Home Novel Cinta Seluruh Cinta
Seluruh Cinta
kayrania
31/10/2018 02:27:12
10,257
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

Zahira masih dipejabat walaupun jam sudah menginjak ke angka sembilan malam. Sejak akhir-akhir ini Zahira banyak menghabiskan masanya dipejabat. Dia sengaja sibukkan dirinya dengan kerja supaya semua rasa sedih itu tak mengganggu hidupnya lagi. Dia mahu lupakan            semuanya, dia cuba namun semakin dia cuba untuk melupakan, rasa rindu dan sayang itu semakin kuat dalam dirinya. 

Zahira mengambil telefon pintarnya, dia membuka aplikasi whatsapp. Ruangan perbualan antara dia dan Zafril mencuri perhatiannya. Indahnya saat itu, kalaulah semua ini tidak berlaku pastinya sekarang mereka sudah bergelar suami isteri. Tapi siapalah mereka, hanya manusia biasa yang mampu merancang tapi Allah yang menentukan semuanya. ‘Saya rindu awak Zafril, kalau ada ubat untuk hilangkan rasa sakit rindu ini pasti saya akan beli.’ Pesanan itu ditaip dan dihantar kepada Zafril. Tidak lama kemudian telefonnya berbunyi tanda ada pesanan whatsapp diterima. ‘Belikan untuk saya sekali ubat itu.’ Zahira menangis membaca pesanan daripada Zafril. Tahulah dia bahawa, mereka berdua saling merindu. Zahira mendail nombor Zafril, dia menahan debar menunggu suara pemanggil disana.

“Assalammualaikum. Awak sihat?” Zahira menahan sebak tatkala mendengar suara Zafril.

“Waalaikumussalam. Sihat, awak?”

“Sihat kut. Kenapa tak balik lagi?” 

“Macam mana awak tahu? Awak pasang spy ke?” Zafril ketawa kecil mendengar soalan Zahira.

“Saya memang banyak spy dekat ofis tu. Baliklah, bahaya. Saya jauh kalau jadi apa-apa pada awak.” 

“Apa maksud awak jauh? Awak pergi mana? Awak memang betul-betul dah buang saya kan dalam hidup awak?”

“Saya tak berminat nak jawab soalan awak. Saya cuma nak mintak awak tolong balik, tu je.”

“Kalau awak tak berminat nak jawab soalan saya, saya pun tak berminat nak dengar cakap awak.” Perbualan terus ditamatkan. Sakit pulak hatinya dengan kata-kata Zafril, sengaja nak bagi dia sakit hati dan Zafril dah pun berjaya!

“Cik Zahira, cik tak nak balik lagi? Dah lewat sangat ni cik.” Zahira sedikit tersentak dengan kehadiran Encik Musa pengawal keselamatan syarikat dihadapan biliknya.

“Ye saya dah nak balik ni.” Tanpa menunggu lama Zahira terus keluar dari bilik menuju ke pintu lift, Encik Musa mengikuti langkahnya.

“Encik saya rasa cukup sampai sini je encik ikut saya, kereta saya depan tu je.” Terus terang dia tak selesa bila Encik Musa terus mengikutnya dari bilik hingga ke tempat parking kereta. Rimas, dah rasa macam diri dia artis pulak nak ada bodyguard bagai.

“Saya dah janji dengan Encik Zafril untuk pastikan Cik selamat masuk kereta.”

“Oh kalau macamtu kenapa awak tak hantar saya balik terus je?” Sindir Zahira menahan geram.

“Arahan Encik Zafril sampai masuk kereta je. Tapi kalau cik nak saya hantar ke rumah pun boleh. Saya hanya mengikut arahan Cik.” 

“Dah lah encik Musa, terima kasih.” Malas Zahira nak bertekak dengan Encik Musa. Geram pulak dia dengan Zafril, pandai-pandai arahkan pengawal keselamatan awasi dia. Tapi jauh disudut hati terselit rasa gembira, dia tahu Zafril masih sayangkan dia, jika tidak takkanlah dia minta tolong encik Musa tengokkan dia. Terima kasih Zafril, walaupun awak jauh tapi saya rasa awak dekat dengan saya. 








Alhamdulillah kesihatan Puan Aishah semakin baik. Setiap hari dia akan menghubungi Zafril, dia bimbang jika Zafril terus terasa hati dan menjauhkan diri dari dia. Cukuplah berpuluh tahun dia hilang semua itu, tak mahu lagi ianya berulang kembali. Puan Aishah ada terlintas mahu berjumpa Dato’ Azhar, dia mahu satukan kembali hubungan Zafril dengan Zahira. Namun dibantah keras oleh suami dan anak-anaknya. Kata mereka dia tak boleh buat macam tu, perbuatan dia seperti mempermainkan hati dan maruah Zafril juga keluarga Zahira. Mereka serahkan semuanya pada Zafril untuk membuat keputusan, jika Zafril yang mahu pertunangannya diteruskan maka mereka akan setuju tapi jika sebaliknya mereka akan terima dengan hati yang terbuka. 

“Aishah abang ada perkara nak bincangkan dengan awak.” Tuan Syarif mengambil tempat disebelah isterinya yang sedang menonton televisyen.

“Bincang? Macam serius je bunyi bincang tu.”

“Hmm, awak tahu Zafril ada ke penjara kajang sebelum dia pindah ke Johor tempoh hari?” Soalan suaminya sangat pelik. Penjara? Buat apa Zafril ke sana?

“Kenapa bang kalau dia ke penjara, mungkin dia ada kenalan yang kerja dekat sana siapa tahu?” Tuan Syarif serba salah samada mahu berterus terang atau tidak dengan isterinya. Tapi niat dia cuma mahu isterinya hidup aman dan tenteram tanpa gangguan mimpi ngeri lagi. Dia mahu Aishah memaafkan pelaku yang telah merosakkan hidupnya, sebab dia tahu hidup isterinya tidak tenteram kerana dia tidak pernah memaafkan perbuatan lelaki itu. 

“Selepas Zafril bagitahu saya yang dia ke penjara Kajang, saya hairan kenapa dia tiba-tiba ke sana. Kalau atas urusan kerja memang tak logik untuk dia mengunjungi penjara. Jadi saya menghubungi Dato’ Azhar untuk dapatkan jawapan. Sangkaan saya benar, Zafril ke sana melawat seseorang.” Semasa dia dapat tahu Zafril mahu ke penjara dia sudah mula syak cuma untuk kepastian dia tak tahu. Sebab itu dia terus menghubungi Dato’ Azhar kerana dia yakin ada sesuatu yang Dato’ Azhar tahu.

“Zafril melawat siapa? Ada kawan dia masuk penjara ke bang? Tak pernah pulak dia cerita dengan saya.” Puan Aishah memang tidak mengenali kawan-kawan Zafril sebab itu bila timbul cerita seperti ini dia memang tidak tahu.

“Melawat seseorang yang dia tak pernah kenal dan tak pernah jumpa. Tapi lelaki itu mempunyai talian darah dengan dia.” Kerutan didahi Puan Aishah semakin jelas bila suaminya mengeluarkan ayat ‘mempunyai talian darah dengan dia.’

“Abang jangan bagitahu saya yang Zafril dah jumpa dengan lelaki tu.”

Tuan Syarif menganggukkan kepalanya tanda mengiyakan sangkaan isterinya.

“Kenapa dia tak bagitahu saya? Apa kita patut buat abang? Zafril…” Puan Aisyah tak senang duduk, patutlah Zafril lain sangat masa balik ke rumah tempoh hari. Wajah Zafril sangat sedih, dia sangkakan mungkin sebab majlis pertunangannya yang telah dibatalkan tempoh hari. Rupa-rupanya tidak. ‘kenapa Aril jumpa dia? Aril tak patut jumpa dia.’

“Abang, Aril tak patut jumpa dia. Kita ke Johor bang, saya nak tengok sendiri keadaan Aril.” 

“Aishah, sabar. Aril tak tahu yang saya tahu dia jumpa Azman. Saya nak bawa awak jumpa Azman. Selepas itu baru kita ke Johor.” Pujukan Tuan Syarif berhasil. Dia berjaya menenangkan isterinya yang mula gelisah tadi. 


Semalam Aisyah tak dapat melelapkan mata, dia terbayang-bayang peristiwa hitam itu. Dia tak tahu adakah rancangan suaminya untuk bawa dia jumpa dengan Azman satu rancangan yang terbaik atau terburuk. Setiap malam dia akan bermimpikan peristiwa itu, selepas kejadian itu tidurnya tak pernah nyenyak jika dia tidak mengambil ubat tidur. Doktor telah menasihatinya untuk berhenti mengambil ubat tidur, dia perlu tidur secara semulajadi jika mahu mimpi ngeri itu pergi dari hidupnya. Tapi cubaannya tak pernah berhasil. Suaminya menjadi saksi melihat penderitaan yang dia tanggung setiap malam, orang luar yang melihat dia pasti tak menyangka yang dia mengalami masalah kemurungan. Kerana dia sentiasa tersenyum dan melihat dia bahagia disamping lelaki sebaik Tuan Syarif.

“Selamat pagi sayang, dah ready ke?” Soal Tuan Syarif lalu dahi si isteri menjadi sasaran ciumannya.

“Saya takut.”

“Jangan takut, abang dan anak-anak sentiasa ada dibelakang awak. Abang sayang awak dunia hingga akhirat.” Puan Aisyah tersenyum bangga mendengar kata-kata suaminya. Inilah suami yang sentiasa ada bersamanya tika susah juga senang. Lelaki yang tak pernah merungut dan marah bila isterinya menjerit hysteria tengah malam. Lelaki yang sentiasa sabar dengan setiap kerenahnya. Lelaki yang tak pernah kisah tentang kisah hitamnya, menerima dia seadanya.


“Aku mintak maaf walaupun aku tahu kesalahan aku tak layak dapat kemaafan kau. Aku berdosa pada kau, Azhar dan Zafril.” Kata-kata Azman hanya dipandang sepi Puan Aishah. Dia tak tahu untuk bereaksi bagaimana sekarang. Melihat keadaan Azman sekarang, memang lelaki itu banyak berubah. Tapi sedikitpun tidak berjaya mengubah fikirannya untuk memaafkan Azman dan melupakan semuanya. 

“Kau bagitahu aku apa patut aku buat untuk tebus dosa aku pada kau.” Azman sudah menangis hiba disebelah sana.

“Tolong jangan ganggu aku dan Zafril. Zafril bukan anak kau! Kau tak layak untuk dapat gelaran itu dari anak sebaik Zafril.”

“Ye aku faham, aku…takkan dekati Zafril. Aku janji dengan kau takkan jumpa dia lagi.” Ucap kata janji Azman langsung tak menggembirakan Puan Aishah. Hatinya semakin sakit bila Azman hanya menurut permintaannya. 

“Aishah…ingat apa abang cakap semalam.” Tuan Syarif memegang lembut bahu isterinya. Dia faham sukar bagi isterinya sekarang, tapi ini saja cara untuk dia lihat isterinya hidup normal macam manusia biasa. Tak perlu makan ubat tidur untuk tidur kerana mimpi ngeri sentiasa menemani lenanya. Lagipun sudah sampai masanya untuk Puan Aishah padamkan semua dendam yang ada dalam diri dia.

“Azman…aku bukan sempurna, aku hanya manusia biasa yang punya rasa marah dan dendam pada orang yang buat jahat pada aku. Dendam yang berpuluh tahun aku semai dalam diri aku makin lama makin memakan diri aku sendiri. Hidup aku penuh dengan rasa syak wasangka buruk pada orang lain. Tidur aku tak lagi nyenyak. Hidup aku tak pernah tenteram.” Aisyah menarik nafas, sambil mencari kekuatan untuk meluahkan semuanya. Azman pula sabar menanti setiap butir bicara yang keluar dari mulut Aishah.

“Aku tak pernah maafkan kau, setiap kali lepas solat aku selalu doakan hidup kau tak bahagia. Aku nak hidup kau musnah macam mana kau dah musnahkan hidup aku. Jahatnya aku. Sampai satu hari, suami aku dengar doa aku. Dia pujuk aku supaya maafkan kau, dan jangan doakan perkara yang tak baik pada kau, sebab selagi aku berdoa begitu untuk kau. Pasti hidup kau takkan pernah aman.”

“Aku tak salahkan kau Aishah, jika aku ditempat kau tentu aku akan buat perkara yang sama atau mungkin lebih teruk lagi.”

“Dulu Zafril benci aku. Aku tertanya-tanya kenapa dia benci aku. Sampai suatu hari dia maafkan aku, dia balas pelukan aku. Saat itu aku rasa gembira sangat, dan aku terfikir Zafril boleh maafkan aku, jadi kenapa aku tak boleh maafkan kau. Sesekali datang rasa untuk memaafkan kau, tapi sesekali datang rasa benci dan marah pada kau. Aku keliru.”

“Hari ini, saat ini aku nak buang semua rasa marah dan dendam aku pada kau. Aku…aku…maafkan kau. Demi Allah aku maafkan kau, urusan yang lain-lain itu adalah urusan kau dengan Allah.”

Azman menangis hiba, bahunya terhinggut-hinggut. Hari ini adalah hari paling bermakna buat dirinya. Terasa satu beban berat telah hilang. ‘Allahhuakbar. Kau telah lembutkannya untuk memaafkan aku.’

“Maafkan aku. Terima kasih sebab sudi maafkan lelaki yang berdosa ini.” 

Aishah menganggukkan kepala sambil memegang erat tangan suaminya. Kata-kata semangat dan doa suami buatkan dia berjaya lakukan semua ini. Benarlah, bila kita memaafkan orang yang aniaya kita, kita akan peroleh nikmat ketenangan yang tidak boleh dibeli dimana-mana. ‘Ya Allah, syukur atas nikmat yang Kau berikan ini.’

Azman berdoa semoga bila dia keluar dari penjara nanti, Aida, anak-anak dan anak saudaranya dapat maafkan dan terima dia sebahagian dari hidup mereka semua. ‘Maafkan aku, kerana aku telah berbuat kejam dengan kalian semua.’


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh kayrania