang kisah siang tadi. Kata-kata Datin Aida berlegar-legar difikirannya sekarang. ‘Cari asal-usul diri tu dulu sebelum nak pinang anak dara orang.’ Mungkin sudah tiba masanya dia perlu tahu siapa ayahnya. Sampai sekarang dia hanya kenal ibu, dia tidak pernah tahu dan ambil tahu siapa ayahnya selama ini. Apa sebenarnya yang terjadi antara ibu dan ayah yang tidak bertanggungjawab itu. Teringin sekali mahu bersua muka dengan lelaki yang telah merosakkan hidup ibunya dan telah menyebabkan dia lahir kedunia ini. Jika lelaki itu sayangkan ibu kenapa dia tinggalkan ibu keseorangan. Pelbagai persoalan bermain difikiran Zafril. Persoalan yang berpuluh tahun tidak pernah terjawab. Hmm..keluhan demi keluhan keluar dari mulut Zafril. Entah sampai bila semua ini akan berakhir, mungkin sampai dia menutup mata.

Kata-kata Zahira siang tadi juga bermain difikirannya sekarang. Bagaimana Zahira boleh tahu tentang sejarah hidupnya sedangkan rahsia ini hanya orang-orang tertentu sahaja yang tahu. 

 “Saya mintak maaf, saya tak sangka semua ni akan terjadi. Saya harap Cik Zahira tak serik keluar makan dengan saya.” Lemah saja tutur kata Zafril. Dia malu dengan Zahira.

“Awak tak buat salah, kenapa nak mintak maaf pulak. Anak sah atau tak sah kita tetap hamba Allah. Jangan pernah salahkan takdir dari DIA.” Zahira terus berlalu pergi. Zafril mulanya tersenyum dengan kata-kata nasihat Zahira tapi dia mula sedar, macam mana Zahira tahu semua ini? Ke semua orang dalam pejabat ini tahu status dia? Tanpa menunggu lama Zafril menerjah masuk bilik Zahira.

“Macam mana Cik Zahira tahu?” Soal Zafril tanpa selindung. Zahira sudah panas punggung, macam mana dia nak berterus terang. ‘Habis la aku kali ini. Masak aku..’ Bebel Zahira sendiri. 

“Tadikan Suhaila ada cakap.” Jawab Zahira teragak-agak. 

“No Suhaila tak mention pun pasal tu. Terus terang dengan saya Cik Zahira macam mana Cik tahu semua ini? Saya takkan berganjak dari sini selagi Cik tak berterus terang dengan saya.” Ugutan Zafril buatkan Zahira kecut perut. ‘Papa..tolong Ira pa. Ira takut..’ 

“Assalammualaikum, Eh Zafril pun ada sini. Saya mengganggu ke?” Soal Dato’ Azhar sedikit terkejut dengan keberadaan Zafril dalam bilik anaknya. 

“No pa, tak mengganggu pun. Kenapa papa datang bilik Ira?” Zahira lega bila Papa tiba-tiba saja datang. “thanks papa, papa dengar panggilan Ira.’

“Papa nak Ira ke bilik meeting sekarang, urgent. Maaf Zafril saya perlukan anak saya sekarang boleh ke?” 

“Yes sure. Saya keluar dulu, perbincangan kita belum tamat.” Zahira telan air liur. Serius nada suara Zafril, pandangannya juga tajam memandang tepat anak mata Zahira. Zahira tunduk merenung lantai, dia sedar rahsia yang selama ini dia simpan bakal tidak menjadi rahsia lagi. 


Pagi ini Zahira runsing juga bimbang untuk ke pejabat. Dia yakin Zafril pasti akan menuntut penjelasan dari dia. Zahira bimbang dengan penerimaan Zafril nanti bila semuanya terbongkar. Zahira mengeluh perlahan, sendiri buat hal lepastu takut nak hadap. ‘Kau kena berdepan dengan realiti, sampai bila kau nak menyorok, sampai bila kau nak simpan rahsia hati kau.’ 

“Ira kenapa ditenung mihun tu, makan lah.” Zahira tersenyum bila ditegur ibu. 

“Ada masalah dekat tempat kerja ke? Ke papa bagi banyak sangat kerja?” Soal ibunya lagi, bimbang melihat anak gadisnya termenung dihadapan rezeki. Tak pernah Zahira begini. Atau anak gadisnya ini sedang bercinta?

“Taklah ibu. Just personal problem, ibu jangan risau. Papa mana?” Cepat Zahira mengalihkan topik perbualan. Dia tak mahu ibu terus bertanyakan soalan yang dia sendiri tidak mampu untuk memberikan jawapan. 

“Papa ada meeting di JB, so lepas subuh tadi dah bertolak dengan driver.”

“haah lupa pulak Ira, papa ada bagitahu semalam. Ira ke pejabat dulu ibu. Assalammualaikum.” Tangan ibu disalam dan dikucup lembut.

“Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaian. Kita perlu berhadapan dengan masalah, bukan lari dari masalah.” 

“Terima kasih ibu. Sayang ibu.” Zahira memeluk erat ibunya, kuat sungguh naluri hati seorang ibu ini. Kata-kata ibu memberikan satu semangat baru untuk dia berhadapan dengan Zafril. Semoga Allah permudahkan urusannya untuk semua ini. Amin.


Jam sudah 8 malam, tapi Zafril masih dipejabat. Sejak Zahira berterus terang dengan dia semuanya, satu kerja apa pun dia tak boleh buat. Tekaan dia selama ini Zahira adalah peminat misterinya benar belaka. 7 tahun bukan satu tempoh yang singkat untuk Zahira merahsiakan semua ini. Zahira juga tahu yang dia anak luar nikah, dan Zahira langsung tak kisah siapa dia. Zahira memang tidak kisah, tapi ibu dan ayahnya mesti kisah tentang siapa dia. Dan Zafril juga tak tahu apa perasaan dia sekarang pada Zahira bila Zahira meluahkan rasa cintanya tadi. Yang pasti dia sangat terkejut, dan masih sukar untuk mempercayainya. Semuanya berlaku secara tiba-tiba dan serentak, semalam Suhaila hari ini Zahira. Apa semua ini?

“Terlebih dulu saya nak mintak maaf pada awak sebab dah terlalu lama mengganggu hidup awak. Saya nak awak tahu, saya ikhlas dengan semua ini. Saya berterus terang semua ini dengan awak bukan nak mintak simpati awak, tapi cuma nak awak tahu siapa saya dan apa tujuan saya buat semua ini.” Zafril hanya diam tidak bereaksi. Masih belum tiba masa untuk dia bersuara. Zahira menarik nafas panjang mengumpul kekuatan untuk meluahkan semuanya.

“Saya mula jatuh hati pada suara awak, suara awak melaungkan azan sangat indah ditelinga saya. Sejak itu saya mula mencari siapa pemilik suara itu, dan akhirnya saya jumpa pada malam terakhir minggu orientasi saat awak berucap dan berselawat. Saya yakin awak adalah orang yang sama yang melaungkan azan itu. Sejak itu saya bertambah jatuh hati pada awak, wajah dan suara awak menenangkan hati saya. Saya mula memasang impian untuk menjadi isteri awak.” Zafril menjegilkan matanya. Sukar dia nak percaya, seorang perempuan yang cantik, bijak dan anak orang kaya seperti Zahira boleh jatuh hati pada dia yang langsung tiada apa-apa ini.

“Saya mintak tolong Malik untuk jadi orang tengah. Saya mintak dia sampaikan bunga dan nasi lemak pada awak setiap hari jumaat. Malik ada suruh saya berterus pada awak sebelum awak habis belajar tapi saya tak de kekuatan untuk semua tu. Masa dekat poli jugaklah saya pernah terdengar perbualan awak di telefon tentang status awak. Saya mintak maaf, sungguh saya tak sengaja. Kebetulan saya baru selesai solat masa tu, mungkin awak tak tahu saya ada dalam surau masa itu. Saya tak pernah pandang serong pada awak, malah rasa sayang saya pada awak makin bertambah. Saya tak pernah lupakan awak. Setiap hari saya berdoa pada Allah supaya jagakan awak, dan semoga suatu hari nanti saya akan bertemu semula dengan awak. Alhamdulillah macam mimpi bila saya jumpa awak di KLCC tempoh hari. Saya bertambah yakin Allah memberikan jalan untuk saya bila saya bekerja di dalam pejabat yang sama dengan awak. Tapi sekali lagi saya masih takut untuk berterus terang. Saya kecewa bila dapat tahu awak ada hubungan dengan Suhaila. Sebab itu saya stop bagi bunga pada awak, saya taknak kacau kekasih orang. Semalam awak ajak saya keluar makan, saya rasa macam dalam mimpi. Sungguh saya ikhlas sayang awak. saya faham jika awak tak suka dengan cara saya, dan mungkin awak tak de perasaan yang sama macam saya. takpe saya faham dan saya terima apa juga keputusan awak.” Zafril menarik nafas dalam. Susah dia nak hadam semua cerita Zahira. Dia tak sangka masih wujud lagi perempuan seperti Zahira, mencintai dia dalam diam. Bertuahkah dia? tapi dia langsung takde perasaan yang sama dengan Zahira. Kosong. 

Reaksi Zafril yang hanya mendiamkan diri buatkan Zahira rasa kecewa. Malu. Nampak macam dia terlalu terdesak untuk memiliki Zafril. Sebab inilah dia mahu semuanya terus menjadi rahsia, dia sudah jangka semua ini. Tanpa menunggu lebih lama Zahira terus bangun meninggalkan Zafril. Memang dia bertepuk sebelah tangan selama ini dan akan terus bertepuk sebelah tangan sampai bila-bila. ‘Terima kasih sebab pernah hadir dalam hidup saya.’ Air mata dikesat laju, malu jika ada yang nampak dan lebih malu lagi jika Zafril yang nampak. 

Bila teringatkan kejadian pagi tadi Zafril dihantui rasa bersalah. Kenapa dia langsung tidak memberi peluang untuk Zahira dan diri dia sendiri untuk mengenali antara satu sama lain. Mungkin takkan pernah ada lagi perempuan yang ikhlas seperti Zahira. Zafril memicit kepala, terasa satu beban yang berat di atas kepala ini. “Malik!” Zafril terus mencapai telefon lalu nombor Malik didail, dia perlu mencari kebenaran dan perlu selesaikan masalah dia dengan Zahira. Dia tak mahu berlaku kejam pada perempuan sebaik Zahira. Dia tahu Zahira jujur, cuma dia mahu meyakinkan diri dan hatinya untuk menerima kasih sayang yang dihulurkan Zahira.



“Cik Zahira boleh saya nak cakap sekejap.” Zafril melemparkan sebuah senyuman pada Zahira. Sejak peristiwa 2 hari lepas, Zahira cuba mengelak dari bertembung dengan Zafril. Dan bila melihat wajah muram Zahira, dia diselubungi rasa bersalah yang amat sangat.

“Saya cuma ada 5 minit, sebab saya perlu jumpa client.” Tegas suara Zahira. Dia sedang belajar untuk melupakan Zafril. Jika tujuan Zafril datang untuk bagitahu supaya dia lupakan semuanya, then dia akan tunaikan. Dia yakin dia sudah sedia untuk mendengarnya.

“Saya mintak maaf sebab saya biarkan Cik 2 hari tanpa memberikan apa-apa jawapan dan saya biarkan Cik fikir yang saya ini seorang lelaki yang sangat kejam. Saya juga mintak maaf sebab saya langsung tak perasan Cik selama ini. Tentang semua pemberian cik pada saya selama ini saya mintak cik halalkan. Terima kasih untuk semuanya. Ini kejutan yang besar untuk saya. Saya…saya..saya nak berkawan dan berkenalan dengan Cik dari mula. Selama ini saya tak pernah kenal Cik dengan lebih dekat. Bagi saya peluang boleh?” Sungguh Zafril bukan seorang lelaki yang pandai menyusun kata, dia tak pandai nak guna bahasa bunga-bunga. Dia harap Zahira tak kisah dan terima siapa dia seadanya. Seorang lelaki yang tak romantic, tak pandai mengorat perempuan dan tak pandai nak pujuk perempuan. Zafril menghadiahkan sebuah senyuman seikhlas untuk Zahira. Dia harap dengan senyuman yang manis dan ikhlas ini mampu memujuk hati Zahira.

“Peluang itu sentiasa terbuka untuk awak. Ok 5 minit dah habis, saya perlu jumpa client sekarang.” 

“Alhamdulillah, ok hati-hati. Jumpa esok. Terima kasih sekali lagi.” Kali ini Zahira membalas senyuman Zafril. Hati Zahira berbunga riang, rasa nak lompat bintang. Dalam tak sedar matanya bergenang lalu air mata kegembiraan itu terus berjujuran dipipi.

“Cik…eh kenapa menangis ni. Saya ada salah cakap ke?” Zafril cuak. ‘Alamak apa aku dah buat ni?’

“Yes banyak yang awak salah cakap. Just kidding, terima kasih. Saya hargai semua ini.”

“Saya cuma lelaki biasa yang tiada apa-apa harta untuk diberikan, tapi saya ada sayang dan cinta untuk diberikan. Saya cuma mintak pada Cik jangan terlalu meletakkan harapan yang tinggi pada saya. Saya banyak kekurangan.” Zafril dengan rendah hati mahu Zahira sedar dengan siapa yang dia mahu bercinta ini. Dia bukanlah siapa-siapa. Hanya hamba Allah yang menumpang di atas mukabumi ini.

“Saya juga hanya perempuan biasa yang hanya mahu diri ini di sayangi, dicintai dan dihormati. Saya harap bukan kerana simpati atau kasihan awak buat semua ini.”

“Macam saya cakap tadi berikan saya peluang untuk kenal Cik dengan lebih rapat lagi. Urusan yang lain kita serahkan pada Allah. Soal hati tidak boleh dipaksa, jika Allah lorongkan hati saya untuk buat semua ini maka tentu ada sebabnya. Okay you’re late, just go. Esok kita lunch sama, ok.” Zahira senyum lagi. Dia hanya menganggukkan kepala dan terus berlalu. Zafril rasa sangat lega bila semuanya sudah diluahkan. Semoga Allah permudahkan hubungan ini. Dan semoga keputusan yang dia buat ini adalah keputusan yang terbaik untuk dia juga Zahira.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania