Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Bab 12

Puan Aisyah terkejut melihat lebam di muka anak-anak lelakinya. Malam tadi Imani demam panas dan meracau, bila disoal kenapa. Imani hanya menangis. Sebab itu pagi ini Puan Aisyah dan Tuan Syarif meminta anak-anak lelakinya untuk pulang ke rumah. Sebab semalam Imani keluar dengan Zafril katanya mahu ke rumah Imran. Ini tentu ada kaitan dengan Imran. 

“Aril? Imran? Kau berdua bergaduh ye? Dah boleh jadi bapak budak pun bergaduh lagi?” soal Puan Aisyah. Zafril dan Imran hanya diam membisu. 

“Aisyah sabar. Kita dengar dulu apa yang dia orang nak cakap.” Tuan Syarif cuba menenangkan isterinya. Dia tak mahu isterinya sakit, masalah jantung yang dihidapi isterinya menyebabkan dia tidak boleh risau dan terkejut. 

“Im, Aril cuba cerita kenapa sampai lebam-lebam ni. Im teruk sangat abah tengok muka tu, dah pergi klinik?” Soal Tuan Syarif lembut namun tegas. Puan Aisyah menjeling suaminya, geram terlalu berlembut dengan anak-anak. 

“Dah Abang dengan Imani bawak semalam. Im minta maaf, semua ni berpunca dari Im. Im bodoh dan buta bila ditawarkan dengan jutaan ringgit. Im pinjam dengan Ahlong untuk melabur dengan Nasir. Tapi dia tipu Im, samseng Ahlong datang pukul sebab Im tak mampu bayar hutang. Mujur abang Aril dengan Imani ada, kalau tak dah arwah Im ni.” Imran menundukkan wajahnya. Takut bercampur malu untuk melihat wajah ibu dan abah.

“Im memang tak dengar cakap abah. Bila abah cakap jangan maknanya jangan Im. Allahhuakbar. Jadikan ini pengajaran untuk Im, abah minta tolong sangat lepas ni jangan buat lagi benda-benda bodoh macam ni. Tak cukup ke gaji yang abah bagi selama ni Imran?” Tuan Syarif kecewa dengan sikap Imran, bukan dia tak bagi amaran dan nasihat tapi anaknya seorang ni memang degil dan keras kepala. Tak pernah sekali mendengar nasihat dia juga ibunya. 

“Cukup abah, lebih dari cukup. Im minta maaf , ibu Im minta maaf. Im janji akan berubah, Im janji.” Imran duduk melutut dihadapan abah dan ibunya. Kali ini dia benar-benar insaf. Pengajaran kali ini sangat memberikan impak yang besar dalam diri dia. Hidup jangan terlalu mendongak ke langit hingga lupa bumi yang dipijak.

“Ye abah maafkan, hmm, pasal hutang tu macam mana?” soal Tuan Syarif lagi.

“Saya dah selesaikan.” Semua mata terus tertumpu pada Zafril. Terkejut mungkin, kerana jumlah wang yang dipinjam bukan sedikit. 

“Aril kenapa perlu susahkan diri untuk bayar semua hutang Imran? Aril jangan bagitahu ibu yang Aril jual tanah dikampung.” Zafril hanya tersenyum kecil dengan dakwaan ibunya. Bagaimana ibu boleh terfikir yang dia sanggup untuk jual tanah arwah atuk dan nenek. Jika dia jatuh miskin sekalipun takkan sesekali dia jual tanah itu. Dia melihat bagaimana susahnya arwah atuk menyimpan duit untuk melangsaikan semua hutang bagi memiliki tanah dan rumah itu. Takkan begitu mudah untuk dia menjualnya.

“Duit simpanan Aril masa kerja diluar negara dulu. Duit boleh dicari tapi keluarga..takkan dapat dapat dicari dan dibeli dimana-mana. Kalau tiada apa-apa lagi Aril nak balik dulu. Malam ini ada majlis kenduri di rumah bos.” Puan Aisyah terkedu dengan kata-kata Zafril. Dia terpukul dengan kata-kata anaknya tadi. Imran hanya menundukkan wajahnya, sungguh dia malu dengan perbuatannya selama ini terhadap Zafril. Sekarang dia sudah punya jawapan kenapa Suhaila boleh jatuh cinta dengan Zafril. ‘kau lebih hina dari dia Imran.’ Imran terus bangun mengejar Zafril, dia perlu minta maaf pada Zafril.

“Jahatnya aku sebab hina kau, busuknya hati aku sebab fitnah kau dan ibu. Tolong maafkan aku. Kalau kau taknak terima aku jadi adik kau, tapi tolong terima kemaafan aku. Hidup aku tak tenang selagi kau tak maafkan aku.” Tubuh Zafril dipeluk erat. Hilang sudah rasa benci juga dendam dalam dirinya terhadap Zafril, abang yang tidak pernah disayangi Imran. 

“Kau tak jahat, hati kau tak busuk. Kau adik yang baik, aku minta maaf sebab tak jadi abang yang baik untuk kau dan Imani. Aku dah lama maafkan kau. Kita lelaki dewasa mana boleh menangis macam ni bro.” Zafril cuba bergurau, pelukan adiknya direnggangkan. Pelukan yang selama ini dia harapkan, akhirnya dia dapat miliki. Ibu, abah dan Imani juga turut menangis kegembiraan melihat adegan drama mereka berdua. 

Akhirnya dendam berpuluh tahun akhirnya terlerai jua. Zafril sangat bahagia, impiannya selama ini untuk mempunyai keluarga yang sempurna akhinya tercapai. Akan ku jaga amanah Mu ini ya Allah, kerana mereka anugerah dari Mu yang tidak ternilai.

Puan Aisyah dan Tuan Syarif bersyukur pada Allah kerana hubungan Zafril dan Imran telah pulih. Saat yang terlalu lama mereka nantikan akhirnya tiba jua. Semoga hubungan baik mereka akan terus kekal hingga syurga. Imani juga sama, sekarang dia ada dua orang abang yang sangat dia sayang. Walaupun mereka lambat merasainya tapi bersyukur ianya berlaku jua. 


Selepas kejadian tempoh hari, Zafril telah pindah ke rumah ibu dan ayahnya. Pujukan ibu buatkan Zafril cair dan akur. Seperti yang dinasihatkan Zulkarnain padanya, ‘saat ini yang kau tunggu selama ini. Jadi kenapa kau nak tolak dan sia-siakan. Jangan kau menyesal nanti.’ Kerana nasihat itulah Zafril tekad terima ajakan ibu untuk mereka tinggal sebumbung. Kata ibu selepas dia berkahwin nanti sudah tentu dia akan tinggal dirumah asing dengan isteri. Hmm, ibu ada saja alasan untuk memujuk. Bila sebut pasal isteri dia teringatkan Zahira, telefon diatas meja di capai lalu dibuka. Ada 2 panggilan yang tidak berjawab dan terdapat pesanan daripada beberapa kumpulan dari aplikasi whatsapp yang belum dia baca. Zafril hanya tertarik pada panggilan yang tidak berjawab kerana pemanggilnya dari insan istimewa. Dengan pantas nombor pemanggil itu didail.

“Assalammualaikum, sorry saya dekat bawah tadi tak dengar bunyi call.” 

“Walaikumussalam. Takpe, saya mengganggu awak ke? Saya nak ajak awak keluar boleh?” Suara pemanggil lembut menyapa telinganya.

“Boleh, bagi saya 45 minit. Saya ambil awak dekat rumah.” Pantas Zafril membuat keputusan. Orang istimewa ajak keluar, sudah tentu boleh kan?

“Ok, jumpa nanti.” Panggilan dimatikan, Zafril terus bergegas untuk bersiap. Macam setahun tak jumpa lagaknya, padahal semalam dah jumpa. Bukan takat semalam, setiap hari jumpa. Orang tengah kemaruk bercinta kan, macam ini lah. 

Sebelum mengambil Zahira sempat Zafril singgah kedai bunga, selama ini hanya dia yang terima bunga. Jadi biarlah kali ini dia pula jadi si pemberi bunga. Siapa sangka permulaan hubungan hanya sekadar ingin mencuba akhirnya hatinya terjerat dengan cinta yang tulus ikhlas dari si gadis manis Zahira. 

“Wah bunga! Untuk saya ke ni? Macam sesuatu je.” Suara Zahira sangat ceria bila Zafril menghulurkan sejambak bunga kepadanya. Pertama kali dia menerima bunga dan pemberi bunga itu sangat istimewa dihatinya. Senyum dibibir Zahira terukir indah.

“Ini kali pertama saya beli bunga, dan awak pemiliknya. Awak tak suka ke?” Soal Zafril serba salah.

“Eh suka, sangat suka. Terima kasih awak.” Zafril tersenyum bahagia bila melihat gadis kesayangannya gembira dengan pemberian yang tak seberapa dari dia. Siapa sangka lelaki bernama Zafril akhirnya menerima kehadiran seorang wanita bergelar kekasih. Semoga hubungan ini akhir di jinjang pelamin dan terus kekal selamanya.

Sedang mereka leka berbual, satu suara wanita memberi salam. Kedua-duanya sedikit terpempan melihat seorang wanita bertudung cantik berdiri dihadapan mereka. 

“Assalammualaikum, Zafril Zahira hei tak kenal saya ke?” Soal wanita itu sambil ketawa kecil.

“Suhaila? Maaf awak lain sangat. Alhamdulillah.” Ucap Zafril setelah lama terdiam. Zahira terus bangun menyalami wanita itu.

“Awak cantik sangat sebab tu kami tergamam sekejap. Tambah lagi Zafril.” Gurau Zahira walau hatinya sedikit geram melihat gelagat Zafril seperti sangat terpegun melihat kejelitaan gadis dihadapan mereka sekarang. Suhaila tersenyum cuma sebelum menyambung bicara.

“Nikmat dari Allah. Kita semua cantik dimata DIA. Eh berdua je ke? Dating ye?” Gurauan Suhaila tidak bersambut. Sepi. Zahira cuba untuk tersenyum tapi senyumnya terasa sumbang. Zafril pula masih kaku mendiamkan diri.

“I happy tengok you berdua, soal hati dan jodoh semua kerja Allah. Siapa kita untuk menghalang, I doakan hubungan you all kekal sampai syurga. Kahwin jangan lupa jemput I.” Zafril dan Zahira tersenyum cuma. Mereka hanya sekadar menghantar pandangan sehingga bayang tubuh Suhaila hilang dari pandangan.

“Awak..ok tak? Awak ada rasa apa-apa tak?” Geram pulak Zahira melihat gelagat Zafril. Dah macam orang gila talak.

“Rasa? Rasa apa?” Soal Zafril lurus.

“Rasa menyesal ke tak terima cinta dia dulu. Jom balik, saya ada janji dengan Nayli nak jumpa dia.” Kerusi ditolak kasar tanda hatinya geram dengan situasi sekarang. Zahira terus melangkah walau Zafril memanggil namanya. Entah kenapa dia jadi sangat sensitive, mungkin hatinya masih belum kuat untuk percaya yang Zafril sayangkan dia seperti mana dia sayangkan lelaki itu. Keadaan Zafril yang terpaku melihat Suhaila tadi menambahkan rasa curiga dihati. 

Zafril tahu dia sudah buat hati Zahira terluka dengan cara pandangannya pada Suhaila tadi. Sukar untuk dia tafsir perasaannya saat terpandang Suhaila tadi. Dia rasa ada sesuatu yang tak kena dengan hatinya bila melihat Suhaila berubah berhijab begitu. Dia rasa sangat gembira dan lega dengan penampilan terbaru Suhaila. Beruntung Imran jika dapat menawan kembali hati Suhaila. Tapi sumpah perasaan yang hadir itu bukan rasa cinta cuma rasa teruja dan sangat gembira bila sahabat kita yang dulu tersasar hidupnya kini kembali semula ke jalan yang lurus itu. Zafril harap Zahira akan menerima penjelasan dia nanti. Dia bukan seorang lelaki yang mudah memberikan cinta pada seseorang, dia juga bukan seorang lelaki yang mudah beralih arah dan menukar cinta pada yang lain. 


Subuh ini adalah subuh yang paling bermakna dalam hidup Imran, rasa tenang yang hadir dalam jiwa dia sekarang tak dapat nak diungkapkan dengan kata-kata. Sudah terlalu lama dia tinggalkan solat, sudah terlalu jauh dia berjalan dari Allah. Dia lupa untuk bersyukur, dia leka dengan kemewahan dan hiburan dunia. Air mata penyesalan mengalir lesu dipipi. ‘Ya Allah adakah Kau sudi terima taubat ku ini, taubat hambaMu yang hina ini. Allahhuakbar.’

“Im, Allah Maha Pengampun. DIA sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya, kerna dia tahu kita semua ini manusia serba tak sempurna. Dalam surah Al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud ‘Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.’ Bertaubatlah dengan penuh kesungguhan dan berazam takkan ulangi lagi semua dosa yang telah kita buat sebelum ini. Abah bangga dengan Imran.” Tuan Syarif menepuk lembut bahu si anak. Hatinya gembira bercampur bahagia, doanya selama ini semoga Imran kembali ke pangkal jalan akhirnya Allah makbulkan. Imran terus merangkul tubuh ayahnya, banyak dosa dia pada abah dan ibu. ‘Allah ampunkan aku, terima kasih atas peluang sebesar ini yang Kau berikan untuk aku hamba mu yang pernah lupakanMu’. 



Sejak Suhaila mula berhijrah, Datin Aida perasan Suhaila lebih kurang bercakap. Dia terlalu fokus dengan kerja sampai hujung minggu pun dia habiskan masa dipejabat. Datin Aida ada meluahkan rasa pada suaminya Dato’ Razlan tentang sikap Suhaila yang banyak berubah. Namun kata Dato’ Razlan memang di pejabat banyak kerja kerana mereka sedang siapkan satu projek. Entah dia sendiri tak faham banyak sangat projeknya, sekejap projek tu sekejap projek ini. Rebut tender sana rebut tender sini. Mendengarkan semua benda ni pun dah cukup menyakitkan kepala dia.

“Su, mama tengok sekarang ni Su sibuk sangat dengan kerja tu. Rehat sikit Su, kalau jatuh sakit nanti mcam mana.” Nasihat mamanya disambut dengan senyuman. 

“Mama jangan risau, Su ok je. Siap projek ni Su nak bawak mama dengan papa pergi holiday, tapi dalam negara je tau. Jimat!” 

“Hai projek sana sini, tentu poket tebal. Takkan lah holiday dalam negara je.” Usik Datin Aida. Sudah terlalu lama dia tidak bergurau senda begini dengan anaknya. Rindunya dia semasa Suhaila masih bayi dan kanak-kanak, keletahnya yang nakal tak pernah merunsingkan fikirannya. Sungguh dia rindu saat itu.

“Ma berangan pulak, rindu papa la tu. Jom Su ke pejabat dulu, hari ini ada appointment dengan Imran.”

“Imran?  Su nak berbaik semula dengan dia?” 

“No mama, atas urusan kerja semata-mata. Full stop.” Suhaila segera bangun lalu tangan Datin Aida disalami. Malas nak bersoal jawab lagi tentang perkara yang dia tidak suka. Semoga mamanya faham apa yang sedang dia lalui dan rasai tika ini. Nak berjumpa dengan Imran hari ini pun dia kecut perut, dia harap dia kuat untuk kawal emosi bila berdepan dengan Imran nanti.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania